Memaparkan catatan dengan label Mawi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mawi. Papar semua catatan

Ahad, Disember 13, 2009

Kualiti dan Personaliti

Apabila aku mahu menghargai sesuatu karya seni seperti filem misalnya, aku percaya ada dua kaedah yang menentukan sesebuah apresiasi itu: 1. Kualiti dan 2. Personaliti.

Apabila aku menonton sesebuah filem, aku nilai kualiti filemnya terlebih dulu. Jika kualiti filem yang dipaparkan menarik, maka menariklah filem itu. Jika tidak, maaf kata, filem itu teruk. Mengabaikan personaliti pelakunya (sutradara), dengan itu ‘seeing is believing’.

Ada satu lagi kaedah apresiasi yang lebih common, iaitu dengan menilai personaliti pelakunya terlebih dulu. Kualiti filem-filemnya belakang kira. Jika personaliti pelakunya menarik, maka menariklah filem itu. Jika tidak, maka tidaklah. Mengabaikan kualiti filem tersebut, dengan itu ‘believing is seeing’.

Aku percaya jikalau kaedah kedua digunakan – menilai personaliti – akan wujud preconceived notion, sentimen dan pra-konsep. Ialah, semasa menilai, bukannya paparan dan kualiti filem itu yang dinilai, tetapi wajah sutradara itu yang dibayangkan. Apa kejadahnya?

Lebih teruk, ia menjadi konsep fan base yang tuli. Sokong personaliti, bukannya kualiti. Ini tak ubah seperti rancangan realiti yang menagih undian sms penonton. Bukannya bebas mengundi atas nama kualiti, sebaliknya mengundi membuta tuli pasal personaliti. Dikongkong oleh sentimen. Tidak jujur. Anti-kebenaran.

Seperti “kita orang Johor kena support/undi penyanyi Johor”, atau “kita orang Semenanjung jangan kasi can orang Sabah Sarawak menang”, atau “kita orang Islam jangan bagi Kristian menang”, atau “kita orang Melayu jangan bagi Cina menang”, atau atau atau. Sesungguhnya mereka ini adalah dikalangan orang yang mindanya terpenjara.

Oleh itu, bebaskan minda. Abaikan pengarah, nilai filem seadanya. Melalui kualiti filem, iaitu manifestasi fikirasa pengarah itu, baru kita ketemui personaliti ulung seseorang pengarah itu. Karisma? Gaya berpakaian? Cara percakapan? Itu semua lakonan. Hey, pengarah pun berlakon di pentas dunia ini.


Ridhwan Saidi

Selasa, Mac 03, 2009

Artis dan Imagi

Seorang artis tulen seharusnya punya upaya membayangkan apa saja di luar batas normaliti. Sebagai contoh, kenyataan bumi itu ‘bulat’ merupakan fakta. Paling tidak, inilah yang dipersetujui oleh kita semua, makhluk yang bukan artis. Tapi dengan kekuatan daya imaginasi dan semangat eksplorasi seorang pemikir atau artis, kenyataan bumi itu ‘bulat’ tak mustahil menjadi ‘rata.’

Adalah sangat rugi jika seorang artis, atau pseudo-artis hanya tahu menerima mentah-mentah kenyataan, tapi tiada kebebasan atau bacul untuk menafsir atau mengolah kenyataan ke dalam bentuk pemikiran sendiri, imaginasi sendiri.

Fakta kering boleh disampaikan melalui pemberita, misalnya. Itu jika hanya mahu 'menyampaikan’ saja. Tak payah seniman atau pemikir menyibuk-nyibukkan diri.

Yang dikongsi ialah idea dan semangatnya, artis, untuk memandang ‘kebenaran’ itu ke suatu sisi lain. Ini yang membezakan artis dengan bukan artis. Ini yang menjadikan seseorang individu yang layak dipanggil artis; artis. Ini juga yang membezakan artis dengan fatamorgana ‘Mawi World.’

Jika artis hanya selesa berlegar-legar dalam ruang kebenaran utilitarian, kita tak perlu merasai lagi kemanisan (atau kepahitan) seni seorang artis yang sebenar. Lalu, dunia langsung jadi keras, penuh dengan ahli politik. Hehe..

