Memaparkan catatan dengan label Azharr Rudin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Azharr Rudin. Papar semua catatan

Isnin, Februari 28, 2011

Kesenian dan Konsumerasi

Kelmarin saya ke Buka Jalan International Art Festival di Balai Seni dan terlihat dua susuk pembikin filem berkacamata hitam: U-wei dan Mansor. U-wei akan datang dengan filem terbarunya Hanyut manakala Mansor pula mengingatkan saya kepada tulisan Abror baru-baru ini di JalanTelawi.com. Di dalam tulisan itu ada menyentuh mengenai filem Seman (1986) yang melawan dogma itu. Pabila melihat rambut kedua pembikin ini yang berwarna putih, hati saya sedikit gusar. Tanpa disedari filem Seman telah berlalu 25 tahun yang lalu. Umurnya seusia dengan tubuh saya. Ya, tidak salah kadang-kala kita bernostalgia, tetapi ke manakah perginya pembikin-pembikin yang masih belum berambut putih? Sampai bila kita mahu berpaut pada ‘satu-satunya’ filem eksperimental tempatan itu? Saya tanya, saya sendiri akan jawab.

Baru-baru ini saya ada menonton filem Chermin (2007) dan Bila Punggok Rindukan Bulan (2008) secara terus menerus. Kepada yang tidak tahu, kedua-dua filem ini dihasilkan oleh mereka yang masih belum berambut putih (dalam lingkungan bawah 30-an). Tak dinafikan saya lebih cenderung untuk meminati filem yang kedua. Chermin bermula dengan baik bagi sebuah filem yang berlokasikan resort… eh silap kampung. Dari segi jalan cerita ia kuat mengikuti acuan Hollywood. Saya tiada masalah dengan ini, cuma semakin lama – filem ini semakin gedik. Bagaimana mak cik sismance itu balik rumah melalui hutan rimba sangat menggelikan hati. Di kampung-kampung, laluan manusia dipanggil denai. Mengetahui ini saya sedari terdapatnya satu paten di mana seseorang pembikin itu, belajar di Barat kemudian ingin bermain kembali dengan semangat Nusantara. Ini tidak salah tetapi jika silap dilaksanakan, ianya akan jadi kelakar. Yang membuatkan saya melupakan filem ini adalah babak exorcist di mana seekor Smeagol merangkak keluar dari tubuh Natasha masuk ke dalam cermin. Entah mengapa saya fed up dengan filem yang baru saya tonton itu. Apa pun daripada 100 markah saya berikan 40/100, sama macam Khurafat. Ia tidaklah seteruk Haq (2011) atau Antoo Fighter (2009).

Filem Punggok Rindukan Bulan pula tanpa berlengah saya beri 70/100 markah. Ini adalah sebuah filem yang baik dan penting sekaligus. Tidak bermain dengan dunia kampung, filem ini mendekati jiwa-jiwa kota. Semangat perbandaran dan kemajuan; permainan ruang publik/privasi digerakkan dengan jayanya. Mereka yang mendalami ilmu senibina saya syorkan menonton filem ini. Seperkara yang saya perasan, filem ini berhijrah daripada fiksi kepada dokumentari secara halus dan puitis. Terdapat 3 segmen nyata yang saya perasan. Pertama kerinduan berlarutan seorang budak bernama Sidi terhadap ibunya. Ini jika ditekan lebih dalam boleh jadi berupa kerinduan feminisme kesemulajadian alam di dalam dunia maskulin konkrit dan keluli. Kedua proses rakaman dan dokumentasi Amani yang menemubual penduduk setempat. Seperti ruang tangga dan koridor sempit flat Bukit Chagar yang bersifat semi-publik (laluan penduduk) dan semi-privasi (couple bercanda), segmen ini adalah di antara semi-fiksi dan semi-dokumentari. Dan segmen terakhir, bersemadinya flat itu di duniawi ini.

