Memaparkan catatan dengan label Khalid Salled. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Khalid Salled. Papar semua catatan

Isnin, November 23, 2009

Mahathirisme Papadom

“Tidak pernah dalam pengalaman menonton cereka bahasa Melayu aku dapat melihat clitoris yang terbuka untuk menggambarkan proses kelahiran.”
Hello cik adik, clitoris boleh terbuka ke!? ;-)

Filem yang memenangi anugerah ‘berprestij’ filem terbaik FFM22 ini tidak boleh dinafikan layak selayak layaknya menang. Ini kerana ia memaparkan bagaimana semangat 1Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India (tanpa warga Sabah/Sarawak) tekun bersemangat jati demi mencapai suckcess. (Mesej: Penulis yakin bahawa 'kemenangan' filem ini adalah kerana tempelan literal ala ‘PSA’ ketiga-tiga kaum tersebut, bukan silap filem, tapi atas kebijaksanaan dan kebestarian sistem penjurian FFM).

Mahathirisme ini di sini tidak terikat dengan sebarang konotasi negatif mahupun positif (jika ada), dan ia bukan (semata-mata) berkenaan individu terbabit, tetapi semangat ideologi bawaannya. Tidak dinafikan hakikatnya di negara ini, majoriti umum masih bersimpati dengan sosok yang bernama Mahathir itu, dan ini terpancar jelas pada karya ‘seni’ Afdlin Shauki yang satu ini. (Penulis tidak pernah menonton filem-filem beliau yang lain.)

“Mahathirisme melihat kepada nalar nasionalisme, kapitalisme, Islam, populisme dan autoritarianisme. Nasionalisme Mahathir dipenuhi paradoks. Daripada ultra Malay yang memperjuangkan perjuangan kebangsaan tanpa kompromi, Mahathir bertukar untuk menentang nasionalisme kemudiannya melalui dasar penswastaan dan dasar ekonomi liberal. Kapitalisme menjelaskan tentang ideologi Mahathir terhadap kekuasaan wang dan modal yang didoktrinkan di dalam pemikiran orang Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. Islam Mahathir pula adalah tafsiran dan pemahaman semula melalui raison d’etre dan bukan lagi agama yang menyatukan semua urusan kehidupan sebagai addin atau tassawur al-kulli. Mahathir lebih mendukung prinsip sekularisme. Populisme menjelaskan sikap Mahathir terhadap keputusan-keputusannya yang kontroversi dan keinginannya terhadap sokongan rakyat secara popular. Sementara autoritarianisme memperlihatkan pemerintahan autokratik dan diktatorik Mahathir sepanjang lebih dua dekad tersebut.”
- SMZAKIR (2006)

Pejuang-pejuang dahulukala yang menentang penjajah dan kuasa imperial asing secara spontan akan dilabel sebagai seorang nasionalis. Pokoknya nasionalisme ini adalah semangat cintakan negara dan lawan bagi nasionalisme ini adalah imperialisme. (Melawan penjajah kalau tak kerana negara, kerana apa, kan?) Dalam konteks ini ia masih suci bersifat positif, tetapi ia juga boleh bertukar menjadi negatif apabila radikal ke arah fasisme.

Kini, negara kita ini sudah berada di atas landasan globalisasi. Usah bohong, zahir dan batin kita telah/sedang dijajah dan dijarah oleh kuasa imperial asing melalui keterbukaan total sistem ekonomi liberal. Tanah dan aset negara ini kebanyakannya diniagakan dan tergadai jatuh ke tangan pemodal asing. Nasionalisme-lah sangat…

Anehnya para pengaku ‘nasionalis’ hari ini bukannya menentang kuasa pemodal asing, tetapi menjadi anti-immigrant. Meletakkan diri mereka sebagai tuan yang membolehkan mereka mendera secara fizikal dan mental ‘pendatang asing’ yang lemah itu. Kerana itu pekerja-pekerja Nasi Kandar Saadom ini diambil secara murah (atas faktor kos a.k.a keuntungan maksima iaitu agama rasmi para kapitalis) dari India, dan bukannya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri. Tambah, tiga kapitalis sekawan yang muhibah ini (ironinya menjadi kuli) menyambut dan menghidangkan (siap tambahkan lauk) pinggan pemodal asing dari Dubai dengan layanan ala istana. Nasionalis sungguh!

