Memaparkan catatan dengan label Mansor Puteh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mansor Puteh. Papar semua catatan

Isnin, Februari 28, 2011

Kesenian dan Konsumerasi

Kelmarin saya ke Buka Jalan International Art Festival di Balai Seni dan terlihat dua susuk pembikin filem berkacamata hitam: U-wei dan Mansor. U-wei akan datang dengan filem terbarunya Hanyut manakala Mansor pula mengingatkan saya kepada tulisan Abror baru-baru ini di JalanTelawi.com. Di dalam tulisan itu ada menyentuh mengenai filem Seman (1986) yang melawan dogma itu. Pabila melihat rambut kedua pembikin ini yang berwarna putih, hati saya sedikit gusar. Tanpa disedari filem Seman telah berlalu 25 tahun yang lalu. Umurnya seusia dengan tubuh saya. Ya, tidak salah kadang-kala kita bernostalgia, tetapi ke manakah perginya pembikin-pembikin yang masih belum berambut putih? Sampai bila kita mahu berpaut pada ‘satu-satunya’ filem eksperimental tempatan itu? Saya tanya, saya sendiri akan jawab.

Baru-baru ini saya ada menonton filem Chermin (2007) dan Bila Punggok Rindukan Bulan (2008) secara terus menerus. Kepada yang tidak tahu, kedua-dua filem ini dihasilkan oleh mereka yang masih belum berambut putih (dalam lingkungan bawah 30-an). Tak dinafikan saya lebih cenderung untuk meminati filem yang kedua. Chermin bermula dengan baik bagi sebuah filem yang berlokasikan resort… eh silap kampung. Dari segi jalan cerita ia kuat mengikuti acuan Hollywood. Saya tiada masalah dengan ini, cuma semakin lama – filem ini semakin gedik. Bagaimana mak cik sismance itu balik rumah melalui hutan rimba sangat menggelikan hati. Di kampung-kampung, laluan manusia dipanggil denai. Mengetahui ini saya sedari terdapatnya satu paten di mana seseorang pembikin itu, belajar di Barat kemudian ingin bermain kembali dengan semangat Nusantara. Ini tidak salah tetapi jika silap dilaksanakan, ianya akan jadi kelakar. Yang membuatkan saya melupakan filem ini adalah babak exorcist di mana seekor Smeagol merangkak keluar dari tubuh Natasha masuk ke dalam cermin. Entah mengapa saya fed up dengan filem yang baru saya tonton itu. Apa pun daripada 100 markah saya berikan 40/100, sama macam Khurafat. Ia tidaklah seteruk Haq (2011) atau Antoo Fighter (2009).

Filem Punggok Rindukan Bulan pula tanpa berlengah saya beri 70/100 markah. Ini adalah sebuah filem yang baik dan penting sekaligus. Tidak bermain dengan dunia kampung, filem ini mendekati jiwa-jiwa kota. Semangat perbandaran dan kemajuan; permainan ruang publik/privasi digerakkan dengan jayanya. Mereka yang mendalami ilmu senibina saya syorkan menonton filem ini. Seperkara yang saya perasan, filem ini berhijrah daripada fiksi kepada dokumentari secara halus dan puitis. Terdapat 3 segmen nyata yang saya perasan. Pertama kerinduan berlarutan seorang budak bernama Sidi terhadap ibunya. Ini jika ditekan lebih dalam boleh jadi berupa kerinduan feminisme kesemulajadian alam di dalam dunia maskulin konkrit dan keluli. Kedua proses rakaman dan dokumentasi Amani yang menemubual penduduk setempat. Seperti ruang tangga dan koridor sempit flat Bukit Chagar yang bersifat semi-publik (laluan penduduk) dan semi-privasi (couple bercanda), segmen ini adalah di antara semi-fiksi dan semi-dokumentari. Dan segmen terakhir, bersemadinya flat itu di duniawi ini.

Berbalik kepada hal asal, ya kesenian di negara ini sentiasa sempit dan terhimpit. Baru-baru ini industri perfileman tanah air telah menampakkan pemecahan rekod keuntungan yang memberangsangkan. Saya turut bergembira di atas kekayaan yang masuk ke dalam kocek para pengusaha sinepleks dan pemilik syarikat produksi ini. Cuma jika kita tolak lebih jauh, apakah makna semua ini? Bagi saya penonton di negara ini semakin banyak wang untuk dibelanjakan. Itu saja. Ini serupa dengan makanan yang berlambak di negara ini. Sehinggakan kadang-kadang saya terfikir terdapatkah mereka yang mati kebuluran di negara ini? Melalui alam kita dapat menikmati kesuburan aneka pilihan makanan. Kalau di kota pula lihat saja makanan yang tidak habis. Ianya berlambak. Kita terjerat di dalam kitaran konsumerasi yang statik. Dan kesenian adalah salah satu jalan untuk kita bergerak menjadi manusia yang sempurna.

Di Balai Seni Lukis Negara yang menganjurkan festival seni persembahan Buka Jalan, jika kamu perasan berlaku satu penyongsangan. Bukankah sepatutnya seni persembahan bertaut dengan Istana Budaya? Ya, saya faham. Saya juga jika diberi pilihan akan menjauhi Istana Budaya. Kesenian di negara ini tidak kiralah apa pun, mula korup apabila ia di-glam-kan. Dan Istana Budaya menggenggam falsafah glam ini sampai jadi bara. Mujur adanya kubu kesenian (boleh tahan) di Balai Seni Lukis Negara. Lebih kuat tempat itu mempunyai sejarah. Malah jika mahu dibuat panggung alternatif, mungkin boleh difikir-fikirkan. Saya pernah menonton filem Mexico di situ dan ianya not bad

Selain itu, Ayam ada menceritakan kepada saya mengenai kewujudan filem terbaru arahan Nam Ron: Jalan Pintas. Katanya filem ini seperti Gadoh (2009) akan menggunakan jalan songsang, di mana filem itu yang akan mencari penonton. Saya cukup faham dengan tindakan ini kerana di negara ini, sinepleks berkuasa. Kamu perlu tahu beza pawagam dan sinepleks. Sinepleks yang kalau tidak silap saya bawaan Amerika ini adalah gedung yang memiliki banyak panggung (wayang gambar). Pawagam pula lebih bersifat peribadi (atau kecil skalanya). Berbeza di antara menonton di pawagam dan sinepleks. Di sinepleks, kamu adalah seorang konsumer tidak kira apa latar kamu. Pilihan filem sentiasa teruk. Oleh kerana itu saya cukup bersetuju dengan Abror bahawa kita yang meraikan kesenian sejati ini memerlukan sebuah panggung alternatif. Konsumer jamak yang bebal perlu dipariahkan.

Apa pun tidaklah bermakna saya menolak sinepleks seratus peratus. Dua filem yang saya tunggu-tunggu untuk tonton ialah Bunga Lalang dan Hanyut. Di mana lagi dapat saya tonton filem ini jika tidak di sinepleks? Lol. Selalu juga saya perasan atas dasar apa kamu menonton sesebuah filem? Adakah ulasan di surat khabar dan blog atau status FB/Twitter akan mempengaruhi kamu? Ini saya tidak peduli, tetapi bagi saya yang paling penting adalah sesi temubual bersama pembikinnya. Tidak dinafikan Bissme antara yang paling pakar dalam hal ini. Setakat ini temubual bersama Dain dan U-wei paling berkesan buat saya. 


Ridhwan Saidi
P/s: Melalui temubual juga kita berpeluang untuk detect samada seseorang itu benar pembikin filem atau sekadar seorang tukang beri arahan.
P/s/s: Menurut Bissme, tajuk filem Bunga Lalang telah ditukar kepada Bunohan.

