Memaparkan catatan dengan label McDonald's. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label McDonald's. Papar semua catatan

Khamis, April 08, 2010

Franchising, Post-Modernity dan Manchester United

Macam manusia, kapitalisme juga berubah dan berevolusi. Noam Chomsky mengatakan bahawa ia telah mati pada tahun 1920-1930an. Yang kita salah tanggap hari ini adalah state capitalism yang menjurus ke arah fasisme, ini yang ditolak. Bagaimanapun proses perubahan ini telah menarik minat saya.

Kapitalisme pada awalnya kononnya adalah sistem yang paling sejati liberal. Malah laissez-faire bagi Adam Smith sendiri adalah satu konsep yang bebas daripada cengkaman dan campurtangan kerajaan pada ketika itu. Ianya berbalik kepada kebebasan individu (dari sudut ekonomi). Pada waktu itu, sebuah kilang (besar) akan menghasilkan satu produk (monopoli), dan bahan mentah bagi produk-produk ini kebiasaannya dijarah dari negara-negara yang dijajah. Wanita disundal, lelaki diburuh. Ianya datang sekali dengan kolonialisme dan imperialisme.

Masuk Perang Dunia Pertama hingga selepas Perang Dunia Kedua, dunia bergoncang lalu murung. Munculnya sub-sub kilang yang joint venture di antara satu sama lain dalam menghasilkan sesuatu produk. Saya tak tahu kenapa tetapi logiknya pada ketika itu, ekonomi sesebuah negara itu sedang kembali bangkit membangun.

Kemudian masuk tahun 50-60an (lebih kurang), syarikat-syarikat multi-nasional mula berkuasa. Ianya berkembang dalam bentuk franchise. Produk-produk yang dihasilkan didomestikkan mengikut citarasa setempat. McD di Malaysia tak sama dengan McD di Jepun. Nak tahu lebih lanjut tolong tonton pembukaan filem Pulp Fiction (1994). Satu elemen penting kapitalisme pada tahap ini: produk tidak sepenting nama/brand. Malah status nama dan brand sesebuah syarikat itu yang akan menentukan nilai produk tersebut.

Bila kita lihat Manchester United, ianya sebenarnya adalah satu bentuk branding. Ada nama tapi produknya biasa saja. Macam kamu makan sebungkus nasi lemak berharga RM 20 di hotel 5 bintang. Serius kepada mereka yang sudah melalui tahap self-actualization, pasukan M.U ini ya boleh menghasilkan gol, tetapi sebenarnya tak reti ‘bermain’ bola sepak. Ini saya sedari ada berkait paut dengan post-modernity di mana keruntuhan akhlak berlaku serta keindahan itu ditolak.

Ini berbeza sama sekali dengan La Liga ataupun Serie A yang mana corak permainannya lebih ‘tradisional’. Ia masih mengekalkan unsur-unsur pencerahan di mana beauty itu diraikan. Bila ada orang mengatakan bahawa EPL itu memainkan ‘beautiful football’, bagi saya itu karut.

Macam senibina Inggeris Norman Foster misalnya, mereka lebih rasional. Bandingkan ini dengan senibina Renzo Piano (Itali) atau Antoni Gaudi (Sepanyol). Walaupun bola sepak Inggeris ini ke arah rasionaliti, pantas dan straight to the point, tetapi kadang-kadang ia tak masuk akal. Saya tak rasa melambung bola ke dalam kotak penalti (bukan ‘pass’) dengan harapan ia disudahkan oleh penyerang barbaric seperti Wayne Rooney itu rasional. Macam kata kawan saya, “Ini bukan bola sepak, ini pinball!”


Ridhwan Saidi

p/s: Pemain-pemain M.U emo seronok untuk dilihat. Penyokong-penyokong M.U emo meluat untuk dilihat.

Sabtu, Mei 02, 2009

Hahamahafuck!