Berbalik kepada hal asal, ya kesenian di negara ini sentiasa sempit dan terhimpit. Baru-baru ini industri perfileman tanah air telah menampakkan pemecahan rekod keuntungan yang memberangsangkan. Saya turut bergembira di atas kekayaan yang masuk ke dalam kocek para pengusaha sinepleks dan pemilik syarikat produksi ini. Cuma jika kita tolak lebih jauh, apakah makna semua ini? Bagi saya penonton di negara ini semakin banyak wang untuk dibelanjakan. Itu saja. Ini serupa dengan makanan yang berlambak di negara ini. Sehinggakan kadang-kadang saya terfikir terdapatkah mereka yang mati kebuluran di negara ini? Melalui alam kita dapat menikmati kesuburan aneka pilihan makanan. Kalau di kota pula lihat saja makanan yang tidak habis. Ianya berlambak. Kita terjerat di dalam kitaran konsumerasi yang statik. Dan kesenian adalah salah satu jalan untuk kita bergerak menjadi manusia yang sempurna.

Di Balai Seni Lukis Negara yang menganjurkan festival seni persembahan Buka Jalan, jika kamu perasan berlaku satu penyongsangan. Bukankah sepatutnya seni persembahan bertaut dengan Istana Budaya? Ya, saya faham. Saya juga jika diberi pilihan akan menjauhi Istana Budaya. Kesenian di negara ini tidak kiralah apa pun, mula korup apabila ia di-glam-kan. Dan Istana Budaya menggenggam falsafah glam ini sampai jadi bara. Mujur adanya kubu kesenian (boleh tahan) di Balai Seni Lukis Negara. Lebih kuat tempat itu mempunyai sejarah. Malah jika mahu dibuat panggung alternatif, mungkin boleh difikir-fikirkan. Saya pernah menonton filem Mexico di situ dan ianya not bad

Selain itu, Ayam ada menceritakan kepada saya mengenai kewujudan filem terbaru arahan Nam Ron: Jalan Pintas. Katanya filem ini seperti Gadoh (2009) akan menggunakan jalan songsang, di mana filem itu yang akan mencari penonton. Saya cukup faham dengan tindakan ini kerana di negara ini, sinepleks berkuasa. Kamu perlu tahu beza pawagam dan sinepleks. Sinepleks yang kalau tidak silap saya bawaan Amerika ini adalah gedung yang memiliki banyak panggung (wayang gambar). Pawagam pula lebih bersifat peribadi (atau kecil skalanya). Berbeza di antara menonton di pawagam dan sinepleks. Di sinepleks, kamu adalah seorang konsumer tidak kira apa latar kamu. Pilihan filem sentiasa teruk. Oleh kerana itu saya cukup bersetuju dengan Abror bahawa kita yang meraikan kesenian sejati ini memerlukan sebuah panggung alternatif. Konsumer jamak yang bebal perlu dipariahkan.

Apa pun tidaklah bermakna saya menolak sinepleks seratus peratus. Dua filem yang saya tunggu-tunggu untuk tonton ialah Bunga Lalang dan Hanyut. Di mana lagi dapat saya tonton filem ini jika tidak di sinepleks? Lol. Selalu juga saya perasan atas dasar apa kamu menonton sesebuah filem? Adakah ulasan di surat khabar dan blog atau status FB/Twitter akan mempengaruhi kamu? Ini saya tidak peduli, tetapi bagi saya yang paling penting adalah sesi temubual bersama pembikinnya. Tidak dinafikan Bissme antara yang paling pakar dalam hal ini. Setakat ini temubual bersama Dain dan U-wei paling berkesan buat saya. 


Ridhwan Saidi
P/s: Melalui temubual juga kita berpeluang untuk detect samada seseorang itu benar pembikin filem atau sekadar seorang tukang beri arahan.
P/s/s: Menurut Bissme, tajuk filem Bunga Lalang telah ditukar kepada Bunohan.

