Memaparkan catatan dengan label Jean-Luc Godard. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jean-Luc Godard. Papar semua catatan

Isnin, Mac 11, 2019

Tentang Skala dan Approach Teater

I
Dalam konteks teater saya bermula dengan tulis playlet dulu, kemudian ke one-act play dan kemudian ke full length. Saya dapat rasa, potensi dan skala emosi yang boleh diberikan dengan durasi yang berbeza ini. Bila lebih lama, kita boleh tembus masuk jauh ke dalam emosi yang paling raw. Mungkin ia ada kena mengena dengan psikologi manusia, kita perlukan sedikit waktu (macam termenung) sebelum terbenam ke dalam suatu perasaan. Ini walau bagaimanapun dengan syarat kita ada fokus dan keyakinan terhadap keesaan emosi yang sedang kita dekati. 

Bentuk dan formatnya boleh jadi caca-marba atau berfragmen, seperti filem PIERROT LE FOU (1965) oleh Jean-Luc Godard misalnya, tetapi emosinya tetap meruncing ke satu direction.

Penggiat teater atau filem yang belum stabil biasanya direction mereka mencapah, dan apabila bentuk dan formatnya caca-marba atau berfragmen, ia secara literal sekali dengan emosi-emosi surface level yang dicubit-cubit sedikit di sini dan sana. Kebanyakan waktu ia mimetic desire atau sebentuk peniruan. Imej-imej yang di-copy dan disusun ini, disusun tanpa kesatuan tenaga yang jelas. Ia bergabung tanpa direction. 

Dalam hal ini, kepekaan terhadap muzik hip hop barangkali boleh membantu. Tekuni teknik sampling dan beatmaking, iaitu bagaimana bunyi yang telah ada, didekonstruk menjadi sesuatu yang segar. Perlu juga jelas di sini, bila sample diambil, rights perlu diminta dari pemilik muzik asal sebelum ia dikomersialkan. Sebagai contoh, album 3 Feet High and Rising (1989) oleh De La Soul tidak boleh di-stream online kerana dalam rights asal ia ditulis secara spesifik ‘vinyl dan kaset’, maka rights baru diperlukan untuk versi digital.

Tak hanya melibatkan DJ dan produser yang mencipta rentak, hip hop turut melibatkan emcee yang menawarkan kata-kata lirikal (yang bermain dengan meter bar) yang menggugah jiwa. Jika anda kurang pasti, boleh mulakan dengan Midnight Marauders (1993) dan Low End Theory (1991) oleh A Tribe Called Quest. Dari sini ada bermacam arah.


II
Saya telah tulis empat skrip teater full length setakat ini iaitu MAUTOPIA, STEREO GENMAI, ODISI ROMANSA dan MASAM MANIS. Akan saya beritahu kenapa skrip-skrip ini ditulis dalam tertib ini, dan kenapa tertib pementasannya sebegitu pula.

Mengadaptasi merupakan satu skil yang macam menulis, ia tak boleh diajar sangat melainkan kita merasai pengalaman membuatnya. Dengan itu saya pilih MAUTOPIA dan STEREO GENMAI di mana saya sudah ada cerita, karakter dan dialog dari novel. Apa yang patut saya buat dengan material-material ini? Saya sentiasa tak tahu, tetapi yang pasti, saya perlu pertahankan semangat karya asal, sebab aksi saya adalah untuk mengadaptasi. Saya rasa penting untuk orang nampak pertautan spiritual antara karya adaptasi dengan naskah asalnya. Sebab bila tiada pertautan ini, lebih baik saya cakap saya buat karya baru. Tiada dialog antara teks berlaku.

Perlu jelas di sini, adaptasi pada saya ialah pertautan spiritual itu tadi. Sebarang bentuk atau cerita yang literal, bukan 100% hal yang perlu saya simpan dalam teks adaptasi saya. Boleh digambarkan teks adaptasi saya perlu melalui proses dekonstruksi. Naskah asal perlu dihancurkan sebelum dibina semula. Serpihan-serpihan yang dipilih dan di-curate, diletakkan di tempat yang tepat bagi menaikkan syahwat emosi.

Jadi di sini saya pilih dua novel saya sebagai eksperimen, jika gagal, sekurang-kurangnya ia karya sendiri. Ia hanya selepas saya yakin boleh! Saya tulis MASAM MANIS iaitu adaptasi dari filem P. Ramlee berjudul MASAM-MASAM MANIS (1965). Filem ini ada unsur salah faham (tipikal naratif teater) dan bermain dengan ruang lodging Mak Minah, yang amat teatrikal. Selain itu naratif pada pintu almari watak P. Ramlee turut saya jadikan sebagai struktur pembahagian bab. Filem ini tentang Kuala Lumpur, yang dekat dengan saya, jadi saya tahu ada pertalian yang boleh mengikat antara saya dengan P. Ramlee.

Meski ODISI ROMANSA ditulis lebih dulu, tetapi MASAM MANIS yang akan dipentaskan dulu. ODISI ROMANSA ialah judul photobook saya, tetapi ia bukan adaptasi, cuma judul sama digunakan. Ia karya full length pertama yang bukan diadaptasi, jadi saya fikir elok saya peram ia terlebih dulu agar ia cukup ranum sebelum dipentaskan.

Maka dari segi tertib pementasan kita ada STEREO GENMAI tahun lalu, iaitu adaptasi dari novel (sendiri), kemudian kita akan ada MASAM MANIS iaitu adaptasi dari filem (orang lain), dan hanya selepas itu baru kita ada ODISI ROMANSA iaitu teks asal yang bukan adaptasi. Tiga play ini boleh dianggap latihan dan pembelajaran formal saya dalam membikin teater. Ya lah kita tak sekolah dan belajar teater, jadi kita kena lah pandai-pandai belajar sendiri. Semoga anda datang tonton teater saya, dan lihat bagaimana tiga teks berbeza (dengan approach berbeza ini) bermain dengan ruang pula.


Ridhwan Saidi

Isnin, Oktober 26, 2015

Menghancurkan Bahasa

Manira tak senang dengan orang yang nak jaga bahasa. Di sini akan manira hujahkan dua perkara kenapa ia okay untuk kita hancurkan bahasa. Tapi sebelum itu kita perlu faham konotasi ‘jaga bahasa’ ini iaitu ia mesti selaras kasta yang telah ditetapkan oleh otoriti bahasa. Via kasta ini datang tinggi rendah atas bawah yang birokratik.

Pertama pentingnya pendedahan kepada Godard. Godard hancurkan bahasa filem acuan studio Holywood dan pada lapis pertama ia boleh jadi avant-garde atau anti-establishment for the sake of nak jadi avant-garde atau anti-establishment. Tapi dalam kes Godard, filem seperti Pierrot le Fou (1965), Weekend (1967), Le Mepris (1963) masih memberi suatu perasaan yang intens dan indah. Poin saya adalah jika sesebuah penulisan itu menggunakan bahasa yang hancur tetapi memberi suatu perasaan sebenar, bukankah lebih baik daripada sesebuah penulisan dengan bahasa ‘terjaga’ tetapi memberi perasaan juvenil yang klise? Kerana ramai saja manusia di luar sana berpakaian dan berpewatakan terjaga seperti orang dewasa yang matang sihat tetapi kebudak-budakannya masih belum dibunuh.

Aku tidak menolak penulis yang memilih untuk jaga bahasa, sebab semua penulis yang baik akan jaga bahasanya termasuk aku sendiri. Kita jaga bahasa dengan menghancurkannya sepertimana gitar kapok dihancurkan untuk buat unggun api di pantai malam yang dingin. Ini akan menjurus kepada poin kedua, di mana setiap penulis yang bercengkerama memeluk bahasa masing-masing akan di-intrude sosok otoriti bahasa a la Big Brother. Apa terjadi seterusnya Allahu Alam.

Orang yang nak jaga bahasa ini rasa Bahasa adalah suatu entiti fragile, jadi mereka rasa mereka penting walhal hakikatnya manusia lagi fragile dari bahasa. Sebab bila manusia pupus kelak, bahasa kita akan terus ada untuk digali ketamadunan pasca-manusia. Dan kita faham penulisan berunsur nasihat dan didaktik tidak boleh tikamtembus lapis ego tebal penjaga bahasa, so dengan itu saya akhiri entri ini dengan: Renung-renungkanlah.

