Memaparkan catatan dengan label Kentucky Fried Chicken. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kentucky Fried Chicken. Papar semua catatan

Khamis, November 25, 2010

Plot Idea Rasa

Pada ketika ini, saya sudah tidak lagi bernafsu bersembang mengenai film studies atau film criticism atau gosip-gosip akademia yang berada di luar konteks pembikinan filem. Kini saya lebih syok berceloteh mengenai hal-hal pendekatan atau proses pembikinan sesebuah filem itu sendiri (malah menyentuh juga bagaimana seseorang blogger atau pengulas itu mengulas sesebuah filem – tetapi ini saya tidak kesahkan sangat kerana saya percaya kita sudah mempunyai beberapa orang pengulas yang baik; akan tetapi hal ini bertentangan bagi mereka yang membikin).

Essentially, bagaimana seseorang pembikin, pengarah, sutradara, filmmaker, realisateur, metteur en scene, atau apa-apa yang kamu mahu guna, bermain dengan 3 hierarki domain:
1. Plot
2. Idea
3. Rasa
Plot adalah domain pertama dimana hampir kesemua daripada kamu tersekat lalu tinggal selesa di dalamnya. Apa yang dulu dan apa yang kemudian disusun secara sistematik (kalau anti-sistem pun harus berteraskan sistem bukan?). Fungsi penyusunan plot ini bagi saya tidak lain dan tidak bukan adalah teknik dalam menyampaikan sesebuah cerita. Selain itu plot ini juga digunakan untuk pembikin bermain dengan 'jangkaan' penonton berlandaskan durasi (3 act structure adalah sistem yang paling harmoni tetapi masih lagi terkial-kial disempurnakan oleh kebanyakan pembikin filem kita). Antara kata kunci yang digunakan oleh pembikin/pengulas yang bermain di dalam domain plot ini adalah seperti predictable, klise, efektif, logik, flat, unrealistic, pacing, original bla bla bla.

Idea pula letaknya lebih dalam daripada plot. Domain idea ini bagi saya bermain dengan sisi-sisi intelek dan rasional—berfikir dengan akal; yang plot tadi pun kena fikir juga, tetapi bila beridea kamu perlu lebih kritikal bermain dengan makna, erti dan maksud. Ini secara tidak langsung akan memberikan nilai kepada werk kamu yang pada mulanya lompong hanya sekadar bermain dengan permukaan plot tadi. Tidak lagi bermain dengan persoalan ‘bagaimana’ kini seseorang pembikin/pengulas itu bermain dengan persoalan ‘apa’. Jika di domain plot tadi seseorang pembikin/pengulas itu mahu menggunakan teknik bokeh dengan wajah hero dalam fokus di depan tetapi latarnya kabur dengan menggunakan lensa 50mm; bagi seorang pembikin yang bermain dengan domain idea pula, teknik bokeh ini digunakan kerana hal ini menggambarkan perasaan dalaman watak hero itu yang (kononnya) sedang berada di dalam kekaburan. Setiap tindakan diberikan makna, setiap objek dan subjek yang wujud di dalam bingkai diberikan makna, segalanya diberikan makna.

Rasa pula letaknya lebih dalam daripada idea. Domain rasa ini bagi saya bukan sekadar emosi – emosi ini perasaan yang dizahirkan – tetapi lebih bersifat intuisi. Hal ini boleh berlaku pada kedua-dua praxis pembikin dan penonton. Untuk mencapai rasa ini, ia sesuatu yang tidak boleh difikirkan dengan rasional dan logik akal. Boleh digambarkan, jika sebuah prosa (sebenar) itu bermain dengan domain idea, sebuah puisi (sebenar) pula bermain dengan domain rasa; (prosa dan puisi olok-olok bermain di dalam domain plot kerana ia sekadar permainan teknik semata-mata). Jika akal itu menyerap, rasa ini mengalir – berfundamentalkan tauhid, pasti. Pabila saya menyatakan bahawa domain rasa ini berada pada tahap tertinggi, jangan pula kamu (terutama yang menulis sajak atau puisi pantas pendek) perasan. Kebolehan untuk rasa ini perlu ditelusuri secara berperingkat disertai usaha; jika adapun yang istimewa diberkati laduni, itu lain cerita.