(Paradox ini serupa logo 1Malaysia yang memecahkan bendera Malaysia itu sendiri.)

Seterusnya dalam filem ini disimpulkan bahawa suckcess itu tadi tidak lagi bermakna apabila isteri Dom (Saadom) mati di dalam kemalangan jalanraya akibat menggunakan telefon bimbit (PSA?). Papa Dom tiba-tiba menyesal kerana telah mengabaikan keluarganya akibat terlalu asyik mengumpul kekayaan wang ringgit dan harta (alahai…) dan berubah menjadi sociopath yang taksub terhadap kehidupan anak gadisnya pula (tapi telah disalahanggap sebagai ‘kasih sayang’ oleh audiens!). Walau bagaimanapun ini normal. Menjadi kebiasaan bagi para kapitalis yang sudah stabil dan selesa dengan kekayaan wang ringgit dan harta lalu berubah cuba memenuhi tuntutan nafsu batinnya pula (seperti hadiah Nobel). (Dalam kes ini ia persis rejim Big Brother yang memantau dan memanipulasi realiti kehidupan orang lain {iaitu anak gadisnya}, begitu juga dengan Papa Pemodenan).

Papa Dom bangun awal pagi, seterika pinafor anak gadisnya, tukar kasut kotor dengan kasut baru (berkotak-kotak meraikan konsumerasi maksima dan dalam masa yang sama menonjolkan intelektualiti Papa Dom ini — buat apa basuh kasut kalau boleh beli kasut baru-kan?), menyediakan sarapan, kejutkan anak gadisnya, mandikan (kalau boleh), sikatkan rambut, angkatkan beg sekolah, hantar sampai ke dalam kelas, menghidangkan nasi kandar di waktu rehat, cedokkan lauk, dan dan dan. Ini adalah contoh ulung ‘kasih sayang’ seorang bapa untuk anak gadisnya yang berusia 17 tahun! (Bukan 7 tahun, tapi 17!) bravo! (Mesej: Aristokrasi + feudalisme + monarki, baik punya. Selain berkaitan darah daging ‘aku tak peduli’).

"Wajib Tayang "menyatakan", drama "realiti" mereka iaitu sewaktu Afdlin memeluk anaknya adalah "lebih memuaskan hati" daripada "realiti yang ditangkap di skrin" (khasnya buat filem neo-realisme). Buat Wajib Tayang, hal yang berlaku di depan matanya itu lebih "jujur" daripada idea sinema itu. Buat Wajib Tayang, obsesinya sudah dipuaskan. Dia mencapai vouyerisme yang tertinggi."
- Fadz, Tonton Filem (2009)

Wajib Tayang yang menyimpulkan bahawa "realiti" (yang dikonstruk oleh Afdlin) lebih memuaskan hati dan jujur daripada "sinema", ini serius mengelirukan pegangan si Wajib Tayang ini. Asalnya Wajib Tayang ini poyo memperjuangkan 'filem seni' dengan lontaran kata tanpa makna dan sebab seperti surreal, experimental, pemikiran abstrak dll. Tapi akhirnya menolak sinema sebagai medium seni itu sendiri. Bak kata Andre Bazin, sinema adalah seni yang membawa realiti kehidupan manusia ke martabat yang lebih tinggi. Dalam erti kata mudah, filem adalah senaman mental yang akan mengasah dan menajamkan pemikiran seseorang individu itu agar semakin bijak. Dengan itu point utama filem ini seolah sedang memperlekehkan seni (dalam erti kata sebenar, bukan sekadar plastic art) oleh Wajib Tayang yang hipokrit (ataupun sebenarnya tak faham) erti 'seni'. Malah 'seni' (melalui pemahamannya 'filem abstrak') disangkanya bercanggah dengan 'cinta' (filem cinta), OYG! Sangat naif.