Rabu, Jun 02, 2010

Melupakan Amber dan Tong Sampah

Pada suatu hari, sedang saya makan ayam goreng black pepper di KFC KL Sentral bersama Fadli Al-Akiti—berdepan dengan orang yang layan filem. Berbelas bulan (lebih kurang) sebelum itu, saya makan Prosperity Burger McD di KL bersama Azharr Rudin—serupa, saya sedang berdepan dengan orang yang layan filem. Tapi yang membuatkan ianya unik adalah reaksi bagaimana mereka memperlawa saya untuk makan di toko fast food tersebut (mereka fikir saya anti-fast food,) yang entah bagaimana membuatkan saya tiba-tiba teringat filem pendek atau bahagian pertama daripada siri The Amber Sexalogy ini.
Secara peribadi saya menggemari slow food berbanding fast food. Tapi saya lebih rela makan fast food daripada makan pseudo-slow food (seperti Laksa Shack). Secara purata boleh dikatakan saya makan fast food sekali dalam sebulan. Kalau tidak di luar, yang sejuk beku di dalam peti ais pun jadi. Cuma komedi gelapnya, setiap kali saya makan KFC atau McD ini, kadang-kadang saya akan teringat imej-imej ayam yang dipaksa makan dedak sampai mati dalam emel.
Mengingatkan imej-imej brutal ini, tiba-tiba Fadz bertanya, "kenapa, tak sedap ke?"

"Err... sedap," jawab saya sambil tersenyum.

Saya tidaklah begitu lama mengikuti perkembangan filem pendek pelajar di institusi tempat saya belajar. Tetapi daripada gosip-gosip yang berjaya saya kumpul, dahulu filem-filem pendek di sini lebih production-oriented. Sejak beberapa tahun baru-baru ini, baru bibit-bibit seni itu mula muncul. Jadi jika ini benar, bermakna saya telah melihat filem-filem pendek yang lebih art-oriented tadi. Walaupun ia cuba layan seni, tapi ia masih belum sampai ke takat yang mengesankan bagi saya.

Ini berkesan di dalam Forgetting Amber. Ia cuba memadam kerinduan dengan imej-imej mudah tapi berkuasa dan penuh makna seperti langsir, railing, matahari terbenam dll. Saya syak kuasa sebegini ada dibawa di dalam Punggok Rindukan Bulan yang masih belum saya tonton. Sedihnya benda sebegini tiada di dalam filem-filem pelajar, ini menyesakkan. Jika adapun ianya masih belum konsisten.

Konsistensi ini saya dapati jelas keliru di dalam Aku, Dia dan Tong Sampah. Azri Abu Hassan ada berpesan kepada saya bahawa ADTS ini filem komersial. Macam fast food tadi saya bukanlah anti filem-filem komersial, saya tengok filem komersial sekali sebulan gitu.

Kita perlu faham bahawa filem komersial itu tak ubah seperti fast food. Ianya perlu cepat, ringkas dan kenyang sekejap. Restoran-restoran fast food ini selalunya berwarna terang, ada feel pop, dan melalaikan. Terapkan unsur-unsur ini ke dalam sinematografi dan suntingan, sapukan make up dengan bunyi, muzik, lakonan dll. Siap, jual.

Cuma dalam ADTS keadaannya kadang-kadang komersial, kadang-kadang ber'seni' sangat, seolah ada perselisihan dan kecelaruan pendapat di dalam jiwa pengarahnya. Ini tidak salah jika ia digarap secara berkesan seperti filem Ada Apa Dengan Cinta. Apa yang saya lihat: pelakon 'drama' dirakam dengan teknik long take dan kamera statik—mungkin sesetengah bahagian ok, tapi babak dialog jiwang tipikal? Saya tak mampu bertahan... rasanya tengok kucing bergaduh kat belakang rumah lagi engaging.

Berbeza dengan filem-filem 'slow food' seperti Punggok Rindukan Bulan misalnya (anehnya saya belum tengok, tapi konfiden tulis). Ianya seperti masakan ibu/nenek di mana setiap hirisan itu detail. Kalau masak laksa tulang-tulang itu dibuang secara teliti kerana tak mahu si suami atau anak atau cucu tercekik gitu. Malah orang-orang yang pandai memasak ini, kuah laksa mereka tidak berbau hanyir. Ini saya syak daripada proses pembuatannya yang perlahan.

