Memaparkan catatan dengan label Karl Marx. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karl Marx. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 19, 2010

Lucu

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini terutamanya di upacara-upacara kesenian lokal, saya dengan mudah telah dicop sebagai seorang 'leftist'. Ini tidak benar. Ini saya suspek dek kerana saya letak 'Marxist Mobile' pada political views saya di laman sosial Facebook.

Marxist Mobile ini bukan bermakna saya seorang (Karl) Marxist yang berikhtiar dan bergerak dari satu poin ke satu poin yang lain. Marxist Mobile ini sebenarnya adalah Groucho Marxist yang telah divernakularkan (kepada yang tak tahu, Groucho Marx ini merupakan seorang comedian Hollywood/Amerika). Bak kata Jean-Luc Godard, "Aku Marxist, tapi yang Groucho punya..."

Kata asal bagi permainan kata Marxist Mobile ini ialah Maxis Mobile, iaitu sebuah syarikat telekomunikasi gergasi - yang saya topup RM5 sekali setiap tiga bulan. Di negara ini siapa yang tidak tahu Maxis? Maka yang Maxis itu kita tukar jadi Marxist!

It's true kesamarataan di ufuk kiri itu penting (di dunia corpereal ini), tetapi apabila sampai tahap semua rumah, pakaian atau makanan wajib sama (tak boleh jual, beli, pilih) kebebasan expresi dan privasi ekonomi individu dari ufuk kanan itu juga sama pentingnya. Kalau semua sama kan bowink *wink?

Maka dengan itu, istilah Marxist Mobile ini adalah (meminjam kata majmuk Salleh Ben Joned) seriusenda kepada kedua-dua ufuk spektrum sistem ekonomi tadi. Kiri, kanan, atas, bawah malah tengah - komunis, sosialis, kapitalis, liberal, fasis, nasionalis, anarkis, libertarian malah sentris dan lalang; kita harus ada kesedaran bahawa kesemuanya bersifat lucu.


Ridhwan Saidi

Ahad, November 15, 2009

Falsafah, Teori dan Praktis

Kedua-dua falsafah dan teori merupakan riadah mental. Tapi tahukah anda apa yang membezakan kedua bentuk pemikiran ini? Falsafah adalah proses pentafsiran fenomena (alam, realiti, ilmu, kebenaran, nilai dll.) berdasarkan hujah-hujah logik seperti dialektika (dan bukannya kaedah empirikal). Teori pula bersifat spekulatif dan berdasarkan kaedah empirikal (pemerhatian, pengalaman, eksperimen, dll.). Dengan itu ‘setiap teori ada praktis’, dan ‘setiap praktis ada teori’ (praktis merupakan riadah fizikal.) Falsafah pula tidak punya praktis. Karl Marx misalnya, beliau tidak mahu mentafsir dunia, tetapi mahu mengubah dunia! Mengubah dunia memerlukan praktis, falsafah sudah jadi teori daa…

Di negara ini, istilah ‘teori’ dan ‘praktis’ telah dicabul dengan makna yang maha juling. Teori telah disinonimkan dengan suatu keadaan yang bersifat pasif. Praktis pula disinonimkan dengan suatu keadaan yang secara zahir kelihatan aktif. Sebagai contoh, di dalam sebuah institusi keilmuan filem, proses membikin seperti shooting itu dianggap sebagai praktis. Yang lain-lain tidak melibatkan turun padang seperti terperap di dalam kelas dianggap ‘teori’. Disimpulkan bahawa praktis itu lebih baik kerana ia kononnya adalah the real deal, sebagai persediaan rasmi sebelum seseorang graduan itu diserap masuk ke dalam ‘dunia sebenar’ industri tanah air, alahai...

Malah ada juga yang menganggap penulisan seperti proses menulis skrip (yang pasif itu) sebagai teori. Pendek kata selagi tidak mengerah tenaga fizikal membancuh air untuk kru, selagi itu ia adalah teori. Gila!

Teori berbeza-beza mengikut bidang dan cabang masing-masing. Dalam bidang filem (pure), teori terbahagi kepada dua. Pertama teori filem dalam konteks film studies, dan sehingga kini, ia boleh dibahagikan kepada empat: 1. Teori Filem Klasik, 2. Teori Filem Moden, 3. Teori Filem Kognitif, dan 4. Semiotik Filem Kognitif (klik untuk maklumat lanjut). Kritikan filem akademik berasaskan teori-teori filem ini. Praktis kepada teori jenis pertama ini adalah melalui wacana (discourse), iaitu ekspresi idea dan gagasan melalui tulisan atau lisan (dan bukannya pergi shooting, dol!).