(Awas! Sekali lagi point utama filem ini bukan 'kasih sayang seorang bapa' yang digembar-gemburkan).

Filem ini juga selain menyelam ke alam ‘realiti’ institusi pendidikan filem, menyentuh soal filem komersial vs filem seni (Hisham Hashim vs Wajib Tayang). (Jujur, ini serupa seperti filem komersial vs filem budaya). Masalah dengan kedua-dua polemik kosong ini adalah, filem komersial lawannya bukan filem seni atau filem budaya, tetapi filem yang TIDAK komersial. Kerana nilai ‘komersial’ ini adalah satu fungsi dan tanggungjawab di mana sesebuah filem itu perlu diniagakan demi menjana keuntungan. Senang cakap jika ruang komersial adalah kedai untuk berniaga mencari untung, ruang-ruang tidak komersial pula seperti rumah yang bersifat peribadi. Rekabentuk kedai boleh ada seni, rekabentuk rumah pun boleh ada seni. Dalam kedai boleh ada budaya, dalam rumah pun boleh ada budaya. Siapa ada kedai berniaga (tak reti berniaga lingkup), siapa ada rumah suka hati dia nak buat apa kat situ. Jadi seorang pekedai tak perlu menyuruh orang yang ada rumah berniaga, dan orang yang ada rumah pula tak perlu suruh pekedai itu berhenti berniaga.

(Dalam konteks filem pendek, secara semulajadinya ia tidak komersial {kecuali jika ia dikomersialkan}. Ianya adalah medan ujikaji dan eksperimen dalam memahami bahasa filem. Lebih fasih bahasa filem maka lebih baik visual yang akan dihasilkan. Bahasa filem ini seperti bahasa Melayu, satu bentuk komunikasi, cuma bukan dengan lontaran suara, tapi dengan lontaran visual. Lontaran visual yang fasih berbahasa filem sekaligus menghasilkan nilai-nilai sinematik {dan dalam Papadom ia lemah}. Orang Melayu yang tak reti cakap bahasa Melayu, tentunya nilai-nilai kemelayuannya lemah bukan?).

Saya mengerti filem ini cuba recycle/revive kembali (ala homaj dan pastiche sinema pasca moden) beberapa syot dan babak ikonik filem-filem tempatan. Tetapi malangnya martabat setiap syot dan babak itu jatuh menjunam kerana ia tidak diberi makna yang boleh menandingi syot dan babak asal. Ini saya syak kerana hanya imej dan teknik luaran saja yang disusunatur tetapi bukan semangat dan ideanya.

“Korang tak tau betapa susahnya menjadi remaja hari ini.” – Papa Dom
(Mesej: Simbol cengkaman kuku besi autokratik dan diktatorik seorang bapa yang akan menentukan moral baik buruk anaknya).

Cukup makan minum (mencekik nasi kandar siang malam) apa kebenda yang susahnya? Serius, apa ‘kesusahan’ itu wahai Papa Dom? Perhatikan kasih sayang (dalam erti kata sebenar) Kakang terhadap anaknya Kesuma di dalam filem Kaki Bakar (1995), ini baru betul terserlah sifat kebapaannya. Jika Papa Dom ini adalah simbol bapa contoh yang unggul lagi ideal di negara ini. Ada benarnya kata Kakang, “orang sini lembik!” Haha.

Akhirkata, bagi saya Papadom tidak lain tidak bukan adalah sebuah ‘romantika jiwang mahathirisme’. Percayalah, Papa Dom ini akan terus memanipulasi kehidupan anak gadisnya selama tak kurang tak lebih, 22 tahun. Sebab mereka yang katakan filem ini best giler paling koman pasti menjadi fan Papa Pemodenan di Facebook. Ini hakikat.


Ridhwan Saidi

p/s: Tak makan papadom.

