“Immediately you do an interview, they say—oh, you're making a woman's film. No, I'm not making women's films, I'm making Chantal Akerman's films.” (London, 1979)
Dewasa ini ia mudah untuk tonton filem-filem antarabangsa tetapi pilihan untuk tonton filem lokal, biasanya ia perlu ada rekomendasi baru buat kita tergerak untuk tonton (selain ia perlu dicari). Sempena bulan kemerdekaan dan hari Malaysia, saya sengaja tonton banyak filem tempatan pasca era studio (selepas 1980an) dan pra digital (dalam 2010 ke belakang lebih kurang). Kebetulan saya juga tertonton banyak filem bikinan pengarah wanita yang ingin saya senaraikan di sini.
Di dalam senarai ini tiada dua filem Zalina Mohd Som yang sukar ditemui, tidak dimasukkan juga filem-filem yang sudah saya tonton dulu seperti filem-filem Yasmin Ahmad, juga filem-filem yang punya suara wanita yang kuat via gabungan produser serta penulisnya (Redfilms, Habsah Hassan...) seperti Gol dan Gincu (2005), Hati Bukan Kristal (1990), Qaisy & Laila (2005), Khadam (2026). Dan untuk buat senarai ini sedikit menarik saya susun ikut kegemaran menuju ke paling suka.
Filem ini turut punya pembantu pengarah I (Kenji Ouchi) dan sinematografer (Kunimasa Oshima) orang Jepun yang membuatkan gambarnya kemas dan konsisten. Filem pertama arahan wanita di Malaysia, ia penting dari segi kronologi sejarah tetapi melodramanya dan moralnya mudah diduga. Seperkara yang menarik, perubahan busana dan gaya hidup Hasnah (lakonan Fauziah Ahmad Daud) si tukang jahit di kampung beradaptasi menjadi Ana pereka fesyen di bandar berubah drastik dan daring (dari berzanji hingga jadi perempuan simpanan), sebelum akhirnya kembali berkelubung di sawah padi.
9. Kad Cinta (1995) arahan Julie Dahlan
Filem ini mengingatkan saya kepada komedi Hong Kong dan Stephen Chow, sebab ada satu adegan di mana Badrul Muhayat ingin tumbuk Hairie Othman, tapi dia tunduk lalu tumbukan itu kena Nasha Aziz hingga hidungnya berdarah. Ada bibit-bibit kelakar yang dapat saya rasa melalui skrip, tetapi direction-nya kurang fokus pada sentuhan humor, lebih serius dengan dilema cinta dan nuansa romantik Julia (lakonan Nasha Aziz). Bermula dan berakhir dengan montaj percutian di Turki, satu-satunya filem arahan Julie Dahlan.
8. Mimpi Moon (2000) arahan Shuhaimi Baba
Bercakap tentang komedi romantik jika Kad Cinta menangkap vibe 90an sepertimana Oh Fatimah (1989) menangkap dekad terakhir 80an, dengan Mimpi Moon kita masuk abad baru 2000 dengan minyak gamat aphrodisiac.
7. Perempuan Melayu Terakhir (1999) arahan Erma Fatima
“Albert Camus, Jean-Paul Sartre, atau Samuel Beckett tetap yang terbaik. Dan tak ada teater lain yang dapat menandingi teater Barat. Class dismissed.” – Haikal, dramatis
Agak langka untuk cari filem lokal dengan protagonis dramatis, dan dalam kes filem ini, watak Haikal (lakonan Eizlan Yusoff) dari seorang penyarah universiti yang mengagungkan teks Barat, cuba mencari diri dan asal usul di Terengganu (lalu bertemu dengan Mustika lakonan Vanida Imran), meski kampung si Haikal di Kedah, dah kenapa tak cari jati diri kat kampung sendiri di Kedah? Mentang-mentang pemandangan laut di Terengganu scenic dan berleluasa dalam filem tempatan era itu.
6. Chermin (2007) arahan Zarina Abdullah
Sewaktu tonton filem ini saya redhakan diri dengan casting pan-asian sebagai watak orang kampung, dalam filem ini Deanna Yusoff sebagai Mastura iaitu isteri pertama dari masa lalu, dan Natasha Hudson sebagai Nasrin sebagai anak isteri kedua di waktu sekarang. Menarik untuk lihat komposisi dan syot-syot yang melibatkan cermin, sebuah filem supernatural dan gothik Melayu kelas berada (sepertimana Pontianak Harum Sundal Malam). Dalam kategori ini, Sumpah Orang Minyak (1956) lebih kompleks dan rencam, tetapi melalui Chermin kita dapat terperap di dalam bilik untuk digosip mulut-mulut wanita kampung yang bikin darah mendidih. Efek CGI-nya sedikit mengingatkan saya kepada House (1977), cuma ia terkawal dan tidak gila-gila.
