Memaparkan catatan dengan label Pierre Andre. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pierre Andre. Papar semua catatan

Sabtu, Mei 16, 2009

KAMI, Sebuah Filem

Ini hanya sedikit godaan saya tentang KAMI, filem yang berputar di panggung tahun lalu. Memang lambat, tapi filem tak seharusnya dijerat oleh masa. Jujur, saya tak meletakkan harapan tinggi menggunung terhadap filem ini, bila dikenang semula pengalaman menonton KAMI lewat siri televisyen walaupun sekadar satu dua episod yang tak pernah ditonton sampai habis. Apapun, saya sebelumnya tetap berharap yang filem ini mampu berdiri sebagai filem seadanya, tanpa ditambat kenangan silam drama bersiri. Pun begitu, saya juga tak mahu bermimpi untuk menghadiahkan jambakan sanjungan yang berbunga-bunga, walaupun salah seorang pengarahnya itu pemain bass Carburator Dung.

Oleh kerana hantu polong drama KAMI menghantui fikiran saya sebelum menonton filem ini, yang kelihatan cuba meminjam roh musik ‘indie’, lewat beberapa gambaran pemeran wataknya yang kelihatan ‘into music’, terus memburu saya, maka saya amat pasti bahawa gebang ini akan nampak berat sebelah, bias tak tentu pasal. Atau mungkin saja kerana saya memang terlalu skeptikal dengan label ‘indie’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini? Siapa tahu, kan?

Pertama, saya tak mahu memenatkan jari-jemari halus saya menaip tentang sinopsis filem ini. Walaupun saya slim, tetapi percayalah yang saya ini memang ‘berat tulang.’ Maka itu, saya lebih senang bermimpi yang kamu semua yang sedang membaca sudah pun menontonnya.

Secara kasar, ia sebuah filem yang sederhana dari segala segi. Baik dari segi lakonan, sinematografi mahupun kepengarahan. Slanga bahasa dalam filem ini yang menggaulkan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris, masih bersesuaian dengan ruang lingkup budaya sekelilingnya, iaitu di bandar. Ditinjau pula aspek lakonan, saya rasa hampir semua pelakon filem ini sekadar memberikan lakonan yang biasa-biasa saja. Mediocre, senang cerita. Kecuali yang seorang ini, yang namanya Zahiril Adzim. Saya kira, beliau semacam jadi pembunuh kebosanan dek lakonan mediocre pemuda-pemudi yang lainnya. Melalui intonasi suara, beliau berjaya memercikkan sedikit elemen kekerasan dalam filem ini, yang majoriti audiens-nya saya pasti adalah anak muda. Keras dan kemudaan adalah sama baya. Itulah sedikit harapan saya pada awalnya terhadap filem ini. Berbeza dengan pemain-pemain watak utama yang kelihatan lembik dalam perjalanan cerita yang mendatar. Ia hanya acahan konon bermain dengan emosi dalaman tapi sayang, tak jadi langsung. Saya tak pasti adakah kerana kelemahan skrip, maka emosi dalaman yang tegang itu tak wujud, atau kerana memang pelakonnya yang masih berkarat? Entah.

Umumnya, filem ini cuba memaparkan satu gambaran sebilangan remaja bandar yang kononnya ‘jiwa kacau’, tak cukup gembira, walaupun salah seorang dari mereka yang paling tak gembira itu anak kepada seorang tua yang bergelar ‘Datuk’, dan walaupun mereka sering terkinja-kinja dalam gig. Selain itu, ia berupa gambaran budak-budak bandar yang cuba-cuba sukakan musik, diselangi oleh beberapa konflik peribadi, seperti perceraian ibu bapa, perseteruan antara hero dan seorang pengedar dadah cabuk dll. Tapi pada hakikatnya mereka kontang idealisme dalam hidup. Mereka adalah gambaran telur yang ditetas hasil dari proses pengeraman dalam sistem persekolahan yang tak punya idealisme, baik untuk diri sendiri mahupun yang bersifat kenegaraan. Tiada apa yang dibawa oleh budak-budak ini, (atau saya yang tak nampak?) melainkan berhu-ha hu-ha sambil cuba bermain dengan konflik dalaman yang cenderung bersifat peribadi. Jadi, untuk mengisi kekontangan itu, mereka pun tak habis-habis ber-enjoy di gig. Pantang ada gig saja, mereka pasti turun. (Tapi, mereka macam tak suka clubbing la pulak.) Sebenarnya saya ada satu cadangan ideal untuk remaja sebegini di luar sana: pergi mandi bunga.