Seperkara yang saya sedari, dalam The Amber Sexalogy, tekniknya berbeza (filem pendek adalah latihan/senaman teknikal) tetapi temanya tetap sama dibawa oleh individu bernama Azharr Rudin iaitu perasaan rindu lagi leleh itu. Ini berbeza dengan mereka yang masih hijau di mana secara teknikal sama saja tetapi membawa tema yang berubah-ubah dari satu projek ke projek lain. Ini tak ubah seperti sekejap pakai tudung, kemudian buka, kemudian duduk di atas kerusi roda, kemudian pakai tudung balik, sekejap Islam, sekejap agnostik dll. Tidak ada keperibadian dan individualiti yang utuh—mangsa fesyen huh. 

Jika perubahan berlaku pun, ia selalunya mengambil tempoh masa yang lama, perlu melalui fasa-fasa transisi tertentu/penting di dalam kehidupan mereka. WR. Fassbinder ada 3 fasa, JL. Godard ada 2, Yusof Haslam ada 1 contohnya. Ini terpancar pada filem-filem mereka, tak tipu. 


Ridhwan Saidi

Khamis, Mac 26, 2009

Dewata Malaysia

Masa saya tonton ini filem, entah bagaimana imaginasi saya telah bawa saya mengembara jauh ke masa depan. Dengan lebih tepat, 100 tahun akan datang yakni 2109 a.d. bersamaan 1530 hijrah. Kononnya apa yang saya tonton itu – jika tiada malapetaka-lah – imej-imej kota Kuala Lumpur 100 tahun dulu. Jika mentaliti pembesar-pembesar kita ini masih sama macam dulu (sekarang,) tidak mustahil, nanti, ruang-ruang yang dipaparkan seperti Coliseum, Central Market & pasar malam akan pupus. Tambah aneh, KLCC kita mungkin akan terpinggir akibat senibina-senibina menara kontemporari – rekaan arkitek luar – yang jauh lebih baru dan canggih (macam Masjid Negara dengan Masjid Putrajaya; ini pun baru lebih kurang 50 tahun beza.)

Bagi saya filem ini seolah dekat dengan filem Punggok Rindukan Bulan (yang belum saya tonton,) bukan dari segi cerita, tapi macam satu bentuk tanggungjawab sosial dalam mendokumenkan bangunan lama, dan dalam kes ini, manusia dan senibina kota Kuala Lumpur. Mana tahu jika 100 tahun akan datang – jika revolusi masih terbantut – kelahiran semula ala Fahmi Reza boleh jadikan filem ini sebagai salah satu stock footage ataupun rujukan berkenaan 98.

Seperkara yang menarik tentang filem ini, selain tindak tanduk natural (walaupun ada yang dibuat) masyarakat berbahasa Tamil, mainan kata-kata serta imej-imej yang cantik, muncul simbol-simbol atau logo-logo bagi setiap institusi atau syarikat seperti Utusan, Youtube, TV3 dan lain-lain. Logo-logo ini, tanpa kita sedari sebenarnya telah membentuk acuan 'rasa percaya' orang-orang kita, oleh itu – ‘Dewata Malaysia’. Hishamuddin Rais yang mengaku non-governmental individualist itu, pernah tulis yang orang kita bertuhankan kereta dan jalanraya. Ini saya ‘percaya’, tapi pabila mereka-mereka ini keluar daripada kereta, lain pula ceritanya. Mereka taksub dengan kepercayaan logo masing-masing, cewah macam polytheist pula. Jika tak percaya KFC, percaya kepada McDonald’s. Jika tak percaya TGV, percaya kepada GSC. Jika tak percaya Carrefour, percaya kepada Tesco. Dan pabila mereka percaya, maka mereka beli:

“I believe, therefore I buy-lah.”

Ini bagaimanapun hanya tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat bahawasanya ia logo-logo kompeni konglomerat korporat keparat global mahupun lokal. Walaupun sebenarnya ada banyak lagi bentuk-bentuk dewata logo yang lain seperti Ares (polis dewa) dan Zeus (raja dewa.)

Akhir kata, jika Yasmin Ahmad ada ‘ingatkan’ kita tentang perbezaan najis dan haram, Melayu dan Malaysia, Islam dan Melayu dan lain-lain isu agama & warna kulit mungkin (saya hanya pernah tonton Sepet dan Gubra.) Melalui filem ini, Amir Muhammad tanpa disedari (atau sedar?) telah ‘ingatkan’ kita tentang beza Tamil dan India. Jangan bohong, sebab ada di antara kita yang anggap Tamil itu bangsa walhal Tamil itu bahasa. Sebab itu kadang-kadang saya pelik jika ada (memang ada!) orang yang mempersoalkan soal kaum dalam filem Malaysian Gods (2008) yang berbahasa Tamil ini (ironinya mereka berbahasa Inggeris sedangkan mereka 'kaum' Melayu.) Apa cerit?