Teori kedua pula lebih kepada manual, teknik, kaedah dan cara-cara proses pembikinan filem itu dibuat. Sebagai contoh seseorang itu belajar mengenai 3 act structure (teori), lalu mengaplikasikan teori ini ke dalam skrip filem pendeknya (praktis). Dalam kes ini, barulah praktisnya adalah proses amali pembikinan filpen itu sekaligus bersifat pragmatik.

‘Setiap teori ada praktis’ dan ‘setiap praktis ada teori’, tetapi yang mana datang dulu? Ini serupa kes ayam dan telur, yang mana datang dulu? Tapi dalam kes ayam dan telur, ianya boleh diselesaikan di kedai mamak, (pesan ayam goreng dan telur goreng). Boleh jadi teori datang dulu, dan boleh jadi praktis datang dulu. Bagi pemikir revolusioner Situationist International, setiap sesuatu praktis itu perlu punya teori dalam mencari esensi dan makna. Ini seperti ritual keagamaan. Sembahyang (praktis) semata-mata tanpa esensi dan makna (teori) itu tidak lengkap. Faham esensi spiritual agama (teori) tanpa sembahnyang (praktis) juga tidak lengkap. Dua kali lima. Kerana itu, ‘setiap teori ada praktis’ dan ‘setiap praktis ada teori’.

Suatu tragikomedi, apabila di ‘universiti’, teori dianggap remeh dan ditolak. Menolak teori itu secara harfiah menolak keilmuan. Ini tidak masuk akal, serius. Kepada yang menolak teori diharap segera bertaubat nasuha.

Kecenderungan menolak teori ini barangkali berkaitan dengan konsep ‘ikut hati’. Rasa dari 'hati' (jantung yang mengepam darah) ini dirasakan lebih jujur dan suci. Ini relevan hanya semasa proses cetusan idea dan pembentukan lakonlayar (idea dikembang dan dikecutkan semasa proses ini). Walau bagaimanapun ini tak usah digembar gemburkan sangat kerana orang Melayu secara hakikatnya memang ikut hati (rujuk amok), apa yang nak diherankan? (Melayu Baru hairan tak mengapa, saya faham). Lagi satu, ketika shooting, ianya sangat teknikal. Hanya pengarah saja yang boleh 'ikut hati', kru-kru lain terikat dengan konvensyen dan dogma. Apa kejadahnya seorang focus puller nak ikut hati?

IMHO, di negara ini, ‘ikut hati’ adalah alasan untuk tidak berfikir semata-mata, dalam erti kata lain sebab malas berfi-fucking-kir! Ironinya teori 'zombie' ini dipraktikkan secara meluas di luar sana. Ouch!


Ridhwan Saidi

Ahad, Mei 31, 2009

Teori Filem

1. TEORI FILEM KLASIK
(a) Montajis (Rudolf Arnheim, Sergei Einsenstein, dll.)
(b) Realis (André Bazin, Siegfried Kracauer, dll.)

2. TEORI FILEM MODEN (teori filem 'kontemporari')
(a) Semiotik filem (Christian Metz—Film Language, Language and Cinema)
(b) Teori filem pasca-struktural (semiotik kedua, psiko-semiotik): teori filem Marxist dan psikoanalisis Stephen Heath, Colin MacCabe, Metz—The Imaginary Signifier, Jean-Louis Comolli, Jean-Louis Baudry, Raymond Bellour, dll. (perubahan daripada 2a ke 2b akibat kesan teori sebutan berdasarkan linguistik Émile Benveniste)

3. TEORI FILEM KOGNITIF
(a) David Bordwell, Noël Carroll, Edward Branigan, Joseph Anderson, Torben Grodal, Ed Tan, Murray Smith

4. SEMIOTIK FILEM KOGNITIF
(a) Teori baru sebutan (Francessco Cassetti, Metz—The Impersonal Enunciation)
(b) Semio-pragmatik filem (Roger Odin)
(c) Chomskyan generative grammar dan semantik kognitif filem (Michael Colin, Dominic Chateau)


Ridhwan Saidi

p/s: Mahu hancurkan teori mesti tahu teori dulu.

Khamis, April 30, 2009

Jalan Ke-kayaan

Kesah ini mungkin fiksyen juga. Seorang menteri yang majlis perkahwinan anaknya diraikan di hotel lima bintang, mahu pamerkan betapa kayanya beliau, maka dijemputlah semua hadirin, dari kalangan pembesar negara termasuk ketuanya sekali. Belanja puluh-puluh ribu atau mungkin lebih. Si mempelai mesti bangga gila. Yang hadir mesti takjub. Sialan, bertuahnya dia!