(Dan nasib baik juga sampai saat ini saya belum lagi berpeluang menonton Laskar Pelangi. Kalau tidak, saya pasti akan membanding-bandingkan ‘remaja indie’ ini dengan idealisme anak-anak kecil dalam Laskar Pelangi yang mungkin kemudian, membuatkan ‘remaja indie’ di negara ini mula memakai kain pelikat dan bercapal lalu pergi ke surau.)

Namun mungkin inilah gambaran sebenar rata-rata anak muda di bandar-bandar besar, yang tak habis-habis dengan konflik dalaman yang deep belaka. Hidup ini memang palat, bak kata tagline KAMI, apa yang palat saya pun tak tahu. Apa yang saya nampak, mereka semua adalah cerminan remaja yang masih kabur dengan masa depan mereka di negara pembangunan ini. Untuk remaja yang kurang ‘bertuah’ yang datang dari pedalaman, desa, pekan atau ceruk kota, mereka pula perlu survive untuk terus hidup, perlu keluar cari makan yang membuatkan mereka tak sempat untuk memalatkan diri dengan konflik hidup yang maha deep seperti gambaran remaja dalam KAMI yang rata-rata makan pakai cukup, malah terkesan mewah. Mereka, remaja seperti dalam filem ini, memang banyak masa terluang untuk ‘berpalat-palatan.’ Mungkin memalat itu satu hobi.

Di awal babak terdapat adegan Abu mencopet buku Utopia Trauma, Rahmat Haron. Saat itu saya cuba ‘menaruh harapan’, bak kata mak cik Zaiton Sameon. Saya berminat untuk melihat sejauh mana roh Rahmat Haron diusung dalam filem ini. Oh, rupanya sekadar bacaan santai atas batang kelapa, dan akhir sekali dijumpai terperosok dalam kereta! Memang ‘sampah’ betul si Rahmat ini rupanya. Sayang sekali, idea buku ini tak dicungkil sebaiknya, tak disedut keluar rohnya, sekadar jadi cuitan manja, acah-acah lepas itu kabur. Seharusnya pengarah bijak mencuri kesempatan dari semangat puisi Rahmat Haron ini secara jelas, maksudnya ada kemungkinan bait-bait puisi Rahmat mempengaruhi jalan cerita filem ini. Namun ia cukup sekadar salah seorang awek dalam filem ini menyifatkan puisi Rahmat bacaan Abu sebagai: “wow, deep!” Tapi, apa yang deep-nya cik kak, oi? Rasanya, budak belum bersunat pun boleh sebut lagi dalam daripada tu: “deeepppp…” Saya sebagai penonton pula tak rasa apa-apa pun. Ada juga kesan langsungnya kemunculan Utopia Trauma dalam KAMI ini, iaitu jualan bukunya kembali bergerak kerana hantu hipster tempatan yang sudah menonton filem tak mahu ketinggalan nak jadi deep, walaupun hakikatnya buku Rahmat itu telah keluar dua tahun sebelum filem ini ditayangkan.

Babak ibu Ali yang suka berendut di merata KL turut melemaskan. Bayangkan, ke mana saja Ali merayap, pasti terlihat kelibat ibunya yang sedang ingin bercinta dengan balaknya. Contoh, sewaktu babak Ali baru lepas berselisih faham dengan Lynn, Ali meninggalkan Lynn lalu memandu kereta entah ke mana. Tup tup, sesudah berhenti entah di mana, beliau ternampak lagi ibunya yang asyik miang nak kahwin tapi tak kahwin-kahwin. Oleh kerana sub-plot ini kerap diada-adakan, maka ia akhirnya tak membantu jalan cerita, sebaliknya ia jadi kelakar la pulak.

