Memaparkan catatan dengan label Nam Ron. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nam Ron. Papar semua catatan

Isnin, April 22, 2019

Mati Sebelum Mati, Teater Site-Specific Projek Suitcase 2018

Pada 5 hingga 15 Disember 2018, telah berlangsung Projek Suitcase 2018 oleh Teater Ekamatra di Wisma Geylang Serai, Singapura yang melibatkan empat buah monodrama, dua dari Singapura dan dua dari Malaysia. Sebelum saya perkenalkan mereka yang terlibat, ingin saya kongsi sedikit latar Projek Suitcase ini.

Projek Suitcase memerlukan seorang pelakon mengeluarkan dunia dan set pementasan mereka dari sebuah suitcase. Apa itu suitcase? Terbuka bagi para pengarah dan pelakon untuk menterjemahkannya. Dan oleh kerana set pementasan ini akan muncul dari sebuah suitcase, maka ia boleh berlaku di mana-mana, dan dalam konteks Projek Suitcase 2018 ia telah berlangsung di sebuah pusat komuniti empat tingkat bernama Wisma Geylang Serai. Dua pementasan berlaku di tingkat dua, manakala lagi dua berlaku di tingkat empat. Di sela-sela pergerakan ini seorang tauke panggung iaitu Rizman Putra bersama gitarnya akan membawa audiens bergerak dari satu ruang pementasan ke satu ruang pementasan. Sebelum pementasan bermula, tauke panggung akan menyanyikan lagu berupa sinopsis ringkas tentang pementasan yang bakal audiens tonton, selain lagu penutup bagi menyimpulkan feel seluruh persembahan yang saya syak melankolik.

Mereka yang terlibat dari Singapura ialah Farez Najid dengan karya berjudul Hitung yang ditulis, diarah dan dilakonkannya sendiri, serta Adib Kosnan (penulis dan pengarah) dan Dalifah Shahril (pelakon) yang membawakan karya berjudul Flicker. Dari Malaysia pula ada Fasyali Fadzly (penulis dan pengarah) dan Iefiz Alaudin (pelakon) yang membawakan karya Mati Hidup Kembali, serta saya sendiri, Ridhwan Saidi (penulis dan pengarah) dan Roshafiq Roslee (pelakon) untuk karya berjudul Kisah Lelaki Yang Dapat Pencerahan Setelah Kasutnya Dicuri Di Masjid Pada Suatu Petang. 

Sebelum masuk ke persembahan ingin saya kongsikan sedikit proses latihan yang berjalan. Kami (saya dan Roshafiq) telah menetap selama tiga minggu di Singapura dengan seminggu latihan di lokasi dan dua minggu pementasan. Sebelum itu, Fared Jainal (pengarah artistik Teater Ekamatra) telah melawat kami di Kuala Lumpur untuk melihat kerja-kerja yang sedang diusahakan oleh pengkarya Malaysia. Jauh sebelum itu, kami telah bertemu beberapa kali di Singapura bagi membincangkan hal ini. Dan tema yang dipilih untuk tahun ini ialah ‘Die Before You Die’ atau dalam bahasa Melayu-nya, Mati Sebelum Mati.

Projek Suitcase pertama kali muncul pada tahun 2003 di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur yang mana pada ketika itu pengarah artistik bagi Teater Ekamatra ialah Noor Effendy Ibrahim. Empat pengkarya dan karya yang terlibat pada ketika itu turut terdiri dari dua kumpulan dari Malaysia dan dua kumpulan dari Singapura. Mereka ialah Alfian Sa’at (penulis) dan Farah Ong (pelakon) dengan karya arahan bersama Minah & Monyet, Aidli Mosbit (penulis dan pengarah) dan Molizah Mohd Mohter (pelakon) dengan karya La Libre Latifa, Nam Ron (penulis, pengarah dan pelakon) pula dengan karya matderihkolaperlih, manakala Faisal Tehrani (penulis), Rosdeen Suboh (pengarah) dan Mohd Kamaludin Mohd Daud (pelakon) dengan karya Monsopiad & Lain-Lain Cerita. Selepas itu Projek Suitcase dihidupkan kembali pada tahun 2015 (bertema ‘Excavation’) dan 2016 (bertema ‘Metamorphosis’) tetapi hanya melibatkan pengkarya Singapura. Ia hanya pada versi 2018 ini, ia kembali melibatkan usahasama pengkarya dari dua negara, Singapura dan Malaysia.

Kembali menjejakkan kaki di Wisma Geylang Serai, kami diberi empat lokasi berbeza, cuma kali ini, pilihan lokasi itu tergantung kepada nasib. Ini maknanya kami perlu cabut undi pada malam sebelum pementasan untuk menentukan siapa dapat ruang mana. Empat ruang ini ialah sebuah lorong berhampiran bilik menyuarat, ruang tangga, ruang di aras bumbung, dan ruang di tepi gelanggang badminton. Oleh kerana teater melibatkan aksi, maka setiap lokasi memerlukan bentuk gerakan yang berbeza. Ia memerlukan setiap pengarah menyusun gerakan yang sesuai untuk setiap persembahan. Selain itu, setiap ruang ini juga sudah disusun ikut kronologi. Ini bermakna jika kumpulan itu dapat lorong di bilik menyuarat, maka mereka (atau dia) akan menjadi yang pertama, manakala ruang di tepi gelanggang badminton menjadi ruang terakhir.

Buat audiens yang hadir, mereka akan alami suatu pengalaman yang tetap, tetapi oleh kerana saya menulis dari pihak belakang tabir, dan telah saya ketahui bahawa tiada hari persembahan dengan kronologi yang sama, maka lebih sukar untuk saya catitkan pengalaman itu di sini. Ini kerana setiap monodrama telah menggunakan dan merasai empat ke lima ruang yang berbeza sepanjang tujuh hari pementasan. Bagaimana boleh ada lima ruang sedangkan pilihan yang kita ada cuma empat?

Pada hari terakhir pementasan iaitu Sabtu, Wisma Geylang Serai ini terlalu meriah dengan aktiviti-aktiviti lain iaitu keramaian Minang di tingkat satu dan keramaian joget di dalam dewan badminton tingkat empat. Kedua-dua keramaian ini menggunakan sistem bunyi yang kuat dan bakal mengganggu pementasan yang akan kami jalankan. Maka dengan itu pihak Teater Ekamatra telah ambil keputusan untuk masukkan kesemua pementasan ke dalam sebuah dewan tertutup kedap bunyi di tingkat empat. Teater site-specific kami perlu diadaptasi menjadi persembahan indoor. Setiap monodrama diberi bucu dewan yang berbeza, dan konsep tauke panggung dan audiens bergerak dari satu bucu ke satu bucu masih dikekalkan.

Mungkin di sini boleh saya kongsikan rasa perbezaan untuk berteater di kawasan terbuka dengan di dalam kawasan tertutup. Yang paling ketara ialah atmosfera dan nuansa setiap lokasi itu sendiri. Dengan teater site-specific, site atau lokasi itu turut memberi tenaga kepada cara kita bermain dengan teater. Sebagai contoh untuk monodrama saya, ia berlaku di kawasan tangga masjid, maka jika kumpulan kami dapat di ruang tangga, ia akan beri kesan yang lebih realistik terhadap audiens. Audiens dapat lihat dan pelakon dapat rasa tangga sebenar. Kasut-kasut dan selipar-selipar tersusun pada anak tangga. Lain pula permainanannya jika kami diberi kawasan rata lain. Di ruang lain, ada tenaga lain yang boleh diserap, misalnya di lorong berhampiran bilik mesyuarat, lorong ini akan menekankan sebarang permainan garis linear. Sebagai contoh, dalam monodrama kami, Roshafiq ada melakukan aksi catwalk (dengan kasut curi), lalu lorong linear ini akan menguatkan aksi ini. Jika di ruang tangga, aksi catwalk ini akan dilakukan ke arah kawasan terbuka di kiri audiens. Satu berfokus, satu lagi membuka. Dua aksi yang sama, tetapi dengan ruang yang berbeza akan beri kesan yang berbeza. Di sini, pengarah perlu tahu untuk menyeimbangkan gerakan-gerakan kecil ini dalam menyampaikan keseluruhan kisah. Ini walau bagaimanapun, beza di antara dua lokasi site-specific terbuka. Perbandingannya dengan lokasi tertutup atau indoor pula lebih berbeza.

