Memaparkan catatan dengan label Hijjas Kasturi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hijjas Kasturi. Papar semua catatan

Selasa, Disember 02, 2008

Sutradara dan Arkitek

Dulu saya pernah kaitkan hubungan filem dan senibina. Kini saya mahu sentuh tentang pembikinnya pula, sang sutradara dan arkitek. 

Bagi saya, kedua-duanya akan dipertanggungjawabkan ke atas hasil kerja masing-masing. Sebab itu, saya percaya pada auteurisme. Kerana jika sesebuah bangunan itu roboh, siapa yang harus dipersalahkan? 

           Arkitek! 

Bukan client, bukan buruh-buruh yang membina dan bukan penduduk yang tidak berdosa.

Siapa client ini? Produser!

Siapa buruh-buruh ini? Krew-krew filem!

Siapa penduduk yang tidak berdosa ini? Penonton filem!

Sebab itu jika saya menonton filem remeh (sampah, jamban) ia boleh diibaratkan seperti saya duduk di dalam bangunan yang sedang roboh. Kepada yang cabut lari dari panggung awal-awal mungkin akan terselamat. Yang tak lari akan rasai keperitan jiwa, seksanya dihempap batu-batu konkrit ini.

Mungkin anda akan kata engineer yang bersalah, kerana engineer yang dipertanggungjawabkan menjaga struktur sesebuah bangunan itu. Ya, tapi hanya selepas diluluskan arkitek. Jadi jika seseorang arkitek itu tidak faham struktur, ia ibarat seorang chef yang tidak berlidah. Apa beza engineer dan arkitek ini?

Engineer hanya concern tentang struktur dan fungsi, manakala arkitek pula melibatkan struktur, fungsi dan ESTETIKA. Untuk memudahkan anda, saya berikan dua contoh jambatan. Satu oleh David B. Steinman seorang structural engineer (foto atas) dan satu lagi oleh Santiago Calatrava seorang arkitek (juga seorang engineer dan skulptor) (foto bawah.)
Dua contoh di atas dipilih secara rawak untuk menunjukkan kepada anda bahawa rekaan engineer lebih straight to the point yakni melintas dari titik A ke titik B, manakala dengan sentuhan seorang arkitek (dalam erti kata sebenar) ada sesuatu yang lain (statement mungkin?) Saya serahkan pada anda untuk menilai.

Mungkin anda akan kata rekaan jambatan Calatrava seperti monumen (skulptor gergasi,) mahu cari perhatian. Tapi sila perhatikan di bawah jambatan tersebut, ia bebas dari sebarang tiang, terapung. Struktur atas jambatan yang digunakan purely structural. Tanpa benda alah tiang senget dan kabel-kabel ini, jambatan ini pasti roboh. Ia bukan ornament okay!

Oh ya, melalui dua gambar yang saya pilih ini juga kita boleh lihat form tradisional yakni sistem post and beam (walaupun space truss digunakan). Manakala Calatrava telah mencipta sistem cantilever spar cable-stayed. Ini sesuatu yang baru dan menyegarkan. 

Mungkin jambatan Calatrava ini mengingatkan anda pada jambatan Putrajaya. Kenapa? Kerana jambatan-jambatan pseudomoden Putrajaya ini memang berkiblatkan Calatrava. Malah jika anda perasan, jambatan James Joyce di Dublin (rekaan Calatrava) ada diterapkan pada salah satu jambatan Putrajaya. Disebabkan mentaliti kita suka dengan benda-benda yang berlebihan, secara tak langsung jambatan Putrajaya kita ini jadi kelakar. Saya rasa membazir huruf saja saya tulis pasal jambatan ini. Sudahlah jambatannya secara fizikal fake, ditambah pula di Putrajaya ini tiada tasik asalnya. Jadi tujuan pembinaan jambatan-jambatan ini satu kepuraan semata-mata.

Menulis pasal jambatan James Joyce ini, kini Calatrava sedang bikin jambatan Samuel Beckett juga di Dublin. Jadi kepada yang suka membaca, anda mungkin boleh perhatikan bagaimana arkitek sepanyol ini translate sastra kepada senibina.

Bila saya tulis ini, jangan pula anda sewenang-wenangnya tuduh Calatrava ini idola saya. Sebenarnya saya tidak begitu berkenan dengan gaya Calatrava. Ini sama kesnya dengan Uwei. Saya tidak pernah mengidolakan sesiapa. Di sini, saya hanya tulis apa yang benar bagi saya. Jika filem atau senibina itu mampu menggenggam jiwa dan menjentik akal, secara tabiinya saya kagum. Semudah itu. Dan rasa kagum pada filem atau senibina ini secara tak langsung akan patah balik kepada pembikinnya. Rasa kagum ya, bukan dijadikan idola.

