Polemik ini biasa dibincangkan hingga takah bosan, tapi jelas yang buat ia bosan kerana perbincangan itu termaktub dalam domain teknikal semata. Apa yang ingin saya coretkan ini, lebih kepada sintesis keduanya serta apa yang saya rasa setakat ini. Malah kerja-kerja pembikinan photobook saya melibatkan keduanya. Ia ibarat non-linear editing (FCP) dalam filmmaking. Berikut adalah proses/sentimen saya:
1. Tiada sesalan
Saya pengikut sekolah Eggleston di mana saya hanya shoot sekali. Kata Eggleston kalau beliau shoot dua atau banyak kali subjek sama, ia akan menyusahkan dirinya dalam memilih gambar mana yang terbaik kelak (sama halnya dengan saya). Dengan satu gambar, ia samada jadi atau tak, dan kita beri sepenuhnya dengan apa yang kita rakam. Masako Tomiya ada cerita proses dia tangkap gambar dan saya rasa ia amat betul. Sebelum dia rakam, dia akan tunggu hingga di antara diri dan subjeknya bertaut, akan muncul satu benang di antara dirinya dengan subjek dan pada momen itu, baru kamera diklik! Bak kata Robert Capa, “If your picture is not good enough, you are not close enough.” Bukan sekadar dekat secara spatial, tapi juga perasaan.
2. Photoshop
Dengan digital kita dapat fail yang besar, sharp lagi in your face untuk dikerjakan dalam post-processing. Kita perlu make up fail itu kepada apa yang kita mahu. Dengan filem, saya cuma kawal waktu scan dan warna tidak perlu disentuh. Saya guna Photoshop untuk crop, dodge, burn, bersihkan habuk (mana mampu). Saya prefer ia raw, malah dengan satu jenis filem yang konsisten, Ektar misalnya, kita tak perlu buat color grading atau bubuh filter sangat sebab ia sebagai stok filem akan sekata warnanya (kecuali masa scan auto-white balance yang akan ubah warna asal). Fotografi lakukan dua perkara serentak iaitu mendokumen dan mengekspresi. Semasa Photoshop kita mahu expresi sesuatu, maka segalanya mungkin.
3. Scanner
Dalam proses mendigitalkan filem analog, perkara yang saya paling suka ialah proses scan. Ia ibarat mesin mikroskop. Filem 35mm kecil tapi kita boleh besarkan untuk dapat detil-detil yang tak kelihatan dengan mata kasar. Malah filem-filem yang saya guna hampir semua negatif (slide mahal!), ia amat misteri untuk tahu apa yang ada dalam bingkai, atau apa kejadah yang kita rakam in the first place.
4. Pengarkiban
Dengan filem kita ada arkib fizikal, dan betapa teruk pun gambar kita ambil, paling koman bila diperam lama akan muncul elemen nostalgia. Saya bukan peminat nostalgia, tapi kita tak boleh lari dari ini, terutama bila menatap album foto keluarga, foto kita semasa bayi atau mendapat serelung ijazah berlatarkan kanvas latar bilik naib chanselor. Saya pernah sekali update iPhone tahun lepas dan foto-foto dalam itu semua hilang, saya tak expect ia untuk padam gambar sekali. Dan memori-memori semasa saya ke Miami hilang, malah la ni barangkali saya tidak pernah jejakkan kaki ke Miami pun, sebab tiada bukti. Selain gambar, saya malah tiada lagi folder dan fail kerja novel-novel sebelum Babyrina. Semua hilang (Cekik, Amerika, Mautopia, Stereo Genmai) dalam hard disk korup dan tak boleh di-retrieve. Sekadar pdf yang selamat dalam emel ke pencetak, tapi ia bukan itu. Di dalam setiap folder ada fail-fail percubaan untuk memulakan novel, draf sinopsis dan macam-macam. Yang selamat cuma nota dan lakaran dalam buku serta final draft yang dicetak keluar. Saya tidak tahu bagaimana untuk handle gambar digital—potensi untuk rosak ada—kecuali upload ke flickr atau instagram (moga ia tak tutup). Negatif boleh rosak juga tapi ia masih rosak fizikal yang boleh kita terima. Negatif rosak malah bila di-scan boleh jadi cantik.
Ridhwan Saidi