Ridhwan Saidi

Sabtu, November 22, 2008

Vespanoir

Hari ini ketika hendak menghidupkan vespa saya, sesuatu yang ajaib berlaku. Vespa saya hidup, ya enjinnya hidup. Tahu kenapa ia ajaib? Kerana kali terakhir saya hidupkan enjin vespa saya masa harga minyak belum naik awal tahun dulu. Menakjubkan, sekali choba tarik choke terus saja ia hidup. Kental betul vespa saya ini.

Melihatkan vespa saya yang satu ini, teringat saya semasa kerja di Kuala Lumpur dahulu. Ada dua fasa semasa saya tinggal di Puduraya dan bekerja di Brickfields. Fasa pertama saya tidak berkenderaan, saya menjadi pejalan kaki tegar, oldskool. Tiap-tiap hari saya naik bas berhampiran Kotaraya, kadang-kadang bus stand Klang. Pagi lalu Central Market, balik lalu Petaling Street, ikut mood. Saya bukan perokok untuk membuang masa journey jalan kaki saya, sebaliknya saya memerhati. Jadi, jika ada luck, saya akan ketemu kejadian-kejadian pelik.

Anda pernah menonton Majidee? Sebuah filem pendek oleh Azhar Rudin. Saya suka, kerana ia ‘betul’ Kuala Lumpur. Entah bagaimana saya terasa dekat. Tapi dalam konteks K.L, benda yang terjadi dalam Majidee itu normal bagi saya. Dan disebabkan saya memang tinggal di Puduraya, secara tak langsung saya cam orang-orang berpewatakan pelik.

Saya bukan kaki wayang atau filem, tapi saya pasti banyak filem-filem menarik yang punya karakter berpewatakan aneh dan pelik. Untuk wujudkan watak-watak eccentric seperti Amelie Poulain, rasa saya anti-sosial saja yang faham. Mengikut ingatan saya yang tak seberapa ini, akan saya catatkan beberapa jenis orang yang saya ingat.

Puppeteer. Ini antara orang yang paling saya minat. Dia akan muncul waktu malam bermain puppet yang punya 4 kaki berwarna biru. Memakai beret dan coat hitam di malam yang sejuk. Satu tangan lagi hisap rokok sambil minum teh tarik duduk di Estana.

Penjual kacamata Groucho Marx. Ini saya syak puppeteer itu tadi tapi tak pasti. Bukan menjual sebaliknya buat hal sendiri seperti berdiri statik dan duduk membatu. Berpakaian serba hitam dan semestinya berkaca mata Groucho Marx. Kadang-kadang ada di bawah jejantas.

Transvertite with big boobs. Saya tak tahu mahu namakannya apa, tapi dia agak tua dan seorang loner. Pakaian? Dress in high heels. Biasa duduk di kaki Menara Maybank, juga selalu merayau-rayau.

Loner. Seorang cina dalam lingkungan 30an kesunyian yang tak habis-habis ajak saya keluar makan bersama. Tonton bola di bilik hotelnya. Dan tidur di hotelnya. Dia kerja sebagai receptionist hotel di Petaling Street.

Sekumpulan pemandu teksi india berambut mullet. Well, anda boleh bayangkan bukan. Memakai seragam putih pemandu teksi dan berseluar hitam serta berantai dan bersubang emas.

Jogger. Seorang caucasian tua berambut panjang, perang. Memakai sut berjogging era 80an, berseluar kecil dan ketat serta singlet. Pagi-pagi akan berjogging ulang-alik depan Puduraya atas jalanraya.

Singh. Agak tua dan setiap hari dari pagi ke petang duduk mengawal kawasan hostel saya ditemani anak-anak muda Singh. Dia juga yang menjaga vespa saya (nanti.)

