Isnin, November 04, 2013

Nikmat dan Sengsara Kopi

Kopi adalah satu kuasa hebat dalam hidup aku; aku telah perhatikan kesan-kesannya dalam skala epik. Kopi memanggangmu dari dalam. Ramai orang mengaku kopi beri mereka inspirasi, tetapi, sepertimana semua orang tahu, kopi hanya buat manusia bosan semakin membosankan. Cuba fikirkan: meski kebanyakan kedai runcit di Paris dibuka hingga lewat malam, beberapa kerat penulis je yang semakin spiritual.

Tetapi sepertimana Brillat-Savarin telah perhatikan dengan tepat, kopi membuatkan darah bergolak dan merangsang otot-otot; ia melajukan proses hadam, menghalau tidur, dan beri kita kebolehan untuk berinteraksi sedikit lama dalam menjana intelek kita. Atas poin terakhir ini, ingin aku tambah pengalaman peribadi aku ke atas pemerhatian Brillat-Savarin.

Kopi beri kesan kepada rongga dan hulu hati di dalam perut, dari mana ia sampai ke otak melalui pancaran samar yang terlepas dari analisis lengkap; letakkan itu ke tepi, kita boleh duga bahawa fluks saraf utama kita mengeluarkan cas elektrik yang terhasil daripada kopi semasa kita minum. Kuasa kopi berubah ikut waktu. [Komposer Itali Gioacchino] Rossini telah mengalami beberapa kesan ini seperti, semestinya, yang telah aku alami. “Kopi,” Rossini cakap kat aku, “adalah asmara selama lima belas atau dua puluh hari; waktu yang cukup-cukup, syukurnya, untuk menulis opera.” Ini benar. Tetapi jangka masa yang boleh seseorang nikmati dari manfaat kopi juga boleh dilanjutkan.

Buat seketika – untuk seminggu atau dua paling kuat – anda boleh dapatkan nisbah rangsangan yang tepat dengan satu, kemudian dua cawan kopi yang dibru daripada biji kopi yang telah dikisar dengan janaan kekuatan yang meningkat perlahan-lahan lalu diadun dengan air panas. Untuk seminggu seterusnya, dengan meningkatkan amaun air yang diguna, dengan melumatkan kopi lebih halus, dan dengan menyeduh serbuk itu bersama air sejuk, anda boleh kekal mendapatkan kuasa serebrum yang sama.

Apabila anda telah hasilkan serbuk kopi yang paling halus dengan sedikit air yang boleh, anda gandakan dos dengan meminum dua cawan pada satu-satu masa; khususnya tubuh yang sihat boleh tahan tiga cawan. Dengan cara ini seseorang boleh terus berkarya untuk beberapa hari lagi.

Akhirnya, aku telah menemui sesuatu yang dahsyat, malah kaedah brutal yang hanya aku syor kepada mereka yang berada di puncak kelelakian, lelaki dengan rambut hitam lebat dan kulit bertompok, lelaki dengan tangan petak dan besar serta kaki berbentuk pin boling. Ini adalah soal untuk menggunakan serbuk kopi halus lagi pekat, dingin dan kontang, diminum dengan perut kosong. Kopi ini jatuh ke dalam perut anda, sebuah karung dengan bahagian dalam yang lembut persis baldu dipenuhi tapestri sulur dan papila. Kopi tak jumpa apa-apa di dalam karung, maka ia serang lapisan sensitif dan menggiurkan ini; Ia berpelakuan seperti makanan lalu menuntut jus-jus gaster; Ia memerah dan memulas isi perut bagi mendapatkan jus ini, tak ubah seperti dukun wanita sedang merayu kepada tuhannya; Ia menganiaya lapisan perut yang cantik ini sepertimana pemilik wagon membengisi kuda poni; hulu hati meradang; percikan menyambar naik terus ke otak. Dari momen itu, segalanya terangsang. Idea berarak pantas masuk barisan persis batalion tentera yang dalam perjalanan ke tanah pertempuran lagenda, lalu perang meletus. Memori menyerang, bendera-bendera cerah dijulang; pasukan berkuda metafora berangkat dengan derap kencang; Artileri logika bergegas ke atas dengan dentingan wagon dan katrij; Di bawah perintah imaginasi, penembak tepat membidik dan menembak; Rupa dan bentuk dan watak menurut dari belakang; kertas tersebar dengan dakwat – kerana buruhan setiap malam bermula dan berakhir dengan curahan air hitam ini, sepertimana peperangan bermula dan berakhir dengan serbuk hitam. 

Aku cadangkan minum kopi stail ini kepada seorang kawan, yang terpaksa menyiapkan kerja dia janjikan keesokan harinya: dia merasakan dia telah diracun lalu rebah ke katilnya, yang mana dia menjaganya seperti lelaki yang telah berkahwin. Dia lampai, berambut perang, langsing dan mengalami rambut gugur; dia nampaknya memiliki perut seperti papier-mache. Berlaku, di pihak saya, suatu kegagalan pemerhatian.

Apabila anda telah tiba ke poin ini dalam menghadam kopi jenis ini, kemudian menjadi letih dan merasakan bahawa anda mahu lagi, meski pun anda buat ia dengan ramuan terbaik dan mengambilnya segar, anda akan berpeluh-peluh, mengalami kelemahan saraf, dan mengalami beberapa siri perasaan mengantuk yang teruk. Aku tak tahu apa akan jadi jika ia diteruskan: jiwa yang waras menasihati aku agar berhenti di poin ini, melihat bahawa kematian serta merta bukan takdir aku. Untuk pulih, seseorang mesti mula dengan resipi yang dimasak dengan susu dan ayam dan daging putih lain: akhirnya ketegangan beransur hilang, dan seseorang kembali ke kehidupan tenang, santai, berfikiran mudah, dan impoten seorang pesara borjuis.

Situasi yang kopi beri kepada seseorang apabila ia mabuk di dalam perut kosong di bawah kondisi majistret ini menghasilkan sebuah animasi berupa amarah: suaranya meninggi, gerak tubuhnya melihatkan ketidaksabaran yang kurang sihat: dia mahu segalanya laju selari dengan kepantasan idea; dia menjadi biadap, marah tanpa sebab. Dia menjadi watak yang mudah berubah hati itu, Si Pemuisi, yang dilaknati pekedai runcit dan seumpamanya. Dia sangka semua orang sama-sama waras. Seorang yang penuh semangat mesti elak dari keluar bersama masyarakat. Aku dapati keadaan tunggal ini melalui beberapa siri kemalangan yang telah membuatkan aku hilang, tanpa sebarang usaha, keghairahan yang sedang aku alami. Beberapa orang kawan, dengan siapa aku keluar ke pekan, menyaksikan aku bertengkar tentang segalanya, mengkritik dengan penuh niat jahat. Keesokan harinya aku sedar kesilapan aku dan kami cari puncanya. Kawan-kawan matang aku ini dari kelas pertama, dan kami menemui masalahnya dengan segera: kopi mahukan mangsanya.


Oleh Honore de Balzac
Terjemahan Ridhwan Saidi