Boleh disamakan bahawa teater yang berlaku di ruang tertutup ibarat rakaman muzik di dalam studio. Kelebihannya ialah kita dapat ruang kosong dan sepi. Suara pelakon jelas. Ini berlawanan dengan lokasi terbuka tadi, di mana pelakon perlu berlawan dengan bunyi ambien. Ruang tangga merupakan yang paling mencabar secara akustik, kerana di hadapannya ada lalu lintas dengan bunyi kereta, motosikal dan bas. Pelakon kena tahu bila untuk bersuara dan bertindakbalas dengan bunyi-bunyi yang berada di luar kawalan. Sebaliknya di dalam dewan tertutup, segalanya terkawal. Walau bagaimanapun, ruang yang tertutup dan terkawal ini hilang nuansa kotanya. Geylang terputus dari ruang dalam dewan ini. Maka salah satu strategi yang boleh kami lakukan ialah: bermain dengan lampu. Hampir semua monodrama saya sedari memainkan elemen cahaya. Ini kerana, ia terasa kering dan kosong apabila berada di ruang tertutup, berbanding berada di luar. Hanya dengan memainkan unsur cahaya, ia mampu untuk menghidupkan ruang itu. Ini kerana, selain bunyi yang sepi, ruang tertutup menawarkan kita suasana gelap. Di dalam ruang tertutup, teater boleh dihabiskan dengan cara pentas itu digelapkan, tetapi ini mustahil dengan teater site specific yang terbuka. Cahaya dan bunyi, di luar kuasa pembikin teater. Teater perlu dihabiskan dalam keadaan terang (kecuali jika site itu sudah sedia gelap, dan lampu boleh dikawal, yang mana dalam konteks Projek Suitcase ini tidak boleh).

Sekarang mari kita lihat satu persatu ke dalam setiap naskah yang dipentaskan. Oleh kerana temanya ‘die before you die’ (mati sebelum mati), secara tidak langsung ia menyentuh hal-hal spiritual, kerana dengan kesedaran terhadap unsur mati, ia buat kita kembali merenung apa itu hidup. Di sini aspek realisme sosial dan metafizik puitis bertemu.

Hitung menceritakan tentang roh seorang lelaki yang sedang dihitung perbuatannya. Ia mengisahkan kehidupan seorang lelaki yang mencuri duit ibunya untuk berjoli, berhutang dengan kawan, dan akhirnya akan mengikuti kawannya untuk merompak sebuah rumah flat milik seorang nenek tua. Dalam pada itu audiens diberi pilihan untuk menentukan jalan hidup lelaki itu, sebagai contoh: untuk terus masuk bilik atau duduk sembang dengan ibunya sekejap. Farez akan melakukan apa yang dipilih audiens (dan melakonkan kesemua watak-watak ini). Hubungan dengan audiens ini dibina untuk memenuhi penutupnya di mana roh lelaki tadi akan tanya penonton, jika dia wajar masuk neraka atau tidak? Walau bagaimanapun lelaki itu akan beri kata-kata akhir—audiens dipersoal kembali—sebelum meninggalkan pentas. Monodrama ini penuh rasa genting, tegang dan amarah. Satu-satunya elemen yang melembutkan ialah lagu Sayang Di Sayang yang dinyanyikan watak ibu. Suitcase bagi monodrama ini berupa toolbox plastik yang kosong.

Flicker pula tentang gaslighting, iaitu tentang seorang wanita lakonan Dalifah yang telah dimanipulasi oleh pasangannya hingga dia hilang rasional. Kegerunan dalam skala domestik menjadi semakin nyata, apabila unsur keganasan turut masuk sedikit demi sedikit ke dalam perhubungan toksik ini. Suitcase-nya berbentuk bekas plastik hitam dan besar yang memuatkan banyak barang antaranya nombor plat kereta dan teddy bear, persis objek memori dari mindanya. Jika Hitung lebih menyentuh dunia kelas pekerja seorang remaja lelaki, Flicker bermain dalam dunia kelas menengah seorang wanita dewasa. Realisme sosial ketara dalam dua monodrama Singapura ini, karakternya benar-benar ditekan dan perlu berdepan dengan faktor sosial dan ekonomi negara. Jika di Malaysia sentiasa ada jalan keluar iaitu protagonisnya boleh pilih untuk lari balik kampung (saya tak suka filem SONGLAP (2011) atas faktor ini). Masalah dan tekanan di kota ditinggalkan begitu saja. Ia tidak boleh di Singapura, kerana kotanya ialah kampung dan alam mereka.

Mati Hidup Kembali digarap dengan struktur terbuka, di mana audiens diajak bermain pick-up sticks dengan warna-warna tertentu. Pilihan-pilihan ini akan disusun, lalu Iefiz akan melakonkan lima watak berdasarkan kronologi pilihan batang kayu berwarna ini. Lima watak tersebut ialah seekor kucing, roh pakcik yang mati, ibu yang sedang lipat kain, budak lelaki dari kampung yang duduk di bandar dan seorang pelakon lelaki yang sedang memandu ke lokasi rehearsal, dengan prop masing-masing yang disebarkan ke ruang-ruang tertentu. Setiap watak mempunyai tiga bahagian cerita yang dipacu durasi muzik latar. Iefiz akan berdiri di dalam beg bagasi (iaitu suitcase) untuk menjadi neutral sebelum masuk ke watak seterusnya. 15 fragmen hidup yang penuh sentimen. Meski latarnya di bandar—di kawasan flat—ada rasa kampung (via telefon), lebih-lebih lagi apabila dibandingkan dengan dua karya dari Singapura yang cukup bandar (dan tiada unsur kampung). Ia berakhir dengan optimis apabila ayat dari kucing dipetik, bahawa ia masih ada baki nyawa untuk hidup kembali. 

Kisah Lelaki Yang Dapat Pencerahan Setelah Kasutnya Dicuri Di Masjid Pada Suatu Petang menggunakan beg galas sebagai suitcase. Kasut dan selipar dikeluarkan dan diletak sebagai tanda ruang tangga masjid. Roshafiq akan minta kontribusi kasut atau selipar dari audiens untuk memenuhkan set, sementara dia ambil wuduk di tepi. Lelaki itu tiba ke masjid dan letak kasutnya, untuk bersolat. Di posisi rukuk, pencuri muncul untuk curi kasut. Kasut lelaki tadi dicuri. Lelaki itu selesai solat dan dapati kasutnya hilang. Dalam situasi ini, lelaki itu terfikirkan tiga pilihan: yang pertama untuk curi kasut orang lain, yang kedua untuk pinjam selipar masjid, dan yang ketiga untuk terus pulang berkaki ayam. Dari posisi ketiga ini, lelaki itu menjelaskan tentang pengaruh kasut di dalam kehidupan moden dan mereka yang kerja di kubikel ofis. Hingga satu ketika, beg galas (suitcase) dan tali lehernya disarung pada kedua belah kakinya seperti alas kaki dan seperti dirantai. Lalu lelaki ini memikirkan rasional untuk berkaki ayam seperti ketika di pantai, atau ketika menjadi kanak-kanak di taman permainan. Kehidupan moden memisahkan manusia dari alam. Selepas merenung jauh ke dalam diri, lelaki itu meninggalkan fonnya yang berisi imej dirinya sewaktu kecil, sebelum berundur ke belakang untuk meninggalkan dunia moden—merentasi deretan kasut dan selipar, dan melangkaui arah kiblat—tapak demi tapak, untuk bersatu dengan dunia spiritual.