Selasa, Disember 07, 2010

10 Filem Malaysia Pilihan Hati

Sepuluh filem yang tertera di bawah ini merupakan filem-filem yang secara peribadi telah memberikan kesan yang “ ‘mendalam’ ” terhadap diri saya – tapi awas! Ini bukan soal sempurna atau tidak sesebuah filem itu. Saya bukanlah seorang cineaste, cinephile, filmster, film-holic, film buff, film theorist, film critic, moviegoer ataupun kaki wayang, tetapi hanya sekadar seorang sinematikus; ibarat seekor tikus yang konon buat-buat sibuk berkenaan hal-hal sinema. Sepuluh filem yang dipilih ini disusun mengikut huruf pasal malas nak menentukan yang mana lebih " 'mendalam' " daripada yang mana. Malah jangan pula melatah jika pilihan ‘filem Malaysia’ saya ini melangkaui sempadan geografi dan politik:

6horts (2002) – Amir Muhammad
Himpunan filpen di dalam 6horts ini menyedarkan saya bahawa idea dahulu, produksi kemudian. Filem boleh dihasilkan dengan mudah semudah mudahnya. Satu imej pegun Mona Fandey pun jadi-lah. Sedihnya, baru saya sedari teman-teman 'production-oriented' saya yang tak sudah-sudah berbicara tentang jib-arm, yang terus menerus menghasilkan drama radio, rupanya tidak pernah tahu mengenai filem ini. 

Bukak Api (2000) – Osman Ali
Barisan pelakon (yang bukan pelakon), art direction, mainan kata yang tertera pada skrin, semua ini menyumbang kepada keseksian filem ini. Saya tidak begitu ingat bagaimana filem ini bermula, tetapi pengakhirannya begitu... bermutu. Saya tidak pedulikan sangat detik-detik didaktik yang ditanam di dalam filem ini, pasal ianya diaksikan oleh mereka yang benar.

Dari Jemapoh ke Manchestee (1998) – Hishamuddin Rais
Jika ada satu filem Malaysia atau Melayu yang berjaya menyatukan visual dengan musik, inilah filemnya. Sebenarnya untuk mengesan keberjayaan sesebuah filem itu, rahsianya terletak pada syot pertama dan syot terakhir. Untuk filem ini, ianya akan kekal di dalam ingatan saya sepanjang hayat – dari bumi ke langit, itulah cita-cita anak muda (sepatutnya).

Gedebe (2003) – Nam Ron
Filem ini adalah satu kegagalan yang menyegarkan, sekurang-kurangnya buat saya (ya mengilhamkan). Ianya bermula dengan baik, tetapi kemudian perlahan-lahan merudum ke pengakhiran yang tidak memuaskan nafsu sinema saya. Tapi yang membuatkan saya merasakan filem ini menarik, jika Haru-Biru (2007) menyampaikan suara muda dengan gaya orang tua, filem ini menyampaikan suara muda dengan gaya anak muda – tak kisahlah yang membikinnya secara harfiah tua atau muda, ini berkenaan jiwa! 'Gaya anak muda' ini rare ya amat di negara ini, sebab majoriti anak muda negara ini rata-rata berlagak seperti orang tua, dasar tak sedar diri. Oleh itu marilah kita anak muda bertaubat nasuha, lalu meraikan kemudaan.

Hang Jebat (1961) – Hussein Haniff
Ini tulus klasik. Babak tariannya yang digarap Siput Serawak, beat suntingannya, sinematografinya, muziknya, isi tariannya yang sudah pun memberi petunjuk Tuah dan Jebat bergasak, ini semua membuatkan diri saya malu ketika menonton filem seperti Sayang You Can Dance atau 'teater muzikal' seperti Uda dan Dara. Malu, seribu kali malu!

Kaki Bakar (1995) – U-wei Saari
Kesumo berlari menangis dalam gelap, Kakang sental permaidani pakai parang dalam tandas, Kakang mengeluh kepada anaknya Kesumo dalam perjalanan ke rumah Tuan Kassim. Semua ini, semua ini  – sinema!

Man Laksa (2006) – Mamat Khalid
Tiap kali filem ini dimainkan di tv, mesti saya terlekat, paling tak pun seketika. Jika Kaki Bakar bermain dengan alam kampung yang lebih serius, filem ini bermain dengan sisi-sisi komedi. Semua tipainduk kampung seperti village idiot, samseng kampung, tok penghulu dan lain-lain menjadi. Chah lakonan Sharifah Aleya dengan kulit putih, bertocang, di dunia nyata ini saya akui ciri-ciri sedemikian memang menjadi kegilaan pemuda-pemuda kampung lantas menjadi gadis pujaan ramai. Mengingatkan saat waktu berhingus, ini melucukan.

Rebels of the Neon God (1993) – Tsai Ming-liang
Kesannya dalam terhadap diri saya, kalau boleh nak buat filem macam ni. Lucunya filem ini direkomen abang penjual DVD tingkat atas Armcorp Mall.

Seman (1986) – Mansor Puteh
Tak pernah saya duga filem ini akan membawa saya sampai ke negeri matahari terbit. Tak pernah juga saya menonton filem Melayu atau Malaysia moden (pasca-studio) sebebas ini.

Tiga Abdul (1964) - P. Ramlee 
Ada dua faktor yang membuatkan filem ini menarik. Pertama ceritanya, kedua penceritanya. Dalam filem ini, penceritanya S. Shamsuddin belum apa-apa lagi sudah berdekah-dekah lawak. Tu belum apa-apa lagi tu.

Wasurenagusa – Yasmin Ahmad 
Tidak pernah dalam hidup saya membaca skrip atau lakonlayar sampai habis. Ini kerana sifat skrip itu sendiri yang skema dan membosankan. Tetapi untuk filem ini, ianya begitu memudahkan. Rupanya yang sah puisi dengan typeface Garamond, santak tengah, sekelip mata habis dibaca tanpa disedari. Membaca skrip tidak pernah seseronok ini.


Ridhwan Saidi
P/s: Belum tengok lagi Amok, Jimi Asmara, Sayang Salmah, Johnny Bikin Filem dan banyak lagi filem-filem Melayu atau Malaysia yang menarik. Kepada mereka yang merasakan hanya filem-filem Yasmin sebagai menarik (dalam negara ini), tolong explore lagi. Tenkiu. Oh! Btw entri ini adalah respon kepada 10 filem pilihan orang lain yang mana 4 daripadanya filem Yasmin. Mengelat betul.

Sabtu, September 18, 2010

Who Wants to Be a Filmmaker?

Dalam proses pembikinan filem, melalui pengalaman bertahun-tahun aku sebagai seorang pseudo-sinefilia, melalui pemerhatian yang aku jalankan di institusi pengajian filem dan industri perfileman tempatan, boleh aku kategorikan proses pembikinan filem ini kepada dua. Pertama, proses yang berteraskan idea yang bersifat amateur, rambang, spontan dan dinamik manakala kedua proses yang berteraskan profesionalisme, terancang, spesifik dan statik.

Pokoknya teras yang membezakan kedua-dua proses pembikinan filem ini adalah kebebasan, dan anehnya ramai filmmaker-wannabe di negara ini cenderung memilih untuk tidak bebas. Instead of merayakan seni dengan bertindakbalas dengan persekitaran, mereka memilih untuk ‘berkerja seperti anjing’—jangan marah, ini lirik lagu The Beatles. Mereka mementingkan produksi melangkaui idea. Ini kita sedari apabila hal-hal yang diwacanakan di kala pra-pembikinan filem kebiasaannya mengenai art direction, pakaian, lighting, sinematografi, make-up dan lain-lain. Ini tidak salah, cuma juling.