Ridhwan Saidi

Sabtu, Ogos 09, 2014

Street Tak Street

Warga panik berkumpul di hadapan Astoria Palace, Copacabana, 2014.
(Amacam? Macam fotojurnalis tak?)


Masa Amri Ruhayat belek skrap Caipirinha Blues (siri foto saya di Rio de Janeiro), disebut “street tak street” perkara yang sama semasa Ranggi Metropolis (siri foto saya di Kuala Lumpur) dibeleknya dulu. Saya gemar dan ingin guna ia sebagai falsafah fotografi saya: street tak street.

Istilah memang tak best kalau kita nak skopkan kerja fotografi seseorang sepertimana seorang pengarah disumbat ke dalam teori auteur atau sebuah filem ke dalam takuk genre. Tapi ia buat kerja jadi mudah agar idea umum terbentuk di dalam kepala kita selaku konsumer, lalu keputusan lekas dibuat.

Nik Adam pula apabila belek Caipirinha Blues, mengatakan ia dari sudut pandang pelawat dan tiada story, dan bukan stail dokumentari. Story di sini = isu yang biasa diketengahkan dalam documentary photography, yang punya news value terpinggir gitu. Saya tak minat stail dokumentari dan komen ini buat saya berada di laluan yang betul. Saya cenderung untuk mencontohi Stephen Shore dan Daido Moriyama, bukan dari segi estetik, tapi menggunakan fotografi sebagai diari visual (ramai lagi photographer (dan semua amateur) yang buat gini tapi sosok ni jadi pegangan semasa ke Rio).

Jadi di sini kita ada dua genre yang akan disentuh iaitu street dan dokumentari. Saya minat street kerana ia membebaskan (street photography secara alaminya marhaen) di mana kita boleh rakam apa sahaja di domain awam ibarat Godard yang ke jalanan untuk bikin filem Breathless. Saya minat juga shoot dalam studio, tapi sebab saya perlu berkurung di dalam bilik untuk menulis maka peluang untuk keluar tangkap gambar ini ibarat jalan keluar gua, sepertimana orang kerja ofis dapat cuti panjang untuk backpack ke hujung dunia. 

Dalam pada itu, saya juga ada isu dengan street photography di mana secara estetiknya ia cenderung old-fashioned dan secara etika ia sedikit mengganggu diri saya, (terutama pasca bertemu Susan Meiselas). Bolehkah saya rakam gambar orang yang tak saya kenal? Jawapannya: Seperti guna lagu orang (tanpa beri royalti) di dalam filpen saya, saya harap saya bawa foto-foto orang asing ini menjadi sesuatu yang kita semua kenal.

Documentary photography pula saya benci (saya menghargai karya orang, tapi bila saya sendiri kena buat, bak kata pepatah: jiwa tak kena beb!). Sekurang-kurangnya dalam konteks fotografi. Fotografi secara alaminya mendokumen, tapi ini kita tolak tepi sebab yang akan dibincangkan ini, ia lebih kepada stail.

Sepertimana filem dokumentari Werner Herzog best dan kurang ditonton berbanding filem cereka/fiksyen Hollywood, pada saya fotografi adalah keterbalikan filem. Bila sebut filem, kita lebih senang dengan filem fiksyen sebagai mod utama penyampaian tapi bila dokumentari ia semacam bawa konotasi bosan dan tak menghiburkan (barangkali, kecuali doku popular yang kat tivi). Di dalam fotografi pula, stail dokumentari/reportage berfungsi sebagai mod utama penyampaiannya jika dibandingkan dengan fiksyen. Orang jarang garap foto sebagai fiksyen macam Looking for Love On the Left Bank oleh Ed Van Elsken, tapi sebab ia fotografi, ia secara tak langsung mendokumen!

Saya garap Ranggi Metropolis sebagai cerpen dan Caipirinha Blues sebagai novella. Semestinya ia secara tak langsung mendokumen apa yang saya nampak, autobiographical, macam diari. Tapi yang membuatkan struktur photobook ini menarik, ia dream-like sebab ia sepenuhnya visual. Maka saya tak minat kapsyen sebab mengganggu gambar dan ini juga salah satu masalah stail dokumentari. Ia cenderung guna kapsyen untuk bercerita dan gambar hanya bertindak sebagai bahan bukti untuk beri idea bahawa apa yang diceritakan/berlaku betul dan jujur. Buat saya jika ingin bercerita dengan kapsyen/prosa, baik saya tulis sebuah novel.

(Ini berbeza jika bubuh pantun dua kerat (seperti dicadang Amri) atau haiku (atau apa-apa puisi) di bawah imej sebab puisi memang imejan dan cenderung dream-like. Malah saya ada bubuh sajak burok saya dalam intro Ranggi.)

Kebetulan dan kejujuran tadi penting dalam dokumentari/reportage sebab kalau tak betul, kredibiliti nilai berita/sentimen itu habis. Semestinya fiksyen mesti dijauhi sebab ia menongkah kebenaran, tapi kebenaran stail dokumentari ini biasanya tak lebih dari sekadar kebenaran literal, yang digarap dengan penuh sentimen. Apa yang buat novel atau filem fiksyen real? Kebenaran emosi. Tu je.

Dan ia boleh wujud dalam stail dokumentari, street, still life, street tak street, dan segala takuk genre foto, seni secara umumnya dan kehidupan itu sendiri.

Ridhwan Saidi

Selasa, Disember 21, 2010

Sinema Char Koay Teow

“How can something so messy taste so good?” 
– Anthony Bourdain dalam No Reservations selepas makan char koay teow.

Selaku seorang anak muda yang akan menjangkau usia 22 tahun menjelang tahun hadapan, saya merasakan wujudnya satu keresahan tak bernoktah di dalam diri saya. Keresahan ini timbul kerana tiada filem berjiwa muda dengan gaya muda yang betul-betul menyeronokkan untuk ditonton setakat ini di negara ini. Filem-filem dengan jiwa dan suara muda ini bukan tidak ada, ada, cuma kebiasaannya ia disampaikan dengan gaya orang tua. Sikap atau attitude kemudaan itu nil.

Esensi punk rock as fuck mustahil kita ketemui di dalam sinema di negara ini. Jika ada pun mungkin gaya sinema muda budak koir. Tetapi rata-rata semuanya datang dengan gaya orang tua. Jadi apa bezanya gaya sinema orang muda dan orang tua kamu tanya? Jawapannya mudah, seperti dapat kamu perhatikan, apa beza ketara diantara orang muda dengan orang tua? Tenaga fizikal!

Kita faham kebiasaannya sinema orang tua meraikan kematangan melalui ketenangan. Tenaganya datang dari 'dalam' dengan syot dan suntingan yang kemas, stabil dan skema. Kita boleh analogikan gaya sinema orang tua ini dengan sebungkus nasi lemak. Nasi setempat, sambal setempat, ikan bilis setempat, kacang setempat, timun setempat, telur rebus setempat. Wujudnya orde, displin dan keharmonian mutlak dalam mempersembahkannya.

Ini sudah tentu berbeza dengan gaya sinema orang muda yang boleh kita analogikan dengan sepinggan char koay teow. Koay teoy, udang, kerang, sotong, lap cheong, taugeh, daun kucai, sos soya disekalikan secara rambang dan comot. Intensiti tenaganya undogmatik – rawak keromo.

Saya tidak kesah jika seorang pembikin filem tua menghasilkan filem dengan gaya orang tua yang bagus, tetapi saya runsing dengan pembikin filem muda yang menghasilkan filem dengan gaya perlahan orang tua. Memang tiada salahnya tetapi di negara ini, ia sudah jatuh ennui. Ini barangkali boleh kita kaitkan sendiri dengan sifat anak muda di negara ini yang rata-rata represif sifatnya. Segalanya dipendam sampai padam. Bara kemudaan itu disia-siakan begitu sahaja. Harapan comel seorang anak muda ghaib.

Filem-filem seperti Tokyo Story (1953) oleh Yasujiro Ozu dan Ali: Fear Eats the Soul (1974) oleh Werner Rainer Fassbinder merupakan antara filem yang benar-benar telah memberikan kesan yang mendalam terhadap diri saya. Tetapi saya juga terinspirasi dengan Breathless (1960), Bara no Soretsu (1969), The Evil Dead (1981), Man Bites Dog (1992), dan La Haine (1995) umpamanya. Kemanakah perginya paparan punk rock as fuck – sinema char koay teow – yang menyentuh perasaan sebegini di negara ini? Bak kata Amy Ikram, tepuk dada tanya selera.


