Memaparkan catatan dengan label Sofia Jane. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sofia Jane. Papar semua catatan

Khamis, Mei 11, 2023

Catatan tentang filem Cinta Kita (1995)

Saya suka filem Cinta Kita (1995) sepertimana saya suka filem Dara-Kula (1972), Anita Dunia Ajaib (1981), Bujang Selamat (1985) dan yang seumpamanya. Ia bukan filem yang hebat untuk masuk ranking terbaik sepanjang zaman, atau filem yang ada appeal kepada orang yang berfikiran akademik untuk dikupas dan dikaji. Saya suka sebab ia tak sempurna dan ada charm yang tersendiri.

Dalam kes Cinta Kita ia personal kerana sudah lama saya mencari filem tempatan dengan watak penulis yang meyakinkan. Dalam banyak-banyak filem yang ditonton, saya rasa watak penulis dalam filem Cinta Kita ini yang paling berkesan setakat ini. Kebanyakan waktu, gambaran watak penulis kerap digambarkan secara pretentious, atau naratifnya tak menyokong kemenjadian watak itu.

Sebelum itu perlu kita jelas penulis ada banyak jenis, wartawan pun penulis, dan malah ada banyak juga watak wartawan dalam filem-filem tempatan kita antaranya Langit Petang (1982) dan Mat Som (1990) antaranya. Tapi dalam Cinta Kita, penulisnya seorang penulis novel cinta lakonan Aman Graseka. Konteks ‘novel cinta’ di sini penting sebab ia menangkap suatu fantasi spesifik.

Meski saya tak baca novel-novel popular di era 90an dan malah 2000an (saya cuma belek-belek untuk study gaya bahasa), sebelum saya sendiri ingin mula menulis novel, tapi saya tahu dan dapat rasa ada suatu nuansa spesifik atau vibe tentang novel-novel cinta di tahun 90an (yang amat berbeza dengan novel-novel cinta pasca 2000an), dan ciri-ciri ini juga ada di dalam filem Cinta Kita arahan Kamal Ishak.

Novel Bunga Jantan oleh Ahadiat Akashah yang terbit pada tahun 1989 menemukan watak tomboy dan playboy. Dalam filem Cinta Kita tak ada watak playboy, tapi ada watak tomboy lakonan Sofia Jane. Saya tak tahu kenapa, tapi gerak hati saya merasakan akan ada watak yang anti-perempuan atau anti-lelaki dalam novel-novel cinta di era 90an ini, sebelum akhirnya mereka kembali bercinta dan menerima jantina yang mereka anti itu. Ini barangkali dekat dengan perasaan remaja yang mudah putus cinta dan dikecewakan buat kali pertama. Malah jika dikaitkan dengan watak Latifah dalam filem Cinta Kita ini, perwatakannya agak naif dan keremajaan.

Sebelum masuk ke dalam cerita, ingin saya sentuh tentang hal teknikal yang mana saya menyukai kerja kamera di dalam filem ini, visualnya bergaya, selain pilihan lagu-lagunya yang baik (ada Maman dengan lagu Cinta Kita, serta Amigos dengan lagu Cinta Tak Karuan antaranya), tapi dalam masa sama, potensi kedua elemen ini dilemahkan suntingan filem dan adunan bunyi yang menjadi masalah tipikal kebanyakan filem-filem tempatan kita ketika itu di era 90an.

Cinta Kita menemukan watak Latifah yang putus cinta dan lalu ambil keputusan untuk berhenti mempercayai lelaki dan menjadi tomboy dengan nama Dino. Dia melarikan diri dari rumah dan tinggal di sebuah pusat peranginan. Di pusat peranginan itu seorang novelis bernama Arman sedang menjadi beach guard dalam proses menyiapkan novel barunya. Kebetulan, Latifah sedang baca novel berjudul ‘Cinta Kita’ yang ditulis Arman. Mereka berkenalan dan di sini satu hubungan terbentuk.

Arman merasakan Dino terpengaruh dengan novel yang sedang dibacanya (dan lalu dia suruh novel itu dibaca sampai habis kerana watak tomboy di dalam novel itu menyesali tindakannya, atau sesuatu seperti itu). Dino menafikan ini, tetapi di akhir kisah apabila novel selesai dibaca, kita terpaksa akur yang memang novel itu memberi inspirasi kepada Latifah untuk jadi Dino.

Power relation ini amat tidak seimbang, dan buat ia jadi menarik, cuma saya rasa ia pasti akan jadi lebih baik jika watak Arman yang terlalu betul ini digoyahkan.