Ini strategi serampang dua mata. Sambil menyelam minum air. Selain ‘walimatul-urus’, boleh juga congak-congak projek yang bakal masuk – masyuk. Ramai orang yang mahu jadi kaya. Tak kesah lah. Biasa la tu. Kalau kamu percaya kekayaan boleh beli, boleh dapat kebahagian hidup di dunia, nah, itu hak kamu untuk percaya yang itu.

Saya tak menolak kekayaan. Tapi saya juga cukup percaya pada jalan keseimbangan hidup. Dalaman, luaran. Rohani, jasmani. Jalan ini sebenarnya jalan yang mencabar, meletihkan dan kadang-kadang, cukup mengelirukan. Tapi untuk mencabar keupayaan sendiri, bagi saya amat menyeronokkan. Harap-harap, biar nanti jadi insan yang cerah akal, baik budi pekerti, bersih hati nurani. Bukan pembohong.

Itu belum masuk cerita orang yang mengajak saya masuk Multi Level Marketing (MLM) Macam dah takde kerja lain. Bukan tak percaya, tapi saya pun ada agenda lain dalam hidup. Dan, macam la takdir hidup saya di dunia ini hanya cari duit banyak-banyak saja! Kalau ini macam, nampaknya kucing emak saya di rumah tu jauh lagi mulia, lagi cool. Habis tu, sibuk nak jadi kaya, benda lain tak payah buat, tak payah fikir. Kemudian meremehkan mereka yang bekerja ‘betul.’ Paling celaka bila mereka secara halus memperlekeh orang yang cuba jadi berilmu. Katanya, “ala, belajar tinggi-tinggi, penat-penat, belum tentu kau jadi kaya!” Semacam belajar itu semata-mata untuk jadi kaya, bukan untuk tahu dan jadi manusia berguna dan ilmu sudah tak bernilai lagi. Lalu ilmu itu boleh tukar dengan duit yang dicetak dengan helaian kertas. Fuck you.

Balik semula kepada menteri tadi, perkahwinan anak perempuannya itu memang gah. Kalau muka menteri ini keluar TV, lagaknya bukan main warak, membebel perihal agama, sambil gebang tengah siapkan tesis agama. Kemudian pegang pula macam-macam jawatan. Kalah Karl Marx. Tapi boleh jadi ini orang yang sama terkait dengan pelbagai skandal rasuah, dan kes penyeludupan pun ada juga. Bukan la nak pelik sangat, memang bertaburan manusia-manusia berlagak kaya macam ini, yang mengumpul kekayaan dari hasil memijak kepala orang lain. Gunakan lesen V.I.P atau V.V.I.P.

Misalnya, kerana dia – si menteri – yang memegang tampuk kuasa, maka segala peruntukan akan disalurkan ke dalam ‘genggaman tangannya’ terlebih dahulu. Tapi lepas itu, wang untuk penduduk miskin tegar misalnya, dikebas untuk kasi anak bini makan. Bila anak kahwin, buat pula tu majlis besar-besaran. Celaka, tak malu! Bila kantoi mula la merepek-repek, ‘saya ada bini ramai la, banyak tanggungan la, saya banyak penyakit la’ dan macam-macam rayuan kedengaran. Sedangkan gara-gara si bangsat ini, yang miskin pula hidupnya makin melarat. Jika ada anak si miskin yang punya potensi untuk maju, hidupnya tersekat akibat kekangan dana.

Pasal wang ‘ehsan’ ini pun satu hal juga. Bagaimana boleh timbulnya istilah wang ‘ehsan’? Wang ini dari siapa kalau bukan dari kita semua? Bagaimana boleh jadi ‘ehsan’? Saya secara peribadi menolak istilah wang ‘ehsan’ ini. Saya sentiasa menghalalkan secara suka rela jika sebahagian wang saya sebagai rakyat dikutip untuk disalurkan kepada mereka yang serba kekurangan. Itu tanggung jawab sosial sebagai manusia yang sangat kecil dari saya.

Masalahnya, istilah wang ‘ehsan’ ini cuba mengelirukan orang ramai. Wang ini datangnya dari kerajaan. Di negara ini, kerajaan merujuk kepada parti yang pemerintah semata-mata. Maka sekonyong-konyong muncullah muka-muka penguasa politik sebagai ‘orang kerajaan itu.’ Inilah sasaran sebenarnya. Ia ingin dibaca sebagai: wang ini hasil pemberian kami, penguasa politik. Kami berjasa kepada rakyat. Maka itu, undilah kami di pilihanraya nanti.