Dua monodrama Malaysia ini saya rasakan lebih lembut dan puitis dan tidak setegang dua karya Singapura. Perbezaan dan dialog ini saya raikan kerana biasanya kita mahukan apa yang kita tiada.  Saya menggemari Hitung atas rasa amarahnya yang meletup dan Flicker pula atas sebab ia masuk ke dalam psikologi karakter seorang wanita. Teater Malaysia dewasa ini, tidak ada amarah terpendam (jika ada mungkin waktu awal 2000an dulu, dengan karya Nam Ron dan Mark Teh?) dan lebih selamat sifatnya, tiada kegelisahan profound, manakala dari segi pemaparan wanita pula, jarang-jarang dalam teater Malaysia saya temui yang masuk ke dalam psikologi, sebaliknya, rata-rata jika penulis atau pengarahnya lelaki, watak wanita itu satu dimensi. Atas faktor ini, saya amat hargai dua monodrama ini. Mungkin untuk orang Singapura ia biasa-biasa untuk mereka (sepertimana saya rasa biasa-biasa dan faham saja dengan werk Fasyali, sebab saya sudah ikuti perkembangannya), tapi dari sudut pandang di seberang tambak, ada manfaat dan kepekaan asing yang boleh saya perhati dan kutip.

Mungkin dengan mengenali sentuhan dalam karya Singapura, ia secara tidak langsung membuatkan saya lebih kenal karya Malaysia. Ia posisi yang sukar dikenal pasti jika kita duduk terlalu lama di dalam negara. Sekali-sekala kita perlu keluar untuk lebih mengenali apa yang bermasalah, dan apa yang indah, yang ada di dalam.


Ridhwan Saidi
p/s: foto 1, 2, 4 dan 5 oleh RS; foto 3, 6 dan 7 oleh Nurul Aizam
Teks ini telah di-revised dari versi Tunas Cipta.

Isnin, Disember 22, 2014

Ophilia dan Filem-Filem Suram Malaysia 2014

Tahun ini filem-filem Malaysia yang saya tonton cenderung gelap dan suram, seperti Amir dan Loqman Pergi Ke Laut, Lelaki Harapan Dunia dan Ophilia. Amir Loqman dan Lelaki Harapan filem yang elok, cuma yang memisahkan Ophilia dari kedua filem ini, antaranya: Ophilia kelakar tanpa mencuba.

Meski kelakar bukan penentu kebagusan sesebuah filem, malah Ophilia bukan filem komedi pun, tapi citra komedinya gred A. Ia ada jenaka absurd seperti penggunaan lesung batu dan belacan! (Barangkali jenakanya menjadi kerana filem ini bukan bergenre komedi, maka jenaka yang berlaku ditelan secara genuine oleh audiens). Saya syorkan pembikin filem Malaysia berhenti bikin filem komedi, sebab selagi kita orang Malaysia, unsur komedi tulen tak akan lari. Kita patut fokus pada karakter.

Watak negro muncul seketika dalam Ophilia tapi ia lawak gila, jika dibandingkan dengan Lelaki Harapan misalnya. Tak adil untuk membanding-bandingkan filem, tapi gitulah gamaknya. Saya akan cuba jelaskan dulu kenapa Amir Loqman dan Lelaki Harapan kureng.

Sekali lagi Amir Loqman dan Lelaki Harapan antara filem yang elok tahun ni. Kenapa? Sebab ada keresahan semasa pembikinnya membikin filem. Pembikinnya mahu luah sesuatu, maka nak tak nak, ia tentu menghasilkan sesuatu (baik atau teruk kita boleh tunda), jika dibandingkan dengan, say... pembikin yang copy paste filem orang lain.

Premis angkat rumah Lelaki Harapan menarik, cuma apa yang ingin disampaikan pada hemat saya sudah disetelkan secara flip hair oleh Man Laksa. Ia menghiburkan, tapi tak semenghiburkan Ophilia. Barangkali sebab karakternya tak dapat cukup ruang kerana terlalu dibebani suara pembikin.

Amir Loqman juga okay cuma karakter-karakternya masih ada kecenderungan karikatur. Ia tidak flesh out macam Ophilia. Ia ada feel yang menarik meskipun. Dunia Amir Loqman mengingatkan saya pada Klang atau Rio de Janeiro di waktu malam. Udara rasa tegang. Kita dapat rasa violence bila hirup nafas. Jenayah boleh berlaku bila-bila.

Ophilia antara filem Malaysia terbaik yang saya tonton di panggung. Melalui trailer-nya, saya rasa ia tak menarik, tapi bila digembar-gemburkan sebagai best, saya mula skeptik. Tapi dalam masa sama saya tahu satu-satunya cara untuk filem ini selamat adalah melalui storytelling. Dan ternyata filem ini selamat sebab ceritanya.

Untuk menentukan filem yang baik di Malaysia tak susah sebab kita sentiasa dihujani filem-filem teruk. Dan filem-filem teruk ini penting dalam menjadi acuan agar kita tahu dan sedar di mana letaknya filem yang baik. 

Filem ini bermula dengan bergaya, dan turut saya akui di sini penamatnya juga tiba ke takah sinematik (ada sesuatu pada senyuman Totoi, ada rasa innocence dan suci). Filem ini tidak sempurna tapi ia serba-serbi terletak. Selain tiga karakter utama Uji, Ozi Gandum dan Totoi, ia turut dibantu lakonan sampingan yang memberangsangkan. Zizan Nin, Sharifah Shahora, karakter Faktab dll., even negro tu pun bagus. Mereka perform dengan baik di dalam ruang singkat yang mereka ada. Bagaimana kamera mengikuti alur pinggul Ophilia dan Ivy cukup seksi.

Antara yang memikat dalam filem ini ialah rekaan grafik, atau efek teks yang muncul di sepanjang filem. Ia nampak selekeh, tapi raw dan real. Ia terasa macam patches yang dijahit. Pendek kata ia antitesis kepada nuansa grafik filem-filem seperti KIL yang kemas. Antara yang saya pelik bila Uji berselisih dengan Ah Beng yang sedang main bola basket, tertera ‘WAR’ dan saya tertanya apakehal ni? Ia janggal tapi saya suka.

Dalam filem ini meski naratornya Uji, tapi yang paling menonjol Ozi Gandum (sebab ia karakter paling bermasalah). Totoi meski semacam watak sampingan tapi dia pada saya antara paling utama dalam filem ini, sebab innocence dia yang menyimpulkan filem ini, lalu bikin ia tragedi yang sweet.

Imej-imej dalam filem ini nampak formal, tapi agak halus. Syot rapat dan klaustrofobik dalam kereta Mini antara yang melekat.

Jika mereka sebuah kugiran, Totoi ini main drum, Ozi Gandum main gitar, Uji main bass/vokal (narator). Saya tidak kenal rapat Raja Mukhriz selaku pengarah, tapi saya syak Uji ada sikit-sikit representasi dirinya. Dalam sebuah kugiran, pemain bass kurang menyerlah jika dibandingkan dengan pemain gitar. Akan tetapi melalui terjemahan visual dan sentuhan sinematografi, Raja Mukhriz berjaya buat ia resonates dengan jiwa audiens tanpa kita sedar.

Mengenai penggunaan sub budaya skinhead, meski ada dinyatakan bahawa ia boleh saja ambil sub budaya black metal atau mat rempit sebab tema utamanya persahabatan, pemilihan skinhead tetap paling cocok, sebab ia grafik yang belum diteroka sepenuhnya di dalam filem Malaysia sebelum ini (Gedebe lebih teatrikal). Dan muzik-muzik yang mengiringi sub budaya ini lebih catchy (juga ada yang bingit) jika dibandingkan dengan muzik black metal, atau ‘muzik apa yang mat rempit dengar?’

