Memaparkan catatan dengan label Bruce Lee. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bruce Lee. Papar semua catatan

Khamis, November 18, 2010

Hipster Filem

Setelah menonton lebih 200 filem pendek tempatan di acara-acara seperti KL48 Film Project, HerStory Film Project, Mimpilem, BMW Shorties, Maskara Shorties, Panca Delima, Youtube, Vimeo dan seumpamanya, berani saya katakan hampir semua pembikin-pembikin muda di negara ini masih bercerita menggunakan approach 'drama'. Di sini tidaklah bermakna saya mengatakan bahawa bentuk drama ini tidak best, sebaliknya yang diulang berkali-kali ini kerap mengulangi kesilapan-kesilapan yang serupa; secara teknikalnya ia masih belum memahami bahasa filem dan intinya pula lompong tanpa apa-apa falsafah atau idea. Lebih teruk, kebanyakan filpen ini merendahkan martabat perempuan. English literated, koya liberal, tapi chauvinistik nak mampus, dasar sexist pig!

Sepatutnya yang memacu sinema di negara ini adalah mereka yang muda, terpelajar dan middle-class. Dari segi ekonomi mampu, dari segi intelek mampu, dari segi fizikal mampu. Tetapi malangnya bahagian yang 'terpelajar' itu kantoi. Mereka yang terpelajar ini lebih cenderung untuk menafikan akal lalu duduk selesa di dalam zon selesa. Tidak bersikap, mereka ini sebaliknya hanya sekadar mengambil jalan mudah apa yang sudah tersedia di atas dulang emas di depan mata.

Akal dikurniakan Tuhan agar kita (manusia) bergerak dan berhijrah dengan daya upaya, berikhtiar mencari kebenaran mutlak berbekalkan ilmu dan tauhid – tahu membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Semestinya di dalam pencarian ini pengorbanan perlu dilakukan. Rasa simpati kita terhadap mereka (termasuk keluarga sendiri) yang menyukai filem-filem tidak berakal harus dilepaskan; sedangkan Ibrahim menyembelih anaknya Ismail.

Selama 2 tahun di sekolah filem cuba memahami golongan terpelajar ini, ia akhirnya menjurus kepada satu jawapan sahaja: statik. Tidak ada dinamika gerakan apatah lagi konsep hijrah di dalam fikirasa seseorang pelajar itu. Bila ditanya siapa pembikin filem yang diminati – Yasmin Ahmad, Wong Kar Wai, Stephen Chow. Bila ditanya siapa pemuzik yang diminati – M. Nasir. Bila ditanya siapa penulis yang diminati – Usman Awang. Bloody boring, selama 2 tahun ia statik tidak bergerak (dan saya syak akan berlarutan sehingga akhir zaman).

Tidaklah bermakna mereka ini tidak best, tetapi citarasa harus terus bergerak dan berkembang. Di sebalik Yasmin Ahmad ada Yoji Yamada, di sebalik Wong Kar Wai ada Jean-Luc Godard, si sebalik Stephen Chow ada Bruce Lee. Instead of meraikan inspirasi-inspirasi pembikin yang mereka suka, heck meraikan sinema, mereka lawaknya berlagak (walaupun dengan mata kasar kelihatan 'humble a la Yasmin') dengan apa yang mereka ada. Dare I say, dasar hipster filem!


Ridhwan Saidi

Selasa, September 23, 2008

Mari Berkung fu

Saya ini selalu berlagak liberal, lepas bebas. Anti ortodoksi. Namun hakikatnya, mungkin kelemahan, bahawa saya ingin agak konvensional dalam bab-bab kesenian musik dan filem. Saya lebih senang dengan unsur - unsur ‘lapuk’ – tradisional dalam kedua-dua cabang seni ini. 

Makanya, saya lebih selesa menonton filem-filem sekolah lama daripada menonton filem-filem animasi yang sarat dengan kesan khas ‘CGI’. Saya cukup menyampah dengan filem Transformers. Serius.

Musik pun sama. Saya jauh menyukai kugiran Misfits daripada err…apa nama…kugiran yang suka romen-romen tu? Itu pasal, saya tak pernah lagi menonton ‘Kung Fu Panda’. Tapi saya dah tonton ’Kung Pow’, dua kali. 

Bercakap tentang kung fu, lalu terperasan pula saya dengan adegan-adegan bergaduh dalam filem-filem atau drama tempatan. Perasan tak (jangan), apabila ada adegan bergaduh, pelakon-pelakon ini semua akan mula berkung fu?