Ridhwan Saidi
P/s: A la Siti Jarum, muak makan nasi lemak hari-hari.

Khamis, November 18, 2010

Hipster Filem

Setelah menonton lebih 200 filem pendek tempatan di acara-acara seperti KL48 Film Project, HerStory Film Project, Mimpilem, BMW Shorties, Maskara Shorties, Panca Delima, Youtube, Vimeo dan seumpamanya, berani saya katakan hampir semua pembikin-pembikin muda di negara ini masih bercerita menggunakan approach 'drama'. Di sini tidaklah bermakna saya mengatakan bahawa bentuk drama ini tidak best, sebaliknya yang diulang berkali-kali ini kerap mengulangi kesilapan-kesilapan yang serupa; secara teknikalnya ia masih belum memahami bahasa filem dan intinya pula lompong tanpa apa-apa falsafah atau idea. Lebih teruk, kebanyakan filpen ini merendahkan martabat perempuan. English literated, koya liberal, tapi chauvinistik nak mampus, dasar sexist pig!

Sepatutnya yang memacu sinema di negara ini adalah mereka yang muda, terpelajar dan middle-class. Dari segi ekonomi mampu, dari segi intelek mampu, dari segi fizikal mampu. Tetapi malangnya bahagian yang 'terpelajar' itu kantoi. Mereka yang terpelajar ini lebih cenderung untuk menafikan akal lalu duduk selesa di dalam zon selesa. Tidak bersikap, mereka ini sebaliknya hanya sekadar mengambil jalan mudah apa yang sudah tersedia di atas dulang emas di depan mata.

Akal dikurniakan Tuhan agar kita (manusia) bergerak dan berhijrah dengan daya upaya, berikhtiar mencari kebenaran mutlak berbekalkan ilmu dan tauhid – tahu membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Semestinya di dalam pencarian ini pengorbanan perlu dilakukan. Rasa simpati kita terhadap mereka (termasuk keluarga sendiri) yang menyukai filem-filem tidak berakal harus dilepaskan; sedangkan Ibrahim menyembelih anaknya Ismail.

Selama 2 tahun di sekolah filem cuba memahami golongan terpelajar ini, ia akhirnya menjurus kepada satu jawapan sahaja: statik. Tidak ada dinamika gerakan apatah lagi konsep hijrah di dalam fikirasa seseorang pelajar itu. Bila ditanya siapa pembikin filem yang diminati – Yasmin Ahmad, Wong Kar Wai, Stephen Chow. Bila ditanya siapa pemuzik yang diminati – M. Nasir. Bila ditanya siapa penulis yang diminati – Usman Awang. Bloody boring, selama 2 tahun ia statik tidak bergerak (dan saya syak akan berlarutan sehingga akhir zaman).

Tidaklah bermakna mereka ini tidak best, tetapi citarasa harus terus bergerak dan berkembang. Di sebalik Yasmin Ahmad ada Yoji Yamada, di sebalik Wong Kar Wai ada Jean-Luc Godard, si sebalik Stephen Chow ada Bruce Lee. Instead of meraikan inspirasi-inspirasi pembikin yang mereka suka, heck meraikan sinema, mereka lawaknya berlagak (walaupun dengan mata kasar kelihatan 'humble a la Yasmin') dengan apa yang mereka ada. Dare I say, dasar hipster filem!


Ridhwan Saidi

Selasa, Oktober 19, 2010

Lucu

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini terutamanya di upacara-upacara kesenian lokal, saya dengan mudah telah dicop sebagai seorang 'leftist'. Ini tidak benar. Ini saya suspek dek kerana saya letak 'Marxist Mobile' pada political views saya di laman sosial Facebook.

Marxist Mobile ini bukan bermakna saya seorang (Karl) Marxist yang berikhtiar dan bergerak dari satu poin ke satu poin yang lain. Marxist Mobile ini sebenarnya adalah Groucho Marxist yang telah divernakularkan (kepada yang tak tahu, Groucho Marx ini merupakan seorang comedian Hollywood/Amerika). Bak kata Jean-Luc Godard, "Aku Marxist, tapi yang Groucho punya..."

Kata asal bagi permainan kata Marxist Mobile ini ialah Maxis Mobile, iaitu sebuah syarikat telekomunikasi gergasi - yang saya topup RM5 sekali setiap tiga bulan. Di negara ini siapa yang tidak tahu Maxis? Maka yang Maxis itu kita tukar jadi Marxist!

It's true kesamarataan di ufuk kiri itu penting (di dunia corpereal ini), tetapi apabila sampai tahap semua rumah, pakaian atau makanan wajib sama (tak boleh jual, beli, pilih) kebebasan expresi dan privasi ekonomi individu dari ufuk kanan itu juga sama pentingnya. Kalau semua sama kan bowink *wink?

Maka dengan itu, istilah Marxist Mobile ini adalah (meminjam kata majmuk Salleh Ben Joned) seriusenda kepada kedua-dua ufuk spektrum sistem ekonomi tadi. Kiri, kanan, atas, bawah malah tengah - komunis, sosialis, kapitalis, liberal, fasis, nasionalis, anarkis, libertarian malah sentris dan lalang; kita harus ada kesedaran bahawa kesemuanya bersifat lucu.


Ridhwan Saidi

Sabtu, September 18, 2010

Who Wants to Be a Filmmaker?

Dalam proses pembikinan filem, melalui pengalaman bertahun-tahun aku sebagai seorang pseudo-sinefilia, melalui pemerhatian yang aku jalankan di institusi pengajian filem dan industri perfileman tempatan, boleh aku kategorikan proses pembikinan filem ini kepada dua. Pertama, proses yang berteraskan idea yang bersifat amateur, rambang, spontan dan dinamik manakala kedua proses yang berteraskan profesionalisme, terancang, spesifik dan statik.

Pokoknya teras yang membezakan kedua-dua proses pembikinan filem ini adalah kebebasan, dan anehnya ramai filmmaker-wannabe di negara ini cenderung memilih untuk tidak bebas. Instead of merayakan seni dengan bertindakbalas dengan persekitaran, mereka memilih untuk ‘berkerja seperti anjing’—jangan marah, ini lirik lagu The Beatles. Mereka mementingkan produksi melangkaui idea. Ini kita sedari apabila hal-hal yang diwacanakan di kala pra-pembikinan filem kebiasaannya mengenai art direction, pakaian, lighting, sinematografi, make-up dan lain-lain. Ini tidak salah, cuma juling.

Idea-oriented v Production-oriented
Secara peribadi, bagi aku Blade Runner: Final Cut (1982) dan The Godfather Trilogy (1972, 1974 & 1990) merupakan antara filem-filem production-oriented yang sudah berada pada tahap lengkap. Tetapi kita perlu ingat, walaupun produksinya lengkap, ia adalah produksi yang mendukung idea. Yang aku lihat berlaku di negara ini, produksi-produksi jarang mendukung sebarang idea.

Menurut Alfred Hitchcock, sesebuah filem itu siap selepas skrip siap. Inilah fundamental bagi mereka yang merayakan production-oriented. Ini bermakna selepas selesainya pra-produksi (skrip), kerja-kerja selepas itu hanyalah sebuah proses perlaksanaan secara fizikal dimana ia dikerjakan oleh buruh-buruh kasar yang dipanggil kru. Ini adalah satu sistem makan gaji – kapitalisme – dimana kru-kru ini menukarkan keringat mereka kepada duit. Aneh apabila sesebuah projek dengan dana yang kecil cuba meraikan sistem kapitalisme ini.

