Filem di Malaysia terbahagi kepada dua, pertama filem komersial, kedua filem budaya. Ini adalah pendapat yang juling, kerana bagi saya filem budaya juga boleh komersial (atau sebaliknya.) Contoh paling terang adalah filem Remp-it (2006), kutipan pawagamnya sukses dan dalam masa yang sama ia menonjolkan budaya kontemporari mat rempit (unik yang hanya ada di Malaysia.) Budaya bukan hanya terkongkong dengan konsep tradisi atau warisan atau sejarah atau benda yang lepas-lepas. Budaya meliputi semua ruang zaman dan waktu serta bersifat diakronis yakni boleh berevolusi. Negatif atau positif, itu perkara kedua. Pokoknya perkataan ‘budaya’ ini jangan sesekali disinonimkan dengan sifat bersopan santun, adat ketimuran atau apa-apa yang ‘kononnya’ baik-baik belaka. Apa yang kita lakukan tiap-tiap hari (dengan norma-norma persekitaran sebagai relatif)-lah budaya kita. Rasuah adalah budaya, begitu juga mengumpat, sedihnya.
Filem di Malaysia terbahagi kepada dua, pertama filem komersial, kedua filem seni. Untuk pendapat ini pula, boleh kita simpulkan bahawa filem-filem komersial tidak berseni (dalam erti kata sebenar) atau faham apa itu keindahan agung. Filem komersial bagi saya adalah filem yang dipasarkan/didagangkan atas nama keuntungan, oleh itu ia kembali kepada asas hubungan pengeluar – pembeli. Lawan kepada filem-filem komersial ini adalah filem-filem yang bukan berasaskan keuntungan atau dipasarkan secara meluas, hanya secara kecil-kecilan (tidakkah ini bercanggah dengan ‘filem budaya’ yang sengaja didagangkan?) Ada orang kata pembikin-pembikin filem komersial prolifik tanahair adalah kapitalis. Saya setuju dengan pandangan ini dan dalam masa yang sama saya tidak rasa ia sesuatu yang berbaur negatif. Kenapa? Sebab kita sedang berpijak di bumi bertuah ini di mana segala-galanya berteraskan sistem kapitalis. Bukan individu, sebaliknya ruang kosong itu yang patut kita risaukan kerana tanpa mereka, pasti ada individu-individu lain yang akan menyelinap masuk ke dalam ‘ruang itu’, silap haribulan saya-lah individu itu. Tambah aneh, tanah kita tidak disewakan kepada kilang-kilang syarikat kapitalis luar sebaliknya ia dijual terus. Ini sama kesnya dengan panggung wayang, kalau tidak silap saya pengusaha panggung akan dapat 50% daripada jumlah kutipan tiket. Maknanya jika sebuah filem dengan bajet 1 juta mendapat kutipan panggung sebanyak 2 juta, pengusaha panggung akan dapat 1 juta. Geli hati dibuatnya, bukankah lebih baik kerajaan saja yang jalankan aktiviti pawagam? Maknanya nanti pabila kita beratur nak beli tiket wayang, kita terpaksa berhadapan dengan pekerja kerajaan? OMG!
Berhubung diri saya pula, adakah saya akan buat filem komersial? Mustahil, kerana melalui pemerhatian saya ke atas rancangan realiti di negara kita, ia menghairankan. Jumlah undian dibuka sepanjang minggu, undian tidak di’reset’ saban minggu, dan keputusan undian diumumkan beberapa minit selepas persembahan peserta terakhir. Paling pelik, masyarakat kita undi berdasarkan keperibadian individu dan bukannya persembahan. Saya tidak mampu untuk bikin filem buat mereka ini atau masuk ke dalam jerangkap samar konsumerasi, serius. Dengan itu saya lebih gembira berkhalwat dan dituduh ‘syok sendiri’. Dan filem syok sendiri (a.k.a seni?) ini semestinya dibikin atas niat bukan untuk semua orang. Oleh itu kadang-kadang saya jelik dengan sesetengah orang yang memperlekehkan filem-filem jenis ini pasal terlalu berat atau penonton dibebani dengan beban berfikir atau berbeza dengan filem-filem arus perdana padahal sudah jelas fungsi filem-filem ini memang sengaja lari daripada konvensyen umum. Hanya filem komersial sepatutnya runsingkan soal wang ringgit sebab ia melibatkan aliran wang ringgit a.k.a perniagaan, filem-filem alternatif (selain komersial) sepatutnya tidak pernah libatkan soal duit (atau paling koman janji balik modal.) Jelas di sini tajuk entri ini buat mereka yang tidak faham fungsi filem-filem alternatif, dan bukannya kepada pembikin-pembikin filem komersial yang tidak berdosa (tidak kira betapa cool pun filem mereka.)
Filem komersial itu 'jualan' manakala filem alternatif itu 'sedekah'.
Disebabkan apa yang saya cuba sampaikan di atas semacam tunggang langgang, di sini benarkan saya untuk menggunakan metafora bertempat. Filem komersial ibarat burger McDonald’s, ia dipasarkan secara meluas, dan saya yang kononnya selaku pengkritik dengan jujur akan kata Prosperity Burger tak sedap. Menjadi lumrah alam, ramai orang akan benci saya disebabkan kenyataan itu (terutamanya akademia sekolah masakan yang ignorant.) Berbeza dengan filem alternatif lagi tak komersial, ia umpama ketulan daging kisar yang saya gumpal dan goreng lalu diapitkan dengan dua keping roti kosong. Sedap atau tidak, kepuasan proses membuat itu yang saya hargai (sekurang-kurangnya bagi saya.) Dan mustahil burger saya ini boleh mencapai standard ‘sedap’ umum. Sekali lagi ia bukan untuk dipasarkan atau dikomersialkan dan lebih kepada kepuasan nikmat individu serta kalangan keluarga (mereka dengan minat yang sama) semata-mata. Jika ada orang suka burger saya, ia satu keajaiban sebenarnya, sebab sejujurnya ia tak sedap.
Ridhwan Saidi