Memaparkan catatan dengan label Sofi Jikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sofi Jikan. Papar semua catatan

Khamis, Disember 12, 2013

Surat Buat Otto, Kolumpo

12 Disember 2013

Otto F.
Kolumpo

Ke hadapan Otto, 

Semalam saya tonton filem terbitan saudara dan kepingin berkongsi rasa. Ya ia kemas dengan pengintegrasian produksi mantap dan ini secara langsung membuatkan saya sedar betapa jurang skil dan skala kepengarahan dan penceritaan terserlah melalui pengalaman menonton ketiga-tiga segmen di dalam filem ini. 

Izinkan saya jadi moralis/spoileris buat seketika dalam merungkai permasalahan-permasalahan yang filem ini, atau saya selaku penonton hadapi. 

Dalam pada itu saya tidak mahu pecahkan filem ini kepada tiga filem pendek sepertimana filem ini dipaparkan kepada saya dengan kredit penamat bahawa ia diarah oleh tiga orang pengarah. Jadi andai segmen 1 diarah A/ditulis B yang bertanggungjawab tetap ABC (Bront, Rozi, Munasar). Segmen dalam filem ini boleh kita analogikan secara klisenya persis sistem transit Malaysia iaitu LRT, Komuter dan Monorel (tak lama lagi ada MRT!) dan filem ini memerlukan kita naik semua untuk sampai ke destinasinya, Kolumpo.

Ia dibuka dengan kita diwakili mata Rahul seorang imigran India menuju ke Kuala Lumpur dari pokok-sepokok-pokoknya hingga ke building-sebuilding-buildingnya – Sabri Y. Pembukaan ini berkesan sebab ia belum sinikal seperti beberapa babak mendatang dalam segmen ini. Dan ini saya rasa masalah utama, yang saya rasa pengarah mahu meringankan atau melucukan suasana tanpa menyedari ia sinikal terhadap golongan PATI (sinikal tak salah cuma kejam bila diguna kepada mereka yang ditindas, sebaiknya mohon dipakai buat para oppressor).

Bagi saya watak Radhi Khalid dan Mano Maniam tak masuk, asing, janggal, saya percaya mereka bawa rendisi Malaysian middle-class drama queen, berbalik ke problem sinikal tadi, saudara boleh rujuk babak mandi di mana mereka bergaduh tanpa munasabah ala sketsa teater Inggeris di KL atau PJ; ditambah sikap dan sifat karakter Mano yang cuba jadi mentor a la Obi-Wan Kenobi. Pada satu tahap bila mereka lari dari RELA (disebut polis dalam filem), dan watak Mano kata, Pergi Rahul, pergi… saya rasa annoyed, sebab dia tak mentor mana untuk earn perlakuan sebegitu.

Seperti yang saudara ketahui “mentor” thingy ni datang dalam pelbagai bentuk dan antara yang saya peribadi gemar terakhir, suara George Clooney dalam filem Gravity, atau Hannibal Lecter boleh dikonsider a bad ass (anti) mentor as well (The Silence of the Lambs). Syot paling menarik (kebetulan tiga syot paling lekat muncul dalam ketiga-tiga segmen) dalam segmen ini: babak imigran (para pelakon tak kenal) ini tetiba menyanyi ketika sedang kupas kentang; syot, gerakan, muzik, cahaya, emosi tetiba raw dan best. Ia gambaran potensi berapa jauh filem kehidupan PATI di KL boleh pergi, yang belum dibikin.

Babak anak saudara kerdil Boss dan Sofi Jikan di beranda juga menarik. Di dalam gelap tapi di sini ia semi-dalam, lebih terbuka dan lucu. Disinari lampu oren jalan, sebuah sketsa Pak Dogol-esque. 

Segmen kedua paling koheren penceritaannya (meski alasan untuk hantar nenek itu agak lewa). Bagaimana emosi dibawa dan ia antara beberapa kerat (boleh kira jari) filem Malaysia yang saya tonton dan yang mana protagonisnya berjaya capai katarsis. Wajah penuh empati Nell Ng semasa tatap drama kehidupan orang Melayu dan lakonan brutal Ruminah Sidek (bila ungkapan, Pergi mampos sama Yong! yang pada saya intensitinya detonate) dan bagaimana layanan Rosnah Mat Aris dan sebelum itu kepulangan Sabri Yunus, a glimpse of Namron kat beranda, budak tu, dan kita faham kehidupan* mereka, pendek kata ia indah dan momen ini tanpa ragu buat filem kembali pada fungsi fardhu ainnya iaitu paling koman… bermakna.