Idea-oriented pula adalah satu pendekatan di mana ia lebih terbuka. Kita boleh ambil pembikin-pembikin yang berkebolehan untuk merombak skrip (atau tanpa skrip) semasa penggambaran dan suntingan seperti Jean-Luc Godard, Wong Kar Wai, Mansor Puteh dan seumpamanya. Proses berkarya itu tidak tersekat selepas fasa pra-produksi. Ia lebih hidup dan dinamik. Malah perkataan ‘amateur’ itu jika digali asal istilahnya bermakna ‘cinta’. Proses pembikinan yang disemai rasa cinta ini bebas daripada kekangan profesionalisme. Tidaklah bermakna mereka mengabaikan serba-serbi tentang perkara-perkara teknikal produksi. Mengambil kata-kata Garin Nugroho, “Idea hanya muncul selepas teknik tidak lagi menjadi hal.” Bagi aku filmmaker-wannabe tidak perlu berkocoh-kocoh memikirkan soal bagaimana ia dibuat, sebaliknya apa yang dibuat.

Inspirasi v Imitasi
Apabila ‘APA’ (dengan huruf besar) ini diabaikan, secara tidak langsung ia juga memisahkan dualiti tadi kepada inspirasi dan imitasi. Tanpa idea, dengan hal-hal teknikal produksi semata-mata, werk yang dihasilkan ternyata adalah satu imitasi. Samada imitasi itu berjaya atau tidak, pokoknya ia hanya sekadar satu imitasi. Ini berbeza dengan idea-oriented dimana ia terjadi melalui inspirasi. Memang inspirasi ini diserap daripada idea orang lain, bak kata Jim Jarmusch, “Daripada mana kau curi idea itu tak penting, yang penting ke mana kau nak bawa idea tu.” Maka dengan itu sebuah imitasi tidak akan membawa idea itu ke mana-mana. Imitasi terhadap werk-werk P.Ramlee atau Yasmin Ahmad tidak akan menggerakkan (sila rujuk iklan dan rancangan Raya di televisyen), sebaliknya ia perlu terinspirasi. Untuk terinspirasi seseorang perlu gali ke dalam sesebuah werk itu. Di sini pentingnya pemahaman tentang kedalaman (yang tidak diambil pusing oleh majoriti jemaah Malaysia, terutamanya yang menggelarkan diri mereka singer/songwriter boohoo).

Konklusi
Aku mengambil kesempatan ini mendoakan jemaah filmmaker-wannabe yang berimankan production-oriented tadi agar murtad lalu merayakan idea, insya'Allah.


Ridhwan Saidi

Selasa, Ogos 24, 2010

Melacurkan Ilmu Atas Nama Hijau

“Architecture cannot be totally explained but must be experienced . . . ” - Geoffrey Bawa

Aku bekerja dengan Jimmy Lim untuk mendekatkan diri aku dengan school of thought Geoffrey Bawa. Lama sebelum istilah 'sustainability' menjadi fashionable, sebelum Seksan menjadi hip, sebelum adaptive re-use itu gempak, sebelum Rimbun Dahan, Palate Palette & KLPac itu green, Bawa sudah layan alam sejujurnya terlebih dahulu. In fact, Bawa adalah pioneer kepada sekolah pemikiran senibina vernakular di Asia Selatan dan Tenggara ini.

Seperti mereka – berjiwa besar – yang lain, proses kematangan senibinanya terbahagi kepada beberapa fasa. Dalam kes Bawa, ada empat: 1. Tropical Modernism, 2. Contemporary Vernacular, 3. Regional Modernism, dan 4. Contextual Modernism. Basically, Bawa bertitik tolak daripada gerakan modenisme, begitu juga dengan Jimmy. Kita dapat rasai adanya hubungan arketaipal terhadap senibina Mise van de Rohe, Le Corbusier, Frank Lloyd Wright, Carlo Scarpa dan geng. Jimmy mengembangkan bawaan Bawa dengan apa yang dipanggilnya 'Architecture of Humility', apa yang aku gelar 'Setinggan with Style'. 

Baru-baru ini Dewa telah ke Sri Lanka mengalami werk-werk Geoffrey Bawa. Katanya masyarakat setempat di sana meletakkan Bawa di tempat yang tinggi. Mereka beremosi mengalirkan air mata semasa menceritakan kembali kesah kehidupan si Sinhalese ini. Masyarakat setempat di Sri Lanka amat menghormati alam sehinggakan gutter (alat tadahan air hujan) boleh melengkung mengelak pokok kelapa di tengah jalan. Jika ada sebatang pokok, batu atau bukit di dalam rumah, maka kita akan nampak ia terkeluar melalui dinding atau bumbung tidak dialih. Tambahnya lagi, di Sri Lanka ini haiwan 'liar' seperti monyet dan burung hidup sekali bersama manusia.

Conservation alam yang diraikan secara kolektif oleh masyarakat setempat di Sri Lanka ini begitu menyeluruh. Tambah Dewa lagi, walaupun ada sebilangan mereka yang berkereta, mereka lebih gemar berjalan kaki. Dalam konteks dualiti, apa yang berlawanan lagi songsang berlaku dengan meriahnya di negara ini. Masyarakat kita rakus merobek rupa bentuk alam. Daripada sebesar-besar skala sehingga sekecil-kecil renovation rumah. Kita telah putuskan hubungan dengan yang lama dan kita juga putuskan hubungan dengan alam. Sebaliknya kita telah membina biosfera konsumerisme kita sendiri dan hidup di dalamnya—iaini infrastruktur sifar subtance.

Aku pula secara batin hanya pernah ke Sri Lanka melalui filem Dharmasena Pathiraja. Tetapi dalam konteks sinema, aku perasan filem Pathiraja ini ada bertaut dengan French New Wave, terutamanya sentuhan Jean-Luc Godard. Ini lain pula ceritanya, tapi bila fikir kembali, gerakan senibina Modenism tak ubah seperti French New Wave, iaitu satu respon penolakan skala gergasi terhadap dogma lama.

Film cannot be totally explained but must be experienced . . .


Ridhwan Saidi

Jumaat, Julai 23, 2010

Buddha Collapse Out of Shame (2007)


Filem ini mengingatkan saya kepada Taste of Cherry (1998) oleh Abbas Kiarostami yang diklaim Jean-Luc Godard sebagai sinema terakhir (sinema telah mati selepas itu). Ianya pengembaraan sehari seorang budak comel setinggi tombol pintu berjiwa bebas yang mahu belajar dengan buku serta lipstik emaknya sebagai pen, seterusnya bertemu dengan budak-budak lelaki 'Taliban'. Elemen keganasan dalam filem ini sangat true, lebih hebat dari aksi plastik Michael Bay dalam filem Inception (2010). Jikalau mahu dibandingkan dengan siri TV Tower 13 yang diklaim Fadz sebagai awesome pula, betapa kebudak-budakannya siri TV arahan Khabir Bhatia itu jika dibandingkan dengan filem dewasa ini yang diarahkan oleh Hana Makhmalbaf yang berusia 18 tahun (ketika penggambaran). Khusus buat mereka yang sudah muak, lali, bosan dengan filem genre atau kepada yang belum pernah menonton filem-filem Iran, filem ini adalah permulaan yang baik. The Song of Sparrows (2008) oleh Majid Majidi yang telah ditayangkan di Pancha Delima semalam, juga merupakan satu filem permulaan yang baik.


Ridhwan Saidi

Rabu, Jun 02, 2010

Melupakan Amber dan Tong Sampah

Pada suatu hari, sedang saya makan ayam goreng black pepper di KFC KL Sentral bersama Fadli Al-Akiti—berdepan dengan orang yang layan filem. Berbelas bulan (lebih kurang) sebelum itu, saya makan Prosperity Burger McD di KL bersama Azharr Rudin—serupa, saya sedang berdepan dengan orang yang layan filem. Tapi yang membuatkan ianya unik adalah reaksi bagaimana mereka memperlawa saya untuk makan di toko fast food tersebut (mereka fikir saya anti-fast food,) yang entah bagaimana membuatkan saya tiba-tiba teringat filem pendek atau bahagian pertama daripada siri The Amber Sexalogy ini.
Secara peribadi saya menggemari slow food berbanding fast food. Tapi saya lebih rela makan fast food daripada makan pseudo-slow food (seperti Laksa Shack). Secara purata boleh dikatakan saya makan fast food sekali dalam sebulan. Kalau tidak di luar, yang sejuk beku di dalam peti ais pun jadi. Cuma komedi gelapnya, setiap kali saya makan KFC atau McD ini, kadang-kadang saya akan teringat imej-imej ayam yang dipaksa makan dedak sampai mati dalam emel.
Mengingatkan imej-imej brutal ini, tiba-tiba Fadz bertanya, "kenapa, tak sedap ke?"