Idea-oriented v Production-oriented
Secara peribadi, bagi aku Blade Runner: Final Cut (1982) dan The Godfather Trilogy (1972, 1974 & 1990) merupakan antara filem-filem production-oriented yang sudah berada pada tahap lengkap. Tetapi kita perlu ingat, walaupun produksinya lengkap, ia adalah produksi yang mendukung idea. Yang aku lihat berlaku di negara ini, produksi-produksi jarang mendukung sebarang idea.

Menurut Alfred Hitchcock, sesebuah filem itu siap selepas skrip siap. Inilah fundamental bagi mereka yang merayakan production-oriented. Ini bermakna selepas selesainya pra-produksi (skrip), kerja-kerja selepas itu hanyalah sebuah proses perlaksanaan secara fizikal dimana ia dikerjakan oleh buruh-buruh kasar yang dipanggil kru. Ini adalah satu sistem makan gaji – kapitalisme – dimana kru-kru ini menukarkan keringat mereka kepada duit. Aneh apabila sesebuah projek dengan dana yang kecil cuba meraikan sistem kapitalisme ini.

Idea-oriented pula adalah satu pendekatan di mana ia lebih terbuka. Kita boleh ambil pembikin-pembikin yang berkebolehan untuk merombak skrip (atau tanpa skrip) semasa penggambaran dan suntingan seperti Jean-Luc Godard, Wong Kar Wai, Mansor Puteh dan seumpamanya. Proses berkarya itu tidak tersekat selepas fasa pra-produksi. Ia lebih hidup dan dinamik. Malah perkataan ‘amateur’ itu jika digali asal istilahnya bermakna ‘cinta’. Proses pembikinan yang disemai rasa cinta ini bebas daripada kekangan profesionalisme. Tidaklah bermakna mereka mengabaikan serba-serbi tentang perkara-perkara teknikal produksi. Mengambil kata-kata Garin Nugroho, “Idea hanya muncul selepas teknik tidak lagi menjadi hal.” Bagi aku filmmaker-wannabe tidak perlu berkocoh-kocoh memikirkan soal bagaimana ia dibuat, sebaliknya apa yang dibuat.

Inspirasi v Imitasi
Apabila ‘APA’ (dengan huruf besar) ini diabaikan, secara tidak langsung ia juga memisahkan dualiti tadi kepada inspirasi dan imitasi. Tanpa idea, dengan hal-hal teknikal produksi semata-mata, werk yang dihasilkan ternyata adalah satu imitasi. Samada imitasi itu berjaya atau tidak, pokoknya ia hanya sekadar satu imitasi. Ini berbeza dengan idea-oriented dimana ia terjadi melalui inspirasi. Memang inspirasi ini diserap daripada idea orang lain, bak kata Jim Jarmusch, “Daripada mana kau curi idea itu tak penting, yang penting ke mana kau nak bawa idea tu.” Maka dengan itu sebuah imitasi tidak akan membawa idea itu ke mana-mana. Imitasi terhadap werk-werk P.Ramlee atau Yasmin Ahmad tidak akan menggerakkan (sila rujuk iklan dan rancangan Raya di televisyen), sebaliknya ia perlu terinspirasi. Untuk terinspirasi seseorang perlu gali ke dalam sesebuah werk itu. Di sini pentingnya pemahaman tentang kedalaman (yang tidak diambil pusing oleh majoriti jemaah Malaysia, terutamanya yang menggelarkan diri mereka singer/songwriter boohoo).

Konklusi
Aku mengambil kesempatan ini mendoakan jemaah filmmaker-wannabe yang berimankan production-oriented tadi agar murtad lalu merayakan idea, insya'Allah.


Ridhwan Saidi

Jumaat, Jun 04, 2010

Namaku Ali Parodi

Namaku Ali Parodi. Aku terkenal di kalangan pencinta seni tempatan. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk aku dikenali ramai, hanya selama beberapa bulan saja. Ini kerana muka-muka yang serupa juga yang akan menghadiri sesuatu pesta keramaian seni itu, namakan saja – teater, lukisan, puisi, muzik, buku, filem, semua aku sokong. ‘Support your local art scene.’ Apa yang perlu aku lakukan hanyalah menempel dan menampakkan muka aku. Aku hanya perlu bersembang mengenai seni secara kritikal dan intelektual bersama mereka, kawan-kawanku. Oh ya, aku berambut panjang. Aku tak berkawan dengan mereka yang berambut pendek. Bagi aku mereka yang berambut pendek ini skema, tipikal, konvensional, klise, pejabatisme dan paling penting ‘tak seni.’ Apa barang rambut pendek!

Namaku Ali Parodi. Suatu malam di sebuah pesta keramaian seni tertutup, aku terlihat seseorang yang tak pernah aku nampak sebelum ini. Aku panggil Joe, “Siapa dia tu? Budak baru ke? Apa dia buat kat sini,” tanya aku.

Joe balas, “Entah, budak baru nak masuk dengan art scene kita ni kot.”

“Kau tengoklah gaya dia,” sindir aku.

Aku dan Joe yang memakai kemeja-t, jeans koyak dan selipar gelak. Tetapi jauh di dalam sudut hatiku, aku cemburu melihat keterampilannya yang dodgy itu. Dia mengenakan baju kebaya putih dengan mini-skirt yang menampakkan paha dan betisnya yang bersih dan langsing. Kaca mata hitam wayfarer di tengah malam buta ini menambahkan lagi kemisterian gadis tersebut. Gadis itu sedang membelek-belek buku-buku perjuangan kiri nusantara dilatari bacaan puisi, diiringi gesekan rebab. Sepanjang malam aku memerhatikan gadis itu, dia berseorangan. Aku menggunakan kamera d-slr dengan telephoto lens aku ini untuk mengambil wajah gadis tersebut. Aku berpura-pura seperti ingin ambil gambar suasana pada malam itu. Ah bukan orang tau pun aku zoom apa.

Namaku Ali Parodi. Aku berada di kedai mamak pasca-pesta keramaian seni untuk sesi puji-memuji di antara kami. Selalunya begitu, tetapi tidak bagi aku malam itu. Aku hanya senyap, sugul. Aku memandang ke bawah sambil menatap wajah gadis itu yang berada di dalam skrin kamera d-slr. Kulitnya putih, dalam foto ini bentuk wajahnya ada iras-iras Audrey Tautou, alah pelakon Amelie tu. Tetapi dari sudut sini pula dia ada iras-iras Juliana Evans, macam patung. Oh dari sini pula seperi Lisa Surihani—garang-garang comel. Walaupun muka Jawa aku ganas, tapi aku rebah bila berhadapan dengan gadis-gadis menarik sebegini. Mencilah…

Namaku Ali Parodi. Aku sedang duduk di atas katilku mengadap MacBook mahu cepat-cepat transfer gambar tadi agar boleh ditatap dengan skrin yang lebih besar. Kemudian, tidak semena-mena serta-merta aku mendapat ilham untuk menulis sebuah puisi. Akan aku tujukan puisi ini buat gadis itu. Ya, aku optimis aku akan bertemu dengan gadis itu sekali lagi nanti.

Bila               dan
malaikat        syaitan
teguk            catat
arak              dosa,

Ketika itulah, aku,
akan berhenti mencintaimu.

Namaku Ali Parodi. Ini adalah karya puisi pasca-modenku yang ke-356, walaupun aku baru menulis puisi 2 hari lepas. Tapi tolong, jangan tuduh aku penulis puisi seni. Walaupun groupies aku di kalangan arty-farty dan culture-vulture, aku tidak seni. Aku hanyalah insan biasa yang mahu meluahkan warna-warni perit jerih kehidupanku ke atas kanvas putih yang dipanggil puisi. Aku tak suka plagiat orang, aku gemar cipta karya aku sendiri, tanpa dibiarkan berhawa orang lain. *Senyum.