Dalam filem ini watak Arman cuma mencari ruang tenang untuk menulis novel terbarunya. Di pusat peranginan dia berhenti kerja sebagai beach guard sebab terlalu ramai orang lemas. Dia tak dapat fokus menulis. Kemudian dia balik ke kampungnya di Pahang, sebelum ke teratak rahsianya di pedalaman hutan.

Bayangkan, Arman hafal muka surat yang sedang dibaca Dino, yang membuatkan Arman sentiasa di hadapan Dino, malah boleh kita kata, Arman sudah tahu takdir Dino. Melalui filem ini Arman secara halus membawa savior complex di mana dia ingin kembalikan Dino ke fitrah kewanitaannya melalui baju kurung dan baju dalam yang dihadiahkannya, selain berkongsi sarang/habitat penulisannya sewaktu di pusat peranginan, di kampungnya dan di air terjun melepasi perkampungan orang asli, yang menurutnya ada ‘damai’ dan ‘laut bukan disko’.

Untuk keluar dari keadaan yang serba mencengkam ini saya fikir ada dua cara, yang pertama Dino perlu yakin dengan pilihan dirinya dan tak terpengaruh dengan novel dan novelis. Dino ada taekwondo untuk melawan pengaruh-pengaruh ini. Watak Dino perlu jadi agency dan tak dinaungi persekitarannya, terutama oleh tulisan dan sosok lelaki. Tetapi ini akan jadi cerita lain, dan saya menyenangi situasi sedia ada, dengan syarat ia memenuhi fantasi ‘novel cinta’ yang kita bincang tadi. Mungkin ada kesedaran di sebalik proses coming of age ini.

Cara kedua pula, adalah dengan memaparkan sisi-sisi gelap watak Arman, yang bermaksud dia tak perlu sentasa betul, baik dan benar. Ada satu momen watak Arman dengan rambut panjang ini sedang syok menaip dengan rambut menutup mata sambil menggigit pensel umpama makhluk gasar beast (dalam Beauty and the Beast). Andai ciri-ciri kebinatangan Arman ini terpancar keluar, ia boleh bikin kisah ini jadi lebih kompleks.

Kebinatangan ini bukan bermaksud jadi jahat belaka, sebaliknya apa-apa masalah dalaman yang boleh sedikit mengganggu keteguhan watak Arman ini. Watak Arman terlalu stabil jika dibanding dengan watak Dino/Latifah yang lebih terperangkap. Watak Arman turut perlu diperangkap sesuatu, barangkali mendepani sifat seksisnya atau sesuatu. Watak protaganis tak semestinya sentiasa baik dan sempurna, perlu ada kegoyahan dan vulnerable terutama apabila watak ini bertindak ingin membetulkan orang lain.

Cinta Kita personal untuk saya sebab saya sendiri ada menulis novel dengan watak novelis sebagai protagonis. Dalam novel Stereo Genmai saya jungkir balik kuasa dan power relation yang ada pada seorang pengarang terhadap karakter ciptaannya. Dan ini juga yang membuatkan kenapa saya suka dengan filem Cinta Kita. Ia somehow menyeimbangkan apa yang telah saya tulis, kenapa saya goyahkan karakter K.M. Raslan adalah kerana adanya watak Arman. Maka dengan itu, apabila saya kongsikan apa yang lebih wajar bagi filem Cinta Kita ini, ia gerak hati saya sebagai pembikin dan penulis.

Potensi-potensi yang saya kongsikan ini akan menjadikan filem ini menjadi sinema yang lebih baik. Walau bagaimanapun, saya hargai ia seadanya kerana ia menangkap perasaan novel-novel cinta di era 90an (sesuatu yang langka dalam konteks filem tempatan kita, malah setakat ini saya yakin tidak ada filem lain yang sebegini rupa. Jika ada sila rekomen).

Bila kita tonton filem David Lynch kita akur dengan dream logic, dalam filem Cinta Kita ini saya akur dengan logik ‘novel cinta’. Susah untuk saya percaya seseorang berupa Aman Graseka menjadi novelis di dunia nyata (tapi ia tak mustahil), tapi dengan logik dan fantasi ‘novel cinta’ ia make sense. Dengan kesedaran ini, fantasi ini bukan untuk didiami tetapi di-observe dan diteropong dari jauh. Ia sebuah filem yang fun.