"Err... sedap," jawab saya sambil tersenyum.

Saya tidaklah begitu lama mengikuti perkembangan filem pendek pelajar di institusi tempat saya belajar. Tetapi daripada gosip-gosip yang berjaya saya kumpul, dahulu filem-filem pendek di sini lebih production-oriented. Sejak beberapa tahun baru-baru ini, baru bibit-bibit seni itu mula muncul. Jadi jika ini benar, bermakna saya telah melihat filem-filem pendek yang lebih art-oriented tadi. Walaupun ia cuba layan seni, tapi ia masih belum sampai ke takat yang mengesankan bagi saya.

Ini berkesan di dalam Forgetting Amber. Ia cuba memadam kerinduan dengan imej-imej mudah tapi berkuasa dan penuh makna seperti langsir, railing, matahari terbenam dll. Saya syak kuasa sebegini ada dibawa di dalam Punggok Rindukan Bulan yang masih belum saya tonton. Sedihnya benda sebegini tiada di dalam filem-filem pelajar, ini menyesakkan. Jika adapun ianya masih belum konsisten.

Konsistensi ini saya dapati jelas keliru di dalam Aku, Dia dan Tong Sampah. Azri Abu Hassan ada berpesan kepada saya bahawa ADTS ini filem komersial. Macam fast food tadi saya bukanlah anti filem-filem komersial, saya tengok filem komersial sekali sebulan gitu.

Kita perlu faham bahawa filem komersial itu tak ubah seperti fast food. Ianya perlu cepat, ringkas dan kenyang sekejap. Restoran-restoran fast food ini selalunya berwarna terang, ada feel pop, dan melalaikan. Terapkan unsur-unsur ini ke dalam sinematografi dan suntingan, sapukan make up dengan bunyi, muzik, lakonan dll. Siap, jual.

Cuma dalam ADTS keadaannya kadang-kadang komersial, kadang-kadang ber'seni' sangat, seolah ada perselisihan dan kecelaruan pendapat di dalam jiwa pengarahnya. Ini tidak salah jika ia digarap secara berkesan seperti filem Ada Apa Dengan Cinta. Apa yang saya lihat: pelakon 'drama' dirakam dengan teknik long take dan kamera statik—mungkin sesetengah bahagian ok, tapi babak dialog jiwang tipikal? Saya tak mampu bertahan... rasanya tengok kucing bergaduh kat belakang rumah lagi engaging.

Berbeza dengan filem-filem 'slow food' seperti Punggok Rindukan Bulan misalnya (anehnya saya belum tengok, tapi konfiden tulis). Ianya seperti masakan ibu/nenek di mana setiap hirisan itu detail. Kalau masak laksa tulang-tulang itu dibuang secara teliti kerana tak mahu si suami atau anak atau cucu tercekik gitu. Malah orang-orang yang pandai memasak ini, kuah laksa mereka tidak berbau hanyir. Ini saya syak daripada proses pembuatannya yang perlahan.

Seperkara yang saya sedari, dalam The Amber Sexalogy, tekniknya berbeza (filem pendek adalah latihan/senaman teknikal) tetapi temanya tetap sama dibawa oleh individu bernama Azharr Rudin iaitu perasaan rindu lagi leleh itu. Ini berbeza dengan mereka yang masih hijau di mana secara teknikal sama saja tetapi membawa tema yang berubah-ubah dari satu projek ke projek lain. Ini tak ubah seperti sekejap pakai tudung, kemudian buka, kemudian duduk di atas kerusi roda, kemudian pakai tudung balik, sekejap Islam, sekejap agnostik dll. Tidak ada keperibadian dan individualiti yang utuh—mangsa fesyen huh. 

Jika perubahan berlaku pun, ia selalunya mengambil tempoh masa yang lama, perlu melalui fasa-fasa transisi tertentu/penting di dalam kehidupan mereka. WR. Fassbinder ada 3 fasa, JL. Godard ada 2, Yusof Haslam ada 1 contohnya. Ini terpancar pada filem-filem mereka, tak tipu. 


Ridhwan Saidi

Ahad, Julai 26, 2009

Romantika Marhaen

Selaku penganut sinema ortodox Soviet mahzab Eisenstein dan Kuleshov, saya percaya bahawa sinema itu ibarat bom yang akan meledakkan revolusi sosial, yakni pencerahan minda secara mutlak dari bawah ke atas. Walau bagaimanapun saya terpaksa akur dengan hakikat bahawa masyarakat kita masih lagi jahil (ignorant.) Ditambah jumlah penonton filem “arus perdana” di negara ini hanya sekitar 100,000 daripada 28 juta rakyat. Ini berbeza dengan Czechoslovakia yang mana rakyatnya hanya 15 juta, tapi jumlah penontonnya melebihi 1 juta. Dari situ wujudnya Czech New Wave yang mana tujuannya adalah untuk membuatkan warga Czech sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada sistem, yang ironisnya sedang menghentam mereka secara brutal ketika itu. Pokoknya memberi kesedaran! Tapi di negara bertuah ini ia terbalik, yang menonton filem itu makin lalok.
Guy Debord kunci kepada gerakan Lettrist dan kemudian Situationist pernah mengkritik Jean Luc Godard bahawa filem-filemnya adalah revolusi sosial yang gagal. Ini sama ceritanya dalam cabang senibina. Rem Koolhaas mengkritik Le Corbusier bahawa senibina-senibinanya adalah revolusi sosial yang gagal, (pulak dah.) Dogme 95 (yang dianggotai Lars von Trier) juga mengkritik karya-karya Godard yang “anti-borjuis” itu, kerana akhirnya menjadi santapan golongan borjuis lagi exklusif. Turut dikritik adalah teori auteur yang bersangkut paut dengan French New Wave dan Cahiers du CinĂ©ma yang dikatakan tak lebih dan tak kurang adalah romantika borjuis semata-mata. Kontra, saya pula percaya apa yang saya raikan selama ini adalah romantika marhaen, counter-auteur! Konon.

“Sinema telah mati!”

“Lebih tepat pada 31 September 1983” bak kata Peter Greenaway. Tambah si futurist bermulut celupar ini lagi, “apa kejadahnya audiens duduk membatu di dalam gelap?”. Meta-sinema yang dibawanya sudah melangkaui zaman, penonton tidak lagi sepatutnya duduk diam, sebaliknya sudah mula berinteraksi (pengalaman fizikal) atau bersimbiosis dengan imej-imej visual. Jadi karya yang dipersembahkan kebiasaannya kini berupa, apa yang kita panggil art installation. Dari segi kemajuan sinema sebagai meta-sinema, saya cenderung bersetuju dengan pendapatnya. Malah dengan selamba beliau menyamakan filem-filem Martin Sorcese dengan filem-filem D.W. Griffith kembali sejak 1910. Hujahnya bahawa emosi dilayar kelihatan lebih bijak, enjin publisitinya beribu kali ganda lebih baik, akan tetapi format naratif serta organisasi material dan karakternya tetap serupa, tidak berubah, statik.

Meta-sinema itu selari dengan pasca-moden. Ini saya terima sebagai satu landasan diakronis evolusi seni. Cuma masalahnya, di negara serba eklektik lagi keliru ini, pemikiran pasca-moden hanyalah satu lawak jenaka semata-mata. Orde!

Tradisional—Moden—Pasca-moden

Pasca-moden menolak modeniti seratus peratus, manakala modeniti menolak tradisi seratus peratus. Salah satu ciri modeniti adalah dengan menolak hiasan (ornament) sebagai nilai estetika. Kita ambil contoh baju kurung tradisional, dengan teluk belanga/cekak musang berserta pesak dan kekek. Kainnya biasanya bercorak bunga-bunga kecil. Ia berbeza dengan baju kurung moden, yang sepatutnya tidak lagi berbunga-bunga. Dari segi potongan pula, pesak dan kekek dibuang (tolak tradisi.) Malah ada juga yang satukan baju kurung dan kain sekali macam dress. Lepas itu, baju kurung pasca-moden pula – rasanya belum dibuat orang – tapi pokoknya geometri paten pesak dan kekek yang dibuang tadi didekonstruk (revive) menjadi sesuatu yang baru. Kalau saya pereka fesyen, baru kurung moden tadi dibikin seperti dress paras atas lutut (ya, memang seksi,) kemudian paten kekek dijadikan poket (comel) manakala pesak dijadikan waist line ala belt gitu. Teluk belanga atau cekak musang boleh dekonstruk menjadi sesuatu yang baru. Malah pada tahap ini, material kain boleh diadu domba: kain kapas, cashmere, sheer, jersey, denim, linen, lycra, leather atau suede belasah saja, eklektika!