Saya juga perasan ada cubaan-cubaan untuk mendemokrasikan pembuatan filem. Tapi selagi ada title sutradara, selagi itu konsep diktator wujud. Krew-krew lain selain sutradara, hanya boleh tolong dari segi fizikal saja, tapi idea keseluruhan, isi spiritual, hanya sang sutradara saja yang faham baik secara sedar atau tidak. Ada juga yang bergerak secara berpasangan, lihat saja Herzog de Meuron, Coen brothers, Dolce & Gabbana.

Di awal-awal tadi, saya ada sentuh tentang client, yakni produser dalam kancah industri perfileman. Saya percaya orang-orang yang banyak duit di Malaysia ini guna duit untuk cari lebih banyak duit. Tidak terdetik sedikit pun di hati mereka untuk menggunakan wang mereka menghasilkan sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Contoh paling mudah filem. Tapi herannya mereka sanggup menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk bina rumah mereka.

Dulu saya pernah terlibat dengan satu projek banglo + galeri seorang tan sri yang kononnya minat seni. Kos keseluruhan 5 juta. Disebabkan dalam bidang senibina, ada termaktub fee minimum yang wajib dikenakan. Dalam kes ini, bos saya dapat RM 308,125 + 6.25% X. Di mana X = jumlah kos keseluruhan. Saya? Saya dapat RM 1,400 setiap bulan, cis!

Dalam industri perfileman negara kita, saya keliru. Adakah sutradara ini dibayar gaji tetap atau punya bayaran berdasarkan peratusan keuntungan hasil jualan tiket wayang atau DVD? Ini dalam konteks produser orang lain, pembikin orang lain, bukan macam six million dollar man yang mana dialah produser, dialah pengarah. Sah sah duit masuk poket.

Di sini juga ingin saya sentuh pasal rumah-rumah banglo orang-orang berada kita. Ada yang moden, dan ada yang kononnya tradisional, konsep rumah melayu kata mereka. Mahu tahu apa kata saya? Itu semua bullshit! Skala rumah melayu tidak besar; span rasuk rumah melayu tidak boleh pergi jauh. Dan yang paling penting, rumah tradisional melayu tidak pernah bertembok. Kenapa? Kerana orang-orang dulu punya semangat muhibah, bergotong-royong sesama jiran. Jika mereka kata konsep mereka istana raja-raja melayu baru saya percaya. Ada sense of security dan besar.

Tak guna, meleret-leret pula saya tulis. Tahukah anda apa yang buat rumah melayu istimewa? Secara amnya susunan ruangnya, tapi di sini saya ingin sentuh satu ruang saja yakni serambi atau beranda atau pelantar. Ini adalah ruang pertama yang akan anda lalu (naik tangga) sebelum masuk ke dalam rumah ibu. Apa signifikasi ruang serambi ini? Dari segi form, jika anda perasan, ia semi-solid (atau semi-void?). Di sini garisan antara ruang dalam dan luar disamarkan. Bila hujan, tak ke seronok makan cempedak goreng disertai kopi 434? Sejujurnya orang-orang kita zaman dulu sudah pandai bermain dengan ruang.

Ruang serambi ini, jika seseorang arkitek itu pandai bermain dengan skala, ia jadi menarik. Ini Dewa perasan dahulu, dan semasa saya duduk di K.L dulu saya juga perasan ini. Di kaki menara Maybank, ada escalator naik ke satu pelantar yang luas. Jika anda perhatikan, waktu pekerja-pekerja Maybank ini balik kerja, ada di antara mereka yang lepak-lepak di kawasan pelantar ini borak sembang sambil hisap rokok sebelum balik rumah. Situasi ini ibarat pak cik-pak cik yang bersantai di ruang serambi di kampung-kampung. (Boleh bikin montaj soviet.)

Sekali lagi, tolong jangan tuduh Hijjas Kasturi idola saya!

Mungkin satu masa nanti saya akan translate ruang-ruang rumah melayu ini kepada feel dalam filem, atau form senibina melayu ini kepada form sinematik, atau tekstur anyaman dinding kepada naratif filem. Tengoklah nanti, kalau saya dapat ilham dari langit.


Ridhwan Saidi

Selasa, November 11, 2008

Remodenisasi: Perumahan Awam

Ok, sekarang saya akan cuba tulis pasal rumah, tempat tinggal atau habitat dari apa yang selama ini termaktub di dalam fikiran dan perasaan saya.