Watak Arman sentiasa cuba dipeluk dari belakang. Dia akan berdiri setempat, dan seseorang akan bertindak mendekatinya. Watak Azimah lakonan Sharifah Shahirah cuba memeluk Arman dari belakang tetapi Arman tidak merelakannya. Watak Latifah berjaya memeluk Arman akhirnya berlatar air terjun. Awal sebelum itu Arman sudah dipeluk dari belakang oleh watak maknyah sewaktu sedang makan malam di pusat peranginan. Apa maksud semua ini, saya tak tahu. Tapi ia subversion yang bikin saya suka dengan filem ini. Arman cuba memfalsafahkan cinta, tapi tindak cinta digerakkan Latifah dan Azimah.

Bak kata Elizabeth Fraser dalam lagu Teardrop, “Love, love is a verb / Love is a doing word”


Ridhwan Saidi

Jumaat, Januari 02, 2015

Terbaik Dari Langit, Nova, dll.

Terbaik Dari Langit ibarat iklan Raya yang panjang bak kata Asyraf B. Saya punya perasaan yang sama selain ia juga ada beberapa masalah lain. Jadi mari kita kupas satu-persatu sebagai iktibar bersama. Oh ya, ada spoiler.

Semacam satu tertib untuk puji dulu sebelum kutuk, atau menyatakan yang positif sebelum yang negatif dalam mereviu. Maka tanpa berlengah, saya suka syot kipas lalu siling berubah jadi langit malam. Ia detik paling sinematik dalam TDL. Bak kata Asyraf B. lagi, sepatutnya itu syot pembukaan filem ini yang saya rasa ada potensi.

Ceritanya jelas disjuncture. Karakter-karakter timbul tenggelam. Secara teknikal garapan ceritanya longgar. Dan garapan longgar ini bukan masalah utama. Saya okay dengan filem-filem serabut, sifar naratif etc., cuma asas storytelling, ia perlu ada poin tematik yang disimpulkan. Beza cerita dari puisi ialah, cerita ada intro dan penamat. Intro dan penamat ini penting gila, dan penamat TDL amat problematik, ia buat kesimpulan yang hambar.

Tiada magis waktu tayangan filem di babak akhir. Saya sangka syot yang ditunjukkan adalah momen-momen natural semasa Sofia Jane mandi hujan, waktu mereka tengah bergaduh ke, a la Mr. Bean Holiday's. Mungkin contoh yang saya beri ini predictable dan remeh, tapi ia masih ada feel yang genuine (up sikit kita ada penamat Cinema Paradiso). Saya malah tak selesa dengan efek camcorder yang dibuat-buat, ia tak jujur sepertimana persahabatan di dalam filem ini (ini berbalik kepada garapan cerita).

Ada dua orang keluar panggung cakap lebih kurang, “Tak faham lah filem tu.” Dan watak yang cakap itu dilakonkan oleh Redza Minhat selaku penulis skrip filem ini. Ia nampak main-main dan seolah ia okay untuk parodikan diri sendiri, tapi sebenarnya ia adalah luahan bawah sedar bahawa, penulis skrip tak faham filemnya sendiri. Ia sinikal. Sinikal kepada penguasa korup, pembalak haram, kapitalis ke, meski cheesy, sentiasa lebih molek dari sinikal terhadap karya (lebih-lebih karya sendiri.) Ia malah sinikal kepada audien, tapi sentimen ini tak penting sebab selaku super-audien, kita sudah robohkan ego semasa menonton sesebuah filem.

Mungkin orang akan bidas intro dan penamat tak penting tapi perjalanannya yang penting. Hujah saya: perjalanan TDL tak menarik sebab ia ambil pendekatan iklan Raya tadi. Sinematografinya cantik bagi kebanyakan orang dan saya faham (sebab ia cantik macam iklan-iklan syarikat korporat besar), tapi pada saya ia hodoh sebab ia tidak berjejak. Bukan sekadar berjejak dengan realiti, tapi berjejak dengan perasaan yang real. Ambil contoh Y Tu Mama Tambien di mana kereta mereka melintas dengan dunia luar seperti kemalangan jalan raya, yang reflek dengan situasi dalam kereta. Atau Easy Rider yang selain lanskap alam, punya lanskap muzik OST yang amat membantu menghidupkan feel. TDL tiada feel.