Berbalik kepada realiti estetika masyarakat kita. Macam mana nak moden sedangkan kedai kain di negara kita ini penuh dengan kain bercorak? Lebih kacau bila kain-kain itu berkilau, bercorak penuh dan berlabuci, over bak kata omputih. Estetika tradisional ini patut dibuang jauh-jauh. Ini sangat penting, pencerahan estetika mesti berada di tangga teratas revolusi sosial.

Sekarang, dari kedai kain ini akan saya bawa anda masuk ke dalam filem dan televisyen, apa yang kamu nampak? Ok, pertama sekali pemikiran tradisional, ahli keluarga golongan borjuis yang tak habis-habis berebut harta atau cinta di antara dua darjat, tipikal, klise. Takpe, mungkin terlalu berat atau deep untuk berfikiran moden (yakni hanya dengan menolak tradisi.) Mula-mula kita tengok kereta, ah, rekabentuk moden Eropah, BMW, clean & sleek, cun. Tapi bila kita masuk ke dalam istana si borjuis tadi, aik? Kerusi gajah? Langsir bercorak? Bingkai gambar berukir? Pasu bunga berhias? Hey ini art direction, kalau bajet sifar atau rendah tak mengapa, ini bajet ribu-ribu tahap industri. Percanggahan demi percanggahan estetika ini serius membingungkan, malah sampai satu tahap, menghina intelektualiti saya selaku penonton.

Sebab itu saya percaya bahawa kita perlu redefine kembali modeniti (rujuk: remodeniti,) sebab kita belum betul-betul moden. Dalam senibina, kalau kamu nak tahu, Masjid Negara adalah simbol modeniti sebenar. Malah adalah identiti negara Malaysia, ianya original dan tak pernah dibuat orang. Kepada yang layan semiotik, bumbung Masjid Negara adalah simbol payung, yang memayungkan kita daripada hujan panas, sekaligus bertindakbalas dengan iklim negara ini. Tapi hairan, identiti Malaysia ini tidak dikembangkan atau diterapkan ke dalam Putrajaya. Identiti orang lain yang dicedok, mengecewakan. Sama macam filem dan televisyen, identiti orang lain yang dicedok, kasihan.


Ridhwan Saidi

Ahad, Jun 21, 2009

Arteri

Saya ada periksa laman web ‘Arteri’ baru tadi. Ini laman yang ‘seni’ gitulah, saya pun tak pandai sangat. Sambil saya turunkan skrol tetikus, sambil tu juga saya baca sepintas lalu topik-topik yang dikarang oleh penulis-penulis di situ. Dan saya tak baca tajuknya saja, tapi saya berminat untuk tahu siapakah pengarang di sebalik tulisan-tulisan ini.

Jujur, sebahagian besarnya saya tak kenal, baik kenal tahap ‘pernah dengar nama’ mahupun kenal peringkat pernah bersua muka atau sudah bersembang teh tarik semeja. Ada di kalangan penulis ini orang Cina. Menariknya, mereka, walau tak semua dan tak ramai, menulis dalam bahasa Melayu dan saya tak fikir tulisan itu diterjemahkan oleh sesiapa dari bahasa Inggeris. Dan peduli lantak sama ada tulisan mereka itu bagus atau tidak, sebab persoalan sedemikian tak berapa penting sangat jika dibandingkan dengan masalah tak tahu, atau rasa malu (lagi celaka!) untuk menulis dalam bahasa Melayu.

Saya juga terperasan ada penulis orang Melayu di situ, tapi memilih untuk menulis dalam tulisan bahasa Inggeris. Saya tiada masalah dalam hal itu, yang kerap dikatakan hak masing-masing untuk bebas ‘berekspresi.’ Saya tak fikir, untuk berbahasa seperti bercakap atau menulis, perlu dibuat satu aturan yang wajib pula dipatuhi. Cuma dalam situasi semacam ini, saya memilih untuk bersikap sinikal saja, kerana ia penuh dengan ironi. Memang tak perlu dipaksa-paksa, untuk berbahasa apa pun, tapi pokoknya: attitude!

Setahu saya, saya punya pengetahuan yang maha cetek bila dilayangkan soalan tentang penulis-penulis Cina yang menulis dalam bahasa Melayu, yang saya ‘kenal’. Saya saat ini hanya mampu mengingati satu nama: Pauline Fan. Beliau saya ‘kenal’ kerana pernah menulis dalam majalah politik, seni dan budaya, Siasah beberapa tahun lalu. Sayang seribu kali sayang, majalah sebagus itu begitu cepat pula pupusnya.

Jadi dipendekkan cerita, saya sangat suka dan senang hati bila melihat ada orang Cina yang suka menulis dalam bahasa Melayu. Sepatutnya, lagipun, ini menjadi hal yang biasa yang mana saya tak perlu melahirkan perasaan ‘suka sangat’ andainya dasar kebudayaan kita dibentuk dalam satu dasar yang jelas, yang saya percaya, hanya dapat dilaksanakan dengan mengangkat bahasa Melayu. Sebab, kita sudah lebih 50 tahun ‘merdeka’ tapi dasar bahasa kebangsaan kita sangatlah memalukan, hinggakan bila ada orang Cina atau India yang bercakap atau menulis dalam bahasa Melayu, orang Melayu perlu berasa ‘suka’ atau ‘bangga’. Contohnya, saya pernah berasa suka bila terpandang seorang India membaca Harian Metro. Apa kejadah?

Alasan saya remeh, kerana bahasa-lah yang menjadi tunjang kekuatan dalam mana-mana kebudayaan di dunia ini. Kalau kita kecut dan tak yakin akan hal ini (bahasa), dan memilih untuk lebih percaya kepada yang bukan bahasa kita sendiri, alamatnya kita akan jadi satu negara bangsa yang cacamarba kerana tiada asas kebudayaan yang tersendiri dan kuat.

Tiada apa yang paling menyeronokkan bilamana melihat di Youtube, video sesi temuramah Jean Luc Godard. Situasinya begini, penemuramah bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris. Beliau pula dengan muka selamba menjawab soalan itu dalam bahasa Perancis tanpa was-was. Padahal sebenarnya Godard ini boleh bercakap dalam bahasa Inggeris. Saya tak nampak sebarang kerumitan di sini, kerana ada sari kata. Tapi yang lagi menarik, bukan-lah apa yang beliau jawab, sebaliknya tindakan beliau itu yang pada saya sangat cool. Kalau beliau ini perempuan, sudah lama saya copnya sebagai wanita seksi.

Kesah yang lain pula, lihat pada Carlo Ancelotti. Beliau bekas jurulatih kelab bolasepak AC Milan, kelab Serie A, Itali. Beliau sendiri adalah warga Itali. Tapi, baru-baru ini, beliau mengumumkan perceraiannya dengan kelab yang dibimbingnya selama lapan musim berturut-turut, kerana mahu melatih kelab dari London, Chelsea. Lalu, media mengheboh-hebohkan masalah utama Ancelotti untuk melatih Chelsea ialah kerana beliau tak begitu pandai speaking London. Hinggakan menjadi lawak, beberapa minggu sebelum perpindahan itu, beliau ‘terpaksa’ mengaku memang sudah lama belajar sikit-sikit bahasa Inggeris, bukan sebab ingin mengikat kontrak dengan Chelsea, tapi semata-mata mahu meredakan kehangatan spekulasi media dan peminat AC Milan serta Chelsea khususnya.

Namun jika dilihat semula, ada sebabnya mengapa Carletto perlu menguasai bahasa itu. Apa lagi kalau bukan kerana beliau mahu melatih pemain-pemain yang majoritinya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Secara teknikal, ini tindakan yang pragmatik berdasarkan keperluan, bukan mengada-ngada. Takkan nak cakap bahasa Itali? Sepatah haram pun budak-budak Chelsea itu tak faham. Bagaimana nak bina pasukan yang kuat kalau hubungan antara jurulatih dan pemain macam celaka akibat dibayangi oleh masalah komunikasi? Pun begitu, semasa di Milan, Ancelotti, saya tak fikir akan terhegeh-hegeh berbahasa Inggeris kerana sangat tak bermotif.

