Memaparkan catatan dengan label Hujan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hujan. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 02, 2010

Kenapa Teater Bangsawan Tiada Nilai Komersial?

Ini adalah respon spontan kepada entri Vitamin berkenaan nilai-nilai komersial dalam teater bangsawan. Selaku seorang yang tak pernah melihat teater bangsawan, ini bukan nak melawan, tapi sebagai medan untuk kita sama-sama belajar. Esei panjang Vitamin itu adalah respon kepada sepotong ayat saya iaitu, "teater bangsawan tiada nilai komersial" lol.

Melalui tulisan Vitamin baru saya sedari yang teater bangsawan ini bentuk dan isinya pro-komersial. Tujuannya adalah untuk menghiburkan orang ramai, ya kita faham. Tetapi saya percaya walau telus mana pun kekomersialan teater bangsawan sebagai bentuk dan isi, akhirnya NILAI komersial bergantung kepada penggunanya iaitu audiens.

Biar saya kemukakan dalil-dalil saya pula kenapa teater bangsawan tidak punya nilai komersial pada masa kini. Saya bercakap dalam konteks terkini kerana ia asalnya berkenaan filem Dilema Panggung (2010).

Seperti yang saya tulis tadi, 'nilai' komersial bergantung kepada 'audiens'nya. Siapakah audiens mereka ini? Sebelum merdeka, golongan kelas menengah belum wujud, oleh kerana itu hiburan "berkilau-kilau" diperlukan oleh mereka yang pada ketika itu bertani. Sekali sekala mereka perlukan hiburan eskapis yang dimobilkan oleh Tauke Panggung ke kampung-kampung.

Kini selepas merdeka, golongan kelas menengah mula berfungsi sebagai pengguna/konsumer utama. Golongan kelas menengah tidak sama seperti masyarakat tani. Mereka ada kebebasan untuk memilih hiburan jenis apa yang mereka mahu. Bukan lagi hiburan cari audiens, kini audiens yang cari hiburan. Ia lebih terbuka (lebih-lebih lagi di era globalisasi ini) dan dalam masa yang sama, konsumer (model baru) ini saya sedari tidak lagi ambil peduli tentang teater bangsawan. Saya percaya 99.9% rakyat Malaysia zaman ini tidak tahu tentang teater bangsawan. Logiknya masih adakah orang yang 'terhibur' menonton teater bangsawan, kini? Main Facebook lagi terhibur kot.

Ini ada sedikit kaitan dengan PGL yang diklaim Vitamin sebagai bangsawan versi baharu. Bagi saya PGL tak ubah seperti Laksa Shack, 1901, JusMate5 dll. Ianya adalah satu bentuk PENJENAMAAN. Yang punya nilai komersial adalah jenama "PGL" itu, bukan teater bangsawan sebagai bentuk dan isi. Ini berbeza dengan muzik indie, ia wujud sebagai bentuk dan isi, jenama-jenamanya seperti kugiran Hujan yang berpayung di bawah.


Ridhwan Saidi

Sabtu, Mei 16, 2009

KAMI, Sebuah Filem

Ini hanya sedikit godaan saya tentang KAMI, filem yang berputar di panggung tahun lalu. Memang lambat, tapi filem tak seharusnya dijerat oleh masa. Jujur, saya tak meletakkan harapan tinggi menggunung terhadap filem ini, bila dikenang semula pengalaman menonton KAMI lewat siri televisyen walaupun sekadar satu dua episod yang tak pernah ditonton sampai habis. Apapun, saya sebelumnya tetap berharap yang filem ini mampu berdiri sebagai filem seadanya, tanpa ditambat kenangan silam drama bersiri. Pun begitu, saya juga tak mahu bermimpi untuk menghadiahkan jambakan sanjungan yang berbunga-bunga, walaupun salah seorang pengarahnya itu pemain bass Carburator Dung.

Oleh kerana hantu polong drama KAMI menghantui fikiran saya sebelum menonton filem ini, yang kelihatan cuba meminjam roh musik ‘indie’, lewat beberapa gambaran pemeran wataknya yang kelihatan ‘into music’, terus memburu saya, maka saya amat pasti bahawa gebang ini akan nampak berat sebelah, bias tak tentu pasal. Atau mungkin saja kerana saya memang terlalu skeptikal dengan label ‘indie’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini? Siapa tahu, kan?