5. Waris Jari Hantu (2007) arahan Shuhaimi Baba
Filem ini, seperti Pontianak Harum Sundal Malam (2004) dirakam secara digital yang pada ketika itu beresolusi Full HD. Perasannya terasa seperti filem direct-to-video atau telemovie, maksud saya dari segi sinematografi. Apa yang buat saya tertarik dengan filem ini ceritanya. Ketika watak Ari lakonan Rusdi Ramli baru pulang ubah jantina dari Singapura bertemu Tina lakonan Maya Karin, ia mengingatkan saya kepada filem Pedro Almodovar, cuma di saat itu kita rasa intense atas kenaifan dua anak muda moden ini.
4. Selubung (1992) arahan Shuhaimi Baba
Filem pertama Shuhaimi Baba yang melibatkan kerja-kerja amal dan bom (motif yang akan berulang kemudian), watak lelaki yang lambat berterus-terang tentang statusnya (untuk lengahkan filem ini jadi kisah romantik), hubungan antara dua era (zaman universiti dan kerja), kehidupan sekumpulan pekerja firma dan badan kebajikan, serta muzik OST yang catchy memegang mood cerita (sepertimana kebanyakan resepi filem-filem bikinan Shuhaimi Baba). Semuanya bermula di sini.
3. Embun (2002) arahan Erma Fatima
Filem perang ketika pendudukan Jepun, menggambarkan Embun lakonan Umie Aida yang mengetuai gerakan secara gerila dalam gua setelah abangnya Bayu Harun lakonan Hani Mohsin ditangkap dan diseksa selain dirinya turut dinodai. Menariknya tentang filem ini, adalah bagaimana anggota-anggota tanpa ketua seperti orang kampung jadi hilang pedoman, malah ada yang belot. Ketika berperang, mereka tembak tanpa strategi. Ia terasa benar kerana mereka ini bukan askar yang sudah dilatih dan ada will untuk membunuh seperti askar musuh, tetapi orang-orang biasa yang tersepit di dalam perang dan cinta.
2. Ringgit Kasorrga (1995) arahan Shuhaimi Baba
Filem berlandas jenayah ini satu-satunya filem Malaysia yang ada potensi beri feel erotic thriller, malah menontonnya kembali, ia mengingatkan saya kepada novel murder mystery saya sendiri iaitu Babyrina. Andai ia difilemkan, filem ini wajar dipertontonkan kepada bakal pelakon. Dah tentu kita mahu protagonis kita Nina lakonan Deanna Yusoff selamat, tetapi pada saya beliau terlalu sheltered dan dunia filem ini agak kecil hinggakan Nina ini boleh bertemu dengan Dato’ Shah (lakonan Zaidi Omar) di kampungnya pasang susuk. Malah apabila Nina merosakkan bukti pita VHS diakhir filem, ada hal yang belum selesai meski dia sudah selesa buka restoran. Tiara Jaquelina sebagai Meera menempuh jalan yang lebih tragik akibat terjebak. Rakaman pita VHS pada monitor CRT lakonan Dato’ Shah yang disunting bagai filem mengingatkan saya kepada filem-filem David Cronenberg.
1. Jimi Asmara (1995) arahan Erma Fatima
Meski Perempuan Melayu Terakhir lebih menampakkan falsafah Erma Fatima melalui penulisan dan garapannya, tetapi filem Jimi Asmara punya suatu sentuhan yang unik. Ia bersemangat filem-filem studio lama seperti Ibu Mertuaku dan Antara Dua Darjat tapi moden. Mengingatkan saya kepada Johnny Bikin Filem andai ia disunting dengan baik dengan rekaan bunyi yang baik. Ia ada ceritanya yang tersendiri, fasal artis yang tak nak berubah ikut zaman. Adegan pembukaan hitam dan putih menggambarkan dekad kegemilangan 1950an Jimi Asmara mengkagumkan, dengan imej fangirling seorang peminat yang mencampakkan selendang tudungnya ke pentas. Adegan berwarna di era 60an pula kita perlu bersabar dengan karenah penyanyi murbawan yang egois Jimi Asmara (lakonan Hani Mohsin) serta kesetiaan Engku Nuraini (lakonan Maizurah Hamzah) yang mana innocence Bangsawan-nya terasa in spirit of Zaiton.
Filem kegemaran arahan wanita setakat ini untuk saya Mukhsin (2006) atas ke-simple-annya. Jimi Asmara dan Ringgit Kasorrga antara yang turut digemari lepas ni kalau ada orang tanya.
Ridhwan Saidi