Ini contoh nyata individu-individu yang berjiwa merdeka, dalam erti kata yang sebenar. Mereka, baik Godard ataupun Ancelotti, tak segan apatah lagi gentar untuk bercakap bahasa sendiri di bumi sendiri. Apa yang tersembul keluar dari mulut itu sebenarnya hasil dari apa yang tertanam dalam tengkorak, yakni otak. Ini soal mentaliti, sama ada sudah betul-betul bersedia untuk mengaku bebas merdeheka, atau sikit-sikit masih lagi terjajah. Orang yang terjajah memiliki mentaliti pengecut, tak yakin, takut, dan sangat malu kalau dimarahi oleh tuannya, iaitu penjajah.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Jumaat, Disember 19, 2008

Pistol Air…

…the cinema is truth 24 frames a second – Jean Luc Godard

Jadi, hari ini saya nak ringan-ringan. Bak kata orang putih sebelum nak buat cinta – foreplay.

Saat jari jemari saya mengetik-ngetik papan kekunci, ktik-ktik, saya dikelilingi gadis-gadis, separa berpakaian. Rimas sebenarnya. Pakkal semua cantik-cantik belaka. Sampai saya tak tahu nak ‘ehem’ yang mana satu dulu kalau naik syahwat secara tiba-tiba. Kena ‘lat tali lat lai li tamploi’ dulu, kot? Hmm…

Jangan cemburu buta, eh.

Dari corong speaker, berkemundang lagu cinta si gila Iggy Pop, marilah jatuh cinta kepadaku! Eh, dia ni biar betul? Ada ke orang nak jatuh cinta dengan si gila? Dasar gila…

Dekat celah bibir pulak, terselit cerut ‘Cohiba Behike’, mahal – harga nak dekat dua ribu sebatang – nak mampus! Buatan tangan, diimport dari Cuba. Alang-alang sebut Cuba, ni nak habaq sikit. Cuba ni negara yang rakyatnya ‘tak berTuhan.’ Teruk betul Cuba ni. Seronok sangat agaknya hisap cerut sampai lupa Tuhan? Tengok saya, steady je. Takde hal pun. Cerut cerut jugak, tapi…well, y’know…huahahaha!

Di atas sebelah kanan meja saya menulis ni, terletak sepucuk pistol Colt 45 Caliber, semi-automatik buatan Amerika, di kiri, sepucuk semi-automatik Makarov PM, Russia. Yang beli dari Russia ni lagi la cantik gamaknya. Ye la, desain Russia nih! Pasal pistol Russia saya, well, orang ‘komunis’ ni memang berseni sikit. Ala-ala orang Itali la, lebih kurang. Takpun, Peranchis. Dan paling penting, mengikut fakta, lebih workable dude! Tak pelik la Diego Rivera dulu pernah kata, “all great artists are communists!"

Dan jangan pula buat-buat lupa, dulu kan Godard ada pesan, kalau nak buat filem, mesti ada perempuan dan pistol, baru ngam! Senang gila kan, perempuan – pistol – stim – settle.

Sex Pistols!

Sayangnya , pistol saya semuanya takde peluru. Saya tak pernah pakai pun semua senjata api saya tu. Saya saja-saja beli, beli sebab nak tayang depan wanita-wanita jelita, konon nak nampak macam mafia gaya Al Capone la tu. Neraka! Orang-orang lain, lelaki especially, kalau tak ya-ya, mesti tak berani nak dekat punya!

Lagipun, kalau saya nak tembak, saya tembak pakai benda lain. Lagi syiok. Syuuuttttt!!!

Tapi tu la, hakikatnya, who give a shit kalau pistol je lawa tapi takde peluru, kan?

Oh, lupa pula nak beritahu. Sekarang ni saya tengah sibuk karang novel agung saya. Dalam bahasa ibunda. Biasalah, ‘bahasa jiwa bangsa,’ beb. Cetakan, of course terhad. Nak cetak 99 keping je. Jumlah sama dengan nama Tuhan. Minat? Tinggalkan nombor phone atau e-mail.

Tapi tunggu ya, will ya?


Mohd Ikhwan Abu Bakar

P/s: V

Selasa, Oktober 07, 2008

Namaku Bukan Karmen

Pagi ini, celik mata, saya terasa ingin menulis sesuatu. Asalnya, saya tak mahu mengepos apa-apa entri pada hari ini, tapi nyata saya tak mampu mengepung bakaran gelodak asmara (pundek). Saya nyata ‘menagih nikmat’. Dan ketagih nikmat saya bukan terhadap internet, tapi filem. See, saya bukannya internet junky. Hehe…

OK. Tadi malam, saya menonton Prenom Carmen/ First Name: Carmen/ Nama Pertama: Carmen. Ini satu lagi filem Jean-Luc Godard yang telah saya tengok.

Kali pertama saya tonton filem Jean-Luc adalah menerusi filem Contempt, bukan Breathless. Kali pertama ini cukup bererti buat saya. Kali pertama ini membuka lembaran baru kefahaman saya tentang seni wayang bergerak ini. Kali pertama ini laksana saya bertukar kiblat. Kali pertama ini seolah melalui malam pertama yang sungguh nikmat. Barangkali...

Lalu, apa yang saya jumpa? 

Keganjilan.

Bukan, serius, bukan saya mahu membuat resensi filem di sini. Tadi malam, saya saksikan filem ini untuk kali pertama tanpa kefahaman yang jelas. Terus terang saya katakan yang saya agak blur. 

Kadangkala, seperti kata U-Wei Shaari, “tak faham itu indah“. Dan tadi malam, saya terpaksa bersetuju.

Lalu, apa yang saya jumpa?

Pengalaman tadi malam sebenarnya menyebabkan saya semakin memahami kerja-kerja kreatif pengarah lagenda Perancis ini. Bukan filem yang saya faham, tapi pemikiran seorang individu. 

Berdasarkan ‘pencerahan’ yang saya lalui malam tadi, saya mula sedar bahawa filem-filem beliau adalah cukup bebas, bebas sebebas bebasnya dari segala aturan lapuk. Karya beliau tidak terkepung dengan sebarang nahu, stigma, undang-undang, atau terma dan syarat. Godard tidak cuba untuk memenjara minda penonton ke dalam naratif filem beliau. Ini semacam memberi kebebasan kepada penonton bukan saja untuk menafsir malah ‘menikmati’ filem tersebut. ‘Menikmati’ di sini saya maksudkan seperti makan biskut – cecah kopi, sekadar menikmati gerakan-gerakan visual secara nihil. Seperti beliau pernah berkata, just take it!

Ini kerana, tiada konsep aturan dalam kerja filem beliau. Kita tak perlu gusar keciciran perjalanan cerita, kerana ’cerita’ itu belum tentu bermakna. Dengan menunggang-terbalikkan naratif atau plot, beliau berpeluang untuk bermain dengan medium filem sepuas-puasnya, memasukkan apa saja yang dirasakan bukan perlu, dari segi musik ataupun sinematografi, tapi sentiasa mencabar daya imaginasi dan kreativiti. 

Dan sebab itu dalam kerja beliau, saya mendapati bahawa beliau begitu menitiberatkan aspek editing. Naratif filem tidak sejalur, tapi ia bebas untuk ditikam mengikut resa beliau. Ada satu babak, ketika musik dari Beethoven berkumandang dengan asyiknya, lalu dengan tiba-tiba, sound dimatikan, dan secara automatik mood penonton akan sikit terganggu. Kekacauan sebegini amat menarik hati saya.

Sememangnya Godard bukan sahaja seorang pembikin filem, beliau juga komposer, pemuisi, dan penulis yang dengan rencam berani mengadun segala macam bentuk seni lalu dituang ke dalam acuan filem sekaligus. He is a true artist, in the true sense of the word.