Pertama, saya tak mahu memenatkan jari-jemari halus saya menaip tentang sinopsis filem ini. Walaupun saya slim, tetapi percayalah yang saya ini memang ‘berat tulang.’ Maka itu, saya lebih senang bermimpi yang kamu semua yang sedang membaca sudah pun menontonnya.

Secara kasar, ia sebuah filem yang sederhana dari segala segi. Baik dari segi lakonan, sinematografi mahupun kepengarahan. Slanga bahasa dalam filem ini yang menggaulkan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris, masih bersesuaian dengan ruang lingkup budaya sekelilingnya, iaitu di bandar. Ditinjau pula aspek lakonan, saya rasa hampir semua pelakon filem ini sekadar memberikan lakonan yang biasa-biasa saja. Mediocre, senang cerita. Kecuali yang seorang ini, yang namanya Zahiril Adzim. Saya kira, beliau semacam jadi pembunuh kebosanan dek lakonan mediocre pemuda-pemudi yang lainnya. Melalui intonasi suara, beliau berjaya memercikkan sedikit elemen kekerasan dalam filem ini, yang majoriti audiens-nya saya pasti adalah anak muda. Keras dan kemudaan adalah sama baya. Itulah sedikit harapan saya pada awalnya terhadap filem ini. Berbeza dengan pemain-pemain watak utama yang kelihatan lembik dalam perjalanan cerita yang mendatar. Ia hanya acahan konon bermain dengan emosi dalaman tapi sayang, tak jadi langsung. Saya tak pasti adakah kerana kelemahan skrip, maka emosi dalaman yang tegang itu tak wujud, atau kerana memang pelakonnya yang masih berkarat? Entah.

Umumnya, filem ini cuba memaparkan satu gambaran sebilangan remaja bandar yang kononnya ‘jiwa kacau’, tak cukup gembira, walaupun salah seorang dari mereka yang paling tak gembira itu anak kepada seorang tua yang bergelar ‘Datuk’, dan walaupun mereka sering terkinja-kinja dalam gig. Selain itu, ia berupa gambaran budak-budak bandar yang cuba-cuba sukakan musik, diselangi oleh beberapa konflik peribadi, seperti perceraian ibu bapa, perseteruan antara hero dan seorang pengedar dadah cabuk dll. Tapi pada hakikatnya mereka kontang idealisme dalam hidup. Mereka adalah gambaran telur yang ditetas hasil dari proses pengeraman dalam sistem persekolahan yang tak punya idealisme, baik untuk diri sendiri mahupun yang bersifat kenegaraan. Tiada apa yang dibawa oleh budak-budak ini, (atau saya yang tak nampak?) melainkan berhu-ha hu-ha sambil cuba bermain dengan konflik dalaman yang cenderung bersifat peribadi. Jadi, untuk mengisi kekontangan itu, mereka pun tak habis-habis ber-enjoy di gig. Pantang ada gig saja, mereka pasti turun. (Tapi, mereka macam tak suka clubbing la pulak.) Sebenarnya saya ada satu cadangan ideal untuk remaja sebegini di luar sana: pergi mandi bunga.

(Dan nasib baik juga sampai saat ini saya belum lagi berpeluang menonton Laskar Pelangi. Kalau tidak, saya pasti akan membanding-bandingkan ‘remaja indie’ ini dengan idealisme anak-anak kecil dalam Laskar Pelangi yang mungkin kemudian, membuatkan ‘remaja indie’ di negara ini mula memakai kain pelikat dan bercapal lalu pergi ke surau.)