Namaku Ali Parodi. Puisiku terlipat rapi di dalam sampul surat berwarna pink. Aku berada di sebuah pesta tayangan filem pendek. Aku berharap agar terlihat gadis itu, aku cukup cam gadis itu jadi mustahil aku akan terlepas pandang. Tetapi si dia tidak muncul-muncul, mungkin ada hal bisikku. Aku lalu ke depan untuk bertanyakan soalan semasa sesi soal jawab. Aku perlu bersuara untuk sustain kepopularan aku. Aku kata, “Bagi aku sinematografinya, mise-en-scene-nya, ianya poetic, aku suka! Berikan tepukan kawan-kawan.” Aku tepuk tangan, Joe, Man dan Boy turut serta tepuk tangan. Filem pendek Boy ditayangkan pada malam itu.

Namaku Ali Parodi. Seminggu selepas itu aku menghadiri gig di sebuah kelab malam di ibukota. Tidak seperti tayangan filem yang agak pasif, gig ini lebih aktif dan ramai dirayakan oleh anak-anak muda. Aku yakin gadis itu akan muncul pada malam ini. Sampul surat pink berisi puisiku tersisip rapi di dalam kocek jeans Levi’s big E kepala kain aku. Aku pakai money-shirt Ian Brown dengan kasut takraw Warrior putih yang pernah dipakai oleh M.Nasir, Nasir Jani, Mansur Puteh, Pyan Habib, Ahmad Dhani, Ramli Sarip, dan Iwan Fals. Ini menampakkan unsur-unsur grunge nusantara di dalam keterampilan diriku, tidak seperti budak-budak zaman sekarang yang post-rock belaka.

Namaku Ali Parodi. Semasa sebuah kugiran pop-punk sedang mendendangkan lagu mereka, aku terlihat seorang gadis yang menyerupai susuk gadis itu memakai big nerdy glasses, dengan floral mini-skirt, black leather jacket dan ada imej serigala pada kemeja-t-nya. Rambutnya pendek dan wajahnya bersifat androgynous. Aku beranikan diri untuk mendekati gadis itu. Tiba-tiba seorang lagi gadis dengan penampilan yang serupa lalu di depan aku. Bila aku berpaling, semakin ramai gadis-gadis di dalam kelab malam itu yang memakai big nerdy glasses, floral mini skirt, black leather jacket, t-shirt serigala, berambut pendek dan berwajah androgynous. Aku tertanya di dalam hati, “Mana diorang dapat pakaian ni semua agaknya?”

Kesemua mereka tiba-tiba memandang ke arah aku dan berkata, “F.O.C!

Namaku Ali Parodi. Telah 30 tahun berlalu pergi. Aku telah menghasilkan 19 buah lagu, 356 puisi, 12 filem pendek, 73 naskah teater, 54 daripadanya dipentaskan, 103 painting (semua abstract expressionist), 7 pameran solo, 9 koleksi fesyen avant garde, 26 video tarian, ex-vocalist kepada band experimental ‘Adik Guard’ dan macam-macam performance art lain. Aku masih kekal dengan scene seni bersama kawan-kawan aku. Bagi aku, kawan aku Joe, Man dan Boy adalah kawan sehidup semati aku. Aku takkan lupakan jasa dan kenangan pahit manis bersama mereka. Kalau korang baca ni, I love you guys so much!!! XOXO *Speechless… Sepanjang 30 tahun itu juga aku tidak lagi bertemu dengan gadis tersebut. Sehinggalah pada suatu petang, ketika pameran solo fotografi aku di Balai Seni Lukis Negara. Aku mempamerkan foto-foto lamaku termasuk foto gadis misteri tersebut.

Namaku Ali Parodi. Aku telah berkahwin, tetapi perkahwinan kami tidak kekal. Mungkin jiwa seni aku terlalu rebellious untuk dineutralkan oleh bekas isteriku yang merupakan seorang pramugari. Atau mungkin aku sebenarnya masih gila angau kepada gadis misteri tersebut. Apapun semasa di pameran foto itu, kelihatan seorang pakcik tua berambut putih beruban panjang mencecah lantai, dibaluti kain kapan putih mengalirkan air mata menatap foto tersebut. Matanya merah. Aku hairan, aku datang dekat, aku tanya, “Pakcik kenal ke perempuan dalam gambar ni?”

“Ini anak perempuan pakcik,” jawab pakcik itu.

“Oh, anak pakcik, kenapa pakcik sedih? Pakcik tahu dia di mana sekarang?” tanya aku curiga.

Pakcik yang menyeramkan ini mengeluarkan sekeping kad merah lalu diberikan kepadaku. Aku tatap kad itu, tertera alamat tanpa nama dan nombor telefon. “Ini rumah…” sedar-sedar pakcik itu sudah ghaib. Aku tergamam.

Namaku Ali Parodi. Ini bukan lagi parodi, ini serius. Apa yang berlaku kepada gadis tersebut 30 tahun dulu? Kenapa pakcik tua itu menakutkan? Ke manakah alamat yang tertera pada kad merah ini? Aku buntu tanpa sebarang jawapan. Satu-satunya kunci yang aku ada adalah kad merah tersebut. Ini semua takkan terjadi kalau aku di-reject terus oleh gadis itu pada malam tersebut. Aku seharusnya lebih berani menegur gadis yang aku suka. Seperti Man, dia acapkali dikecewakan oleh ribuan gadis. Perkara paling teruk boleh berlaku hanyalah kemurungan sementara, emo, kemudian dengar lagu Radiohead atau My Chemical Romance, habis cerita. Tetapi dalam kes aku ini, gadis yang aku jatuh cinta pada pandangan pertama terus ghaib begitu saja. Ini menyesakkan sekaligus menghancurkan ego aku selaku lelaki. Aku jadi gila bayang, ini memalukan.

Namaku Ali Parodi. “Inilah tempatnya,” aku periksa kembali alamat yang tertera pada kad merah itu. Di Jalan Telawi, Bangsar, ianya sebuah Irish pub and restaurant. Semasa aku masuk ianya kosong seperti belum dibuka, aku duduk di ruangan bar. Seorang waitress warga Filipina berpakaian tradisional Ireland dengan buah dada hampir terjojol keluar  menghampiri diriku ini lalu meletakkan segelas susu di depanku. Aku hairan, “Aku tak mahu minum susu, aku mahu minum beer,” bisik hatiku. Waitress itu kemudian meletakkan sehelai sampul surat berwarna merah di depanku, dia lalu berlalu pergi. Aku curiga—aku ambil dan buka sampul surat itu. Di dalamnya ada sepucuk nota, tertulis:
Jika Encik Ali Parodi ingin mengetahui apa yang terjadi kepada anak saya 30 tahun lepas, minum susu kambing segar tanpa gula ini.
Namaku Ali Parodi. Aku terasa seolah-olah seperti aku kena prank dengan kawan-kawan aku Joe, Man dan Boy. Tetapi aku tetap kekal cool. Aku tahu ini kerana aku ternampak seperti ada kerdipan lampu merah rekod di belakang sana. Nak kenakan aku konon, huh. Aku syak di dalam segelas susu ini ada seekor lipas plastik untuk mengejutkan aku. Ataupun mungkin mereka mahu aku bertengkar dengan waitress pasal susu ini. Mentang-mentang diorang tahu aku tak minum susu. Aku pandang gelas pint berisi susu kambing segar tanpa gula itu. Aku pegang—aku teguk kesemua susu itu. Sekarang apa? Tiba-tiba aku rasa mengantuk yang teramat sangat. Semuanya gelap.