Tidak mustahil juga bagi sesebuah filem itu menguasai ketiga-tiga domain plot, idea dan rasa. Sebagai contoh, All About My Mother (1999) oleh Pedro Almodovar bagi saya plotnya A+, ideanya A dan rasanya A+.

*****

Di sini ingin saya ‘ulas’ dua blog yang bermain dengan ketiga-tiga domain ini iaitu That Movie Blogger Fella (TMBF) dan Tonton Filem. (Asalnya saya berniat ingin mengulas kesemua blog filem yang ada di alam blogosfera ini, tetapi well—malas).

TMBF bermain diantara plot dan idea disertai humor Melayu Muslim-nya. Ini penting kerana jika kamu perasan, hampir kesemua pengulas filem tidak kira samada di blog mahupun di surat khabar yang berceloteh mengenai plot hanya tersekat pada tahap itu sahaja. TMBF melangkaui sempadan itu dengan mewacanakan idea serta dalam masa yang sama berkongsi teknik-teknik membikin filem seperti suntingan Gilligan, lol. Stay true kepada genre, TMBF melayan hampir kesemua filem-filem yang masuk panggung. Secara peribadi, saya seronok membaca ulasan-ulasan filem (terutamanya Melayu) dengan rating 2 bintang ke bawah. Kalau 3 bintang ke atas saya lebih seronok membaca kupasan blog seterusnya, Tonton Filem.

Tonton Filem bermain diantara idea dan rasa. Jika pengulas lain sekadar filmster, mamat ini cineaste. Ini bukan puji suka-suka kerana kami pernah makan KFC bersama, tetapi seorang cineaste mamahami apa itu ‘sinema’ dan Tonton Filem tahu. Ulasannya kencang kritikal menelusuri daerah-daerah terpendam malah paling menarik, Tonton Filem juga mempunyai kebolehan merenung potensi seseorang pembikin/sesebuah filem itu. Walaupun gaya penulisannya kadang-kala kering, well yang basah-basah itu saya sentiasa ada Roman Kodian ataupun Bin Filem.


Ridhwan Saidi

Khamis, Oktober 30, 2008

Paranoid Iklaneka

Beberapa minggu sudah, saya telah menggunakan tren PUTRA, dari Taman Jaya ke KLCC. Ini mungkin langkah paling mujarab untuk merawat kesesakan lalu-lintas, kononnya. Tapi ada sesuatu yang menjelekkan anak mata saya ketika berada di dalam tren itu.

Kiri, kanan, depan, belakang, atas, bawah, dalam dan luar tren ini diselaput dan diapit iklan KFC. Okay, tidak yang di bawah, kerana itu lantai. Kamu tahu mengapa bahagian lantai itu dikecualikan? Kalau foto ayam goreng itu dipijak-pijak, pasti jijik jadinya, kan? Ia umpama kamu telah membunuh selera kamu sendiri..tak beradab sungguh! Nanti ayam kentaki tak laku.

Eh, apa sudah jadi ni? Inilah masalah saya. Selalunya, jika saya keluar merayau-rayau sekitar Lembah Kelang, penglihatan saya menjadi letih diasak oleh lautan iklan yang berwarna warni. Sebab itu saya jadi rabun, agaknya.

Saya akan menyentuh sedikit kesan serangan iklan ke atas perbandaran (urban). Tidak dapat tidak, saya percaya bahawa urbanity hari ini berada di telunjuk jari sang kapitalis. Para pemodal ini yang sebenarnya mencipta potensi urbanity kita, bukan lagi perancang bandar, atau para arkitek. Mereka menyusun perbandaran mengikut potensi untung yang bakal diperoleh. Tidak sekali-kali untuk kesejahteraan manusia.

Perancang bandar mahupun arkitek itu tak ubah umpama pepatung, boneka olok-olok, atau lebih tepat lagi, budak Milo para kapitalis. Mereka hanya – secara rela atau tidak – mengikut telunjuk pemodal, yang turut disubahati oleh ’Pihak Berkuasa Tempatan.’