Artis atau pemikir juga tak sepatutnya takut menongkah arus, mencabar formaliti. Berfikirlah di luar batas ruang dan waktu. Jika berani, bermimpilah yang masa itu tiada atau tolaknya terus ke depan.

Kata Jean Renoir, jika sesuatu teori itu menetas menjadi fakta, maka hancurkannya!


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Isnin, Disember 29, 2008

Ailevyutu

Dalam bahasa omputeh kata ganti diri secara amnya I dan you, semudah huruf vokal, A,E,’I’,O,’U’ senang. Berlainan dengan kita, kita ada saya dan aku, serta awak dan saya (tidak termasuk slanga daerah yang bermacam-macam). Juga belum termasuk pangkat seperti along, angah, alang, achik, busu, beta, dato', tan sri, datuk, tun dan macam-macam lagi. Tidak terhenti di sini, ada juga yang membahasakan diri dengan panggilan manja (biasanya di kalangan keluarga). Contoh:

"Pegi main jauh-jauh, Wan tengah asap keris ni, bahaya, tajam."

Dalam banyak-banyak filem komersial, filem cinta adalah satu kemestian. Dan dalam filem cinta, semestinya ada babak si polan ini meluahkan perasaan cintanya kepada si polan. Dalam filem omputeh, ia semudah ‘I love you’. Tapi ia berlainan dalam bahasa melayu, kalau ia secara literal diucapkan, ia kedengaran keras dan 'semacam'.

‘Aku cintakan kau’,

‘Saya cintakan awak’,

Realitinya, susah untuk kita cari mereka yang meluahkan rasa cinta mereka dengan kalimah di atas, atau sebenarnya memang tiada. Saya syak orang kita tidak faham seni dan sains bercinta (di zaman ini sekalipun).

Bila masa kita nak guna aku/kau dan bila masa pula kita nak guna saya/awak? Kata ganti diri yang mudah ini pun boleh menimbulkan masalah. Menyusahkan. Leceh. Patutkah kamu ber’aku/kau’ dengan ibu/emak/mama anda? Kedengaran seperti kurang ajar bukan? Tapi hairannya kamu ber’aku/kau’ dengan Tuhan. Patutkah kamu (jika lelaki) ber’saya/awak’ dengan kawan rapat sama jantina dengan kamu, di tempat terbuka? Ia seolah membuatkan kamu lemah, pantang ‘lelaki melayu sejati’ kedengaran lemah, nanti dianggap dayus, pondan hish, perasan gagah, pigi dah!

Sekarang, dalam bahasa omputeh, i/you digunakan kepada semua lapisan masyarakat, dikenali atau tidak dikenali, tua atau muda, miskin atau kaya, tiada masalah, senang, mudah, sama. Tidak perlu pilih kata ganti diri untuk bercakap dengan orang yang berbeza, tidak perlu prejudis. Oh nusantaraku, adakah dengan berbahasa melayu kita tanpa disedari bersifat prejudis!? 

Di dalam sebuah pejabat bangunan pencakar langit terkemuka di tengah ibukota,

"Ridhwan! Tan Sri on the line ni, quick, quick, quick, nanti you buang masa dia (neraka yeah! buang masa main golf)."

Mari kita kembali ke dalam dunia perfileman kita. Dalam filem cinta, cuba anda perhatikan bagaimana mereka luahkan rasa cinta. Di sini akan saya tulis dua formula. Formula pertama dan paling senang, mereka hanya perlu mengucapkan ‘I love you’. Anda tahu bukan, tiba-tiba saat suci itu mereka berbahasa omputeh, sedangkan satu filem berbahasa melayu. Atau untuk filem yang kononnya liberal sikit (bahasa dicampurgaulkan, jantina dicampurgaulkan atau pendek kata semua nak dicampurgaulkan), ia juga akan mengelak babak tadi dengan bahasa omputeh, mengelat.

Filem terbaru saya tengok adalah babak Mawi dan Ekin luahkan rasa cinta mereka selepas bersanding di dalam kaca t.v.

“Ailevyu,” sebut Mawi.

“Ailevyutu,” sebut Ekin.

Senang, habis cerita, tak payah susah-susah. Eh filem ke ni?