Namun mungkin inilah gambaran sebenar rata-rata anak muda di bandar-bandar besar, yang tak habis-habis dengan konflik dalaman yang deep belaka. Hidup ini memang palat, bak kata tagline KAMI, apa yang palat saya pun tak tahu. Apa yang saya nampak, mereka semua adalah cerminan remaja yang masih kabur dengan masa depan mereka di negara pembangunan ini. Untuk remaja yang kurang ‘bertuah’ yang datang dari pedalaman, desa, pekan atau ceruk kota, mereka pula perlu survive untuk terus hidup, perlu keluar cari makan yang membuatkan mereka tak sempat untuk memalatkan diri dengan konflik hidup yang maha deep seperti gambaran remaja dalam KAMI yang rata-rata makan pakai cukup, malah terkesan mewah. Mereka, remaja seperti dalam filem ini, memang banyak masa terluang untuk ‘berpalat-palatan.’ Mungkin memalat itu satu hobi.

Di awal babak terdapat adegan Abu mencopet buku Utopia Trauma, Rahmat Haron. Saat itu saya cuba ‘menaruh harapan’, bak kata mak cik Zaiton Sameon. Saya berminat untuk melihat sejauh mana roh Rahmat Haron diusung dalam filem ini. Oh, rupanya sekadar bacaan santai atas batang kelapa, dan akhir sekali dijumpai terperosok dalam kereta! Memang ‘sampah’ betul si Rahmat ini rupanya. Sayang sekali, idea buku ini tak dicungkil sebaiknya, tak disedut keluar rohnya, sekadar jadi cuitan manja, acah-acah lepas itu kabur. Seharusnya pengarah bijak mencuri kesempatan dari semangat puisi Rahmat Haron ini secara jelas, maksudnya ada kemungkinan bait-bait puisi Rahmat mempengaruhi jalan cerita filem ini. Namun ia cukup sekadar salah seorang awek dalam filem ini menyifatkan puisi Rahmat bacaan Abu sebagai: “wow, deep!” Tapi, apa yang deep-nya cik kak, oi? Rasanya, budak belum bersunat pun boleh sebut lagi dalam daripada tu: “deeepppp…” Saya sebagai penonton pula tak rasa apa-apa pun. Ada juga kesan langsungnya kemunculan Utopia Trauma dalam KAMI ini, iaitu jualan bukunya kembali bergerak kerana hantu hipster tempatan yang sudah menonton filem tak mahu ketinggalan nak jadi deep, walaupun hakikatnya buku Rahmat itu telah keluar dua tahun sebelum filem ini ditayangkan.

Babak ibu Ali yang suka berendut di merata KL turut melemaskan. Bayangkan, ke mana saja Ali merayap, pasti terlihat kelibat ibunya yang sedang ingin bercinta dengan balaknya. Contoh, sewaktu babak Ali baru lepas berselisih faham dengan Lynn, Ali meninggalkan Lynn lalu memandu kereta entah ke mana. Tup tup, sesudah berhenti entah di mana, beliau ternampak lagi ibunya yang asyik miang nak kahwin tapi tak kahwin-kahwin. Oleh kerana sub-plot ini kerap diada-adakan, maka ia akhirnya tak membantu jalan cerita, sebaliknya ia jadi kelakar la pulak.

Ada ketikanya musik dan visual dalam filem ini tak kena. Misalannya waktu babak Abu berlari setelah dikejar oleh Pak Din, tak semena-mena muncul pula lagu kumpulan Hujan, yang didengari liriknya: berlari dan berlari… Lucunya di sini, visual dan melodi lagu itu memang betul-betul ‘lari’ jauh. Bagi saya, andai gelojoh berfikir, yang jika perkataan dalam lirik lagu sama dengan visual/imej, maka ia terus dianggap ‘kena’, itu silap. Hakikatnya tidak. Belum tentu. Ini kerana musik diikat oleh melodi. Mood yang terhasil dari melodi belum tentu sama dengan mood yang dicipta melalui gambar. Pendek kata, mood lagu dan mood visual belum tentu sewenang-wenangnya bernikah. Bahkan filem Sembilu jika ditonton semula adegan Awie ke hulur-ke hilir dengan Virago-nya setelah putus cinta sambil diiringi lagu itu lebih baik kerana ada keselarian mood antara irama lagu dan visual, tanpa perlukan lirik seperti, oh, lihatlah machonya aku ke hulur-ke hilir dengan Virago-ku...o hoo...