Segmen ketiga punya skrip yang tak polish habis terutama tang dialog. Pada saya lebih baik gebang spontan tanpa direction dari ada direction menuju klise.

Syot favorit waktu kat bus stop, ada potret seseorang macam kena censored, Najib? kat dinding/billboard bus stop tu. Tak pasti ia dipotong atau disengajakan dan ia bukan syot lawa atau suka sebab apa tapi sebab apa ke hek muka PM (jika betul) kena potong? Sebab itu tanda waktu Kolumpo, era pemerintahan si polan. Scene bapok yang mild (banding filem Bukak Api) di latar depan mungkin faktor penyebab. Bercakap pasal depan, segmen ini rata-rata in-your-facey.

Babak angkat Sherry lawak dan bila Sharifah Amani tertanya, Lupa lah nak ambil nombor telefon teksi tadi, bikin spark berkat baca novel Tabu, entah si Sherry ni lepas turun teksi kemabukan dipikul orang kulit hitam lalu dibawa ke rumah area Damansara Damai gamaknya.

Filem ini ditutup dengan Amirul bertemu Kamariah (stail rambut sama dengan Amani) dengan nuansa Love Actually, tak tau pa dia, tapi feel good, masalah setel (Rahul tak tau pa cerit), tapi takpe, imejan dan pemerhatian cukup (buat la ni) cuma muzik dan bunyi dan suara boleh pukul lagi kalau saudara Otto bikin lagi seketul filem. Sampai sini dapat saya coretkan. Moga kita bertemu lagi.

* Meski sisi ini banyak kali ditunjuk tapi kali ni ia werk; saya pernah duduk flat masa kecil dan tak boleh relate, dan bila fikir balik barangkali bak impi Ruminah, flat saya cuma 4-5 tingkat, dan masterplan-nya bersifat landai dan horizontal lalu tak se-stressful macam filem-filem Melayu yang saya dok tonton, lebih menyerupai kampung bertingkat.

Yang Benar,
Ridhwan Saidi
Berlin

Sabtu, Januari 24, 2009

Skala dalam Filem

Di dalam bidang senibina, skala adalah elemen yang wajib dikuasai oleh seseorang arkitek itu (tidak kira bertauliah atau tidak.) Sebuah rumah banglo dan bangunan tinggi punya skala yang berbeza. Sebuah bilik air punya skala yang berbeza dengan bilik tidur. Mudah kata, sesebuah ruang dan bentuk itu harus berdiri pada skala yang betul. 

(Sebab itu kebanyakan lagu hardcore punk berdurasi lebih kurang seminit manakala black metal lebih kurang 7 minit, skala!)

Untuk mendapatkan skala yang betul, kita perlu patah balik kepada fungsi sesebuah ruang dan bentuk itu. Ambil contoh bilik air rumah anda. Fungsi bilik air adalah tempat di mana anda mandi dan melakukan aktiviti-aktiviti tandas lain. Untuk melakukan aktiviti-aktiviti tandas ini ia perlu diasaskan dengan 3 objek sanitari iaitu kolah/shower/bathtub, sinki dan w.c (jamban.) Ambil ketiga-tiga objek ini dan sumbat ia ke dalam satu ruang. Bayangkan jika bilik tidur utama anda dijadikan tandas rumah, (pedulikan tentang susunatur ruang,) kita tahu skalanya tidak betul. Begitu juga jika anda jadikan stor bawah tangga rumah anda sebagai tandas. Tidak betul serta tidak berfungsi dari segi ergonomik ruang.

Bagi saya filem pendek dan filem (feature) sama macam rumah banglo dan bangunan tinggi, ia punya skala yang berbeza. Saya juga percaya bahawa filem pendek adalah medan eksperimen semata-mata dan selagi filem pendek ini berpaksikan nilai-nilai eksperimental, selagi itu skala-nya selamat. 

(Relevannya, adalah pelik jika seseorang sutradara itu cuba buat eksperimen ketika penggambaran filem feature.) 