Setiap perkara di dunia ini dijadikan berpasangan untuk saling lengkap melengkapi. Nietzsche bila ditanya “kenapa menulis?” Dia sahut “I must!” (dalam bahasa Jerman). Kalau diikutkan, gua pun tak mahu menulis, tapi gua perlu! Mengapa? Sebab gua shell-shock apabila bebalisasi eh silap, globalisasi dihalalkan dengan cara yang begitu goblok. Come on la, ‘gua kelihatan bodoh bila bercakap dalam bahasa Inggeris’ bak kata Amani. Nak pandang Amerika, atau lebih teruk Bri’friggin’tish? Fuck you! Lihat sekeliling la bai, Indonesia, Thailand, Filipina, apa yang mereka pertahankan? Bahasa! Dengan bahasa, baru wujud jati diri. Bila ada jati diri, barulah boleh sahut cabaran globalisasi (kalau mahu.) Logiknya, jika lu jual rendang daging kat mat salleh, mesti diorang belikan, sebab unik. Tapi dalam kes ini, lu orang cuba jual Big Mac kepada diorang. Ini kerja bodoh. Berpaksikan Singapura yang lu halau dulu. Memang dungu, maha dungu. Globalisasi ini bermakna lu bersaing dengan pasaran antarabangsa. Sedangkan liga bola sepak lu sendiri terkinja-kinja tengah padang, nak bersaing dengan orang luar? Terang benderang atas tiket ‘globalisasi’ kuasa pemodal dari luar datang dan tanam janin mereka ke dalam rahim negara lu. Lu ada apa? Quid pro quo, kalau lu takde benda nak jual kat luar buat apa lu pergi buka peluang buat pelabur–penjajah ini. Apabila mereka buka kedai atas tanah lu, lu pun lalai lalu menjadi hamba konsumerasi beli kasut Kris Van Assche atau sut Dior Homme. Yang kerja kilang pula peliknya bukan lu, tapi pendatang asing. Tambah teruk, tidak perlu pergi sejauh Perancis, lu sendiri bertungkus-lumus mengimport produk-produk dari Indonesia (muzik, sinetron), Thailand (tekstil) & Filipina (drama). Tapi hairannya, apa fenomena konglomerat lu pula yang nak dijual kepada dunia atau paling koman Indonesia, Thailand & Filipina? Nak harapkan McDaud’s? Bersaing dengan McDonald’s? Hahamahafuck! Apa? Dengan globalisasi kita boleh jadi kaya? Jika McDaud's ini menjadi fenomena dunia sekalipun, siapa yang kaya? Semua orang kongsi kekayaan ke? Huh, talk to my hand. "Kau dengar tu Maha!" – Ben Joned, dalam The Big Durian.


Ridhwan Saidi

Jumaat, April 17, 2009

Kome Sial

Filem di Malaysia terbahagi kepada dua, pertama filem komersial, kedua filem budaya. Ini adalah pendapat yang juling, kerana bagi saya filem budaya juga boleh komersial (atau sebaliknya.) Contoh paling terang adalah filem Remp-it (2006), kutipan pawagamnya sukses dan dalam masa yang sama ia menonjolkan budaya kontemporari mat rempit (unik yang hanya ada di Malaysia.) Budaya bukan hanya terkongkong dengan konsep tradisi atau warisan atau sejarah atau benda yang lepas-lepas. Budaya meliputi semua ruang zaman dan waktu serta bersifat diakronis yakni boleh berevolusi. Negatif atau positif, itu perkara kedua. Pokoknya perkataan ‘budaya’ ini jangan sesekali disinonimkan dengan sifat bersopan santun, adat ketimuran atau apa-apa yang ‘kononnya’ baik-baik belaka. Apa yang kita lakukan tiap-tiap hari (dengan norma-norma persekitaran sebagai relatif)-lah budaya kita. Rasuah adalah budaya, begitu juga mengumpat, sedihnya.