Sepatutnya, bagi saya, musik band si Ali ini-lah yang dijadikan enjin terbaik untuk memacu filem ini ke depan. Misalnya dengan menggubah satu dua lagu ‘tema’ yang mengangkat semangat atau idealisme filem ini, kalau ada. Jadikannya soundtrack khas untuk filem ini. Tak payah sibuk nak berjumpa dengan Pak Cik Hussein. Kalau nak layan stim baru boleh jumpa. Tak perlu sekadar merewang dan berayun-ayun dengan selingan musik kumpulan-kumpulan indie yang deep nak mampus lepas itu terkinja-kinja di gig kalau ada masa. Tak payah juga sibuk nak tolong promote band. Myspace kan ada? Tambahan pula, kugiran-kugiran sebegini sekarang rasa saya sudah boleh survive jika dihitung bilangan budak sekolah atau lepasan SPM yang berpura-pura meminati gerakan musik bebas, disokong pula dengan pertandingan Anugerah Juara Lagu di TV3.

Setelah ditonton sampai habis, saya berani menyimpulkan bahawa filem KAMI ini tak lebih sekadar drama TV yang berpindah rumah ke layar perak. Tak banyak beza pun dengan versi drama TV. Namun dengan sedikit rasa menyesal, saya tetap menganggap filem ini sebuah filem yang tak muntah untuk ditonton. Macam orang putih selalu sebut, “not bad, but not good either.” Masih bagus jika sentimen sentuhan pertama diambil kira. Dan setidak-tidaknya, ia bukanlah filem cinta bodoh salinan dari Korea Selatan yang kebanyakannya nyaris jijik, seperti Selamat Pagi Malaysia, eh, Cinta.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Selamat Hari Guru, cikgu!

Ahad, Januari 11, 2009

Memang Kosong Pun!

Semalam, saya bertemu ennui. Ennui ini bukan seorang amoi bergetah dari Bukit Beruntung, tapi adalah satu perasaan bosan nak mampus. Jadi, saya rawat demam ennui ini dengan meleburkan diri saya di celah-celah ulat tahi kotaraya, sekitar Bukit Bintang. Tapi, saya seboleh-bolehnya tak mahu rewangan saya ini kosong bersahaja, lalu saya letakkan sasaran saya untuk mencari buku di Borders.

Namun sial, apakandaya, saya tak ketemu dengan buku yang diingini, dan akhirnya saya terpaksa bertransformasi menjadi pemerhati budaya yang tak bertauliah.

Hari minggu, macam biasa. Masa untuk para remaja a.k.a budak-budak ‘kota berlumpur’ berlibur, berjoget terkinja-kinja, dan mungkin, bercengkerama. Saya tak berniat mahupun berminat untuk menjadi moralis, lalu poyo merakamkan gejala keruntuhan moral di kalangan remaja. (Melayu khususnya.) Mata saya hanya galak merakam setiap aksi, setiap situasi tanpa mahu membuat sebarang justifikasi; moral. Rakaman pengalaman yang ditangkap oleh – bukan kamera – tapi mata ini lebih saya hargai, selalunya. Lebih tepat, lebih menusuk terus ke otak, tanpa sebarang salinan analog mahupun digital.

Dan ya, memang benar, mata saya yang semakin rabun ini dapat merakam sesuatu yang menarik semalam.

Oleh kerana saya pernah terbaca (tapi di mana ya?) tentang ‘fenomena’ baju-T budak-budak sekarang yang banyak tertera tulisan-tulisan bahasa Melayu, (atau Malaysia? hish!) saya telah merakam sesuatu di dalam kepala. Telah dikatakan, ‘fenomena’ bebudak Melayu sekarang yang memperaga baju-T bercop dengan slogan-slogan atau tulisan bahasa ibunda adalah suatu tanda yang positif. Positif dalam erti kata, mereka (remaja) sudah tak segan silu untuk memperagakan, atau mengaksesorikan diri dengan tulisan-tulisan bahasa Melayu. Jika sebelum ini, baju-T hanya bertampal dengan tulisan Mat Salleh, baru nampak cool dan tak malu. Sekarang tidak lagi. Baju-T yang bercap tulisan Melayu juga boleh menampakkan yang kamu ini seorang ’Mat Cool.’ Ini tandanya, bahasa Melayu semakin subur. Tahniah!