Selasa, Februari 24, 2009

Sinema Pak Cik Tora

Apabila menonton filem-filem Mat Sentol, saya seakan dibawa ke dalam naratif separuh sedar, khayal dalam dunia surreal ciptaan beliau. Hampir kesemua siri filem-filem Mat Sentol, yang bermula dengan kata panggilan ‘Mat’, yang tujuh itu, kalau tak silap, berlegar di luar lunas-lunas konvensional filem Studio Jalan Ampas. Malah rasanya kita semua tahu, dalam banyak segi, filem-filem beliau sudah bergerak jauh mendahului zaman.

Imej-imej tak logik yang terdapat dalam filem Mat Magic misalnya, secara teknikal memang macam haram bagi saya, macam main tampal saja. Bayangkan, dalam Mat Lanun pula pokok pisang boleh berbuahkan nenas! Tapi anehnya, saya boleh pula syok melayan kerja-kerja gila sebegini.

Namun, selain dari teknik penceritaan yang berjaya lari dari klise, yakni tampalan-tampalan montaj yang kelihatan sangat kartun, saya mengesan satu lagi kelainan yang dicipta dalam filem-filem Mat Sentol iaitu dari segi gaya penyampaian dialog. Saya rasa ini sangat jelas, terutama bagi watak utama yang dipikul oleh Mat Sentol sendiri.

Sambil tak mengabaikan beberapa filem komedi P. Ramlee, filem garapan Mat Sentol juga membawa gaya pertuturan yang memang langsung lari jauh dari klise filem-filem Melayu Jalan Ampas. Begitu selamba, secara terus, raw, tidak seperti gaya kelaziman filem Melayu iaitu pengucapan yang syahdu-mahdu, terkadang berlebih-lebih dan tak realistik. Pengucapan kata bual filem Mat Sentol terlalu spontan, menghidupkan unsur realisma secara tak sedar di sebalik ironinya paparan adegan surrealis. Beliau seolah-olah menolak idea pengucapan dialog ala teater Bangsawan yang mempelopori seni perfileman Melayu suatu ketika dahulu. Terater Bangsawan ini antara seni teater masayarakat Melayu selain dari Ghazal, Mak Yong dan Dikir Barat. Teater ini juga sememangnya dibuat sebagai bentuk hiburan kelas bangsawan Melayu pada zaman dahulu. Mungkin kerana itu namanya teater Bangsawan, bukan teater marhaen..haha!

Nama-nama seperti M. Suki, Sharif Medan, Fatimah Jasmin, S, Kadarisman ini antara para pelakon yang mempunyai latar belakang sebagai pendukung teater Bangsawan. Apabila seni filem mula masuk ke Tanah Melayu, negara ini tidak memiliki para pelakon filem yang sebenar-benarnya. Seni lakon teater Bangsawan dengan seni lakon filem adalah berbeza sama sekali. Saya tak tahu secara teorinya bagaimana, tapi secara peribadi, saya mempunyai pengalaman menonton teater Bangsawan, iaitu melalui stesen TV Singapura, sewaktu zaman saya belum bersekolah lagi. Gaya penyampaian dialognya tak banyak beza dengan gaya percakapan para pelakon dalam filem-filem Melayu klasik.

Dunia perfileman Melayu pada awalnya boleh membawa masuk pengarah dari India, pekerja teknikal dari India atau England, di samping sokongan pemodal Cina, tetapi nak tak nak, dalam konteks tempatan, filem Melayu sebenarnya tetap memerlukan barisan pelakon Melayu. Ini yang menjadi masalah pada ketika itu. Ini kerana filem yang dihasilkan perlu berkomunikasi melalui lakonan, selain kerja kamera, dengan audiens yang paling dekat dalam lingkungannya yakni golongan penonton tempatan, yang majoritinya adalah orang Melayu itu sendiri. Jadi dengan kata mudah, produksi filem waktu itu ‘terpaksa’ menggunakan apa yang ada, iaitu khidmat pelakon-pelakon Bangsawan ini.