Dalam perbandaran rekayasa para pemodal, hanya keuntungan maksimum yang menjadi agenda utama. Maka itu, urbanity dalam bentuk ini hanya sesuai menjadi milik pihak yang bermodal jua. Mereka yang tak punya wang, atau tak cukup banyak, terpaksa menjadi orang pinggiran, berhimpit-himpit di setinggan. Ironi, bandar bangsat ini konkritnya dibancuh oleh tangan-tangan kasar yang tak punya wang, atau tak cukup wang.

Saya mungkin tak berapa arif untuk bercerita tentang teori-teori urban ini semua. Selain tak cukup tahu, teori-teori ini malah kadangkala hanya sekadar membuang masa, berbuih-buih mulut menunjuk pandai. Padahal, ia langsung tak realistik, tak praktikal. Kadangkala, menjadi terlalu idealist sekadar membuatkan kamu kelihatan dungu. Saya betul percaya, kita semua perlu pulang kepada common sense, bukan teori.

Cuma, saya rasa agak jelek melihatkan situasi urban masakini, diasak-asak oleh iklan. Di setiap ceruk, setiap celah, pasti terdapatnya iklan. Dari yang bersaiz A4, sampai ke tahap ’billboard.’ Bandar kita semakin tipis kemanusiaannya macam lapisan ozon yang semakin menipis, secair ais yang semakin mencair di kutub utara. Dan, apa yang menebal? Iklan dan hipokrasinya.

Tadi ada saya nyatakan bahawa pihak pemodal menyusun urbanity kita mengikut peluang untung yang bakal diperoleh. Di sini, kamu boleh lihat betapa bijaknya si kapitalis.

Dalam hal ini, saya merasakan terdapatnya jalinan yang erat antara iklan dan struktur bandar gagasan kapitalis. Bandar kapitalis ini, sebenarnya wajib didokong oleh lautan iklaneka. Iklan-iklan seterusnya menyuburkan potensi untung maksima, lalu menghidupkan riang warna-warni bandar-bandar kapitalis ini. Bandar kapitalis tanpa iklan adalah mustahil, ia akan kelihatan ’mati.’

Saya berpendapat, kualiti urban itu tercemar dengan kehadiran lambakan iklan-iklan ini. Ia tiada bezanya dengan pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Cuma, dalam hal ini, saya cenderung untuk menyifatkan bahawa iklan ini mendatangkan pencemaran visual.

Visual-visual sampah ini kemudiannya, menelanjangkan kita dari rasional akal. Apabila memasuki daerah 'iklaneka' ini, jika tak kuat ’iman’, pastinya nafsu kita mudah terbeli. Hakikatnya ialah, kita yang akhirnya ’membeli.’ Dan kita membeli bukan atas dasar keperluan, tapi atas dasar iklan.

Iklan-iklan ini sebenarnya telah menghancur-leburkan spirit urban itu sendiri selain dari satu segi yang lain, berjaya mencipta dunia olok-olok ala Disney-Land, atau yang lebih lokal, Perkampungan Hadhari, yang mengajak kita berfantasi. Mungkin inilah dunia hyper-reality seperti yang dikatakan oleh Jean Baudrillard.

Dalam bandar yang diransang kapitalis, setiap penghuninya akan berebut-rebut untuk menonjolkan diri, melalui kereta, fesyen, gaya; dari potongan baju sampai ke dandanan rambut. Fesyen, gaya reka-rekaan ini pula, selalunya tak lebih sekadar lambakan produk kapitalis. Sebab itu, saya cukup berbulu apabila pernah ternampak kain rentang iklan syampoo 'Pantene' terentang menutup dada sebuah menara di Jalan Imbi. Nampak, bagaimana cikainya senibina, dikencing oleh hanya selembar iklan syampoo!

Bandar kapitalis sememangnya lebih mengutamakan iklan dari manusia kerana ia dicipta demi untung, bukan untuk manusia hidup dengan sejahtera. Kerana itu, di satu sudut, saya tetap memimpikan bandar yang bebas iklan, atau paling kurang, minimal iklan. Oh, adakah saya terpaksa berlagak idealist juga akhirnya?

Hmm, ada orang kata iklan ini juga seni. Jadi, tak salah! Maknanya, bandar kita dihiasi ‘seni.’ Wah, ini sungguh hebat, mungkin jauh hebatnya dari kota Athens, lebih gah mengalahkan Paris! Patutlah semakin ramai orang yang sibuk mengaku artis, ‘gila seni’ selama ini.