Jika kita perhatikan 6Shorts (2006) oleh Amir Muhammad, akan kita dapati perbezaan ketara di antara kesemua filem-filem pendek itu. Kenapa? Kerana setiap satu daripadanya berbentuk eksperimen yakni ujikaji. Malah Mona Fandey pernah mengenyitkan matanya kepada saya di dalam Mona. Usah mengarut, di sini benarkan saya mengkritik (terutamanya dari segi skala) tiga buah filem pendek yang saya tonton tempoh hari.

Omah Cilikku Enek Kelambu (2009) oleh Zainorhisyam ‘ingin’ mengisahkan kepayahan dan kesusahan sebuah keluarga kecil bertopengkan bahasa Jawa. Bagi saya filem ini cukup bermasalah dari segi skalanya. Saya rasa filem-filem pendek sebegini (cukup banyak di luar sana) lebih molek dan cun jika dipersembahan dalam skala telemovie. Bukan apa, saya baru nak layan tiba-tiba dah habis, potong stim betul! Bila saya tulis telemovie, jangan pula pertahankannya dengan soal budget. Isu skala ini bermula daripada kertas kerja/lakon layar. Untuk filem pendek berdurasi 11 minit, ingin menceritakan tentang kepayahan sejujurnya tidak berkesan. Ia perlu durasi yang lebih panjang untuk meleret seksa audiens menonton.

Awan Mendung Menanti Pelangi (2009) oleh Azri Abu Hassan pula adalah satu bentuk cubaan dekonstruksi goyah. Dekonstruksi ini secara pendek dan mudahnya bermaksud, kita ambil apa yang pernah orang buat sebelum ini, lalu diadu-dumbakan untuk menghasilkan sesuatu yang baru dan segar. Goyahnya di sini apabila filem ini hanya sekadar berpura-pura meniru filem-filem melodrama akhir 70an hingga awal 80an. Ia kekurangan kuasa pasca-modennya (jika betul-lah jika ia satu bentuk dekonstruksi.) Saya berpendapat bahawa sedikit twist yang jelas diakhir cerita akan menjadikannya lebih maju. Ini sama kesnya dengan filem Kala Malam Bulan Mengambang (2008) oleh Mamat Khalid. Saya cukup bengang dengan penutup gembira klise-nya. Kalau ia dibiarkan tergantung (seperti di awal cerita,) secara automatis ia akan menjadi antara filem kegemaran saya sepanjang masa, (walau bagaimanapun pasti 1000 orang lain tak puas hati.) Apapun dari segi skala, filem pendek ini elok dan cukup.

Sinkronis (2009) oleh Jaja Kadir pula mengisahkan tentang seorang jurugambar yang kehilangan muse-nya (melarikan diri selepas tanpa tidak sengaja telah terjatuhkan lensa kamera.) Ayat bombastik sinkronis ini sendiri tidak ramai audiens yang faham. Di dalam kepala otak saya ketika menonton, saya hanya fikir selari, atau keselarian. Jika terjentik di kotak akal atau peti hati anda ingin menelefon seseorang, tiba-tiba telefon anda berdering, lalu bila diangkat adalah seseorang itu tadi. Ini adalah synchronity mengikut Carl Jung. Di dalam filem ini saya tidak nampak di mana keselariannya. Tambah bercanggah, filem pendek ini dirakamkan dengan seluloid, tapi anehnya watak jurugambar fanatik (lakonan Sofi Jikan) di dalam filem pendek ini menggunakan D-SLR, (kamera digital!) Bagi saya seniman fanatik sebenar hanya obses kepada teknologi-teknologi analog. Kegilaan watak jurugambar ini bercanggah dengan logik karakter yang cuba dibina. Ia jadi pura-pura, (bagi saya-lah.) Skalanya mungkin ok, tapi ia tidak seimbang, tidak proportion. Intro-nya yang berat dan beriya-iya akhirnya ditamatkan dengan konklusi yang ringan dan remeh. Ini boleh saya ibaratkan macam anda check-in di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Ruang lobinya mewah, berkilau-kilau chandelier-nya, perdana habis. Tapi bila masuk bilik hampeh, sekali dinding tampal surat khabar daa! (Rujuk Ibu Mertuaku 1962)