Namaku Ali Parodi. Sedar-sedar aku sedang berada di salah sebuah pesta keramaian seni. Aku nampak Joe, Man dan Boy di satu sudut. Aku ingin panggil mereka tetapi ada seorang pakcik tua berambut putih beruban panjang mencecah lantai, dibaluti kain kapan putih betul-betul di hadapan aku. Pakcik itu datang semakin hampir dan kemudian merenung ke dalam kedua biji mataku. Lama merenung ke dalam mataku, dia kemudian beransur pergi ke kiri. Aku masih lagi memerhatikan pakcik itu. Dia sedang membelek-belek sebuah painting yang tergantung di dinding. Berpaling kembali ke depan, ada sepasang couple sedang berpegangan tangan. Mereka sedang memandang ke arah kemaluanku. Yang seorang itu memakai big nerdy glasses, floral mini skirt, black leather jacket, t-shirt serigala, berambut pendek dan berwajah androgynous manakala lagi seorang memakai baju kebaya putih, dengan mini-skirt serta kacamata hitam wayfarer. Mereka tersenyum. Aku marah. Tapi aku seolah tidak boleh bergerak, seperti lumpuh. Aku cuba menjerit, tetapi tiada suara yang kedengaran. Aku kalut dan mulai takut. Apa yang berlaku kepada diriku ini? Kenapa mereka perhatikan aku sebegitu rupa? Salah seorang pasangan itu kemudian bersuara, “Apa tajuk painting ni sayang?”

“Sekejap ye, I check,” balas yang seorang lagi.

Tajuk: Ali Parodi


Ridhwan Saidi

Sabtu, Januari 16, 2010

Bertandang ke Residensi

Saya seharusnya bersikap jujur, mengakui bahawa sa-nya saya jarang sekali menonton filem dokumentari. Jikalau filem tempatan, antara yang masih setia mendekam dalam kotak memori saya hanya ada tiga: ‘the Big Durian’ (2003) (walaupun semi-doku), ‘10 Tahun Sebelum Merdeka’ (2007) dan ‘Romantika ISA (2005).’ Antara ketiga-tiga itu, saya memilih ‘the Big Durian’ atas kepelbagaian teknik penceritaannya, juga atas dasar berat sebelah, saya peminat Salleh Ben Joned.

Adapun saya terpaksa suka atau tidak, menambah satu lagi senarai menjadikannya empat, seraya mengemaskini filem dokumentari pilihan setelah menonton filem dokumentari ‘the Residency Years’ (2009) beberapa hari lalu. Dan natijahnya, ‘the Big Durian’ terjelepuk ke tangga kedua gara-gara karya terbaru Mansor bin Puteh ini.

Apa yang membuatkannya begitu ‘istimewa’ di balik kaca mata saya? Nah, jika itu yang mula-mula ditanya, sekali lagi, saya perlu mengakui, ia atas dasar ‘cinta pandang pertama,’ bukan dengan Mansor, tapi dengan filemnya, sudah pasti.

Filem ini dibuka dengan visual dari atas langit memandang ke bawah, ke arah kota Kuala Lumpur, tanpa memperlihatkan KLCC, tapi Stadium Merdeka. Sewajarnya dari visual permulaan ini, penonton patut cepat menangkap tujuan utama filem, bukan untuk meraikan sang pengilham menara berkembar itu, tapi pengilham stadium utama negara yang pertama. Visual tersebut secara tak langsung menjadikan filem ini begitu ‘muda,’ walaupun ramai yang tahu stadium itu terlalu ‘tua’ jika nak dibandingkan dengan KLCC.

Muda yang saya maksudkan ialah dari segi imejnya mengikut konteks filem tempatan masakini, kerana jika direnungkan betul-betul, banyak filem tempatan tak kira fiksyen atau dokumentari yang sentiasa berebut-rebut untuk memperlihatkan imej KLCC di awalan filem, konon untuk memaparkan imej Kuala Lumpur yang cukup moden dan metropolitan sekali. Paparan imej KLCC yang bertalu-talu ini akhirnya menjadikan imej tersebut terlalu remeh, dan menggambarkan pembikinnya kekontangan idea dan tidak tentu arah dengan apa yang mahu diceritakan. Sedangkan, dalam the Residency Years, pemilihan imej Stadium Merdeka dan Stadium Negara membuatkannya sangat fokus dan melontarkan penonton dengan idea awal tentang kesah yang mahu dikongsi oleh Mansor tanpa meracau-racau ke imej yang tak ada kena-mengena. Pendek kata, beliau cukup tahu hujung-pangkal dengan apa yang dikerjakannya.

Apapun, perkara yang membuatkan hati saya tertawan bukan visual itu saja, tapi muzik iringannya juga. Muzik ini berjaya membuatkan hati saya cair, muzik dari tiupan serunai ini. Hanya kerana muzik ini, saya begitu cepat melatah, langsung terus menyimpulkan filem ini sebuah hasilan yang cukup bagus walau ia baru berputar tak sampai lima minit. Saya cepat menangkap ‘jiwa’ yang mengalir dalam jasad filem ini lebih-lebih lagi setelah telinga semakin lesu disogok dengan muzik moden yang entah apa-apa, macam ‘muzik indie.’ Tiuapan serunai ini secara mendadak menjadikannya sangat segar dan tersendiri seterusnya menolak hingga roboh timbunan filem-filem tempatan kontemporari yang terlalu intim berpaut pada muzik moden secara melulu, demi kelihatan moden dan seksi. Dengan muzik pembukaan ini saja, melodik, garang dan agak mistikal, seperti dimandi bunga, Mansor menyegarkan kembali jati keMelayuan saya walau hakikatnya beliau sedang cuba berkongsi catatan dan pengalamannya tentang Tunku Abdul Rahman, perdana menteri yang pertama.

Selain itu, aspek lain yang cukup mengujakan ialah kejujuran filem ini. Kejujuran ini sangat terasa kebenarannya, bukan jujur yang dibuat-buat. Ia tidak ‘cuba’ berlaku jujur, sebaliknya ia memang jujur seadanya. Bukti paling nyata ialah kerja kamera yang bergoyang waktu Mansor tiba di rumah penginapan Tunku sewaktu menuntut di England. Menurut beliau, kamera yang dipegangnya itu memang bergoyang gara-gara perasaan terharu-nya di kala tiba di situ. Ia emosi tulen yang mengalir ke tangannya yang memegang kamera, yang menyebabkan kamera itu merakam bukan sekadar visual, tapi emosi Mansor yang sebenarnya di waktu itu.

Sekarang kita mengimbau kembali ajaran Dogme 95. Dogma teori ini ada menyebut tentang bagaimana penggambaran yang wajib dibuat di lokasi sebenar, tapi set dan peralatan sokongan tak perlu dibawa bersama. Hanya jika keperluan yang mendesak barulah set dan prop itu disediakan, dengan mengambil kira lokasi di mana peralatan dan set ini dapat disediakan. Ini antara taktik dan teknik pembikinan yang cuba merayakan kembali estetika kesejatian dan kejujuran dalam seni filem. Cuma resikonya, cara ini akan menyebabkan filem itu dibuat secara pretentious untuk kelihatan jujur kerana taktik dan teknik itu sengaja diada-adakan. Walaupun saya tak fikir Mansor cuba mengikuti teori ini, namun tindakan beliau hanya memegang kamera itu bagi saya lebih menarik. Menariknya adalah dari segi kejujuran beliau yang tidak buat-buat, seperti goyangan kamera tadi, yang telah memerangkap seterusnya memasukkan emosinya ke dalam bingkai tanpa dirancang sama sekali.

Saya juga menyukai sesi temubual yang diadakan, santai dan tak formal. Terutama sekali, temubual dengan Ebby Saiful. Gaya Ebby menjawab temubual ini bukan sekadar santai dan bersahaja, akan tetapi menunjukkan estetika sebenar percakapan orang Melayu. Ia bukan perbualan ala-ala ‘Discovery Channel.’ Seolah-olah, kalau saya sendiri yang pergi menemui beliau dan mengajaknya berbual, begitulah juga caranya bercakap. Lagipun, memang begitulah estetika sebenarnya orang Melayu bercakap ketika sedang menceritakan sesuatu.