Formula kedua pula untuk mereka yang berseni sikit. Anda pasti tahu punya, bukan menggunakan lebuhraya PLUS untuk ke Ipoh dari K.L, sebaliknya mereka ke J.B, kemudian susur pantai timur lalu Kuantan ke K.B, belok ke Alor Setar, lepas tu baru turun ke Ipoh. Berbelit-belit daa…

"Harum sungguh bau rambutmu."

Benda mudah tak pasal-pasal jadi susah. Kalau sebut ‘saya cintakan awak’ dianggap skema atau superfisial pula. Kenapa? Kerana kita tidak gunakan ia dalam kehidupan sehari-harian. Ayat cinta ini barangkali tidak pernah wujud pun, ia ada semata-mata untuk alihbahasa maksud love dengan sewenang-wenangnya.

Anda pasti tahu filem ‘Ada apa dengan cinta’ bukan? Saya percaya kalau kita cilok filem ini secara terus, lakon layar sebijik 100% tapi skrip dibahasamelayukan atau dibahasamalaysiakan (terpulang kepada kamu), ia belum pasti menjadi naskah filem yang teratur. Kenapa? Kerana kita bermasalah dengan bahasa, rumit sungguh, nak bercinta pun susah. Nak tak nak, filem ini perlu dirombak kembali kerana bahasa kita tidak sespontan bahasa Indonesia. 

Seperkara yang saya perasan, jika ada masalah mereka luahkan dengan suara. Jika ditindas? Mereka lawan dengan suara. Berbeza dengan kita, ada masalah/ditindas kita pendam dan diam.

Tak percaya? Bila diadakan forum atau sesi soal jawab, berapa kerat saja yang berani tampil ke depan untuk meluahkan soalan bermutu (terutama di institusi pengajian,) tau-tau habis kelas semua luah perasaan dan persoalan di kedai kopi/mamak, atau lagi teruk buat tak reti saja, sebaliknya sembang pasal bola sepak, perempuan, gosip dan lain-lain.

Pada skala besar pula, bila harga minyak naik tidak lama dulu, orang kita (nak nak yang celik IT) paling melawan pun dengan join masuk kumpulan ‘1 Million Malaysian who are sick of the RM2.70/liter Petrol Price’ di Facebook (ada 73,713 ahli). Ada minoriti yang melawan dengan sepanduk, tapi tak pasal-pasal dimandikan air walaupun sudah mandi ish ish ish. Apa pun ini cerita lama, sudah basi di dunia ‘moden’ serba canggih ini, semua berlaku dalam milisaat kononnya.

Tahun 2009 nanti, bila saya kembali belajar, kalau ada siapa-siapa yang kononnya minat saya. Dengan selamba saya cakap depan mukanya (di tempat terbuka; mahu lebih dramatik waktu hujan),

“saya cintakan awak,”

kemudian melihat reaksinya, terkedu, terkejut atau mungkinkah ‘mereka’ membalas dengan kalimah,

“ailevyutu?”


Ridhwan Saidi

Sabtu, Ogos 09, 2008

Cubit-cubit Cubisme

Pada suatu malam, lebih kurang 2-3 hari lepas, saya telah terjaga dari tidur yang awal kerana kelaparan. Sudah menjadi kebiasaan saya di rumah apabila makan tentu sahaja akan berada di depan kaca TV, sudah menjadi tabiat. Menukar-nukar siaran TV saya tertarik untuk mendengar temubual bersama Prof. pakar filem kita (kononnya) di Astro Awani. Walaupun rancangan itu hampir di penghujungnya namun mungkin aura si Prof tersangat kuat untuk saya endahkan (tapi saya dapat dengar auta sahaja).

Sebaik saja saya membuka siaran Astro Awani saya mendengar kata-kata si Prof bahawa dia berbangga dengan kepercayaan produser memberikan dia wang berjuta-juta untuk membikin filem. Kebetulan pada waktu itu sudah sampai sesi soal jawab antara tetamu & para hadirin di studio. Ditanya pada si Prof filem oleh seorang hadirin,

"Apakah filem Prof yang paling berjaya?"

Dijawab beliau,

"Duyung. Duyung merupakan filem saya yang mendapat kutipan tertinggi."