Eh, betul ke?

Nah! Hujah ini yang ingin saya sanggah di sini. Saya tak nampak apa-apa kaitan di sebalik ’fenomena’ baju-T bertulis bahasa Melayu ini dengan nilai jati diri bangsa, nilai nasionalisme, apatah lagi nilai patriotisme. Saya juga gagal melihat fenomena yang sedang berarak di Bukit Bintang semalam sebagai tanda kesuburan atau perkembangan positif bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Maaf kata la ya, setelah dituras dengan rasional akal, saya merasakan bahawa fenomena yang saya maksudkan ini tiada kena mengena dengan nilai-nilai muluk itu semua. Ia sebenarnya hanyalah fenomena yang cuba diangkat pada masa kini oleh para trend sucker.

Trend sucker ini, maaf, bahasa orang putih. Untuk menampakkan yang saya ini seorang nasionalis bahasa ibunda, kita panggilkan saja sebagai penghisap atau penjilat fesyen atau budaya terkini. Golongan yang melayan trend terdiri dari pelbagai kategori, bermula dari pencipta budaya terkini itu sendiri, yang acap kali digelar sebagai trend setter, sampailah kepada para pengikutnya yang paling tercicir kelewatan. Manusia yang keciciran ini lagi parah, umpama keciciran bas setelah berlari untuk mengejar, akan kelihatan letih dan berpeluh-peluh. Dan, barangkali berbau hapak. Golongan tercicir inilah kebayakkannya menjadi seperti yang saya cop sebagai trend sucker.

Dan lagi satu, yang ramai pastinya trend followers, para pengikut yang kebanyakkannya dimonopoli oleh remaja lepasan dan yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Mereka ini, saya tak sampai hati pula nak menjatuhkan sebarang hukuman, justifikasi baik atau buruknya tindakan mereka . Saya sekadar mahu melampiaskan keserakahan nafsu saya pada sesuatu yang saya rasakan benar.

Trend baju-T bercetak slogan-slogan bahasa Melayu ini baru saja tercetus tahun lepas, saya rasa, oleh sebuah kugiran yang pernah ’dihujani kebebasan melampau’ pada suatu masa yang pendek. Jika benar sangat kumpulan musik ini mahu mengangkat bahasa Melayu, ya, mereka boleh teruskannya. Saya tak berminat melayan niat suci mereka.

Tapi jika direnung kembali, hasilan musik kugiran ini tiada kena mengena dengan keghairahan pemuda-pemudi trendy ’memperdadakan’ dada mereka dengan tulisan atau slogan berbahasa Melayu. Mungkin ya pada mulanya, sebagai pencetus trend. Walau apapun alasannya, jika berkarya, menulis atau bernyanyi misalnya, saya fikir kita tak perlu meletup-letupkan lantai perkaryaan kita. Yang penting, kita mesti tahu bahawa kita berkarya kerana ingin berkarya, for fuck sake! Dan yang paling penting, karya itu memang bagus, tak kiralah apa medium atau instrumen yang digunapakai sekalipun. Tak payah sibuk memelikkan diri dengan instrumen yang kita guna. Kalau kamu seorang Melayu dan bernyanyi dengan bahasa Melayu, ah, apa yang perlu diheboh-hebohkan sangat? Perlu ke kita berasa pelik? Atau kecoh? Saya ingat, biasa saja, dan tak pelik langsung. (Tapi saya akan berasa pelik jika terjumpa seorang Mexico yang pandai bernyanyi lagu Tamil.)

Apa yang berlaku ialah, kita buat-buat pelik, buat-buat kecoh. Atas alasan, sebelum ini ramai pemusik bebas kita suka bernyanyi dalam bahasa Inggeris. Apabila kita berhujah bangang sebegitu, yang terhasil adalah lebihan-lebihan rasa pelik atau kagum yang dibuat-buat, yang terjelma kepada sesuatu yang hip dan trendy. Lebihan-lebihan inilah yang bermetamorfosis menjadi bahan kumbahan atau tahi, yang kemudiannya disedut oleh golongan trend sucker yang saya katakan tadi.