Sepatutnya istilah wang ‘ehsan’ ini tak wujud langsung. Istilah ini seolah-olah kerajaan tak ikhlas, atau ‘terpaksa’ menolong golongan susah. Macam, “Ok la, aku beri duit ni sikit kat kau. Daif betul kau ni. Kesian pulak aku menengoknya. Nasib baik ada orang macam aku lagi kat dunia ni.”

Tapi, bukan ke memang menjadi kewajipan kerajaan membantu golongan miskin? Ia bukan satu hal yang pelik dan perlu digembar-gemburkan. Melainkan sumbangan wang itu memang datangnya dari mak bapak pak menteri atau politikus itu sendiri, maka sebab itu dia mahu menunjuk-nunjuk.

Kalau dalam agama Islam itu ada konsep zakat. Konsep ini sebenarnya cukup menarik kerana salah satu cara untuk mengimbangi jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin. Ideanya pun cukup mudah. Andai kamu seorang hartawan, sebahagian harta-harta kamu itu wajib disumbangkan dalam bentuk zakat kepada mereka yang memerlukan, sebagai tanda bantu-membantu dan setia kawan sesama insan, sambil membendung diri dari jadi rakus dan tamak haloba, selain beringat yang harta melimpah ruah itu semua hanya sekadar ‘pinjaman’ dari Yang Maha Esa.

Tapi pelik lagi, penduduk di sini masih ramai yang miskin tegar. Mana perginya sumbangan zakat semua itu? Macam tiada hasil. Kena songlap ke? Saya percaya, jika duit zakat itu diurus-takbir dengan sempurna, yang daif tak semestinya perlu bergantung harap kepada ‘bantuan ehsan dari kerajaan.’ Kalau tak dapat menghapuskan kemiskinan secara total sekalipun, saya rasa setidak-tidaknya duit zakat itu boleh mengurangi kadar kemiskinan tegar. Inilah sebenarnya tujuan pungutan zakat. Tambah ajaib, di banyak negara barat yang maju, yang kita sibuk tuduh ‘kafir’, konsep ini secara tanpa sedar diaplikasi dalam sistem kehidupan mereka.

Contohnya di Jerman, ada peruntukan khas untuk kebajikan warga tua yang terpinggir, bukan sekadar kewangan atau membina rumah orang tua. Tapi, di sana terdapat sekumpulan warga prihatin yang menjalankan kerja sosial/kebajikan disokong oleh dana kerajaan dengan memberi pertolongan kepada warga tua yang tak berkemampuan bukan saja dari segi kewangan, tapi fizikal. Maka, golongan prihatin ini yang kebanyakannya wanita akan datang pada waktu-waktu tertentu menjenguk ke rumah warga tua yang uzur untuk menguruskan rutin harian seperti menyediakan sarapan, mengemas rumah, memakaikan lampin, memandikan hatta sampai ke peringkat menyikatkan rambut pun ada. So sweet!

Di negara konon bertuah ini, wang kutipan zakat itu sepatutnya boleh diperuntukkan untuk tujuan social welfare. Sama macam di Jerman tadi. Tapi malangnya, ini tak berlaku. Kita masih tiada sistem yang jelas, bagaimana wang zakat ini diurus-takbir, bagaimana dana ini boleh dilaburkan juga untuk tujuan jangka panjang seperti pelaburan dalam bidang pendidikan, bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar miskin dan sebagainya. Bantuan ehsan sekampit beras, sehelai kain batik/pelikat, sebotol minyak masak cap ayam, dua tiga kampit tepung, gula, tiga empat botol sos, kicap, memang langsung tak memadai. Ini hanya lawak bodoh orang politik belaka.

Macam saya sebut tadi, tak kesah kalau siapa-siapa nak jadi kaya. Zaman Muhammad dulu pun, ada sahabat yang namanya Abdul Rahman Auf, seorang hartawan yang tak lokek. Bahkan, Siti Khadijah isteri pertama Nabi yang terakhir ini juga, seorang wanita terkaya pada masa itu. Dan hakikatnya tiada agama yang melarang kekayaan, dan dalam masa yang sama menggesa golongan miskin supaya keluar dari kancah kemiskinan. Tapi menjadi kaya atas kesengsaraan orang lain, itu sial namanya!

Dulu ada seorang rakan yang berhujah kepada saya, katanya, sistem selain kapitalis seperti sosialis itu hanya sekadar membuatkan orang jadi malas. Saya rasa hujah itu sangat enteng, dihujah oleh orang yang malas berfikir. Tapi, yang ini lain kali boleh cerita.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Selamat Hari Buruh!