Di sini kita dapat melihat bahawa si Prof tersebut menilai kepercayaan & kejujuran dalam bentuk wang ringgit. Sebelum ini beliau juga selalu menyatakan bahawa pembikin filem harus membikin filem yang orang mahu tonton. Jika begitu, mungkin membuat filem porno pun dihalalkan dengan syarat ianya memenuhi kehendak. Pendapat itu bagi saya langsung salah. Jika si Prof menganggap saya tidak layak untuk menilai & mepertikaikannya, dia pula tidak layak untuk mempertikaikan kata-kata Albert Einstein ;

"I'd rather be a man with value than a man with success."

Sangat malang kita punya Prof sebegitu rupa. Namun perhargaan tetap diberi. Ini kerana di negara ini kuantiti dan populariti menjadi nilaian. Prof dianggap pembikin filem yang baik kerana giat membikin filem saban tahun. Fasha Sandha dianggap primadona filem Melayu baru kerana popular & filem lakonannya banyak. Six Million Dollar man pula dianggap moralis kerana selalu memaparkan drama & filem kepolisian. Nyata-nyata di negara kita selalu menghargai sesuatu yang tidak munasabah. Saya hanya percaya bagi mereka yang penting hanyalah keuntungan. Walaupun saya dianggap anti-popular namun kata-kata Mark Twain ini menyokong saya ;

"It is better to deserve honors and not have them than to have them and not to deserve them."

(alangkah baiknya jika Mawi mampu mengerti)

Jika dilihat tanpa pemerhatian yang teliti sekalipun kita dapat melihat yang menonton, menyokong & mendokong hasil-hasil kerja seni (baca:sampah) mereka ini adalah golongan majoriti Melayu marhaen. Golongan inilah yang memberikan mereka kelangsungan untuk meneruskan hasil kerja seni (baca:sampah) & mendapat penghormatan yang tidak wajar. Sudah tentu saya menganggap tidak wajar untuk seorang menggelar saya moralis hanya semata-mata kerana saya selalu membasuh pinggan saya selepas makan. Sedih sekali mengenangkan golongan-golangan yang tidak kaya ini menghabiskan duit untuk sesuatu yang tidak memberi manfaat.

Saya juga menyedari di kaca TV, ada sebuah konglomerat Stesen TV yang mempunyai beberapa rangkaian siaran telah mengasing-asingkan siaran mereka untuk setiap golongan. Ada sebuah stesennya menjadikan orang Melayu marhaen sebagai penonton sasaran dan walaupun banyak diisi dengan rangacangan berbentuk keagamaan yang bagus, slot hiburannya penuh drama-drama, serta filem-filem Melayu & Hong Kong 80 hingga awal 90-an.Saya menyedari bahan-bahan ini langsung tidak mencetus daya fikir saya. Filem-filemnya sungguh stereotaip dan membosankan. Mungkin kerana bahan-bahan itu tiada nilai pasaran & murah, maka ia dilambakkan di stesen TV yang disasarkan untuk golongan marhaen Melayu. Ceritanya lain pula di stesen TV milik mereka yang mensasarkan penonton Cina & 'urban'. Persembahannya lebih kemas, program-program TV yang lebih mengikut citarasa semasa & lebih terkedepan. Bagi saya golongan penonton dipisahkan semata-mata atas dasar perniagaan. Seharusnya mereka mempunyai tanggungjawab sosial untuk mendidik. Saya tidak fikir mengadakan karnival percuma itu satu bentuk tanggungjawap sosial. Saya tidak nampak manfaatnya di situ.

Perkara-perkara sebeginilah yang meluaskan lagi jurang antara golongan elitis & marhaen. Si borjuis cuba menjadi lebih terkedepan & menjauhi manakala si kelas pekerja pula tidak berusaha & selesa menikmati kedangkalan. Si borjuis merasakan taraf si marhaen terlalu rendah untuk difahami manakala si marhaen menggangap si borjuis terlalu jauh untuk digapai. Malang bagi seni di sini, menjadi alat ukuran intelektual untuk memisahkan mereka & diletak tanda harga. Bagi saya, seni itu sendiri punya harga diri, ianya tidak perlu diberi tanda harga & dinilai dengan wang ringgit.