Trend semasa ini bersifat pop, semestinya, serta tak tahan lama seperti ketulan ais yang lekas cair. Jika ketulan ais diletakkan di tempat yang panas, ia akan mencair dengan lebih cepat. Begitu juga kesnya dengan budaya pop ini. Kalau kamu perasan, makin hot atau hip sesuatu trend, lagi cepatlah trend itu padam. Oleh itu, biar saya berlagak sebagai tok nujum di sini. Saya berani meramalkan bahawa trend baju-T ini tak lama, paling kuat pun ia hanya mampu bertahan sampai hujung tahun ini saja. Justeru, mungkin ini akan menjadi simbol kemerosotan bahasa Melayu pula! Hahaha!!

Tambahan pula, ada satu lagi yang perlu kita sedari, trend atau budaya popular ini tak memiliki sebarang nilai falsafah yang sebenar. Trend semasa ini tiada kesinambungannya. Boleh hidup secara tiba-tiba dan mati dalam sekelip mata. Ini berbeza dengan letusan budaya Hippie suatu ketika dahulu, atau sub-kultur Punk, yang mana ianya ditopang oleh falsafah-falsafahnya yang tersendiri, walau ramai jua yang cuma ikut-ikutan. Malah, Black Metal juga mengandungi nilai falsafah, di sebalik palitan ‘corpse-paint,’ di sebalik hingar bingar dan karatnya alunan musik mereka. Falsafah-falsafah inilah yang memberi nilai kepada sesuatu kewujudan budaya atau sub-budaya lalu menampakkan pembudayaan yang ada hujung-pangkalnya.

Tak akan pernah wujud sentimen nasionalisme, patriotisme, atau apa-apa bentuk nilai sosiologi positif sekalipun dalam budaya pop atau trend semasa. Saya mahu katakan, trend semasa tak lebih sekadar budaya picisan yang diraikan oleh para remaja, sebagai wadah eskapisme runcit-runcitan sewaktu muda. Ideanya sangat cetek. Maknanya, kalau dahulu mereka memakai baju-T bertulis dengan istilah Inggeris, bukan kerana mereka berpaling dari budaya tempatan. Tapi kerana melayan trend. Sekarang pula, yang tengah ‘in’ dan kelihatan hip ialah istilah berbahasa Melayu, maka itulah pilihan mereka. Jangan buat-buat pelik, jika satu hari nanti datang trend memakai baju-T tertera bahasa Jepun, maka mereka ini tak mustahil akan beralih ke bahasa Jepun pula. Kalau ini terjadi, adakah kita akan menganggap yang golongan trend sucker ini sedang berusaha mengaplikasikan dasar pandang ke timur?’

Saya juga hairan betapa mudahnya penjiwaan Melayu mereka, hanya semurah sehelai baju. Soalnya, apakah mereka ini pernah membaca Hikayat Hang Tuah? Apakah mereka ini mengenali Pendeta Za’ba? Adakah mereka pernah merasa cencaluk? Adakah mereka ini tak malu menumis sambal? Jikalau jawapan kepada soalan-soalan ini cenderung ‘tak pernah’ atau ‘tak tahu’, nescaya terbukti bahawa fenomena baju-T ini memang sekadar trend murahan.

Selain itu, pastinya di sebalik trend ini, tersisip nilai yang lain, selaku nilai yang sebenar, yakni nilai komoditi pasaran. Pastinya akan ada pihak yang menangguk di air yang keruh, untuk menjala untung. Disebabkan itu, trend baju-T ini sekadar kilauan budaya pop yang bertopengkan keuntungan dan konsumerisme. Adalah sangat lawak jika kita percaya bahawa bahasa kebangsaan mendapat signal positif dengan hanya melihat seorang remaja ’mendadakan’ baju-T bercetak frasa, “Saya Jiwa Kosong” – ha, tahu takpe.


Mohd Ikhwan Abu Bakar