Saya rasa ia berpotensi untuk berakhir dengan Schubert, tapi OST dengan feel Enya ini buat mereka bertiga seakan terawang di syurga.


Ridhwan Saidi
P/S: Saya rasa sub budaya dangdut cocok untuk diteroka di layar dan ia punya garapan muzik lokal yang menarik suatu ketika dulu, malah no hal untuk watak utamanya seorang imigran Indonesia yang bekerja di Kota Raya.

Isnin, Februari 28, 2011

Kesenian dan Konsumerasi

Kelmarin saya ke Buka Jalan International Art Festival di Balai Seni dan terlihat dua susuk pembikin filem berkacamata hitam: U-wei dan Mansor. U-wei akan datang dengan filem terbarunya Hanyut manakala Mansor pula mengingatkan saya kepada tulisan Abror baru-baru ini di JalanTelawi.com. Di dalam tulisan itu ada menyentuh mengenai filem Seman (1986) yang melawan dogma itu. Pabila melihat rambut kedua pembikin ini yang berwarna putih, hati saya sedikit gusar. Tanpa disedari filem Seman telah berlalu 25 tahun yang lalu. Umurnya seusia dengan tubuh saya. Ya, tidak salah kadang-kala kita bernostalgia, tetapi ke manakah perginya pembikin-pembikin yang masih belum berambut putih? Sampai bila kita mahu berpaut pada ‘satu-satunya’ filem eksperimental tempatan itu? Saya tanya, saya sendiri akan jawab.

Baru-baru ini saya ada menonton filem Chermin (2007) dan Bila Punggok Rindukan Bulan (2008) secara terus menerus. Kepada yang tidak tahu, kedua-dua filem ini dihasilkan oleh mereka yang masih belum berambut putih (dalam lingkungan bawah 30-an). Tak dinafikan saya lebih cenderung untuk meminati filem yang kedua. Chermin bermula dengan baik bagi sebuah filem yang berlokasikan resort… eh silap kampung. Dari segi jalan cerita ia kuat mengikuti acuan Hollywood. Saya tiada masalah dengan ini, cuma semakin lama – filem ini semakin gedik. Bagaimana mak cik sismance itu balik rumah melalui hutan rimba sangat menggelikan hati. Di kampung-kampung, laluan manusia dipanggil denai. Mengetahui ini saya sedari terdapatnya satu paten di mana seseorang pembikin itu, belajar di Barat kemudian ingin bermain kembali dengan semangat Nusantara. Ini tidak salah tetapi jika silap dilaksanakan, ianya akan jadi kelakar. Yang membuatkan saya melupakan filem ini adalah babak exorcist di mana seekor Smeagol merangkak keluar dari tubuh Natasha masuk ke dalam cermin. Entah mengapa saya fed up dengan filem yang baru saya tonton itu. Apa pun daripada 100 markah saya berikan 40/100, sama macam Khurafat. Ia tidaklah seteruk Haq (2011) atau Antoo Fighter (2009).

Filem Punggok Rindukan Bulan pula tanpa berlengah saya beri 70/100 markah. Ini adalah sebuah filem yang baik dan penting sekaligus. Tidak bermain dengan dunia kampung, filem ini mendekati jiwa-jiwa kota. Semangat perbandaran dan kemajuan; permainan ruang publik/privasi digerakkan dengan jayanya. Mereka yang mendalami ilmu senibina saya syorkan menonton filem ini. Seperkara yang saya perasan, filem ini berhijrah daripada fiksi kepada dokumentari secara halus dan puitis. Terdapat 3 segmen nyata yang saya perasan. Pertama kerinduan berlarutan seorang budak bernama Sidi terhadap ibunya. Ini jika ditekan lebih dalam boleh jadi berupa kerinduan feminisme kesemulajadian alam di dalam dunia maskulin konkrit dan keluli. Kedua proses rakaman dan dokumentasi Amani yang menemubual penduduk setempat. Seperti ruang tangga dan koridor sempit flat Bukit Chagar yang bersifat semi-publik (laluan penduduk) dan semi-privasi (couple bercanda), segmen ini adalah di antara semi-fiksi dan semi-dokumentari. Dan segmen terakhir, bersemadinya flat itu di duniawi ini.

Berbalik kepada hal asal, ya kesenian di negara ini sentiasa sempit dan terhimpit. Baru-baru ini industri perfileman tanah air telah menampakkan pemecahan rekod keuntungan yang memberangsangkan. Saya turut bergembira di atas kekayaan yang masuk ke dalam kocek para pengusaha sinepleks dan pemilik syarikat produksi ini. Cuma jika kita tolak lebih jauh, apakah makna semua ini? Bagi saya penonton di negara ini semakin banyak wang untuk dibelanjakan. Itu saja. Ini serupa dengan makanan yang berlambak di negara ini. Sehinggakan kadang-kadang saya terfikir terdapatkah mereka yang mati kebuluran di negara ini? Melalui alam kita dapat menikmati kesuburan aneka pilihan makanan. Kalau di kota pula lihat saja makanan yang tidak habis. Ianya berlambak. Kita terjerat di dalam kitaran konsumerasi yang statik. Dan kesenian adalah salah satu jalan untuk kita bergerak menjadi manusia yang sempurna.

Di Balai Seni Lukis Negara yang menganjurkan festival seni persembahan Buka Jalan, jika kamu perasan berlaku satu penyongsangan. Bukankah sepatutnya seni persembahan bertaut dengan Istana Budaya? Ya, saya faham. Saya juga jika diberi pilihan akan menjauhi Istana Budaya. Kesenian di negara ini tidak kiralah apa pun, mula korup apabila ia di-glam-kan. Dan Istana Budaya menggenggam falsafah glam ini sampai jadi bara. Mujur adanya kubu kesenian (boleh tahan) di Balai Seni Lukis Negara. Lebih kuat tempat itu mempunyai sejarah. Malah jika mahu dibuat panggung alternatif, mungkin boleh difikir-fikirkan. Saya pernah menonton filem Mexico di situ dan ianya not bad

Selain itu, Ayam ada menceritakan kepada saya mengenai kewujudan filem terbaru arahan Nam Ron: Jalan Pintas. Katanya filem ini seperti Gadoh (2009) akan menggunakan jalan songsang, di mana filem itu yang akan mencari penonton. Saya cukup faham dengan tindakan ini kerana di negara ini, sinepleks berkuasa. Kamu perlu tahu beza pawagam dan sinepleks. Sinepleks yang kalau tidak silap saya bawaan Amerika ini adalah gedung yang memiliki banyak panggung (wayang gambar). Pawagam pula lebih bersifat peribadi (atau kecil skalanya). Berbeza di antara menonton di pawagam dan sinepleks. Di sinepleks, kamu adalah seorang konsumer tidak kira apa latar kamu. Pilihan filem sentiasa teruk. Oleh kerana itu saya cukup bersetuju dengan Abror bahawa kita yang meraikan kesenian sejati ini memerlukan sebuah panggung alternatif. Konsumer jamak yang bebal perlu dipariahkan.

Apa pun tidaklah bermakna saya menolak sinepleks seratus peratus. Dua filem yang saya tunggu-tunggu untuk tonton ialah Bunga Lalang dan Hanyut. Di mana lagi dapat saya tonton filem ini jika tidak di sinepleks? Lol. Selalu juga saya perasan atas dasar apa kamu menonton sesebuah filem? Adakah ulasan di surat khabar dan blog atau status FB/Twitter akan mempengaruhi kamu? Ini saya tidak peduli, tetapi bagi saya yang paling penting adalah sesi temubual bersama pembikinnya. Tidak dinafikan Bissme antara yang paling pakar dalam hal ini. Setakat ini temubual bersama Dain dan U-wei paling berkesan buat saya. 