Dalam filem-filem Godard, beliau tak dapat lari dari bermain-main dengan aspek emosi yang mendalam. Ini juga bagi saya amat menarik (saya akan cuba relate dalam konteks architecture di lain masa). Dari aspek ini, kebiasaannya musik akan memainkan peranan penting. Penggunaan musik oleh Beethoven yang membuai perasaan kemudian secara halus ‘dicamouflage’ dengan lagu dendangan Tom Waits bukan saja memainkan mood, tapi seakan menyuntik kesegaran dalam filem ini. Perlu diingat, filem ini dibikin pada 25 tahun yang sudah.

Beliau amat pakar dalam hal ehwal menangkap gerakan awan, visual langit terbentang luas serta deruan ombak memecah pantai. Selalunya ia adalah metafora kepada sebuah kehidupan. Tapi dalam konteks filem ini, ia seperti perantaraan antara satu momen ke satu momen yang lainnya. Babak-babak sebegini banyak dilayarkan dalam First Name: Carmen.

Satu lagi ciri yang saya dapat tangkap dari filem ini ialah habit Godard menggunakan elemen perempuan dan pistol. 

Godard juga gemar menjadikan filem beliau sebagai platform untuk melemparkan pandangan peribadi dan kritikan. Dan setiap pandangan mahupun kritikan ini juga biasanya tidak terikat dengan naratif filem. Ia ditebuk secukup rasa. Maka amatlah perlu untuk penonton observe setiap dialog dengan khusyuk, jika mahu menemui makna dan nikmat menonton filem-filem Godard.

Kadangkala saya terfikir yang Jean-Luc ini membikin filem, ceritanya tiada makna, sekadar penghias atau kulitan sahaja. Ia umpama menatap catan di atas lembaran kanvas renjisan tangan Jackson Pollock, barangkali nampak semacam cakar ayam dan tak tentu arah, tapi maknanya perlu disingkap dengan teliti, dengan mengambil kira subjek, bukannya objek, dan hasilnya bukannya cerita, tetapi ‘filem’.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Sabtu, Ogos 09, 2008

Cubit-cubit Cubisme

Pada suatu malam, lebih kurang 2-3 hari lepas, saya telah terjaga dari tidur yang awal kerana kelaparan. Sudah menjadi kebiasaan saya di rumah apabila makan tentu sahaja akan berada di depan kaca TV, sudah menjadi tabiat. Menukar-nukar siaran TV saya tertarik untuk mendengar temubual bersama Prof. pakar filem kita (kononnya) di Astro Awani. Walaupun rancangan itu hampir di penghujungnya namun mungkin aura si Prof tersangat kuat untuk saya endahkan (tapi saya dapat dengar auta sahaja).

Sebaik saja saya membuka siaran Astro Awani saya mendengar kata-kata si Prof bahawa dia berbangga dengan kepercayaan produser memberikan dia wang berjuta-juta untuk membikin filem. Kebetulan pada waktu itu sudah sampai sesi soal jawab antara tetamu & para hadirin di studio. Ditanya pada si Prof filem oleh seorang hadirin,

"Apakah filem Prof yang paling berjaya?"

Dijawab beliau,

"Duyung. Duyung merupakan filem saya yang mendapat kutipan tertinggi."

Di sini kita dapat melihat bahawa si Prof tersebut menilai kepercayaan & kejujuran dalam bentuk wang ringgit. Sebelum ini beliau juga selalu menyatakan bahawa pembikin filem harus membikin filem yang orang mahu tonton. Jika begitu, mungkin membuat filem porno pun dihalalkan dengan syarat ianya memenuhi kehendak. Pendapat itu bagi saya langsung salah. Jika si Prof menganggap saya tidak layak untuk menilai & mepertikaikannya, dia pula tidak layak untuk mempertikaikan kata-kata Albert Einstein ;

"I'd rather be a man with value than a man with success."

Sangat malang kita punya Prof sebegitu rupa. Namun perhargaan tetap diberi. Ini kerana di negara ini kuantiti dan populariti menjadi nilaian. Prof dianggap pembikin filem yang baik kerana giat membikin filem saban tahun. Fasha Sandha dianggap primadona filem Melayu baru kerana popular & filem lakonannya banyak. Six Million Dollar man pula dianggap moralis kerana selalu memaparkan drama & filem kepolisian. Nyata-nyata di negara kita selalu menghargai sesuatu yang tidak munasabah. Saya hanya percaya bagi mereka yang penting hanyalah keuntungan. Walaupun saya dianggap anti-popular namun kata-kata Mark Twain ini menyokong saya ;

"It is better to deserve honors and not have them than to have them and not to deserve them."

(alangkah baiknya jika Mawi mampu mengerti)

Jika dilihat tanpa pemerhatian yang teliti sekalipun kita dapat melihat yang menonton, menyokong & mendokong hasil-hasil kerja seni (baca:sampah) mereka ini adalah golongan majoriti Melayu marhaen. Golongan inilah yang memberikan mereka kelangsungan untuk meneruskan hasil kerja seni (baca:sampah) & mendapat penghormatan yang tidak wajar. Sudah tentu saya menganggap tidak wajar untuk seorang menggelar saya moralis hanya semata-mata kerana saya selalu membasuh pinggan saya selepas makan. Sedih sekali mengenangkan golongan-golangan yang tidak kaya ini menghabiskan duit untuk sesuatu yang tidak memberi manfaat.

Saya juga menyedari di kaca TV, ada sebuah konglomerat Stesen TV yang mempunyai beberapa rangkaian siaran telah mengasing-asingkan siaran mereka untuk setiap golongan. Ada sebuah stesennya menjadikan orang Melayu marhaen sebagai penonton sasaran dan walaupun banyak diisi dengan rangacangan berbentuk keagamaan yang bagus, slot hiburannya penuh drama-drama, serta filem-filem Melayu & Hong Kong 80 hingga awal 90-an.Saya menyedari bahan-bahan ini langsung tidak mencetus daya fikir saya. Filem-filemnya sungguh stereotaip dan membosankan. Mungkin kerana bahan-bahan itu tiada nilai pasaran & murah, maka ia dilambakkan di stesen TV yang disasarkan untuk golongan marhaen Melayu. Ceritanya lain pula di stesen TV milik mereka yang mensasarkan penonton Cina & 'urban'. Persembahannya lebih kemas, program-program TV yang lebih mengikut citarasa semasa & lebih terkedepan. Bagi saya golongan penonton dipisahkan semata-mata atas dasar perniagaan. Seharusnya mereka mempunyai tanggungjawab sosial untuk mendidik. Saya tidak fikir mengadakan karnival percuma itu satu bentuk tanggungjawap sosial. Saya tidak nampak manfaatnya di situ.

Perkara-perkara sebeginilah yang meluaskan lagi jurang antara golongan elitis & marhaen. Si borjuis cuba menjadi lebih terkedepan & menjauhi manakala si kelas pekerja pula tidak berusaha & selesa menikmati kedangkalan. Si borjuis merasakan taraf si marhaen terlalu rendah untuk difahami manakala si marhaen menggangap si borjuis terlalu jauh untuk digapai. Malang bagi seni di sini, menjadi alat ukuran intelektual untuk memisahkan mereka & diletak tanda harga. Bagi saya, seni itu sendiri punya harga diri, ianya tidak perlu diberi tanda harga & dinilai dengan wang ringgit.

Gerakan avant-garde Cubisme yang terkenal oleh Georges Braque, Paul Gauguin, Henri Matisse & Pablo Picasso sebenarnya diilhamkan dari kekaguman mereka pada seni ukir kayu dan topeng oleh orang-orang peribumi Afrika, Mikronesia & orang asli Amerika. Mengagumkam saya bagaimana golongan elitis budaya Eropah pada awal 20-an ini tidak malu & tidak ego untuk mengambil sesuatu dari tempat yang jauh berbeda jurang mereka. Di sini soal harga & martabat tidak menjadi soal. Seni itu bagus tanpa mengira darjat & fulus. Gerakan German Expressionist pun juga terjadi kerana desakan kekurangan kewangan untuk mereka menghasilkan kerja mereka. Begitu juga dengan Jean-Luc Godard, ikon sinema pasca-moden Perancis yang kekurangan wang untuk membikin filem di dalam studio. Namun begitu mereka menghasilkan sesuatu yang hebat, sesuatu yang dihargai sehingga ini & menjadi inspirasi kepada kebanyakkan penggiat seni seluruh dunia.

Ini kerana mereka memberi seni mereka harga diri, bukannya memberikan ia tanda harga.

Sekian.


Hazimin Hussein