Tayangan foto-foto lama yang diambil oleh Syed Abdullah Barakhbah iaitu sepupu dan anak angkat Tunku selaku photographer tak rasmi Tunku juga amat penting  kerana foto-foto lama ini adalah antara bahan asas kepada penceritaan dokumentari Mansor. Apa yang menariknya berkenaan foto-foto lama tersebut ialah, kerana kebanyakkannya diambil dalam suasana yang tak formal, ia memperlihatkan beliau juga adalah 'manusia biasa.'  Bukti lain, dalam rakaman temubual dengan Tunku, beliau mengakui yang beliau sendiri pernah tak mendapat bayaran dari hasil skrip filem tulisannya, err, ‘Mahsuri’ (1959) ke ‘Raja Bersiong’ (1968), saya pun dah lupa. Ini menjadikan visual filem sangat dekat dengan orang biasa seperti saya. Inilah antara perkara yang sangat saya hargai ketika menonton Residency Years.

Justeru, saya sangat pelik apabila mengetahui ada pihak yang mempertikai paparan Tunku dalam filem ini yang kononnya telah memperleceh ‘keagungan’ Tunku sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’ negara. Sepatutnya, pada saya, kita lebih suka kerana berpeluang melihat kehidupan silam Tunku dari perspektif yang berbeza dan bukannya negarawan tipikal yang hidupnya berserabut dengan seribu macam protokol dan hal-hal politik!

Sebut tentang pengagungan tokoh, saya juga rasa ralat bila ada orang yang lebih sibuk dengan pengagungan seseorang tokoh. Tokoh, sehebat mana pun dia, tetap juga manusia. Apa nak sibuk sangat mengagungkan manusia sedangkan ada Yang Maha Agung di atas sana? Pengagungan tokoh dalam sesebuah filem dokumentari belum tentu menjadikan filem itu hebat pun, malah selalunya kerja ‘pengagungan tokoh’ ini sekadar jadi kerja membodek tokoh tersebut. Bila tokoh itu dikipas dibodek, filem itu berkemungkinan besar akan diangkat sebagai ‘filem yang bermutu’ dan ‘setaraf dokumentari luar negara.’ Filem sebegini akan dianggap tahu ‘mengenang jasa’ tokoh tersebut kerana itu wajib ditatang walaupun hanya berbekalkan cara penceritaan yang tipikal dan tiada idea-idea menarik.

Satu lagi perkara berharga dalam the Residency... ialah rakaman temubual dengan Tunku yang dirakam dengan kaset. Boleh dikatakan, rakaman kaset ini membentuk struktur penceritaan dalam the Residency Years. Jadi penceritaan filem banyak bertitik-tolak dari rakaman kaset ini, yang mana al-marhum Tunku banyak menceritakan kesah-kesah peribadi beliau yang lari dari soal politik seperti pembabitan beliau dalam penulisan lakon layar filem. Jadi ia membentuk penceritaan yang melompat-lompat, tak teratur mengikut perceritaan konvensional. Pergerakan cerita banyak bergantung pada apa yang diceritakan oleh Tunku melalui pita rakaman. Menarik juga, bila Mansor sengaja membiarkan audio asal pita kaset yang sebu ini, yang bermakna ia secara tak sengaja mengendong nilai-nilai sentimental. Kesebuan audio rakaman ini juga bagi saya adalah estetika tersendiri Residency Years yang cukup asli.

Secara keseluruhan, saya menganggap filem Mansor kali ini cukup berkesan sama seperti filemnya yang terdahulu, Seman (1986). Dalam masa yang sama, ia telah mengajak penonton untuk kembali kepada asas – back to basics, bukan sekadar dalam teknik perfileman, tapi juga dalam hal kehidupan secara amnya, tentang bagaimana manusia mangutur langkah hidup. Maksud saya, filem dokumentari ini dibuat berdasarkan sumber-sumber yang tersedia, baik dari segi kos, sumber cerita seperti foto-foto lama, pita rakaman, individu-individu yang ditemubual dan syot-syot yang diambil. Berdasarkan sumber-sumber ‘apa yang ada’ ini, Mansor telah menghasilkan sesuatu yang segar dan penuh kelainan. Ia bukan dibuat dengan meletakkan sasaran ‘untuk menjadi lain dari yang lain,’ atau ‘menghasilkan sesuatu yang baru’ tetapi ia dibuat dengan sejujurnya berdasarkan sumber ‘apa yang ada’ tadi.

Asas ketamadunan manusia melahirkan sesuatu ialah berpunca dari asas-asas utama yang tersedia. Misalnya jika kita memasak nasi goreng, asasnya mesti nasi, bahan perencah dan minyak untuk menggoreng. Namun seandainya tiba-tiba didapati nasi tiada, dan yang ada dan boleh menggantikan nasi adalah mee, maka hasil akhir yang boleh dijelmakan adalah mee goreng. Maka terjadilah benda baru, mee goreng, bukan nasi goreng. Inilah asas perkembangan benda-benda baru dan teori-teori baru dalam perkembanagan tamaduan manusia. Begitulah jua kesahnya dengan keaslian filem-filem Mansor bin Puteh.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Sabtu, Jun 06, 2009

Tak Ada Apa-apa Pun!

Dalam banyak babak filem Seman yang menarik, saya masih lagi cukup terkesan dengan satu babak ini yang pada saya, dalam konteks filem tempatan, klasik. Tapi sebelum itu juga, saya mahu simpulkan di awal lagi bahawa Mansor Puteh benar-benar seorang pembikin yang memahami medium yang ingin dimainkannya, bukan sekadar ‘buat.’ Jika ‘buat’ ini yang dijual, kita juga perlu sedar bahawa kita perlu ‘bermain’ dengan beribu malah mungkin berjuta-juta lagi umat di luar sana yang juga mem‘buat’, tapi di akhirnya tetap tak jadi apa.

Babak yang saya maksudkan ialah ketika watak Seman berada dalam kapal terbang untuk pulang entah ke mana kerana saya pun sudah lupa. Ah, lupakan saja ke mana destinasi impian Seman. Apa yang penting di sini ialah moment dalam bingkai, saat di mana terjadinya babak lucu antara Seman dengan gadis di sebelahnya yang mana gara-gara kejadian ini, muncul bibit-bibit hubungan mesra antara mereka berdua. Cewah!

Dalam babak ini, romantisnya, si gadis dengan tak sengaja telah tertumpah air ke atas peha Seman yang tentunya dibaluti sehelai seluar. Dengan spontan, si gadis meminta maaf. Tapi aneh bahkan lucu, Seman hanya sekadar berkata, “Oh, tak mengapa. Takde apa-apa. Sikit je ni.” Si gadis seakan tak berpuas hati dengan respon Seman, lalu beliau ‘menduga keikhlasan’ Seman yang mengaku ‘tak apa-apa’ sedangkan seluarnya telah dilencuni air. Tapi sebelum itu, Seman malah mencabar si gadis supaya menuangkan sekali lagi air ke atas seluarnya. Si gadis tanpa ragu-ragu terus saja menuangkan air, dan dengan selamba juga Seman masih berkata, “tengok, takde apa-apa pun. Takde apa-apa pun” sambil tersengih-sengih. Si gadis pula langsung tersipu-sipu dibuatnya dek telatah selamba nak mampus si Seman ini.