Ridhwan Saidi
P/s: Melalui temubual juga kita berpeluang untuk detect samada seseorang itu benar pembikin filem atau sekadar seorang tukang beri arahan.
P/s/s: Menurut Bissme, tajuk filem Bunga Lalang telah ditukar kepada Bunohan.

Selasa, Disember 07, 2010

10 Filem Malaysia Pilihan Hati

Sepuluh filem yang tertera di bawah ini merupakan filem-filem yang secara peribadi telah memberikan kesan yang “ ‘mendalam’ ” terhadap diri saya – tapi awas! Ini bukan soal sempurna atau tidak sesebuah filem itu. Saya bukanlah seorang cineaste, cinephile, filmster, film-holic, film buff, film theorist, film critic, moviegoer ataupun kaki wayang, tetapi hanya sekadar seorang sinematikus; ibarat seekor tikus yang konon buat-buat sibuk berkenaan hal-hal sinema. Sepuluh filem yang dipilih ini disusun mengikut huruf pasal malas nak menentukan yang mana lebih " 'mendalam' " daripada yang mana. Malah jangan pula melatah jika pilihan ‘filem Malaysia’ saya ini melangkaui sempadan geografi dan politik:

6horts (2002) – Amir Muhammad
Himpunan filpen di dalam 6horts ini menyedarkan saya bahawa idea dahulu, produksi kemudian. Filem boleh dihasilkan dengan mudah semudah mudahnya. Satu imej pegun Mona Fandey pun jadi-lah. Sedihnya, baru saya sedari teman-teman 'production-oriented' saya yang tak sudah-sudah berbicara tentang jib-arm, yang terus menerus menghasilkan drama radio, rupanya tidak pernah tahu mengenai filem ini. 

Bukak Api (2000) – Osman Ali
Barisan pelakon (yang bukan pelakon), art direction, mainan kata yang tertera pada skrin, semua ini menyumbang kepada keseksian filem ini. Saya tidak begitu ingat bagaimana filem ini bermula, tetapi pengakhirannya begitu... bermutu. Saya tidak pedulikan sangat detik-detik didaktik yang ditanam di dalam filem ini, pasal ianya diaksikan oleh mereka yang benar.

Dari Jemapoh ke Manchestee (1998) – Hishamuddin Rais
Jika ada satu filem Malaysia atau Melayu yang berjaya menyatukan visual dengan musik, inilah filemnya. Sebenarnya untuk mengesan keberjayaan sesebuah filem itu, rahsianya terletak pada syot pertama dan syot terakhir. Untuk filem ini, ianya akan kekal di dalam ingatan saya sepanjang hayat – dari bumi ke langit, itulah cita-cita anak muda (sepatutnya).

Gedebe (2003) – Nam Ron
Filem ini adalah satu kegagalan yang menyegarkan, sekurang-kurangnya buat saya (ya mengilhamkan). Ianya bermula dengan baik, tetapi kemudian perlahan-lahan merudum ke pengakhiran yang tidak memuaskan nafsu sinema saya. Tapi yang membuatkan saya merasakan filem ini menarik, jika Haru-Biru (2007) menyampaikan suara muda dengan gaya orang tua, filem ini menyampaikan suara muda dengan gaya anak muda – tak kisahlah yang membikinnya secara harfiah tua atau muda, ini berkenaan jiwa! 'Gaya anak muda' ini rare ya amat di negara ini, sebab majoriti anak muda negara ini rata-rata berlagak seperti orang tua, dasar tak sedar diri. Oleh itu marilah kita anak muda bertaubat nasuha, lalu meraikan kemudaan.

Hang Jebat (1961) – Hussein Haniff
Ini tulus klasik. Babak tariannya yang digarap Siput Serawak, beat suntingannya, sinematografinya, muziknya, isi tariannya yang sudah pun memberi petunjuk Tuah dan Jebat bergasak, ini semua membuatkan diri saya malu ketika menonton filem seperti Sayang You Can Dance atau 'teater muzikal' seperti Uda dan Dara. Malu, seribu kali malu!

Kaki Bakar (1995) – U-wei Saari
Kesumo berlari menangis dalam gelap, Kakang sental permaidani pakai parang dalam tandas, Kakang mengeluh kepada anaknya Kesumo dalam perjalanan ke rumah Tuan Kassim. Semua ini, semua ini  – sinema!

Man Laksa (2006) – Mamat Khalid
Tiap kali filem ini dimainkan di tv, mesti saya terlekat, paling tak pun seketika. Jika Kaki Bakar bermain dengan alam kampung yang lebih serius, filem ini bermain dengan sisi-sisi komedi. Semua tipainduk kampung seperti village idiot, samseng kampung, tok penghulu dan lain-lain menjadi. Chah lakonan Sharifah Aleya dengan kulit putih, bertocang, di dunia nyata ini saya akui ciri-ciri sedemikian memang menjadi kegilaan pemuda-pemuda kampung lantas menjadi gadis pujaan ramai. Mengingatkan saat waktu berhingus, ini melucukan.

Rebels of the Neon God (1993) – Tsai Ming-liang
Kesannya dalam terhadap diri saya, kalau boleh nak buat filem macam ni. Lucunya filem ini direkomen abang penjual DVD tingkat atas Armcorp Mall.

Seman (1986) – Mansor Puteh
Tak pernah saya duga filem ini akan membawa saya sampai ke negeri matahari terbit. Tak pernah juga saya menonton filem Melayu atau Malaysia moden (pasca-studio) sebebas ini.

Tiga Abdul (1964) - P. Ramlee 
Ada dua faktor yang membuatkan filem ini menarik. Pertama ceritanya, kedua penceritanya. Dalam filem ini, penceritanya S. Shamsuddin belum apa-apa lagi sudah berdekah-dekah lawak. Tu belum apa-apa lagi tu.

Wasurenagusa – Yasmin Ahmad 
Tidak pernah dalam hidup saya membaca skrip atau lakonlayar sampai habis. Ini kerana sifat skrip itu sendiri yang skema dan membosankan. Tetapi untuk filem ini, ianya begitu memudahkan. Rupanya yang sah puisi dengan typeface Garamond, santak tengah, sekelip mata habis dibaca tanpa disedari. Membaca skrip tidak pernah seseronok ini.


Ridhwan Saidi
P/s: Belum tengok lagi Amok, Jimi Asmara, Sayang Salmah, Johnny Bikin Filem dan banyak lagi filem-filem Melayu atau Malaysia yang menarik. Kepada mereka yang merasakan hanya filem-filem Yasmin sebagai menarik (dalam negara ini), tolong explore lagi. Tenkiu. Oh! Btw entri ini adalah respon kepada 10 filem pilihan orang lain yang mana 4 daripadanya filem Yasmin. Mengelat betul.

Rabu, September 23, 2009

15Malaysia dalam 1

Dalam perpaduan ada beberapa konsep, akomodasi (A+B+C=A+B+C), akulturasi (A+B+C=A/B/C+A/B/C), asimilasi (A+B+C=A) dan amalgamasi (A+B+C=D). Anehnya kesemua konsep perpaduan ini tidak boleh bersatu padu kerana ia bercanggah di antara satu sama lain. Berikut adalah ulasan ringkas (fokus kepada perlaksanaan berbanding idea, sebab idea semua bagus-bagus) kesemua 15 filpen komersial yang ditayangkan di 15Malaysia.com:

Duit kecil.Johan John
3 minit pertama filpen ini 'menarik', ia cuba membina antisipasi penonton (terutama kepada mereka yang tidak pernah melanggan pelacur). Tapi sejurus selepas itu tiba-tiba ia menjadi sitcom, macam Pi Mai Pi Mai Tang Tu pula. Isunya adalah duit kecil dan kesemua pelacur-pelacur di awal kisah tadi meninggalkan territory bilik mereka berhimpun di ruang utama. Masalah selesai pabila duit kecil dikumpul secara kolektif. Watak lelaki itu lalu pulang menaiki teksi diikuti montaj realiti kehidupan di kota. Bentuk di tengah cerita tadi seperti tidak kena, ada benda yang tidak cukup. Exploitasi yang diperlakukan ke atas gadis-gadis ini sifar bijak. Realiti kehidupan yang mahu disimpulkan bercanggah dengan harga pelacur lokal yang bernilai RM60. Ke memang murah?