Di sepanjang perjalanan mereka bertemu dengan cameo-cameo yang mencubit industri perfileman tempatan, yang sewajarnya tak relevan 2015 ni. Bak kata Asyraf B., kalau nak kritik industri patut buat dokumentari atau mokumentari ke. Interviu dan bagi ruang betul-betul. Ia lebih menarik sebagai filem, saya percaya. Bayangkan This Is Spinal Tap versi industri filem Malaysia dengan nuansa deadpan Aki Kaurismaki (audien panggung lebih sepi banding fan rock n roll).

Apa pun isunya, ia boleh jadi lebih baik.

Dan poin terakhir saya ini adalah masalah utama saya dengan filem ini. TDL tiada rasa cinta, baik cinta pada sinema, cinta pada boarding school, cinta pada persahabatan, cinta pada perjalanan itu sendiri. Filem-filem Z. Lokman meski thrashy, ia masih ada rasa cinta Z. Lokman pada medium sinema. Dalam TDL ia tiada. TDL berkiblatkan estetik iklan. Ia tidak berkiblatkan sinema, dunia yang secara rahsia ingin kita hidupi.

Ridhwan Saidi
P/S: Iklan-iklan syarikat korporat besar cenderung phony, tapi saya tak nafikan ada juga iklan-iklan yang kool dan real seperti iklan Tora. 

Jumaat, April 17, 2009

Koya Best

Syot pembukaan filem Budak Kelantan (2008) oleh Wan Azli Wan Jusoh adalah syot yang paling wow pernah saya tonton (dalam konteks filem tempatan) setakat ini. Bagaimana pada awalnya minda kita dibentuk dan diacu bahawa Jaha itu simbol kejahatan (main daun terup) manakala Buchek pula adalah simbol kebaikan (sembahyang). Kemudian semasa kredit mula dipaparkan, kita dibawa mengembara menaiki bas dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur diiringi alunan musik dikir barat. Perjalanan ini walaupun nampak biasa, tapi cukup bermakna dalam membuatkan audiens seolah juga dari Kelantan, heck saya rasa saya orang Kelantan masa tonton filem ini.

Seterusnya permainan baik/jahat ini akan dicelarukan sedikit demi sedikit dengan serbuk perasa cauvinis. Mula-mula kita digula-gulakan dengan kejahatan yang disaluti kebaikan Jaha. Menyakitkan hati, anehnya, selepas itu kita dipaksa untuk menjilat kejahatan yang disaluti kebaikan Buchek pula. Persamaan berulang, Jaha secara literal memperlakukan gadis-gadis sebagai barang dagangan. Diakhir kisah, tiba giliran Buchek pula (tanpa disedari) memperlakukan teman wanitanya Che Nor sebagai barang dagangan. 

Di saat si Jaha ingin berubah ke arah kebaikan (kononnya atas nama cinta,) lawaknya si Buchek ini dalam diam menampakkan siongnya. Buchek menggunakan Che Nor sebagai alat untuk berdakwah (kononnya untuk membawa Jaha ke jalan kebaikan,) dan dalam masa yang sama barangkali Buchek sendiri ingin berdakwah kepada Chen Chen (yang berlainan agama) yang diselamatkannya. Disebabkan Che Nor sudah molek zahir dan batinnya (dari kacamata Buchek,) dengan itu saya merasakan bahawa Buchek lebih selesa merapati manusia-manusia yang kononnya masih belum ‘sempurna’ untuk 'disempurnakan'. Pokoknya, bagi saya Buchek adalah hero poyo yang boleh kita dapati dengan mudah di luar sana.

Oposisi binari, mulanya kita dipaparkan ruang tangga rumah Jaha (malam) di mana gadis itu akan dibawa ke atas lalu diperkosa (secara fizikal.) Di syot terakhir, kita akan dipaparkan pula ruang tangga jejantas (siang) di mana Buchek sedang menunggu Chen Chen turun. Lawan bagi perkosa adalah belaian cinta (mungkin?) tapi saya punya intepretasi yang berbeza. Tekaan saya? Selepas itu amoi itu akan diperkosa secara mental oleh Buchek haha.

Sebagai filem, Budak Kelantan menghidangkan ketegangan (intensity) yang saya idam-idamkan selama ini walaupun ia seakan kendur bila tiba di penghujung. Baik jahat dikelirukan. Bila difikirkan kembali, sebenarnya audiens yang akan menentukan siapa jahat siapa baik. Cuma celakanya posternya hampeh. Jika posternya menarik, tanpa segan silu saya tampal ia di sebelah poster Sofia Jane Perempuan, Isteri dan Jalang (1993) dalam bilik tidur saya.


Ridhwan Saidi