Gerakan avant-garde Cubisme yang terkenal oleh Georges Braque, Paul Gauguin, Henri Matisse & Pablo Picasso sebenarnya diilhamkan dari kekaguman mereka pada seni ukir kayu dan topeng oleh orang-orang peribumi Afrika, Mikronesia & orang asli Amerika. Mengagumkam saya bagaimana golongan elitis budaya Eropah pada awal 20-an ini tidak malu & tidak ego untuk mengambil sesuatu dari tempat yang jauh berbeda jurang mereka. Di sini soal harga & martabat tidak menjadi soal. Seni itu bagus tanpa mengira darjat & fulus. Gerakan German Expressionist pun juga terjadi kerana desakan kekurangan kewangan untuk mereka menghasilkan kerja mereka. Begitu juga dengan Jean-Luc Godard, ikon sinema pasca-moden Perancis yang kekurangan wang untuk membikin filem di dalam studio. Namun begitu mereka menghasilkan sesuatu yang hebat, sesuatu yang dihargai sehingga ini & menjadi inspirasi kepada kebanyakkan penggiat seni seluruh dunia.

Ini kerana mereka memberi seni mereka harga diri, bukannya memberikan ia tanda harga.

Sekian.


Hazimin Hussein

TV Realiti atau TV Fantasi

Pernah tonton EDtv (1999)? Filem arahan Ron Howard ini bukanlah filem memang Oscar ataupun apa-apa anugerah. Masuk nominasi Teen Choice Award 1999 pun tidak mampu menang (haha!). Ianya bukanlah filem yang mesti ditonton oleh kaki-kaki seni sinema, walaupun dibintangi Dennis Hopper & Martin Landau. Ianya sebuah filem Hollywood yang biasa. Tidak teruk bagi saya. Menghiburkan, punya tempo & plot yang baik serta gerak kerja kamera yang tiada nampak cacat celanya.

Namun ada satu perkara yang mungkin telah membuatkan filem ini memberi rasanya kepada saya; saya telah menontonnya semasa kemuncak kegilaan bodoh masyarakat kita pada ikon popular yang tiada makna, Mawi & Akademi Fantasianya.

EDtv bagi saya adalah satira budaya popular & TV realiti yang dipersembahkan dalam bentuk komedi gelap yang ringan dengan baik sekali. Ianya mengenai seorang pekerja sebuah kedai video di San Francisco bernama Ed Pekurny (Matthew McConaughey) bertukar menjadi bintang TV realiti apabila bersetuju dengan sebuah stesen penyiaran untuk membenarkan kehidupan peribadinya dipertontonkan 24 jam sehari di kaca TV dengan sejumlah bayaran. Namun situasi menjadi di luar jangkauannya apabila keaadan privasi yang terhad diekori kamera seharian itu telah menelanjangkan buruk busuk keluarganya yang dysfunctional serta menjejaskan hubungan kasih dengan bekas kekasih abangnya sendiri. Ironi,kerana hubungan itu boleh mula terjadi kerana kamera itu juga. Abangnya diketahui curang apabila Ed datang ke rumah abangnya dan kamera merakamkan segalanya.

Namun pada pihak lain ianya sesuatu yang sangat mereka mahukan. Stesen penyiaran yang mempunyai hak rancangan itu telah mendapat rating yang sangat tinggi dan menguntungkan mereka. Di sini dapat diperlihatkan bagaimana stesen tv memanupulasikan keghairahan voyeurism manusia, walaupun pada kebodohan & kejelekan, semata-mata kerana keuntungan. Percaya atau tidak, saya merasakan semua itu tidak asing pada saya kerana ia ada berlaku di negara kita. Ianya seperti memberikan saja sebanyak mana gula-gula pada seorang kanak-kanak tanpa mendidiknya untuk mengambil nutrisi yang berkhasiat. Sama juga seperti seeorang Prof filem yang membuat cerita-cerita bodoh semata-mata kerana ianya dikatakan kehendak penonton majoriti. Amat malang bagi kita punya Prof yang sedangkal itu.