Apa yang ditunjukkan di skrin adalah ‘realiti’ filem. ‘Realiti’ adegan ini menunjukkan bahawa Seman tak terkesan dengan air yang telah dicurahkan ke atas seluarnya. Beliau sekadar menunjukkan reaksi lucu, nampak tak terganggu dek seluarnya yang basah itu. Sedangkan dalam realiti, lazimnya kita, apabila seluar basah, pasti berasa tak selesa. Jika seluar kita basah, kita selalunya mahu ia cepat kering, kerana mahu kembali berada dalam situasi ‘selesa’. Sebab itu apabila kita membasuh pakaian, kita wajib mengeringkan pakaian yang basah selepas dibasuh itu, agar nanti boleh dipakai semula. Bayangkan, kalau konsep basah tapi tak akan kering, saya percaya kita semula akan berhenti membasuh baju, atau paling tidak kita akan menukar modus-operandi kepada cara basuhan kering.

Kembali semula kepada Seman. Berdasarkan pandangan peribadi sebagai seorang penonton, pengadeganan ini secara halus telah menghancur-leburkan pra-konsep kepada sesuatu realiti. Tanpa merujuk pada apa-apa teori, saya selalu percaya apa saja realiti di hadapan kita sebenarnya telah di-design untuk kita terima-pakai. Kita sering percaya kepada sesuatu itu atas dasar persepsi rekaan yang telah di-set dalam sel otak. Dan persepsi ini pula terbentuk hasil dari pengumpulan pengalaman kita yang lepas, ditambah dengan ilmu pengetahuan yang bersifat saintifik yang diperoleh dari sumber bercetak seperti buku atau elektronik seperti internet. Tapi dalam masa yang sama kita lupa, bahawa realiti itu tak wujud sehingga ianya benar-benar ‘wujud’ – sama ada ‘ada’ ataupun ‘berlaku’. Apa yang telah ‘ada’ atau ‘berlaku’ tadi akan disusuli oleh respon yang mempunyai caj berlawanan, positif atau negatif, baik-buruk, suka-benci, dll. Namun kita kerap tersasar percaya akan konsekuensi terhadap sesuatu kejadian sebelum ianya benar-benar terjadi.

Sebagai contoh renungan, andaikan kamu keseorangan di rumah. Tiba-tiba, perut kamu memulas. Oh, tidak. Jijiknya. Ok, saya tukar. Andaikan pula badan kamu melengas dan melekit akibat suhu di rumah terlalu membahang, kononnya akibat kesan pemanasan global. Lalu kamu mengambil keputusan nekad untuk mandi. Ya, kamu di kala ini keseorangan di rumah. Tak ada sesiapa walau hantu galah sekalipun. Tapi, perasan atau tidak, waktu kamu masuk ke kamar mandi, kamu secara spontan akan terus menutup pintu kamar mandi kamu. Mengapa pula? Bukan kah kamu tinggal seorang saja? Hai, dah lupa ke? Atau otak dah mereng? Mengapa perlu menutup pintu, sedangkan kamu saja di rumah? Takut orang mengendap? Soalnya siapa?

Nah, kamu lihat bagaimana pra-realiti tadi telah mengaburi fikrah kamu akan konsekuensi terhadap sesuatu bentuk kejadian. Tiada sesiapa yang akan menonton kamu berbogel tapi kamu masih lagi paranoid takut diintai orang. Inilah yang kita lakukan sehari-hari. Kita telah melangkaui hakikat sebenar kepada sesuatu kewujudan atau kejadian. Tapi dalam Seman, sama ada sengaja atau tak, konsep ini dipersoalkan. Realiti tak akan kita kecap selagi ia belum benar-benar terjadi. Dan hakikatnya, konsekuensi kepada sesuatu wujudiah/kejadian itu masih lagi terbuka luas untuk sebarang andaian atau kemungkinan. Dalam kes bilik mandi tadi, kamu boleh saja membiarkan pintu bilik mandi itu terbuka luas, andai realitinya saat kamu mandi tiada mata-mata horny yang memerhatikan kamu. Nak tahu lebih lanjut, sila bertanya kepada Kak Nasha Aziz kita, sebab beliau pasti lebih arif dalam bab-bab sebegini.

Dan dalam Seman pula, Mansor Puteh telah menggunakan medium filem untuk mencipta hakikat lain, bahawa Seman tetap ‘tak apa-apa’ walau seluarnya telah basah. Ini amat-amat bertentangan dengan pra-realiti yang kita semua pegang di alam nyata di mana kita pasti setuju pabila seluar kita basah, kita pun naik menyampah. Kerana itu, waktu adegan ini berputar, ramai audien telah ketawa terbahak-bahak, termasuklah saya, walhal hakikatnya kami semua sedang mentertawakan diri sendiri. Hahahaha!


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Selamat Hari 'Slayer' Sedunia. Kalau tak tahu yang ini, ha kantoi! Nampak sangat yang kamu ini masih Mat Belia=)

Khamis, Mac 05, 2009

Surman (Seman)

Kebanyakan orang kata, Seman (1986) oleh Mansor Puteh terlalu jauh ke hadapan untuk diterima oleh masyarakat kita. Saya pula dengan selambanya boleh tolak idea ini dengan mengatakan bahawa filem ini biasa, tapi masyarakat kita yang ketinggalan zaman. Ini permainan relatif masa dan sebenarnya ia tidak penting buat saya. 

Kita sedia maklum bahawa Mansor Puteh ini belajar ilmu filem di U.S, tapi dalam Seman, hukum-hukum akademik perfileman (Hollywood) ditolak bulat-bulat. Hasilnya sedar atau tidak, ia akan terpantul kepada teori-teori montaj Soviet. Jangan kita leka, ketika ini perang dingin berlaku di antara U.S. dan Soviet (yang akhirnya roboh.) Apa yang bukan U.S. adalah Soviet.

Bagi saya filem ini adalah satu bentuk dekonstruksi montaj sejati yang dilakukan secara gerila. Mungkin orang menggunakan alasan terlalu jauh ke depan sebab mereka tak nak mengaku ketinggalan zaman. Sebab mengikut pemerhatian saya, teknik-teknik serta cantuman montaj yang digunakan cukup ortodoks (kadang-kadang dekat dengan cinema pur,) malah bahasa Melayu klasik juga digunakan, tambah elemen perbalahan Tuah dan Jebat. Kesemua ramuan-ramuan tradisional ini lalu diadu dombakan mengikut naratif avant garde (dalam konteks tempatan,) yakni kunci kepada filem ini. 

“Form follow content”

Bentuk filem ini bagai nak roboh kerana ia ikut isi ceritanya yang menongkah arus (avant garde.) Golongan konvensyen filem pada masa itu, (terutama dalam konteks tempatan) hampir semua berasaskan konsep ruang-masa Aristotlelian (termasuk Kembara Seniman Jalanan oleh Nasir Jani.) Berbeza dengan Seman, ia menggegarkan konsep ruang-masa Aristotlelian. Ketidaklancaran suntingan merata-rata, dari K.L ke Melaka ke mimpi ke imaginasi ke masa depan ke masa lampau ke Hiroshima ke dalam televisyen ke hari raya ke pentas teater. Gila (bagi orang kita,) tapi itulah salah satu keunikan media filem (ilusi) yang tidak ada di dalam bidang senibina (realiti.) Ini sama kesnya dengan senibina surreal (yang akan saya tulis mengenainya satu masa nanti).

Seperkara yang saya perasan, di awal cerita, banyak babak-babak watak Seman berada di dalam silhouette. Mungkin ketika itu si Seman ini masih di ambang kegelapan, mencari-cari, meraba-raba. Di atas meja pejabatnya juga, ada replika dacing berat sebelah. Ini bagi saya umpama unsur-unsur sindiran yang dilakukan secara halus. Hampir diakhir cerita pula, perasan atau tidak, si Seman ini mengambil gumpalan kertas dari seorang askar komunis yang ditembak mati. Di kertas itu tertera "Merdeka". Kenapa? Kepada yang tahu sejarah, PKM diasaskan pada 1930-lah yang mula-mula melaungkan ayat ‘merdeka’. Diakhir cerita sekali lagi si Seman ini membuka gumpalan kertas yang tertulis “Merdeka” ini. Bagi saya ia cuba membuatkan audiens berfikir, sudah betul-betul merdeka dan bebaskah Seman (yang mewakili orang-orang kita ini?)

