Kritikan paling best datang dalam bentuk karya. Sebab kalau kritikan itu terputus dari karya, ia semacam murung kerana tiada apa yang sempurna di mata pengkritik. Kritikan sebagai ekspresi. Bentuk paling syok barangkali auto-esei.
TDL menarik kerana ia dapat mixed review, saya dapat baca kritikan positif dan negatif. Perlu jelas di sini kritikan dan ulasan berbeza, di mana melalui kritikan kita tahu penulisnya menggunakan fakulti akal secara ekstensif (tidak kira samada ia digunakan secara betul atau salah, itu hal lain dan akan dibincangkan sat lagi). Pendek kata ulasan cuma ulas (jalan cerita, kutipan tiket, dll.), tapi kritikan mengupas, dan rata-rata reviu di laman sosial dan blog yang saya temui tidak segan mengkritik, dan saya suka.
Semestinya dalam kritikan, ulasan, reviu ini, ada kesialan yang dipanggil iklan iaitu kritikan, ulasan atau reviu dengan niat utama untuk mengiklan. Ini berbalik kepada fundamental storytelling, di mana kita tahu bahawa kesimpulannya adalah untuk mempromosi filem yang dipilih. Ia macam celaka. Meski saya sedar setiap kritikan/ulasan/reviu = iklan, bak kata Andy Warhol, tapi di sini yang menjadi isu ialah teks yang sedar dan bangga sebagai iklan, ia anti-intelek, iklan bertopengkan reviu. Selaku pencinta sinema/seni/sastera dan penikmat intelek kita wajar acung jari hantu ke ulasan-ulasan sebegini. (Jika masyarakat kita pro-intelek seperti masyarakat Jerman, kita patut raikan entiti anti-intelek marjinal sebegini, cuma kita selaku masyarakat Malaysia yang mana segalanya anti-intelek, maka jadi satu tanggungjawab untuk kita meraikan intelek meski sekecil mana pun.)
Setel satu hal. Kita kembali kepada teknik reviu yang betul atau salah tadi. Mungkin bunyinya macam saya seorang moralis tapi saya akan cerita juga sebab ia meresahkan. Saya tak rasa ia salah dalam erti kata haram atau luar tabii, tapi lebih kepada sesuatu yang ‘tidak berjejak.’ Teknik reviu yang saya perasan ini berupa reviu yang meraikan sub-teks, meta-teks, para-teks, hipo-teks, pra-teks, dan seks-teks lain, tapi meninggalkan yang fardhu ain iaitu teks itu sendiri.
Teks (filem yang dipersembahkan) mesti berkesan dulu, dan ciri-ciri untuk ia berkesan amat simpel, ia cuma perlu bangkitkan sesuatu dalam jiwa kita (biasanya via cerita atau puisi). Ia paradoks sebab kita terima ia sebagai satu perasaan tapi kita apresiasi ia dengan pemikiran (barangkali inikah kehidupan?)
Hanya selepas teks berkesan baru datang yang lain-lain. Filem macam orang. Kita kenal orang melalui orang tu dulu, baru boleh masuk dalam (dan pancutkan sub-teks, meta-teks, para-teks, hipo-teks, pra-teks, seks-teks dan...)
Mungkin anda berhujah bahawa penerimaan setiap orang berbeza, maka ia subjektif, ada orang suka, ada orang benci. Saya setuju takat penerimaan orang, sebab kita dilahirkan dan melalui sejarah hidup dan hal berbeza. Sejarah dan hal-hal ini dibawa sekali semasa kita menonton, jadi ya pengalaman kita selaku audien secara zahir berbeza. Orang suka, orang tak suka, itu citarasa dan ia boleh digilap. Keindahan filem/seni/sastera pula bukan subjektif. Di sini saya tidak bersetuju kerana keindahan objektif dan Esa. (Ia bukan subjektif sebab ia boleh diperoleh, you need to earn it. Ada orang umur 5 tahun dah dapat, ada orang 15 tahun, ia ambil saya 30 tahun untuk sedar ini.)
Ridhwan Saidi
P/S: Saya hormati kritikan dan pandangan pengulas-pengulas filem lain, cuma bak judul entri ini, ia adalah kritikan ke atas kritikan, satu luahan sensibiliti. Bak pepatah Pendekar Bujang Lapok yang di-mashup, “Jangan marah haaaa... nanti makcik buatkan kopi.”