Filem di Malaysia terbahagi kepada dua, pertama filem komersial, kedua filem seni. Untuk pendapat ini pula, boleh kita simpulkan bahawa filem-filem komersial tidak berseni (dalam erti kata sebenar) atau faham apa itu keindahan agung. Filem komersial bagi saya adalah filem yang dipasarkan/didagangkan atas nama keuntungan, oleh itu ia kembali kepada asas hubungan pengeluar – pembeli. Lawan kepada filem-filem komersial ini adalah filem-filem yang bukan berasaskan keuntungan atau dipasarkan secara meluas, hanya secara kecil-kecilan (tidakkah ini bercanggah dengan ‘filem budaya’ yang sengaja didagangkan?) Ada orang kata pembikin-pembikin filem komersial prolifik tanahair adalah kapitalis. Saya setuju dengan pandangan ini dan dalam masa yang sama saya tidak rasa ia sesuatu yang berbaur negatif. Kenapa? Sebab kita sedang berpijak di bumi bertuah ini di mana segala-galanya berteraskan sistem kapitalis. Bukan individu, sebaliknya ruang kosong itu yang patut kita risaukan kerana tanpa mereka, pasti ada individu-individu lain yang akan menyelinap masuk ke dalam ‘ruang itu’, silap haribulan saya-lah individu itu. Tambah aneh, tanah kita tidak disewakan kepada kilang-kilang syarikat kapitalis luar sebaliknya ia dijual terus. Ini sama kesnya dengan panggung wayang, kalau tidak silap saya pengusaha panggung akan dapat 50% daripada jumlah kutipan tiket. Maknanya jika sebuah filem dengan bajet 1 juta mendapat kutipan panggung sebanyak 2 juta, pengusaha panggung akan dapat 1 juta. Geli hati dibuatnya, bukankah lebih baik kerajaan saja yang jalankan aktiviti pawagam? Maknanya nanti pabila kita beratur nak beli tiket wayang, kita terpaksa berhadapan dengan pekerja kerajaan? OMG! 

Berhubung diri saya pula, adakah saya akan buat filem komersial? Mustahil, kerana melalui pemerhatian saya ke atas rancangan realiti di negara kita, ia menghairankan. Jumlah undian dibuka sepanjang minggu, undian tidak di’reset’ saban minggu, dan keputusan undian diumumkan beberapa minit selepas persembahan peserta terakhir. Paling pelik, masyarakat kita undi berdasarkan keperibadian individu dan bukannya persembahan. Saya tidak mampu untuk bikin filem buat mereka ini atau masuk ke dalam jerangkap samar konsumerasi, serius. Dengan itu saya lebih gembira berkhalwat dan dituduh ‘syok sendiri’. Dan filem syok sendiri (a.k.a seni?) ini semestinya dibikin atas niat bukan untuk semua orang. Oleh itu kadang-kadang saya jelik dengan sesetengah orang yang memperlekehkan filem-filem jenis ini pasal terlalu berat atau penonton dibebani dengan beban berfikir atau berbeza dengan filem-filem arus perdana padahal sudah jelas fungsi filem-filem ini memang sengaja lari daripada konvensyen umum. Hanya filem komersial sepatutnya runsingkan soal wang ringgit sebab ia melibatkan aliran wang ringgit a.k.a perniagaan, filem-filem alternatif (selain komersial) sepatutnya tidak pernah libatkan soal duit (atau paling koman janji balik modal.) Jelas di sini tajuk entri ini buat mereka yang tidak faham fungsi filem-filem alternatif, dan bukannya kepada pembikin-pembikin filem komersial yang tidak berdosa (tidak kira betapa cool pun filem mereka.)

Filem komersial itu 'jualan' manakala filem alternatif itu 'sedekah'.

Disebabkan apa yang saya cuba sampaikan di atas semacam tunggang langgang, di sini benarkan saya untuk menggunakan metafora bertempat. Filem komersial ibarat burger McDonald’s, ia dipasarkan secara meluas, dan saya yang kononnya selaku pengkritik dengan jujur akan kata Prosperity Burger tak sedap. Menjadi lumrah alam, ramai orang akan benci saya disebabkan kenyataan itu (terutamanya akademia sekolah masakan yang ignorant.) Berbeza dengan filem alternatif lagi tak komersial, ia umpama ketulan daging kisar yang saya gumpal dan goreng lalu diapitkan dengan dua keping roti kosong. Sedap atau tidak, kepuasan proses membuat itu yang saya hargai (sekurang-kurangnya bagi saya.) Dan mustahil burger saya ini boleh mencapai standard ‘sedap’ umum. Sekali lagi ia bukan untuk dipasarkan atau dikomersialkan dan lebih kepada kepuasan nikmat individu serta kalangan keluarga (mereka dengan minat yang sama) semata-mata. Jika ada orang suka burger saya, ia satu keajaiban sebenarnya, sebab sejujurnya ia tak sedap.


Ridhwan Saidi