Satu tangan. Seperti Singh, tapi seorang india yang kudung tangannya duduk mengawal kawasan 7-Eleven. Hotel di atas punya cyber café di mana tempat saya menggunakan internet sambil cuci mata melihat gadis-gadis backpacker eropah.

Pengutip botol plastik (environmentalist sebenar bagi saya.) Muncul di waktu malam menyelongkar tong-tong sampah atau sampah yang bersepah di atas jalan. Pakaian? Memakai plastik sampah hitam sebagai baju, berseluar pendek dan bertopi seperti tudung saji.

Mereka-mereka ini adalah karakter-karakter kegemaran saya walaupun banyak lagi watak-watak lain seperti drug dealer, pickpocket, homeless, pemuzik buta, baskers, penjual DVD Petaling Street, bapak ayam, gangster, pelacur, polis, backpackers, penjual ubat kuat dan lain-2 yang saya rasa biasa.

Fasa dua pula bila saya mula menggunakan vespa saya merentas hutan konkrit Kuala Lumpur. Sebenarnya saya belum lagi berkesempatan tonton Janji Joni dan Alfie, rasanya saya patut cari dengan lebih gigih DVDnya. Yang saya pernah tengok hanyalah Quadrophenia, tapi saya tak minat dengan aksesori yang berlebihan.

Disebabkan saya juga seorang yang cerewet dan lorat, saya hanya minat dengan form-form awal vespa iaitu yang bentuknya bulat dan curvy. Tidak sesekali pada lambretta atau vespa-vespa petak.

Vespa saya ini pun satu, chassis-nya typical Super, tapi penutup enjinnya dari versi Jobot (yang sampai sekarang saya tak tahu apa maksudnya.) Yang pasti, form-nya bulat. Selepas beli dari Negeri, terus saya cat dengan satu warna yang melambangkan jiwa saya.

Malah arwah Jimmy dulu pernah berkata bahawa warnanya tenang dan matang, tidak menarik perhatian seperti merah, kuning atau berbelang-belang. Maaf, saya bukan attention seeker ya. Magisnya ia berwarna maroon di siang hari, tapi pabila malam di bawah sinar lampu jalan, ia menjadi keunguan.

Saya percaya vespa di negara kita ini satu bentuk sub budaya, terutama bagi kawasan luar bandar. Biasanya mereka akan konvoi ramai-ramai sampai ke Thailand. Saya tak pernah campur gaul dengan mereka ini, buat hal sendiri saja. Tapi biasanya pasti ada stranger yang tanpa segan silu berborak dengan saya pasal vespa. Contoh, tiap kali di traffic light depan C.M.

Di Brickfields, ketika sedang makan sorang-sorang, tiba-tiba duduk seorang lelaki baya saya di depan. Saya rileks saja, sebab situasi makan sorang dan ada orang aneh join duduk ajak borak sudah menjadi rutin bagi saya. Rupa-rupanya dia ini into vespa juga, bertanyakan pasal vespa saya. Lawaknya itu kali pertama, dan itu juga kali terakhir saya berjumpa dengannya.

Di Seksyen Satu semasa saya belajar juga ada situasi menarik. Saya hantar ia ke bengkel untuk tukar kabel klac, sambil itu saya pergi merayau cari makan. Balik ke bengkel berkerumun orang-orang tua melihat vespa saya. Bila dilihatnya saya yang bermuka jambu ini tuan kepada vespa itu, lantas mereka berkata,

“ingatkan otai mana punya vespa tadi, budak rupanya.”

Saya rasa mereka kagum sama citarasa saya tentang form dan pemilihan warna yang moden (dalam erti kata sebenar). Ok, saya rasa saya perasan. Kemudian mereka minta nombor telefon saya, mahu tahu kedai mana yang cat vespa saya.

Dulu semasa di Bota, para gadis menjerit memanggil saya sk8er boi, yakni judul lagu Avril Lavigne yang buat saya sakit hati tiap kali ingin meluncur. Nanti bila saya sambung belajar nanti, kalau ada sesiapa jerit panggil saya Que Haidar Selamat Pagi Cinta, saya tumbuk.

“Tak guna punya budaya popular!”
"(damn you pop culture!)"


Ridhwan Saidi