Bagi saya filem-filem pendek sebegini wajar dikritik (jika anda tahu kritik itu apa.) Bukan apa, ini adalah proses menguji pegangan dan knowledge pembikin-pembikin muda ini sebelum bikin filem feature. Acah sikit sini-sana (walaupun saya banyak temberang sebenarnya.) Apapun saya percaya pembikin-pembikin muda ini cukup matang untuk tidak mengendahkan tulisan naif saya ;-)


Ridhwan Saidi

Selasa, Oktober 21, 2008

Mekanik dalam Filem

Masihkah anda ingat di era 80an kita punya filem-filem yang punya watak mekanik. Sejujurnya saya tidak pasti bila ia bermula. Adakah Mekanik (1983) oleh Othman Hafsham pemula kepada fenomena ini? Saya pun tidak tahu.

Pekerjaan ini jugalah biasanya menjadi titik tembung antara si susah mekanik dan anak gadis sang senang. Kereta menjadi medium untuk mereka bersemuka dan kemudian bercinta. Mudah dan klise bukan? Tapi bukan ini yang ingin saya bebelkan.

Saya rasa mekanik ini adalah simbol kelelakian, kejantanan, dan kemaskulinan dalam filem. Tidak, jangan tuduh saya chauvinist pula. Saya hormat kepada kaum wanita akan tetapi bagi saya lelaki dan perempuan tidak akan sama. Sifat maskulin dan feminin adalah umpama yin yang, hubungan simbiosis di antara mereka yang penting bukan sifat ingin menjadi antara satu sama lain.

Sudah, usah berbicara pasal modeniti dengan saya. Apapun kita masih berpijak di tempat yang mengamalkan sistem feudal haha.

Semalam saya menggunakan komuter, ada dua perkara yang menarik perhatian saya. Satu, suara ketika hampir sampai ke stesen yang direkod (seperti LRT) dan bukannya suara pemandu komuter yang sedang tidur. Kedua, lelaki-lelaki yang berambut ponytail dan berkemeja kemas, saya fikir ini golongan metroseksual baru pulang kerja.

Di sini terlintas dalam fikiran nakal saya, apa jadi jika saya masukkan lelaki-lelaki (kononnya) moden ini ke dalam konteks filem-filem 80an sebagai mekanik. Boleh anda bayangkan? Saya boleh dan semua orang dalam komuter hairan melihat saya senyum keseorangan.

Watak mekanik yang paling saya gemari adalah Saiful lakonan Eman Manan dalam Matinya Seorang Patriot (1984). Si Saiful ini siap bersila atas enjin betulkan kereta dalam gelap. Habis bersungguh-sungguh. Ini saya kira sungguh maskulin dalam konteks tempat kita (bukan 300, Gladiator atau Troy ya).

Dari lelaki-lelaki rawak yang saya pilih dalam komuter, kemudian saya beralih pula kepada pelakon-pelakon zaman sekarang. Lihat, betapa imaginatifnya saya. Saya berbincang dengan kawan baik saya (yang juga teman wanita saya) tentang siapa yang boleh bawa watak mekanik lakonan Eman Manan ini, secara tak langsung punya sifat-sifat maskulin sejati saya kira (bukan definisi maskulin majalah Maskulin).

Ini adalah perbincangan dua hala dan melibatkan seorang lelaki dan seorang perempuan. Ibarat dua tiang yang tidak terlalu jauh dan tidak pula terlalu dekat. Tidak terlalu independent dan tidak pula terlalu dependent.

Jika kedua tiang bersandar antara satu sama lain, maka robohlah bumbung dan beban yang ditanggung bersama. Jika kedua tiang terlalu jauh pula, juga robohlah bumbung dan beban yang ditanggung bersama.

Tidak buta dalam terang, dan hairannya tidak pula celik dalam gelap.

Satu demi satu nama-nama pelakon dan selebriti masa kini yang kami lontarkan, tapi akhirnya hanya satu nama yang kami sepakat punya kualiti seorang mekanik maskulin iaitu S.J.

Borak punya borak punya borak pasal mekanik ini akhirnya kami terbawa kepada satu lawak aneh. Ada seorang mekanik yang tanpa disedari sangat terkenal dan berjaya masa kini (subjektif).

Jeng jeng jeng...

Masih ingat Spanar Jaya?;)



Ridhwan Saidi

p/s: Ketika menulis entri ini, keluarga saya pula yang hairan melihat saya senyum keseorangan.