Hatta, kalau kamu masih ingat, dekad 90-an, banyak drama-drama cerita purbawara dihasilkan. Dalam drama-drama ini, walaupun para pelakonnya mengenakan busana tradisional Melayu, lengkap bertanjak dan bersampin, sisip keris di pinggang lagi, tapi apabila tiba adegan ’berpencak’, akhirnya mereka kantoi. 

Entah di mana silapnya, mereka tak pasal-pasal pandai berkung fu, bukan bersilat. Walaupun pada mulanya mereka ini, para pelakon, kelihatan telah memasang kekuda masing-masing. Apa kejadahnya mereka ini buat?

Adakah adegan bersilat tak cukup hebat kalau nak dibandingkan dengan kung fu? Tak cukup dramatik ke? Adegan kung fu terbaik, saya rasa masih tetap kepunyaan Bruce Lee. Tapi dia dah mati loo...

Semua aksi berkung fu ini pada saya, sangat-sangatlah ’superficial’ dalam konteks filem atau drama tempatan. Ia langsung mencacatkan unsur realism dalam filem, terutamanya. Senang cerita, ia tampak terlalu banal. Sudahlah filem itu sendiri memang dah cacat!

Realitinya, apabila bergaduh, kita akan main belasah saja. Asal puas hati. Kan?

Filem Melayu yang memaparkan aksi berpencak yang cukup berkesan bagi saya ialah filem Hang Jebat. Watak Hang Jebat diperan oleh Nordin Ahmad, manakala arwah M. Amin memainkan watak Hang Tuah. Adegan kemuncak filem, iaitu melibatkan peristiwa pergaduhan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat, sarat dengan unsur realismanya yang tersendiri. Setiap babak bersilat dipertontonkan dengan kemas dan sangat mendebarkan, yang mana kedua-dua pendekar ulung ini saling tikam-menikam keris diselangi dengan sesi borak-borak yang kelihatan terlalu serius. Ye lah, tengah bergaduh katakan...Tiada langsung babak flying kick dalam filem ini. 

Dalam filem ini juga, saya benar-benar dapat menjiwai gelodak jiwa kedua-dua pendekar dalam konteks Kemaluan...eh, Kemelayuannya yang tersendiri, apabila mereka berpencak. Saya dapat bayangkan, ’oh begini rupanya kalau orang Melayu dulu-dulu bergaduh.’ Klasik.

Malangnya saya akan ’miss’ perasaan ini kalau menonton Puteri Gunung Ledang.

Ada satu lagi filem yang boleh dijadikan contoh iaitu sebuah filem dari seberang. Filem yang saya maksudkan berjudul Mengejar Matahari. Disutradarai oleh Rudy Seodjarwo, filem ini berkisar tentang kehidupan sekumpulan anak muda yang membesar di perut kota Jakarta. Di celah kekalutan hutan konkrit yang menyerabuti kota gede ini, timbulnya keruwetan dalam persahabatan mereka akibat beberapa salah faham, antaranya soal merebut seorang cewek. Ah..baasik!

Jalan mudah dipilih, dua sahabat antara mereka berempat memilih untuk beradu tenaga. Lumrah bagi seorang pria sejati, kononnya. Konflik ini tak habis di situ, malah berlarutan sampaikan salah seorang dari mereka berempat langsung menemui ajal.

Tapi tidak, saya tak mahu membuat ulasan filem ini. Saya mahu tekankan tentang babak ketika Fauzi Baadila dan Winky Wiryawan ini bergelut di tengah kelebatan hujan. Hujan di sini sangat signifikan, melebatkan lagi dramatisnya pertelingkahan mereka. Paling penting, tiada sebarang aksi kung fu dilakonkan oleh mereka. Pergaduhan mereka dimulai dengan aksi tolak-menolak dan ini sangat real. 

Sebelum itu, yang ini paling real apabila kedua-duanya telah menanggalkan selipar Jepun masing-masing sebelum bergocoh. Saat ini kamera telah menghala ke bahagian kaki pelakon. Adegan ini juga amat relevan, kerana logiknya di sini, ketika itu bumi yang mereka diami disirami hujan. Maka, jalan tempat mereka bertarung menjadi licin dan becak. 

Kalau mereka terus memakai selipar, alamatnya mereka dah terpelecok sebelum sempat bertarung. Ini benar-benar anti hero! Lagipun, dengan berkaki ayam, mereka akan lebih bebas bergerak. Tak gitu?

Idea ini cukup untuk menebalkan unsur-unsur realisma dalam filem ini. Ia sungguh berkesan sekali tanpa melibatkan adegan kung fu murahan. Paling penting, ia sama sekali tidak mencacatkan naratif filem ini malah, berjaya menimbulkan unsur estetikanya yang tersendiri.


Mohd Ikhwan Abu Bakar