Selasa, Mac 16, 2021

Mukadimah Sinema: P. Ramlee, Hussain Haniff dan M. Amin

Untuk bercakap terus ke arah kamera, ia suatu perasaan janggal. Ia malah lebih janggal berbanding untuk berlakon di depan kamera, atau ditemubual oleh seseorang di depan kamera. Pokoknya yang buat saya rasa kekok adalah, kerana kita sorang-sorang bercakap ke arah kamera. Tak dinafikan saya ada kenalan vlogger yang tanpa segan bercakap kepada kamera fonnya seolah ada orang di dalamnya, dan ia diyakini sebab saya tahu dia ada ramai followers yang bakal mendengar apa yang sedang dipercakapkan. Mungkin sebab ia dirakam, satu lagi faktor, maksud saya ia bukan live. Bila kita buat video live dan bercakap ke arah kamera, di mana ada audiens yang mendengar, ia sama macam kalau kita berinteraksi dengan orang lain secara langsung. Kejanggalan yang saya maksudkan di sini, adalah untuk cakap ke kamera tapi kita tak tahu dengan siapa kita bercakap. Pendek kata kita bercakap sorang-sorang dan kecenderungan untuk membebel atau merapu itu tinggi.

Maka pada suatu hari di kala pandemik, oleh kerana terlalu lama terperap di rumah, saya cuba memberanikan diri untuk merakam diri saya bercakap berkenaan tiga pembikin filem Melayu era studio iaitu P. Ramlee, Hussain Haniff dan M. Amin. Oleh kerana saya tidak tahu dengan siapa saya bercakap, maka saya assume saya bikin video ini untuk buka jendela buat mereka di luar sana untuk teroka filem-filem yang mungkin buat mereka curiga. Saya sendiri tertarik untuk buat video ini kerana ia membolehkan kita mengumpulkan body of work pengarah-pengarah prolifik ini dalam satu medium. Disebabkan ia video, saya boleh skip filem yang belum saya tonton. Bayangkan kalau ia berbentuk tulisan, dah tentu ia tak senonoh kalau saya himpunkan body of work seorang pengarah tapi tak complete sebab saya tak tengok. Entah kenapa kalau bila kita tulis sesuatu yang non-fiksyen, ia ada nuansa ilmiah (tak semestinya akademik) yang bawa maksud penulis tu kena ada tanggungjawab lebih untuk buat research dulu sebelum tulis. Tapi ini berbeza dengan video youtube, di mana ia lebih santai, dan kita cuma cakap apa yang kita tahu. Bila kita tak tahu kita cakap kita tak tahu.


Tiga pengarah ini dipilih pun secara spontan, sebab awalnya saya mula dengan P. Ramlee, tapi saya tak mahu stuck dengan P. Ramlee sebab ia terlalu popular. Saya ingin beri cahaya juga kepada pengarah lain yang sama hebat dan berbakat (dengan cara mereka tersendiri) tetapi underrated dan kurang dikenali umum iaitu Hussain Haniff dan M. Amin. Malah andai kita cakap P. Ramlee popular pun, sebenarnya selain sosok P. Ramlee itu yang amat popular, filem-filem popular beliau juga tak mewakili kesemua perjalanan seni filem-filem bikinan beliau. Saya sedari ada orang tak suka P. Ramlee sebab filem-filemnya kerap diulang tayang dan dimainkan di tivi. Di sini perlu kita jelas dan berhati-hati di mana filem-filem yang kerap diulang tayang ini bukan tindakan arwah P. Ramlee tapi tindakan stesen tivi yang selesa bermain di zon selamat. Kenapa perlu kita membenci sosok yang telah tiada oleh sebab tindakan mereka yang masih hidup? Stesen tivi yang bertanggungjawab dan ada daya mendidik, pasti akan mendedahkan penontonnya dengan kesemua khazanah negara yang kita ada (terutama filem-filem bikinan P. Ramlee sewaktu di Studio Merdeka).


Seperkara tentang filem-filem popular bikinan P. Ramlee ialah, kita cenderung untuk bernostalgia dengan filem-filem yang telah kita tonton terutama sewaktu kita kecil. Ini malah apa yang saya buat dalam video P. Ramlee, tapi satu aspek penontonan yang saya kira penting adalah, ya selain bernostalgia, kita juga perlu ada kebolehan untuk buka diri kita terhadap benda baru. Dan benda baru di sini tak hanya benda baru yang segar keluar setiap hari, teknologi terkini, fesyen terkini, berita terkini etsetera, tetapi juga hal-hal lama yang belum kita alami. Sebab secara teknikal, benda lama yang baru kita nikmati, merupakan pengalaman baru untuk kita.

Dalam kes ni filem, tapi ia juga boleh jadi muzik, puisi dan hal-hal lain. Ia malah normal dalam proses pembacaan. Bila kita baca buku, sebenarnya kita baca aja semua buku baik ia baru keluar di pasaran mahupun buku-buku lama yang tersimpan di perpustakaan. Saya sentiasa seimbangkan bacaan saya untuk sedar apa yang kontemporari dan apa yang sudah terlipat dalam sejarah. Sama macam filem, bila saya rekomen filem-filem lama ni, bukan sebab saya ni peminat filem lama semata-mata. Saya sentiasa follow update terkini filem-filem semasa dalam dan luar negara. Cuma sebagai pembikin filem, saya rasa penting untuk teroka apa yang pembikin terdahulu dari rantau ini telah buat. Ia sama macam waktu saya menulis. Sebagai penulis dah tentu kita nak baca bagaimana bahasa Melayu evolve dan digunakan oleh penulis-penulis terdahulu seperti Hamzah Fansuri, Ahmad Kotot, penulis Hikayat Hang Tuah dan sihir catitan William Skeat misalnya.


Ridhwan Saidi
p/s: Ketika pandemik jarang-jarang sekali saya keluar dan andai saya keluar bertemu orang, saya ada kecenderungan untuk lepak lama dan bercakap panjang (malah sampai ke subuh). Tetapi selepas saya bikin video-video bercakap ke kamera ini, bila saya bertemu sekumpulan kawan di luar, saya entah kenapa jadi pendiam dan pendengar (kini kawan-kawan itu pula yang banyak cakap kerana perasaan itu sudah ditahan terlalu lama sewaktu terkurung di rumah). Kuota bercakap saya telah habis digunakan dalam video ini dan sebab itu ia terhenti seketika, sebab saya sepatutnya orang yang tak banyak cakap.