Siapa yang bina rumah? Arkitek. Siapa arkitek ini? Er saya pun tak tahu siapa. Beginilah, setiap pelajar arsitektur kononnya pasti ada arkitek-arkitek atau bangunan-bangunan kegemaran mereka untuk dijadikan model, diteladani, dikaji, ditiru, atau diapa-apa lagi (kecuali budak-budak Lim Kok Wing). Sekarang tanpa berlengah, biar saya perkenalkan anda semua dengan Le Corbusier.

Rekaan agung yang saya kagumi dari arkitek Peranchis ini adalah Unité d'Habitation yang mula dibina di Marseille. Bangunan 12 tingkat ini mampu memuatkan 1600 orang. Tidak, jangan sesekali menyamakan bangunan ini dengan rumah-rumah flat murah di negara kita. Unité d'Habitation ini punya 23 (dua puluh tiga) konfigurasi ruang, dari yang paling kecil untuk seorang individu hingga ke paling besar buat keluarga 10 orang. Ruang-ruang ini berfungsi mengikut keperluan masing-masing. Kualiti ruang juga berbeza-beza, ada yang duplex dan ada juga siling double volume.


Blueprint Unité d'Habitation ini kemudiannya diadaptasi ke seluruh benua Eropah oleh individu dan organisasi lain. Ada yang ditokok tambah, diubah suai, dan tidak kurang juga tiru terus. Dengan blok-blok bangunan ini, masalah perumahan mudah dan senang diselesaikan. Le Corbusier tidak saman mereka-mereka ini. Tahu kenapa? Kerana rumah adalah keperluan sejagat. Di sini dapat saya katakan bahawa Le Corbusier telah membuat kebajikan. Ingat! Kebajikan bukan sekadar menderma wang ringgit.

Berbalik ke Malaysia, saya yakin belum ada ‘arkitek’ yang fikir soal kebajikan. Namakan saja, Hijjas Kasturi, Jimmy Lim, Ken Yeang, semuanya sibuk membina bangunan-bangunan yang ikonik pada rupa, sibuk pasal tindakbalas alam kononnya. Ahli akademik pula sibuk nak cari indentiti senibina melayu. Sekarang ingin saya bertanya, bila kita sudah jumpa senibina melayu nanti, what’s next?

Rakyat sepatutnya sewabeli rumah terus daripada kerajaan. Setiap blok Unité d'Habitation ini, akan digaulkan Ali, Ah Meng dan Mutu pada kadar yang betul. Disebabkan Unité d'Habitation rekaan Le Corbusier ini punya berapa tadi? 23 jenis rumah yang berbeza sebelah-menyebelah. Secara tak langsung warga tua yang tinggal seorang akan berjiran dengan yang berkeluarga. Saya cukup berharap agar keluarga ini boleh tolong jengok-tengokkan warga tua itu tadi. Jika tidak takpe, saya akan hantar seorang kakitangan kerajaan untuk memasak, mengemas dan berborak dengan warga tua itu tadi.

Tiga blok Unité d'Habitation akan disusun untuk mencipta satu taman/ padang di tengah. Bila kanak-kanak bermain di bawah, komuniti tiga blok ini boleh menjadi mata yang menjaga (eyes on the street). Mana tahu jika ada penculik atau apa-apa yang mencurigakan. Idea mengharapkan polis atau mengupah pak guard boleh diminimumkan. Lupa saya tulis di awal waktu, setiap blok Unité d'Habitation rekaan Le Corbusier ini juga punya klinik, tadika, kedai runcit, hotel dan fasiliti-fasiliti lain.

Setiap tiga blok tadi akan disusun mengelilingi pusat komuniti pula. Gelung ikatan ini akan mencipta satu ruang lingkup walking distance yang selesa (15 minit dari hujung ke pusat). Di pusat komuniti inilah berkumpulnya fasiliti-fasiliti yang lebih besar seperti hospital, sekolah, hypermarket, masjid, gereja, tokong, kuil dan lain-lain. Dan semestinya stesen LRT berhenti di pusat komuniti ini.

Tapi apakan daya, idea saya ini hanya sekadar angan-angan.

Realitinya di negara kita, kerajaan JUAL tanah rakyat terus kepada pemodal. Tanah kita/ rakyat jatuh pada tangan pemodal kapitalis secara literal (bukan sekadar ceroboh masuk). Bila timbul masalah, kerajaan tak boleh (tak mahu?) campur tangan, tanah sudah tergadai, agreement sudah ditandatangan. Contoh popular pemodal kapitalis ini?