Ada ketikanya musik dan visual dalam filem ini tak kena. Misalannya waktu babak Abu berlari setelah dikejar oleh Pak Din, tak semena-mena muncul pula lagu kumpulan Hujan, yang didengari liriknya: berlari dan berlari… Lucunya di sini, visual dan melodi lagu itu memang betul-betul ‘lari’ jauh. Bagi saya, andai gelojoh berfikir, yang jika perkataan dalam lirik lagu sama dengan visual/imej, maka ia terus dianggap ‘kena’, itu silap. Hakikatnya tidak. Belum tentu. Ini kerana musik diikat oleh melodi. Mood yang terhasil dari melodi belum tentu sama dengan mood yang dicipta melalui gambar. Pendek kata, mood lagu dan mood visual belum tentu sewenang-wenangnya bernikah. Bahkan filem Sembilu jika ditonton semula adegan Awie ke hulur-ke hilir dengan Virago-nya setelah putus cinta sambil diiringi lagu itu lebih baik kerana ada keselarian mood antara irama lagu dan visual, tanpa perlukan lirik seperti, oh, lihatlah machonya aku ke hulur-ke hilir dengan Virago-ku...o hoo...

Sepatutnya, bagi saya, musik band si Ali ini-lah yang dijadikan enjin terbaik untuk memacu filem ini ke depan. Misalnya dengan menggubah satu dua lagu ‘tema’ yang mengangkat semangat atau idealisme filem ini, kalau ada. Jadikannya soundtrack khas untuk filem ini. Tak payah sibuk nak berjumpa dengan Pak Cik Hussein. Kalau nak layan stim baru boleh jumpa. Tak perlu sekadar merewang dan berayun-ayun dengan selingan musik kumpulan-kumpulan indie yang deep nak mampus lepas itu terkinja-kinja di gig kalau ada masa. Tak payah juga sibuk nak tolong promote band. Myspace kan ada? Tambahan pula, kugiran-kugiran sebegini sekarang rasa saya sudah boleh survive jika dihitung bilangan budak sekolah atau lepasan SPM yang berpura-pura meminati gerakan musik bebas, disokong pula dengan pertandingan Anugerah Juara Lagu di TV3.

Setelah ditonton sampai habis, saya berani menyimpulkan bahawa filem KAMI ini tak lebih sekadar drama TV yang berpindah rumah ke layar perak. Tak banyak beza pun dengan versi drama TV. Namun dengan sedikit rasa menyesal, saya tetap menganggap filem ini sebuah filem yang tak muntah untuk ditonton. Macam orang putih selalu sebut, “not bad, but not good either.” Masih bagus jika sentimen sentuhan pertama diambil kira. Dan setidak-tidaknya, ia bukanlah filem cinta bodoh salinan dari Korea Selatan yang kebanyakannya nyaris jijik, seperti Selamat Pagi Malaysia, eh, Cinta.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Selamat Hari Guru, cikgu!

Ahad, Oktober 12, 2008

Jangan Dok Pandang

Di alam nyata, manusia secara umumnya tidak menyukai perasaan takut. Rasa cuak, seram sejuk, nak terkucil, nak pengsan, semua ini antara perasaan-perasaan, yang saya kira, sentiasa cuba dijauhi oleh setiap makhluk yang bergelar manusia. Kata orang, simpang malaikat 44! 

Tapi agak aneh, adakalanya manusia tetap juga cuba menyelusur rasa takut ini, melalui pelbagai cara. Ada yang cuba main ‘spirit’, ada yang ketika zaman kecilnya sibuk nak masuk ‘Rumah Hantu’ di Melaka, ada yang poyo cari hantu, dan masuk rancangan ‘Seekers’ yang mengarut, lalu tak sampai sepuluh minit dah terjerit-jerit, padahal satu habuk hantu pun tiada, ada yang baca kitab Tamar Jalis, ada yang baca kitab Mastika dan akhir sekali, ada yang cuba merasai nikmat ketakutan ini dengan menonton filem seram. 

Bagi saya pula, secara peribadi, saya akan berasa seram ketika menonton siri drama Gerak Khas.