Potong Saga.Ho Yuhang
Kali pertama tonton, filpen ini serius ia menimbulkan rasa ngilu, terutamanya ketika babak memakai seluar jeans ketat mahu naik motosikal. Kemudian tak pasal-pasal ada gadis-gadis menawan di tepi jalan pula, memang ‘rasa’. Rasa ngilu ini selari dengan tempo runut bunyi dan suntingan imej yang membuatkannya berhasil. Naratifnya begitu saja, tapi ia berjaya meninggalkan kesan pada saya, siap boleh teringat semasa bersunat lagi.

Chocolate.Yasmin Ahmad
Kunci kepada filpen ini adalah suara si ibu yang tidak muncul pada skrin. Bagi saya ia adalah lambang authority yang mana si anak telah ditanam dengan rasa benci (rujuk pecah dan perintah). Walaupun budak lelaki dan perempuan muncul secara visual, tapi suara di luar skrin yang mendominasi tingkahlaku mereka. Kita nampak budak lelaki itu memandang wajah si perempuan tanpa kelip mata. Kedua budak ini berbalas reaksi dan ini menimbulkan bibit-bibit comel. Cuma pabila suara si ibu mula mengganggu kembali, saya lebih tertarik dengan reaksi budak perempuan itu, dan bukannya si lelaki {rujuk syot penamat Monsters Inc. (2001) dan songsangkan}. Reaksi budak perempuan itu lebih menarik kerana ia menyokong tindakannya untuk meninggalkan kedai itu. Tambah, walaupun suara si ibu itu bercakap dengan anak lelakinya, tapi ia ditujukan terus kepada budak perempuan Melayu itu.

The Tree.Amir Muhammad
Utopia sosialisme Islam lagi tak sekular oleh Nik Aziz disulami imej-imej buruh mencari rezeki halal di Pasar Siti Khadijah.

Gerhana.James Lee
Ini sama seperti filpen Chocolate di mana suara dari kaca TV adalah kunci kepada segala penipuan. Cuma ia kaut banyak isu-isu semasa dan dalam masa yang sama, watak lelaki itu tidak boleh dipercayai. Watak perempuan yang suka bertanya (tapi kekal pasif itu) sentiasa mengalami gerhana kebenaran. TV bohong, watak lelaki itu pun bohong, watak perempuan itu dibohongi. Kepada yang tidak tahu (mengalami gerhana kebenaran), Malaysia adalah pengeksport babi terbesar di Asia Tenggara.

Slovak Sling.Woo Ming Jin
Kegemaran nombor 2. Ianya cukup kelakar dan dekat dengan ‘kita’. Cetak rompak, video amatur (rakam pakai telefon bimbit), politikus lompat parti, bodek, ampu, jilat, rasuah, escort perempuan dan ‘lelaki’, Play Station, dan tak dilupakan, Hush Puppies. Oh ye, lepas itu kita ada prosedur liwat oleh pihak penguasa kan?

One Future.Tan Chui Mui
Secara peribadi filpen ini adalah kegemaran saya. Ia mengingatkan saya pada Alphaville (1965) oleh Godard. Sebuah utopia di masa depan yang akhirnya menjadi distopia. Tanpa menggunakan kesan khas atau CGI yang canggih, ia berkesan memberikan suasana masa depan cuma dengan menggunakan imej pegun hitam putih serta audio uniknya. Seawal minit pertama, kelihatan simbol swastika Nazi kabur pada latar belakang. Ini adalah petanda bahawa government sempurna yang diwar-warkan ini adalah utopia fasis. Hak bersuara dilalikan, jika melawan, akan dikurung seumur hidup di dalam gelap. Oh senyuman dan renungan Ida Nerina selaku agen fasis cukup menawan.

Halal.Liew Seng Tat
Filpen ini cuba memberikan penerangan ringkas kepada rakyat Malaysia bukan Islam jahil yang tidak tahu halal itu apa. Tapi cuma kulit saja tanpa sebarang kupasan yang menyakinkan. Banyak ‘main-main’ seperti unsur keganasan permainan video (MGS?) dan pornografi gadis litar/ratu cantik. Ada bingkai ayat (al-Quran?) yang sentiasa terlindung oleh tubuh Adibah, Puan Ong, sebatang pokok palma dan kain. Dari segi semiotik, ini bermakna ia membelakangi (al-Quran?). Untuk terima humor di dalam filpen ini, segala sensitiviti perlu dibuang, sebab konsep seserius halal dipersembahkan secara slapstik. Korang pluberal kan? Huhuhu

Healthy Paranoia.Khairil Bahar
Filpen ini ada feel drama bersiri 24 + The Office (rasanya, sebab saya tak tengok TV pun). Lawaknya bingit dan sampai satu tahap ianya menjengkelkan. Ia meletakkan penonton blur sekali dengan watak menteri itu. Gerakan kameranya seolah-olah meletakkan kita di tempat orang ketiga, tapi sebenarnya perspektif yang diberikan sekali dengan menteri itu. Kita dan menteri itu mahu tahu apa proposal yang ingin dipersembahkan. Jelas sekali ‘jurujual korporat’ ini sedang memperbodohkan si menteri itu, dan anehnya yang menonton pun akan terkena sekali.

The Son.Desmond Ng
Filpen ini adalah perjalanan seorang saksi pergaduhan menuju ke balai polis bersama bapanya. Ia memilih momen ‘perjalanan’ dan bukannya saat pergaduhan atau ketika dibalai polis. Tapi kita tahu akhirnya saksi yang melaporkan kejadian itu turut menjadi suspek (budak ini beritahu ada 3 orang yang memukul, tapi berita menyatakan 4). Sentimen kaum disentuh dan dikupas secara tersirat dan lembut. Ia bagus dan boleh dipasangkan dengan Gadoh (2009).

House.Linus Chung
Sistem di negara ini menerapkan rasa bongkak individualistik, dan kejayaan disinonimkan dengan kekayaan. Filpen ini memaparkan dengan jelas bagaimana subjek pendidikan seni diasosiasikan dengan mentaliti karut. Budak sekolah ditutup mindanya. Walaupun naratifnya sudah boleh diagak, model hancur—rumah roboh tambah dileret ala filem Hindustan, tapi syot penamatnya comel. Yasmin muncul menemani budak yang ditindas tadi, duduk disinari terik cahaya matahari. Kira beliau sedang menyinari hidup budak yang sedang lara gitu. Tapi di dunia nyata, saya sentiasa percaya kepada aksi terus. Filpen ini membuatkan kita sedar (atau sekadar bersyukur?), tapi tanpa sebarang tindakan ia tidak membawa apa-apa perubahan. Korang berubah tak lepas tengok cerita ni?

Lumpur.Kamal Sabran
Yang ini menarik, ianya simple, tapi penangannya menjadi. Hanya bermain dengan subjektiviti makna ‘tanah’, ‘air’ dan akhir sekali ‘tanah air’, kemudian paradigma lumpur ditemui. Lumpur ini adalah simbolik palitan kekotoran, (pengkhianat, politik kotor, gila kuasa, kronisma, penindasan, birokrasi, janji palsu, pilih bulu, perkauman dll). Kemudian kita dipaparkan imej seorang lelaki menapis lumpur lalu diminum airnya (tanda bersih dari sebarang kekotoran.) Bila kita nak tapis ni? Kain (tapis) dah ada?

