Terbaik Dari Langit ibarat iklan Raya yang panjang bak kata Asyraf B. Saya punya perasaan yang sama selain ia juga ada beberapa masalah lain. Jadi mari kita kupas satu-persatu sebagai iktibar bersama. Oh ya, ada spoiler.
Semacam satu tertib untuk puji dulu sebelum kutuk, atau menyatakan yang positif sebelum yang negatif dalam mereviu. Maka tanpa berlengah, saya suka syot kipas lalu siling berubah jadi langit malam. Ia detik paling sinematik dalam TDL. Bak kata Asyraf B. lagi, sepatutnya itu syot pembukaan filem ini yang saya rasa ada potensi.
Ceritanya jelas disjuncture. Karakter-karakter timbul tenggelam. Secara teknikal garapan ceritanya longgar. Dan garapan longgar ini bukan masalah utama. Saya okay dengan filem-filem serabut, sifar naratif etc., cuma asas storytelling, ia perlu ada poin tematik yang disimpulkan. Beza cerita dari puisi ialah, cerita ada intro dan penamat. Intro dan penamat ini penting gila, dan penamat TDL amat problematik, ia buat kesimpulan yang hambar.
Tiada magis waktu tayangan filem di babak akhir. Saya sangka syot yang ditunjukkan adalah momen-momen natural semasa Sofia Jane mandi hujan, waktu mereka tengah bergaduh ke, a la Mr. Bean Holiday's. Mungkin contoh yang saya beri ini predictable dan remeh, tapi ia masih ada feel yang genuine (up sikit kita ada penamat Cinema Paradiso). Saya malah tak selesa dengan efek camcorder yang dibuat-buat, ia tak jujur sepertimana persahabatan di dalam filem ini (ini berbalik kepada garapan cerita).
Ada dua orang keluar panggung cakap lebih kurang, “Tak faham lah filem tu.” Dan watak yang cakap itu dilakonkan oleh Redza Minhat selaku penulis skrip filem ini. Ia nampak main-main dan seolah ia okay untuk parodikan diri sendiri, tapi sebenarnya ia adalah luahan bawah sedar bahawa, penulis skrip tak faham filemnya sendiri. Ia sinikal. Sinikal kepada penguasa korup, pembalak haram, kapitalis ke, meski cheesy, sentiasa lebih molek dari sinikal terhadap karya (lebih-lebih karya sendiri.) Ia malah sinikal kepada audien, tapi sentimen ini tak penting sebab selaku super-audien, kita sudah robohkan ego semasa menonton sesebuah filem.
Mungkin orang akan bidas intro dan penamat tak penting tapi perjalanannya yang penting. Hujah saya: perjalanan TDL tak menarik sebab ia ambil pendekatan iklan Raya tadi. Sinematografinya cantik bagi kebanyakan orang dan saya faham (sebab ia cantik macam iklan-iklan syarikat korporat besar), tapi pada saya ia hodoh sebab ia tidak berjejak. Bukan sekadar berjejak dengan realiti, tapi berjejak dengan perasaan yang real. Ambil contoh Y Tu Mama Tambien di mana kereta mereka melintas dengan dunia luar seperti kemalangan jalan raya, yang reflek dengan situasi dalam kereta. Atau Easy Rider yang selain lanskap alam, punya lanskap muzik OST yang amat membantu menghidupkan feel. TDL tiada feel.
Di sepanjang perjalanan mereka bertemu dengan cameo-cameo yang mencubit industri perfileman tempatan, yang sewajarnya tak relevan 2015 ni. Bak kata Asyraf B., kalau nak kritik industri patut buat dokumentari atau mokumentari ke. Interviu dan bagi ruang betul-betul. Ia lebih menarik sebagai filem, saya percaya. Bayangkan This Is Spinal Tap versi industri filem Malaysia dengan nuansa deadpan Aki Kaurismaki (audien panggung lebih sepi banding fan rock n roll).
Apa pun isunya, ia boleh jadi lebih baik.
Dan poin terakhir saya ini adalah masalah utama saya dengan filem ini. TDL tiada rasa cinta, baik cinta pada sinema, cinta pada boarding school, cinta pada persahabatan, cinta pada perjalanan itu sendiri. Filem-filem Z. Lokman meski thrashy, ia masih ada rasa cinta Z. Lokman pada medium sinema. Dalam TDL ia tiada. TDL berkiblatkan estetik iklan. Ia tidak berkiblatkan sinema, dunia yang secara rahsia ingin kita hidupi.
Ridhwan Saidi
P/S: Iklan-iklan syarikat korporat besar cenderung phony, tapi saya tak nafikan ada juga iklan-iklan yang kool dan real seperti iklan Tora.