Filem seram ternyata mampu menyediakan wadah ketakutan kepada kita. Filem seram yang berjaya sentiasa berjaya membuatkan hati penontonnya bagai nak meletup, disudahi dengan rasa terkejut atau terus menjerit. Filem seram yang sukses sentiasa sukses menewaskan minda sedar kita, menenggelamkan realiti agar menjadikan kita hidup di bawah sedar buat seketika waktu. 

Ini bermakna, ia berjaya memindah kesedaran kita dari realiti untuk masuk ke dalam alam ketakutan yang dicipta. Jika kita menonton filem seram dengan kesedaran penuh (conscious), maka kita akan hilang nikmat rasa ketakutan. Sebab itu kebanyakan dari kita hanya membiarkan elemen conscious dihanyutkan oleh naratif filem-filem seram ini, agar ketakutan itu dapat dirasai.

Pernah satu ketika dahulu saya menonton Ju-on, filem seram yang dikhabarkan sebagai amat menakutkan, sebuah filem Jepun, kalau tak silap, bersama rakan-rakan, bergelap dalam sebuah bilik. Nak feel la konon. 

Sampai ke satu babak yang konon menakutkan, hampir semua yang di dalam bilik menjerit, kecuali saya. Bukan saya nak berlagak macho atau cool. Cuma sememangnya saya tak rasa apa-apa kerana saya cukup sedar yang merangkak-rangkak terkial-kial menuruni tangga itu tak lebih sekadar minah Jepun yang disolek sedemikian rupa. Kalau dia tak disolek sedemikian rupa, rambut mengerbang, serabai macam baru bangun tidur, mata dicelak sampai naik lebam, mungkin dia itu sebenarnya seorang minah cun. 

Ketika itu, saya hanya menikmati jalan ceritanya sahaja. Silap saya juga, saya menonton filem itu dengan conscious, maka saya tak dapat menjerit bersama rakan-rakan. Haha!

Sama seperti perasaan-perasaan lain, rasa takut ini terbukti, sebenarnya, mempunyai nikmat. Kalau tak, masakan orang tetap menghabiskan wang untuk menonton filem seram di pawagam? Terjerit-jerit ketika menyaksikan filem seram itu satu manifestasi nikmat. Oleh itu, kamu tak perlu rasa meluat, menyampah atau rasa ’nak sekeh kepala sekor-sekor’ dengan mereka yang terjerit-jerit di dalam panggung ketika filem seram sedang dimainkan, disebabkan kamu sendiri ’tak rasa apa-apa.’ 

Ia umpama kamu menaiki roller coaster. Kamu tahu ia sangat mencuakkan, tapi kamu tetap berdegil, kamu tetap ingin mencubanya, semata-mata ingin merasai nikmat ketakutan. Kamu tak perlu marah kepada mereka yang terjerit-jerit ketika menaiki roller coaster, melainkan kamu itu Mr. Bean.

Nikmat seram ini saya rasa sebenarnya satu bentuk eskapism, satu cubaan kita untuk lari dari rutin hidup yang mundane, monotonous, predictable. Apabila hidup ini terlalu rutin, atau asyik bergembira tak sudah-sudah, kita akan mencapai satu takat di mana kegembiraan dan yang rutin itu menjadi terlalu banal dan hilang nilai. Hidup ini ternyata perlu diserikan dengan sikit elemen ketidakdugaan dan unsur-unsur suspen, saya fikir.

Entah kenapa, malam raya lalu saya memberanikan diri menonton filem Melayu di kaca TV. Ini saya anggap antara cubaan saya merasai perasaan seram, selain dari menyaksikan drama Gerak Khas. 

Sebelum itu, ingin saya nyatakan bahawa saya sebenarnya amat segan untuk membakar duit saya di pawagam, lebih-lebih lagi untuk menonton filem-filem ’glokal’, apatah lagi kalau ianya filem seram. Ala, faham-faham la kan...

Lagipun, filem-filem yang ditayang di pawagam tempatan biasanya tak menarik minat saya. Filem-filem yang ditayangkan ini, kebanyakannya hanya tahap mediocre. Selalunya, jika saya terasa seperti ingin menonton di pawagam, apabila tiba di sana, saya akan terpinga-pinga.