Meter.Benji Lim
Filpen ini macam Healthy Paranoia, kelam-kabut cuba hidupkan kespontanan pseudo-realiti (tapi tak jadi, sebab intro janggal.) Secara amnya ia mengecilkan skala sosio-politik negara ke dalam sebuah teksi dengan figur-figur sebenar. Ada beberapa momen yang menarik dan ikonik. Idea lompat teksi (parti) itu menarik, tapi perlaksaannya buat menyampah (semestinya ada 1000 orang lain yang suka kan?), Amber Chia tidak menyerlah, tiada daya tarikan, ia kendur, bak kata orang, potong stim. Di akhir cerita, ekspresi Namewee ingin tahu keris itu apa cukup melucukan. Kemudian dapat banyak keris mini pula. Situasi ini, comel.

Lollipop.Nam Ron
Filpen ini penuh dengan gumpalan teknik. Suasananya yang berwarna-warni dan riang kena dengan jalan cerita. Cuma visual di kaca TV (krisis di Perak) mengganggu dengan warnanya yang suram. Konsistensi rasa psiko-riang tadi terbantut. Saya suka oposisi binari yang diterapkan, ianya efek Kuleshov berbalas pandang. Mula-mula babak flashback, budak mencangkung ketakutan mendongak ke atas berbalas visual dengan bapanya yang sedang berdiri. Kemudian di taman pula, pedophile itu duduk statik berbalas visual dengan budak sekolah yang sedang bermain buaian (dinamik). Akhirnya budak itu akan berhenti statik (ikut mamat itu) lalu freeze-frame. Ianya kemas tapi sebelum itu ada syot Vertigo (track-in, zoom-out) yang tidak memberi sebarang impak. Malah tanda ‘lori sewa’ diakhir cerita – syot diantara poster kanak-kanak hilang dan langit – bikin kacau. Ia lebih menarik jika gangguan-gangguan visual tadi tiada, sekemas bagaimana pedophile itu memanipulasi kanak-kanak itu dengan lolipop, smooth saja. Bagi saya ia tidak cukup psikotik, faktor suntingan barangkali.

Rojak!.Suleiman Brothers
Saya tonton banyak kali filpen ini dan anehnya saya tidak rasa apa-apa langsung. Takde pula teringatkan rojak Sg. Besi ke, bernostalgia rojak bandar Melaka ke, mengidam pasembur Penang ke, takde. Kering, kontang. Ia ada gaya, tapi takde feel. Secara visual ia menyilaukan, dan silau ini seperti mahu audiens berpaling tidak mengendahkan perkara yang berlaku di depan mata. Ia seolah mahu kita redha terus bekerja (seperti kata penjual rojak itu: there’s nothing to do but work). Optimis bahawa inilah kehidupan yang terbaik buat kita. Redha menerima segala-galanya yang sudah ditakdirkan. Bersyukur dengan sistem yang sedia ada. Alhamdulillah.


Ridhwan Saidi

Isnin, Mac 23, 2009

Homonim Separa-fiksyen

Tahun lepas, dua jejaka sedang berborak perihal Bin Filem di Ipoh Majestic Hotel:

Nam Ron: siapa diorang ni?
Amir: tak kenal. dan lebih baik tak kenal pun.
Nam Ron: kenapa?
Amir: sebab kalau kenal, kita akan rasa yang kita kenal 'semua orang'. kalau ada yang kita tak kenal, maknanya KL ni masih luas.
Nam Ron: oh.

Petang tadi, dua jejaka sedang berborak perihal ‘perihal Bin Filem’ di Flat Seksyen 7 Shah Alam:

Dewa: diorang tu otai-kan?
Jhebat: cukup otai. dan kita perlu kenal mereka.
Dewa: kenapa?
Jhebat: sebab kalau kenal, kita akan rasa yang kita kenal ‘semua orang’. kalau ada yang kita tak kenal, maknanya KL ni masih luas.
Dewa: oh.


Ridhwan Saidi

p/s: Rabu ini tayangan Malaysian Gods di Pancha Delima ;-)

Selasa, Februari 24, 2009

Sinema Pak Cik Tora

Apabila menonton filem-filem Mat Sentol, saya seakan dibawa ke dalam naratif separuh sedar, khayal dalam dunia surreal ciptaan beliau. Hampir kesemua siri filem-filem Mat Sentol, yang bermula dengan kata panggilan ‘Mat’, yang tujuh itu, kalau tak silap, berlegar di luar lunas-lunas konvensional filem Studio Jalan Ampas. Malah rasanya kita semua tahu, dalam banyak segi, filem-filem beliau sudah bergerak jauh mendahului zaman.

Imej-imej tak logik yang terdapat dalam filem Mat Magic misalnya, secara teknikal memang macam haram bagi saya, macam main tampal saja. Bayangkan, dalam Mat Lanun pula pokok pisang boleh berbuahkan nenas! Tapi anehnya, saya boleh pula syok melayan kerja-kerja gila sebegini.

Namun, selain dari teknik penceritaan yang berjaya lari dari klise, yakni tampalan-tampalan montaj yang kelihatan sangat kartun, saya mengesan satu lagi kelainan yang dicipta dalam filem-filem Mat Sentol iaitu dari segi gaya penyampaian dialog. Saya rasa ini sangat jelas, terutama bagi watak utama yang dipikul oleh Mat Sentol sendiri.

Sambil tak mengabaikan beberapa filem komedi P. Ramlee, filem garapan Mat Sentol juga membawa gaya pertuturan yang memang langsung lari jauh dari klise filem-filem Melayu Jalan Ampas. Begitu selamba, secara terus, raw, tidak seperti gaya kelaziman filem Melayu iaitu pengucapan yang syahdu-mahdu, terkadang berlebih-lebih dan tak realistik. Pengucapan kata bual filem Mat Sentol terlalu spontan, menghidupkan unsur realisma secara tak sedar di sebalik ironinya paparan adegan surrealis. Beliau seolah-olah menolak idea pengucapan dialog ala teater Bangsawan yang mempelopori seni perfileman Melayu suatu ketika dahulu. Terater Bangsawan ini antara seni teater masayarakat Melayu selain dari Ghazal, Mak Yong dan Dikir Barat. Teater ini juga sememangnya dibuat sebagai bentuk hiburan kelas bangsawan Melayu pada zaman dahulu. Mungkin kerana itu namanya teater Bangsawan, bukan teater marhaen..haha!

Nama-nama seperti M. Suki, Sharif Medan, Fatimah Jasmin, S, Kadarisman ini antara para pelakon yang mempunyai latar belakang sebagai pendukung teater Bangsawan. Apabila seni filem mula masuk ke Tanah Melayu, negara ini tidak memiliki para pelakon filem yang sebenar-benarnya. Seni lakon teater Bangsawan dengan seni lakon filem adalah berbeza sama sekali. Saya tak tahu secara teorinya bagaimana, tapi secara peribadi, saya mempunyai pengalaman menonton teater Bangsawan, iaitu melalui stesen TV Singapura, sewaktu zaman saya belum bersekolah lagi. Gaya penyampaian dialognya tak banyak beza dengan gaya percakapan para pelakon dalam filem-filem Melayu klasik.

Dunia perfileman Melayu pada awalnya boleh membawa masuk pengarah dari India, pekerja teknikal dari India atau England, di samping sokongan pemodal Cina, tetapi nak tak nak, dalam konteks tempatan, filem Melayu sebenarnya tetap memerlukan barisan pelakon Melayu. Ini yang menjadi masalah pada ketika itu. Ini kerana filem yang dihasilkan perlu berkomunikasi melalui lakonan, selain kerja kamera, dengan audiens yang paling dekat dalam lingkungannya yakni golongan penonton tempatan, yang majoritinya adalah orang Melayu itu sendiri. Jadi dengan kata mudah, produksi filem waktu itu ‘terpaksa’ menggunakan apa yang ada, iaitu khidmat pelakon-pelakon Bangsawan ini.