Saya pula, lain. Saya langsung tak menganggap iklan-iklan itu sebagai ’seni.’ Apa pasal? Pasal saya menganggap yang iklan tetap iklan, yang ada hanyalah iklan yang bagus dan iklan yang teruk. Tak perlu dipalit retorik ‘seni’ berbagai. Pada saya, apa-apa yang dibuat atas nama wang sebagai faktor utama, ’haram’ untuk dipanggil seni. Apatah lagi, iklan-iklan itu nawaitunya hanya satu, lariskan produk!

Seni wajib datang dengan rasa penuh cinta di dada. Seni, untuk saya, mesti tuntas keikhlasannya. Tanpa harap apa-apa balasan, wang atau pahala, yang dinamakan seni itu. Seni dan komersial juga, saya fikir, tak pantas menetap sekampung, tinggal sekandang, duduk sereban. Biarkan seni bertelanjang bulat, naif, nihil, atau, kalau tidak, tak perlu lagi dengan apa yang kita panggil 'seni.'

Okay, mungkin memang seni – iklan itu – tapi seni tapak kaki saya.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Sabtu, Ogos 09, 2008

TV Realiti atau TV Fantasi

Pernah tonton EDtv (1999)? Filem arahan Ron Howard ini bukanlah filem memang Oscar ataupun apa-apa anugerah. Masuk nominasi Teen Choice Award 1999 pun tidak mampu menang (haha!). Ianya bukanlah filem yang mesti ditonton oleh kaki-kaki seni sinema, walaupun dibintangi Dennis Hopper & Martin Landau. Ianya sebuah filem Hollywood yang biasa. Tidak teruk bagi saya. Menghiburkan, punya tempo & plot yang baik serta gerak kerja kamera yang tiada nampak cacat celanya.

Namun ada satu perkara yang mungkin telah membuatkan filem ini memberi rasanya kepada saya; saya telah menontonnya semasa kemuncak kegilaan bodoh masyarakat kita pada ikon popular yang tiada makna, Mawi & Akademi Fantasianya.

EDtv bagi saya adalah satira budaya popular & TV realiti yang dipersembahkan dalam bentuk komedi gelap yang ringan dengan baik sekali. Ianya mengenai seorang pekerja sebuah kedai video di San Francisco bernama Ed Pekurny (Matthew McConaughey) bertukar menjadi bintang TV realiti apabila bersetuju dengan sebuah stesen penyiaran untuk membenarkan kehidupan peribadinya dipertontonkan 24 jam sehari di kaca TV dengan sejumlah bayaran. Namun situasi menjadi di luar jangkauannya apabila keaadan privasi yang terhad diekori kamera seharian itu telah menelanjangkan buruk busuk keluarganya yang dysfunctional serta menjejaskan hubungan kasih dengan bekas kekasih abangnya sendiri. Ironi,kerana hubungan itu boleh mula terjadi kerana kamera itu juga. Abangnya diketahui curang apabila Ed datang ke rumah abangnya dan kamera merakamkan segalanya.

Namun pada pihak lain ianya sesuatu yang sangat mereka mahukan. Stesen penyiaran yang mempunyai hak rancangan itu telah mendapat rating yang sangat tinggi dan menguntungkan mereka. Di sini dapat diperlihatkan bagaimana stesen tv memanupulasikan keghairahan voyeurism manusia, walaupun pada kebodohan & kejelekan, semata-mata kerana keuntungan. Percaya atau tidak, saya merasakan semua itu tidak asing pada saya kerana ia ada berlaku di negara kita. Ianya seperti memberikan saja sebanyak mana gula-gula pada seorang kanak-kanak tanpa mendidiknya untuk mengambil nutrisi yang berkhasiat. Sama juga seperti seeorang Prof filem yang membuat cerita-cerita bodoh semata-mata kerana ianya dikatakan kehendak penonton majoriti. Amat malang bagi kita punya Prof yang sedangkal itu.