MK fucking Land

Dan bandarnya?

Diamondzara

Itu syarikat bumiputera anda kata? Apa yang membezakan kapitalis bumiputera dengan bukan bumiputera? Setahu saya, pabila pemodal kapitalis ini untung, mereka kaut sorang-sorang masuk poket, tidak berkongsi sama saya. Jadi apa yang patut saya banggakan di sini?

Sudah, mari saya bawa anda berjalan-jalan ke negara orang. Ketika Singapura merdeka dari British pada 1959, apa LKY buat? HDB. Masalah rakyat tidak berumah diselesaikan awal-awal. Semasa rancangan perumahan skala besar ini dirancang, secara tak langsung susun atur flat-flat ini mempengaruhi kedudukan sekolah (pelajaran), klinik (perubatan), MRT (pengangkutan) dan lain-lain. Semuanya dirancang dalam lingkungan walking distance. Ini serius bukan soal kos atau wang ringgit, tapi strategi dalam perlaksanaannya. Dari mana datangnya strategi ini? Dari otak.

Anehnya MRT yang mula beroperasi dari 1987 ini lebih efficient dari Komuter 1995 kita, LRT 1998 kita, ERL 2002 kita dan Monorail 2003 kita. Tahu kenapa? Sebab kita tidak susun kawasan perumahan betul-betul, semua dibuat atas dasar duit, cincai boncai.

Dengan LKY, korupsi dibanteras awal-awal dengan CPIB. Kita? (tersedak-sedak: barangkali korupsi sedang berlaku tatkala saya sedang menulis ini)

Di bawah M yang kononnya berpandangan jauh, perumahan rakyat masih lagi samar-samar. Seketul Unité d'Habitation pun saya tak nampak. Kita sebaliknya digula-gulakan dengan kereta nasional. Bila ada kereta apa jadi? Buat jalanraya dan lebuhraya la. Kereta dan jalanraya ini keperluan apa. Kita boleh tinggal dalam kereta, boleh tidur atas jalan.

Seperkara yang mengelirukan, M ini suka bina ikon yang bukan-bukan seperti Putrajaya, KLIA, Sepang International Circuit, KLCC dan lain-lain. Bukan tidak boleh, tapi kebajikan rakyat perlu diselesaikan terlebih dahulu. Bila saya sebut kebajikan, bukan sekadar ada rumah kosong, sistem dan polisi satu orang satu rumah perlu diwujudkan (contoh). Dan err korupsi (tersedak-sedak) perlu dihapuskan.

Jika tidak, lihatlah akibatnya, ia wujud sebagai ikon-ikon kosong, tiada makna, maksud dan erti. Lihat Singapura, bila perumahan sudah selesai, korupsi dikekang, semua ada rumah masing-masing (walaupun kecil), semua masalah kebajikan telah diselesaikan, barulah ikon-ikon moden dibina, dan ikon ini wujud sekali dengan makna, maksud dan erti.

Saya tidak kata Singapura ini bagus, malah saya percaya masalah statist wujud di sana sekarang. Bila keadaan terlalu sempurna, mereka seolah-olah menjadi robot seperti dystopia yang biasa anda lihat dalam filem. Nilai-nilai kemanusiaan semakin rapuh, apapun ini mungkin akan saya tulis di masa lain. 

Sigh…

Saya punya harapan yang tinggi pada negara, bukan apa, negara kita kaya dengan sumber-sumber asli, punya minyak (terbaik pula tu). Sudah la kecil, jumlah penduduk tidak padat pula. Jadi, saya naik hairan bagaimana Korea Selatan yang sangat miskin lepas perang di era 50an, dan Taiwan yang selalu buat peralatan elektronik kokak sudah jadi negara maju. Tak ke pelik? Tambah aneh, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan ini tidak punya sumber asli dan minyak.

Punca kepada masalah kebajikan rakyat ini bagi saya hanya satu, bukan korupsi, tapi sistem dan mentaliti feudal (yang menjadi sebab utama kenapa wujudnya korupsi). Selagi feudal ini tidak diroboh dan dipupuskan, selagi itulah saya akan berangan yang bukan-bukan (kawasan perumahan moden merangkap kejiranan demokatik). 

Cara mengatasi masalah ini perlu ditulis dalam bentuk skrip filem (jika anda faham maksud saya). Tidak faham? Tonton Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961) lakonan mantap M. Amin, Nordin Ahmad dan Maria Menado. Sekian.


Ridhwan Saidi