Secara tak sedar, saya rasa gaya lakonan para pelakon teater Bangsawan ini telah membentuk gaya ekspresi lakonan bagi filem-filem Melayu, terutamanya dari segi penyampaian dialog, ditambah dengan tiadanya asas seni lakon filem yang sebenar.

Jadi datangnya Mat Sentol sepatutnya dianggap ‘rahmat’ buat filem Melayu. Beliau pada saya telah membuka jalan ke arah bentuk lakonan yang lebih natural dan gaya penceritaan yang lebih kreatif. Namun malangnya tiada siapa yang betul-betul berani melalui jalan tersebut. Kesudahannya, pelakon tempatan terus hanyut dengan ‘dunia Bangsawan’, di mana dengan bantuan skrip yang teruk, dialog-dialog terus-menerus dilontarkan dengan gaya penuh syahdu-syahduan, melankolis, dan adakalanya meleweh-leweh seakan membawa kita terbang ke alam kayangan. Dan penyakit ini berterusan ke era 90-an. Kamu boleh tonton filem-filem lakonan Awie di era 90-an sebagai contoh rujukan.

Saya kira penyakit ini beransur pulih di era 90-an juga. Dengan kewujudan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Akademi Seni Kebangsaan (sekarang ASWARA), yang memberi sedikit sebanyak pendedahan dan ilmu asas lakonan, ia umpama menjadi penyelamat daripada penyakit ini (gaya lakonan) terus membarah. Paling tidak, ia memberi pendedahan kepada penuntut seni lakonan, bagaimana caranya untuk berlakon dengan teknik lakonan yang betul, walaupun sebarang institusi tak memberi jaminan akan menghasilkan pelakon bermutu. Hasilnya kita boleh kongsikan dengan menonton beberapa filem yang saya fikir agak bagus, yang melibatkan lakonan beberapa pelakon yang lebih terdidik, seperti dalam filem Jogho dan Paloh.

Saya tak nafikan, ada beberapa aktor dari dunia teater yang sememangnya bagus seperti Khalid Salleh, yang bukan keluaran institusi keilmuan, tapi seingat saya beliau bukan dari ‘dunia bangsawan.’ Beliau datang dari kaki lima, membawa ‘watak’ penjual ubat, yang bererti, beliau datang dari dunia nyata, bukannya ‘alam kayangan.’

Ini bermakna, selain dari keilmuan yang mencukupi dalam sesuatu bidang itu, seperti lakonan, seseorang itu juga perlu menguatkan ketrampilan individualiti dengan bekal pengalaman hidup. Mudah kata, selain dari kampus institusi, kampus kehidupan juga amatlah penting kiranya. Dan, sekiranya arena filem tempatan mula berjaya melupuskan ‘golongan Bangsawan’ dari dunia filem, bila lagi kita mahu menghilangkan kelas ‘bangsawan’ di dunia nyata?

Berbalik semula kepada Mat Sentol. Saya rasa ramai antara kita yang tak mengenali atau melupai satu susuk penting dalam perkembangan sinema dunia. Dengan menonton siri filem-filem Mat Sentol, saya telah dibawa bertemu dengan individu penting yang memiliki nama Georges Méliès.

Susuk Georges Méliès ini merupakan antara pembikin auteur terawal dan juga pencipta filem bernaratif pertama di dunia. Malah beliau juga orang yang mula-mula menemukan rakaman sinematografi tak statik, iaitu olahan kamera yang boleh di-close-in, close-out. Beliau muncul sesudah kemunculan adik-beradik Lumiere dengan rakaman sinematografi ‘sekumpulan pekerja kilang pulang kerja’ mereka.

Berlatarbelakangkan seorang ahli silap mata, Georges Méliès merasakan kelebihan teknologi baru gambar bergerak ini perlu dimanipulasikan sebaik mungkin. Beliau berjaya mengesan akan kelebihan seni filem untuk kerja-kerja silap mata-nya apabila ‘rahsia’ Lumiere bersaudara terbongkar. Dengan kelebihan teknologi filem, ternyata beliau dapat memperkemas dan menambah takjub penonton terhadap kerja-kerja kelentongnya itu. Dari seorang illusionist tipikal, beliau berganjak menjadikan siri filem-filem pendeknya sebagai ‘hobi suci’nya yang lebih mencabar dan mengasyikkan.

Jadi apa kena-mengenanya Georges Méliès ini dengan Mat Sentol? Dari beberapa filem Mat Sentol yang saya tonton baru-baru ini, saya merasakan Mat Sentol seakan terpengaruh dengan Georges Méliès, terutamanya dari segi eksperimentasi kamera trick bagi menghasilkan babak-babak tak masuk akal, termasuk teknik super impose, double exposure dan dissolves. Tambahan pula secara kebetulan atau memang dirancang, Mat Sentol dalam filem-filem arahannya semacam mempunyai habit menyelitkan babak-babak silap mata.

Dengan menguasai pelbagai trick kamera, seseorang pembikin mempunyai lebih banyak pilihan dan ruang yang lebih luas untuk meneroka pelbagai bentuk penceritaan, agar lebih kreatif dan menarik. Namun agak ironi, filem bikinan Mat Sentol secara teknikal boleh dikatakan setaraf jika dibandingkan dengan himpunan filem-filem pendek Méliès, meskipun filem-filem si Méliès ini secara relatif jauh lebih ‘kuno’ jika perbezaan zaman diambil kira.

Namun begitu, pada saya filem Mat Sentol pantas saja untuk diiktiraf sebagai kerja seni avant-garde, setidak-tidaknya dalam konteks filem Melayu. Jika dunia menggelar Georges Méliès sebagai ‘Cinemagician’ atas sumbangan-sumbangannya magisnya terhadap perkembangan perfileman dunia, kita juga tak silap untuk mengangkat Mat Sentol sebagai ‘Cinemagician’ lokal!

Satu hal lagi yang cukup menarik tentang filem-filem Mat Sentol ialah kegemaran beliau menghimpunkan para pelakon dari pelbagai lapisan masyarakat. Kita boleh temui bukan sahaja Melayu, Cina dan India. Dalam filem Mat Bond contohnya, seorang amoi memainkan watak tak kurang pentingnya. Ini bukti yang Mat Sentol juga sudah mendahului idea majmuk dalam filem-filem tempatan, bukannya pembikin-pembikin ‘liberal’ hari ini, tanpa heboh-heboh tentang agenda masyarakat plural atau liberal. Bahkan Singh dan Mat Salleh turut sama ‘dipaksa’ memegang watak-watak sampingan. Ini amat jarang sekali dilakukan oleh mana-mana pembikin tempatan pada waktu itu. Pada saya ini juga antara aspek penting dalam karya filem arahan Mat Sentol, atau nama sebenarnya, Mat Raship bin Yahya.

Andai diperhatikan sekali lagi, Mat Sentol juga boleh disifatkan sebagai berjiwa internasionalis lagi universal apabila dalam filem Mat Bond terselit adegan mesyuarat ketua-ketua negara dari seluruh dunia! Hahaha!

Sebelum saya berhenti menaip, terimalah lirik lagu lari tune dendangan Mat Sentol, ‘Spy Spy’ dari filem Mat Bond untuk ‘hiburan seisi keluarga’...

Spy spy spy...
Bang bang!!


Ku ingin jadi spy..O spy

Mengintip semua rahsia
Pistol ku panjang melempai
Aku tembak siapa salah..

Bang bang!!


Ku bukan spy sebarang

Pandai silat dan karate
Kalaulah musuh datang menyerang

Ku cucuk macam sate...kepoww!


O Batman..O Superman

Ku buat kawan main-main (saja)
‘Banjerman’..O ‘Oltroman’

They are all my friends..yea!


Biar jadi spy Bond..O Bond!

Aku jadi spy Mat Bond

Orang panggil aku Bond Bond

Aku jawab Bond Bond Bond...

Kepoww!


Bang bang!!


Mohd Ikhwan Abu Bakar