Secara tak sedar, saya rasa gaya lakonan para pelakon teater Bangsawan ini telah membentuk gaya ekspresi lakonan bagi filem-filem Melayu, terutamanya dari segi penyampaian dialog, ditambah dengan tiadanya asas seni lakon filem yang sebenar.

Jadi datangnya Mat Sentol sepatutnya dianggap ‘rahmat’ buat filem Melayu. Beliau pada saya telah membuka jalan ke arah bentuk lakonan yang lebih natural dan gaya penceritaan yang lebih kreatif. Namun malangnya tiada siapa yang betul-betul berani melalui jalan tersebut. Kesudahannya, pelakon tempatan terus hanyut dengan ‘dunia Bangsawan’, di mana dengan bantuan skrip yang teruk, dialog-dialog terus-menerus dilontarkan dengan gaya penuh syahdu-syahduan, melankolis, dan adakalanya meleweh-leweh seakan membawa kita terbang ke alam kayangan. Dan penyakit ini berterusan ke era 90-an. Kamu boleh tonton filem-filem lakonan Awie di era 90-an sebagai contoh rujukan.

Saya kira penyakit ini beransur pulih di era 90-an juga. Dengan kewujudan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Akademi Seni Kebangsaan (sekarang ASWARA), yang memberi sedikit sebanyak pendedahan dan ilmu asas lakonan, ia umpama menjadi penyelamat daripada penyakit ini (gaya lakonan) terus membarah. Paling tidak, ia memberi pendedahan kepada penuntut seni lakonan, bagaimana caranya untuk berlakon dengan teknik lakonan yang betul, walaupun sebarang institusi tak memberi jaminan akan menghasilkan pelakon bermutu. Hasilnya kita boleh kongsikan dengan menonton beberapa filem yang saya fikir agak bagus, yang melibatkan lakonan beberapa pelakon yang lebih terdidik, seperti dalam filem Jogho dan Paloh.

Saya tak nafikan, ada beberapa aktor dari dunia teater yang sememangnya bagus seperti Khalid Salleh, yang bukan keluaran institusi keilmuan, tapi seingat saya beliau bukan dari ‘dunia bangsawan.’ Beliau datang dari kaki lima, membawa ‘watak’ penjual ubat, yang bererti, beliau datang dari dunia nyata, bukannya ‘alam kayangan.’

Ini bermakna, selain dari keilmuan yang mencukupi dalam sesuatu bidang itu, seperti lakonan, seseorang itu juga perlu menguatkan ketrampilan individualiti dengan bekal pengalaman hidup. Mudah kata, selain dari kampus institusi, kampus kehidupan juga amatlah penting kiranya. Dan, sekiranya arena filem tempatan mula berjaya melupuskan ‘golongan Bangsawan’ dari dunia filem, bila lagi kita mahu menghilangkan kelas ‘bangsawan’ di dunia nyata?

Berbalik semula kepada Mat Sentol. Saya rasa ramai antara kita yang tak mengenali atau melupai satu susuk penting dalam perkembangan sinema dunia. Dengan menonton siri filem-filem Mat Sentol, saya telah dibawa bertemu dengan individu penting yang memiliki nama Georges Méliès.

Susuk Georges Méliès ini merupakan antara pembikin auteur terawal dan juga pencipta filem bernaratif pertama di dunia. Malah beliau juga orang yang mula-mula menemukan rakaman sinematografi tak statik, iaitu olahan kamera yang boleh di-close-in, close-out. Beliau muncul sesudah kemunculan adik-beradik Lumiere dengan rakaman sinematografi ‘sekumpulan pekerja kilang pulang kerja’ mereka.

Berlatarbelakangkan seorang ahli silap mata, Georges Méliès merasakan kelebihan teknologi baru gambar bergerak ini perlu dimanipulasikan sebaik mungkin. Beliau berjaya mengesan akan kelebihan seni filem untuk kerja-kerja silap mata-nya apabila ‘rahsia’ Lumiere bersaudara terbongkar. Dengan kelebihan teknologi filem, ternyata beliau dapat memperkemas dan menambah takjub penonton terhadap kerja-kerja kelentongnya itu. Dari seorang illusionist tipikal, beliau berganjak menjadikan siri filem-filem pendeknya sebagai ‘hobi suci’nya yang lebih mencabar dan mengasyikkan.