Keadaan menjadi semakin buruk bagi Ed apabila abangnya yang oportunis & marah telah menulis buku yang memprovokasinya. Bahana realiti TV juga telah menyebabkan cerita dalam kelambu ibu & ayah kandungnya yang telah lama bercerai terbongkar, langsung memecahbelahkan keluarganya yang sudah lama kehilangan fungsi. Akibat hubungan intim terlarang, ayah kandungnya yang mempunyai sakit jantung telah meninggal dan ayah tirinya telah meminta cerai.

Kepopularan rancangan ini telah mendorong ia dijadikan topik hangat di dalam rancangan-rancangan temubual Amerika. Saya masih ingat salah seorang panel rancangan temubual-temubual itu adalah Michael Moore. Antara ayat yang mereka perkatakan ialah, "Ini (rancangan ini) merupakan titik terendah dalam kebudayaan rakyat Amerika". Rakan baik Ed sendiri, John (Adam Goldberg) yang putus harap dengan sikap Ed dijemput menjadi tetamu rancangan temubual. "Ianya adalah satu alu-aluan kepada kebodohan," kata John di dalam rancangan itu. Jika saya diberi peluang, mahu saja saya ulangi ayat itu dalam Debat Akademi Fantasia.

Dalam kekacauan itu, Ed mengambil keputusan untuk berundur supaya keadaan dapat diselamatkan. Ray, abangnya juga telah berbaik semula dengannya dan Shari, kekasihnya yang merajuk memberinya peluang. Namun dia masih terikat dengan kontrak dan stesen TV itu tidak memperdulikan apa-apa yang lain selain keuntungan sahaja. Di sini Cynthia selaku produser rancangan yang telah memilih Ed sebagai subjek merasa bersalah dan cuba menolongnya. Ed dengan bijaksana telah menggunakan medium yang sama untuk menyerang stesen TV itu dengan mengiklankan tawaran wang tunai kepada siapa sahaja yang dapat memberi cerita-cerita buruk tentang orang-orang stesen TV. Cerita yang punyai kesan terburuk akan memenanginya. Cynthia yang sudah lama bekerja di stesen TV itu mengetahui kelemahan majikannya dan memberitahu Ed. Maka Ed setelah mengetahuinya telah mengugut dalam rancangannya untuk membongkar rahsia itu. Akhirnya Ed memang.

Ada beberapa babak dalam cerita ini saya gemar untuk membicarakannya. Pada awal cerita semasa Ed dan keluarganya menikmati makan malam, apa yang terhidang adalah ayam-ayam goreng KFC dan minuman ringan Mountain Dew. Di sini kita dapat melihat sebuah keluarga dysfunctional Amerika menikmati makan malam hanya dengan makanan segera buatan kapitalis yang dicurigai khasiatnya. Di sini, KFC tidak menjadi perlambangan untuk sesuatu yang bagus, baik, atau yang seharusnya. Di sini ia digambarkan sebagai makanan untuk orang-orang yang tidak mampu menguruskan diri dan keadaan dengan betul. Malangnya, masyarakat kita masih ditipu dengan kenaifan kita sendiri. Masih ramai pasangan pelajar sekolah menengah bercinta dan berhingus menghabiskan duit poket untuk 2 hidangan berharga RM20. Masih ramai muda-mudi yang merasakan diri mereka sudah menggapai golongan elitis semata-mata mereka mampu menghabiskan masa 2-3 jam di Starbucks. Di Amerika, orang lebih suka menghabiskan waktu minum kopi di cafe-cafe persendirian. Starbucks biasanya hanyalah persinggahan golongan pekerja-pekerja yang tidak sempat minum kopi di rumah sebelum masuk kerja. Jika seorang majikan, beliau akan mengirim pada pekerjanya sahaja.

Habis sahaja saya tonton cerita ini saya terfikir alangkah baiknya jika kita punya filem sebegini. Walaupun pada awalnya saya mengatakan filem ini bukan wajib ditonton kaki-kaki seni sinema, namun bagi golongan-golongan yang lemas hanyut dalam kebodohan budaya popular, filem ini mungkin dapat memberi anda sedikit kewarasan & kewajaran untuk menilai & memilih.

Sekian


Hazimin Hussein

p/s: Ditulis dalam keadaan yang tidak baik untuk menulis.