Tapi yang paling saya terasa ialah, filem-filem ini, walaupun tak semua, ’lepas’ di panggung kerana ianya adalah jenis filem yang tak mungkin menggertak kuasa hegemoni pemerintah, filem-filem yang boleh berkompromi dengan keberadaan nilai-nilai establishment palsu, langsung membuai masyarakat supaya terus ’ketiduran.’ Tak hairanlah mengapa negara kita memiliki Perdana Menteri yang kuat zzzzzz...

Filem-filem hebat, mahsyur dan masyuk, setakat yang sudah saya tonton, sentiasa mampu menjentik rasa, menyentap minda dan membuatkan saya terjaga dari tidur. Dan kesemua filem sebegini yang sudah saya tonton datangnya dari medium cetak rompak. Long live pirate DVD!

Jadi, raya lalu sempat saya menonton beberapa filem, di TV, antaranya Syaitan, sebuah filem yang saya kira seperti bayangan rupa syaitan, buruk, mengelirukan tetapi langsung tak mencabar (tolong jangan bandingkan dengan Jean-Luc), dan membosankan, Zombie Kampung Pisang, lagi okay, serta Jangan Pandang Belakang. Ha, ni yang ambo nak ghoyak ni...

Menonton JPB ini juga saya anggap satu nikmat, maaf ya, bukan nikmat seram, tapi nikmat lawak.

Setelah menonton JPB, saya rasa ia cukup ’hebat.’ Tak hairanlah JPB mampu mengaut kutipan pecah panggung, kutipan filem tertinggi selepas filem sembelit lakonan Awie yang sungguh memilukan suatu masa dahulu. Di Malaysia, jumlah kutipan RM 7 juta memang bukan sedikit.

Apa yang hebatnya tentang filem ini? Saya rasa, di sebalik unsur seram yang cuba diterap, sebenarnya JPB berjaya membuat saya rasa seperti menonton filem komedi slapstik. Saya melihat JPB sebagai filem lawak seram, lebih lawak dari Zombie Kampung Pisang! Tapi awas, jangan cuba bandingkannya dengan Senario. Sebagai individu yang tak sukakan perasaan takut, apatah lagi bersedih, menonton JPB ini memberi satu pengalaman yang cukup berharga kepada saya, lebih-lebih lagi sewaktu di malam raya.

Dalam filem ini, perjalanan cerita dalam konteks filem seram adalah terlalu predictable. Saya boleh menjangka keseraman yang cuba ditimbulkan dalam JPB, semudah melihat suasana suram yang menyelubungi kediaman yang dihuni anak Khatijah Tan, yang memikul watak utama dalam filem ini. 

Saya tak pelik kalau hantu suka menyakat Dharma, watak lakonan anak Khatijah Tan ini, setelah melihat keadaan rumah beliau yang langsung tak ceria. Tapi saya rasa agak pelik, apahal sepanjang masa suasana rumah Dharma kelihatan suram sentiasa? Apa pasal rumah ini hampir bergelap gelita? Tak mampu bayar bil elektrik ke? Saiz rumah agak besar, tapi anak Khatijah Tan ini duduk sorang-sorang saja? Wah, hebat! Mana perginya kaum keluarga beliau yang lain? Kawan-kawan? Dia ni anti sosial ke? Ha, kan dah kena kacau hantu! Ahahaha!

Saya rasa, saya akan lebih suspen sekiranya pengarah memilih untuk mewujudkan suasana yang ’normal’, persekitaraan yang tampak tiada apa-apa keganjilan yang mungkin berlaku, tetapi hakikatnya akan terjadi peristiwa-peristiwa yang bakal melemahkan jantung. Maksud saya, kejadian-kejadian yang unpredictable, tak dapat dijangka di sebalik rutin harian yang kelihatan normal. Sekurang-kurangnya, saya akan lebih menghargai unsur-unsur sebegini kerana ia tak terperangkap dengan klise filem-filem seram yang berlambak-lambak sekarang ini, yang seolah-olah wajib menunjukkan elemen gelap, kusam dan suram yang tiada makna dan berlebih-lebih.

Pun begitu, saya masih menghargai babak-babak ketika Dharma berada di kampung, yang saya rasa lebih cool dengan persekitarannya yang tampak lebih 'normal.'