Keadaan menjadi semakin buruk bagi Ed apabila abangnya yang oportunis & marah telah menulis buku yang memprovokasinya. Bahana realiti TV juga telah menyebabkan cerita dalam kelambu ibu & ayah kandungnya yang telah lama bercerai terbongkar, langsung memecahbelahkan keluarganya yang sudah lama kehilangan fungsi. Akibat hubungan intim terlarang, ayah kandungnya yang mempunyai sakit jantung telah meninggal dan ayah tirinya telah meminta cerai.

Kepopularan rancangan ini telah mendorong ia dijadikan topik hangat di dalam rancangan-rancangan temubual Amerika. Saya masih ingat salah seorang panel rancangan temubual-temubual itu adalah Michael Moore. Antara ayat yang mereka perkatakan ialah, "Ini (rancangan ini) merupakan titik terendah dalam kebudayaan rakyat Amerika". Rakan baik Ed sendiri, John (Adam Goldberg) yang putus harap dengan sikap Ed dijemput menjadi tetamu rancangan temubual. "Ianya adalah satu alu-aluan kepada kebodohan," kata John di dalam rancangan itu. Jika saya diberi peluang, mahu saja saya ulangi ayat itu dalam Debat Akademi Fantasia.

Dalam kekacauan itu, Ed mengambil keputusan untuk berundur supaya keadaan dapat diselamatkan. Ray, abangnya juga telah berbaik semula dengannya dan Shari, kekasihnya yang merajuk memberinya peluang. Namun dia masih terikat dengan kontrak dan stesen TV itu tidak memperdulikan apa-apa yang lain selain keuntungan sahaja. Di sini Cynthia selaku produser rancangan yang telah memilih Ed sebagai subjek merasa bersalah dan cuba menolongnya. Ed dengan bijaksana telah menggunakan medium yang sama untuk menyerang stesen TV itu dengan mengiklankan tawaran wang tunai kepada siapa sahaja yang dapat memberi cerita-cerita buruk tentang orang-orang stesen TV. Cerita yang punyai kesan terburuk akan memenanginya. Cynthia yang sudah lama bekerja di stesen TV itu mengetahui kelemahan majikannya dan memberitahu Ed. Maka Ed setelah mengetahuinya telah mengugut dalam rancangannya untuk membongkar rahsia itu. Akhirnya Ed memang.

Ada beberapa babak dalam cerita ini saya gemar untuk membicarakannya. Pada awal cerita semasa Ed dan keluarganya menikmati makan malam, apa yang terhidang adalah ayam-ayam goreng KFC dan minuman ringan Mountain Dew. Di sini kita dapat melihat sebuah keluarga dysfunctional Amerika menikmati makan malam hanya dengan makanan segera buatan kapitalis yang dicurigai khasiatnya. Di sini, KFC tidak menjadi perlambangan untuk sesuatu yang bagus, baik, atau yang seharusnya. Di sini ia digambarkan sebagai makanan untuk orang-orang yang tidak mampu menguruskan diri dan keadaan dengan betul. Malangnya, masyarakat kita masih ditipu dengan kenaifan kita sendiri. Masih ramai pasangan pelajar sekolah menengah bercinta dan berhingus menghabiskan duit poket untuk 2 hidangan berharga RM20. Masih ramai muda-mudi yang merasakan diri mereka sudah menggapai golongan elitis semata-mata mereka mampu menghabiskan masa 2-3 jam di Starbucks. Di Amerika, orang lebih suka menghabiskan waktu minum kopi di cafe-cafe persendirian. Starbucks biasanya hanyalah persinggahan golongan pekerja-pekerja yang tidak sempat minum kopi di rumah sebelum masuk kerja. Jika seorang majikan, beliau akan mengirim pada pekerjanya sahaja.

Habis sahaja saya tonton cerita ini saya terfikir alangkah baiknya jika kita punya filem sebegini. Walaupun pada awalnya saya mengatakan filem ini bukan wajib ditonton kaki-kaki seni sinema, namun bagi golongan-golongan yang lemas hanyut dalam kebodohan budaya popular, filem ini mungkin dapat memberi anda sedikit kewarasan & kewajaran untuk menilai & memilih.

Sekian


Hazimin Hussein

p/s: Ditulis dalam keadaan yang tidak baik untuk menulis.