Jadi apa kena-mengenanya Georges Méliès ini dengan Mat Sentol? Dari beberapa filem Mat Sentol yang saya tonton baru-baru ini, saya merasakan Mat Sentol seakan terpengaruh dengan Georges Méliès, terutamanya dari segi eksperimentasi kamera trick bagi menghasilkan babak-babak tak masuk akal, termasuk teknik super impose, double exposure dan dissolves. Tambahan pula secara kebetulan atau memang dirancang, Mat Sentol dalam filem-filem arahannya semacam mempunyai habit menyelitkan babak-babak silap mata.

Dengan menguasai pelbagai trick kamera, seseorang pembikin mempunyai lebih banyak pilihan dan ruang yang lebih luas untuk meneroka pelbagai bentuk penceritaan, agar lebih kreatif dan menarik. Namun agak ironi, filem bikinan Mat Sentol secara teknikal boleh dikatakan setaraf jika dibandingkan dengan himpunan filem-filem pendek Méliès, meskipun filem-filem si Méliès ini secara relatif jauh lebih ‘kuno’ jika perbezaan zaman diambil kira.

Namun begitu, pada saya filem Mat Sentol pantas saja untuk diiktiraf sebagai kerja seni avant-garde, setidak-tidaknya dalam konteks filem Melayu. Jika dunia menggelar Georges Méliès sebagai ‘Cinemagician’ atas sumbangan-sumbangannya magisnya terhadap perkembangan perfileman dunia, kita juga tak silap untuk mengangkat Mat Sentol sebagai ‘Cinemagician’ lokal!

Satu hal lagi yang cukup menarik tentang filem-filem Mat Sentol ialah kegemaran beliau menghimpunkan para pelakon dari pelbagai lapisan masyarakat. Kita boleh temui bukan sahaja Melayu, Cina dan India. Dalam filem Mat Bond contohnya, seorang amoi memainkan watak tak kurang pentingnya. Ini bukti yang Mat Sentol juga sudah mendahului idea majmuk dalam filem-filem tempatan, bukannya pembikin-pembikin ‘liberal’ hari ini, tanpa heboh-heboh tentang agenda masyarakat plural atau liberal. Bahkan Singh dan Mat Salleh turut sama ‘dipaksa’ memegang watak-watak sampingan. Ini amat jarang sekali dilakukan oleh mana-mana pembikin tempatan pada waktu itu. Pada saya ini juga antara aspek penting dalam karya filem arahan Mat Sentol, atau nama sebenarnya, Mat Raship bin Yahya.

Andai diperhatikan sekali lagi, Mat Sentol juga boleh disifatkan sebagai berjiwa internasionalis lagi universal apabila dalam filem Mat Bond terselit adegan mesyuarat ketua-ketua negara dari seluruh dunia! Hahaha!

Sebelum saya berhenti menaip, terimalah lirik lagu lari tune dendangan Mat Sentol, ‘Spy Spy’ dari filem Mat Bond untuk ‘hiburan seisi keluarga’...

Spy spy spy...
Bang bang!!


Ku ingin jadi spy..O spy

Mengintip semua rahsia
Pistol ku panjang melempai
Aku tembak siapa salah..

Bang bang!!


Ku bukan spy sebarang

Pandai silat dan karate
Kalaulah musuh datang menyerang

Ku cucuk macam sate...kepoww!


O Batman..O Superman

Ku buat kawan main-main (saja)
‘Banjerman’..O ‘Oltroman’

They are all my friends..yea!


Biar jadi spy Bond..O Bond!

Aku jadi spy Mat Bond

Orang panggil aku Bond Bond

Aku jawab Bond Bond Bond...

Kepoww!


Bang bang!!


Mohd Ikhwan Abu Bakar