Selain babak-babak rambang yang saya tebuk di atas, filem ini juga penuh dengan unsur-unsur perulangan, persamaan dan kontra di antara babak. Sekali lagi benda ini bukan benda baru, dalam hikayat-hikayat lama banyak unsur-unsur sebegini. Bagi saya filem ini tak ubah bak satu bentuk revivalism, mengangkat kembali semangat-semangat jati diri pejuang Melayu lama (orang timur) terhadap masyarakat ‘pasca-merdeka’ yang sudah hanyut dan kuning dek sistem pemerintahan dan pengaruh British durjana. Tanah digadai dengan duit pisang yang tiada nilai. Secara relatifnya, samada mereka (British) bijak atau kita (tuan tanah) yang bodoh (main tandatangan saja.) Anda pilih.

Walaupun semiotik filem ini jika dilihat secara sintagmatiknya (susunan,) mengkritik industri perfileman (serta isu-isu lain) sedia ada ketika itu (melalui bahasa montaj) yang mana Melayunya sudah hilang jati diri (akan Melayu hilang di dunia?). Secara paradigmatiknya (kupasan makna,) bagi saya ia bagai satu bentuk tombak propaganda yang sangat tajam. Ia menusuk span akal dan aliran hati saya (dan sepatutnya audiens yang lain) tentang semangat ‘kekitaan’ dan betapa kelakarnya budaya barat celup. Tidak perlu menjadi pluberal (liberal+plural, atau sebaliknya) filem ini secara spontan menunjukkan si Seman ini melawat rumah kawan arwah bapanya (India) sambil makan muruku (atau maruku?) Asimilasi hubungan sesama etnik ini cukup sekadar ‘subplot’, masalah mencari jati diri lebih mustahak untuk diceritakan.

Jika Hassan Muthalib melihat tangisan (tragedi) dalam filem ini, saya pula melihat filem ini sebagai komedi (karenah orang-orang kita haha.) Akhirkata, tanpa segan silu bagi saya filem Seman ini adalah filem yang paling cult statusnya di negara kita. Saya sendiri terpaksa tunggu bertahun-tahun untuk menonton filem ini. Kerja gila, tapi puas hati, sangat puas hati...


Ridhwan Saidi

Khamis, November 13, 2008

Kritikan dan Ulasan

Saya terdidik di dalam bidang arsitektur selama 4 tahun di Bota dan setahun di Seksyen Satu. Arsitektur ini saya percaya bukan sekadar kursus, ia lebih dari itu, ia adalah cara hidup itu sendiri. Banyak perkara-perkara luar tabii yang saya lakukan dahulu seperti duduk bersila selama 50 jam melukis tanpa makan dan tidur. Tapi kisah-kisah silam saya ini akan saya ceritakan lain kali. Anda boleh cuba google ‘architecture student lifestyle’ jika mahu tahu rintihan-rintihan pelajar-pelajar arsitektur seluruh dunia.

Untuk entri kali ini, tergerak hati saya untuk menyentuh soal pengkritik dan pengulas filem. Bukan apa, ini mengingatkan saya ketika belajar dahulu.

Di dalam senibina, sesi kritik adalah mandatori. Kami (mewakili pelajar arsitektur seluruh dunia) perlu pertahankan design kami dari para pensyarah terutamanya serta abang-abang dan kakak-kakak senior yang mahu mengorat. Di samping itu, kami juga lakukan sesi kritik sesama sendiri, bukan apa, mana tau jika ada kelemahan yang kami tak nampak. Ini secara tak langsung menguji pendirian kami. 

Sesi kritik ini boleh saya katakan berlaku setiap masa tak kira siang atau malam dan di mana sahaja termasuk tandas. Tapi yang paling mendebarkan adalah sesi-sesi penting seperti interim. Bukan sekadar markah yang diambil kira, di sinilah kami akan berdiri berseorangan dilengkapi sketches, drawing, calculation, model atau mock-up mempertahankan pegangan diri dari serangan 3-6 orang panel sambil diperhatikan oleh budak-budak lain.

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, kami akan diserang dari 3 penjuru iaitu struktur, fungsi dan estetika. Kepada mereka yang lemah semangat dan tidak berpendirian, bagi saya mereka ini seperti ditadah kepada bedilan peluru-peluru musuh. Tidak menghairankan jika ada yang sedih, depress, menangis, atau tidak kurang juga yang tersenyum kambing selepas itu (jadi sewel).

Bagi saya sesi kritik ini satu bentuk demokrasi sihat, malah lebih sihat dari menyertai Rakan Muda. Tapi di sini saya sedikit keliru, kenapa perbincangan-perbincangan terbuka tidak dilakukan selepas previu filem-filem kita ditayangkan. Ada memang ada, tapi anehnya hanya selepas kontroversi timbul. Pelik. Saya sebenarnya tertanya-tanya jika pelajar-pelajar jurusan filem ini kritik mengkritik di antara satu sama lain. Jika ada, di mana hasil borak mereka ini? Tertinggal di dalam auditorium ke? Atau di kedai mamak?

Satu lagi tabiat luarbiasa pelajar filem (dan pengarah filem) yang saya perasan, mereka cepat melenting selepas diberikan kritikan pedas. Balas mereka mudah, 

“Kalau kau hebat, kau buat la filem (pendek) yang lagi bagus!”

Ini serius, buat saya tergelak. Setahu saya Roger Ebert tak pernah bikin filem pun.

Saya pernah tulis bahawa ‘filem’ hanya wujud bila ada dua golongan bersimbiosis antara satu sama lain. Satu pembikin dan satu lagi yang menonton. Penonton yang bagus akan mencerna filem tersebut lalu dimuntahkan kembali dalam bentuk PENDAPAT. Dan pendapat yang keluar ini boleh jadi ringan atau berat yang saya yakin disalahtafsir sebagai kritikan (berat) dan ulasan (ringan).

Dari manakah pendapat ini datang? Dari PENDIRIAN dan PEGANGAN. Dan sepanjang hidup saya bergelumang dengan pelajar-pelajar ‘universiti’, boleh saya simpulkan bahawa mereka ini tiada pendirian dan pegangan. Oleh itu, di sini saya punya ‘pendapat’ bahawa, 

“untuk menjadi pengkritik filem yang bagus, anda perlu kritik kerajaan terlebih dahulu.”

Berkecuali adalah satu pegangan, tapi awas! ‘Mahu selamat’ dengan berkecuali berbeza. Mereka yang mahu selamat ini tiada pendirian. Sekarang cuba bayangkan, bagaimana seseorang yang ‘mahu selamat’ ini kritik filem. Sebab itu keluarnya pendapat-pendapat ringan dan remeh seperti,

“tak faham la cerita ni”

atau

“kepada peminat filem aksi, boleh la tonton filem ni.”

Ini saya iktiraf sebagai kritikan, tapi kritikan remeh. Samalah seperti filem remeh (a.k.a filem sampah kata Ku Seman atau filem jamban kata Mansor Puteh), tapi ia tetap filem bukan?


Ridhwan Saidi

p/s: Jika anda beranggapan bahawa kritikan itu kutukan, sejujurnya pemahaman anda tentang bahasa sudah juling. Kritikan adalah lontaran pendapat atau idea, ia boleh jadi positif atau negatif. Malah pujian itu satu bentuk kritikan. Jadi saya harap anda tidak terkejut pabila terdengar perkataan KRITIK. Oleh itu, jom kita kritik mengkritik antara satu sama lain.