Ada satu babak, ketika Dharma baru keluar dari lif, dan tak tahu hujung pangkal, muncul pula kelibat hantu anak beranak, ada bapa hantu, ibu hantu dan anak hantu berpakaian serba putih masuk ke dalam lalu menebeng di dinding lif dengan masing-masing tertunduk malu. Ini lagi saya pelik! 

Soalnya, mengapa hantu-hantu ini muncul dengan tiba-tiba? Apa kaitan hantu anak beranak ini dalam kesah hidup Dharma? Apa kaitannya dalam filem ini? 

Sampaikan tamat saya tonton filem ini, saya langsung tak menjumpai pertalian atau apa-apa tanda hubungan antara hantu anak beranak dengan retetan siri kejadian-kejadian seram yang dialami oleh Dharma. Hantu sebenar yang mengacau Dharma berpunca dari hantu yang mula-mula mengganggu arwah teman wanita beliau, dan hantu ini tak pula ditunjukkan beranak-penak!

Jelas sekali, babak ini kantoi dalam menjalinkan hubung kait antara unsur seram yang cuba ditandai melalui kewujudan entiti hantu dengan keseluruhan jalan cerita. Saya tak terlalu peduli dengan plot. Senang cerita, walau semua babak dalam filem adalah buatan, namun babak ini nampak terlalu dibuat-buat, semata-mata ingin memberi idea yang JPB adalah sebuah filem seram lagi menyeramkan. Hakikatnya, ia menjadikan JPB sebuah filem lawak yang murah.

Dan pada saya, ia tak lebih sebagai babak copy and paste dari beratus-ratus lagi filem seram yang lain, terutamanya yang datang dari Korea dan Jepun.

Motif sebenar hantu yang mengacau Dharma ini juga agak kelam. Sampai ke akhir cerita, saya tak nampak sebab musabab hantu ini beria-ia benar mengganggu hidup beliau. Nak kata saka pun bukan. Ia sekadar memberi klue bahawa teman wanita Dharma mati akibat tekanan melampau setelah kerap diganggu si hantu. Dan mentang-mentang la Dharma ini teman lelaki si mati, hantu ini nak kacau Dharma pula. Bosannya!

Imej hantu yang dipapar juga satu lawak. Muka hantu itu tak menyeramkan, tapi melawakkan. Fizikal hantu jelas kelihatan, berterbangan ke hulur ke hilir langsung tak membuatkan lutut saya terketar-ketar. Untuk saya, hantu hanya menarik untuk ditinjau dari sisi misterinya sahaja. Unsur misteri yang mewarnai imej hantu inilah yang membuatkan kita tercari-cari, ingin tahu rupa hantu yang sebenar. Lagi tak nampaknya hantu itu, semakin ia menjadi misteri, bertambahlah keseramannya.

Tapi jika hantu bebas berkeliaran melayang-layang di udara macam burung, dan kita, manusia, bebas pula melihatnya dengan jelas, maka ini akan membunuh unsur misteri hantu tersebut. Dan saya yakin, selepas itu, tiada siapa yang akan ambil pot lagi dengan apa yang dipanggil sebagai hantu. Kalau hantu hilang taring, kelak Uncle Seekers pun susah nak cari makan.

Saya bercakap dalam konteks saya sebagai penonton, bukan dalam konteks realiti filem ini. Harap maklum.

Selain itu, kegagalan Dharma menyebut ’s’ dengan telus juga saya anggap satu lawak. Ssss...la, bukan ‘h’! Susah sangat ke nak sebut? Alahai...ahahaha!!!

Namun, terdapat juga adegan lawak, yang memang betul-betul lawak. Serius, bukan lawak seram. 

Adegan yang saya maksudkan ini ialah adegan yang melibatkan perbualan antara watak Opah, lakonan ibu Adlin Aman Ramli, dengan Dharma. 

Si Opah bertanya kepada Dharma, “nama cucu siapa?”

“Nama saya Dharma, opah.”

“Dharmaopah?”

“….”

LOL!

Saya ingin membungkus pojok kali ini dengan mengucapkan ‘selamat hari raya’ kepada Ahmad Idham kerana berjaya membuatkan saya ketawa terbahak-bahak ketika malam raya yang lalu. Sekian.


Mohd Ikhwan Abu Bakar