Memaparkan catatan dengan label Samuel Beckett. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Samuel Beckett. Papar semua catatan

Ahad, Mei 24, 2015

Teks Buat Tiada Apa #4

Ke mana aku akan pergi, jika aku boleh pergi, siapa aku akan jadi, jika aku boleh jadi, apa aku akan kata, jika aku ada suara, siapa kata ini, mengatakan ia aku? Jawab dengan mudah, seseorang jawab dengan mudah. Ia orang asing yang sama selamanya, di mana aku sendirian wujud, di dalam lubang ketidakwujudan, dirinya, diri kita, ada jawapan mudah. Ia bukan dengan pemikiran dia akan temui aku, tetapi apa dia perlu buat, hidup dan keliru, ya, hidup, mengatakan apa yang dia mahu. Lupakan aku, jangan kenal aku, ya, itu tindakan bijaksana, tiada yang lebih berupaya daripada dia. Mengapa kebaikan hati ini ditinggalkan, ia mudah untuk difahami, itu apa dia kata, tetapi dia tidak faham. Aku bukan di dalam kepalanya, bukan di dalam tubuhnya, dan aku masih di situ, baginya aku di situ, bersamanya, maka berlaku segala kekeliruan ini. Itu sudah memadai buatnya, untuk mendapati aku tiada, tetapi ia bukan, dia mahu aku di situ, dengan bentuk dan dunia, sepertinya, disebabkannya, aku adalah segalanya, sepertimana dia yang tiada apa. Dan bila dia rasakan aku tidak wujud ia adalah deminya dia buat aku kosong, dan sebaliknya, gila, gila, dia gila. Sejujurnya dia cari aku agar aku bunuh aku, agar aku mati sepertinya, mati seperti mereka yang hidup. Dia tahu semua itu, tetapi ia tidak membantu dengan pengetahuannya, aku tidak tahu, aku tidak tahu apa-apa. Dia protes dia tidak beri sebab dan buat apa-apa selain bersebab, melencong, seakan ia akan memulihkan situasi. Dia fikir kata-kata menggagalkannya, semestinya kata-kata menggagalkannya. Dia beritahu kisahnya tiap lima minit, mengatakan ia bukan kisahnya, terdapat kebijaksanaan buat kau. Dia mahu ia jadi salah aku sebab dia tiada cerita, semestinya dia tiada cerita, itu tidak bermakna untuk memaksakan satu kepada aku. Begitu cara dia bersebab, lari jauh, tetapi berapa jauh, jawab kami itu. Dia buat aku kata sesuatu yang bukan aku, ada kedalaman buat kau, dia buat aku yang tidak kata apa-apa kata ia bukan aku. Semua itu benar-benar bodoh. Hanya jika dia beri aku maruah melalui ganti nama ketiga, sepertimana khayalan lainnya, tetapi tidak, dia sudah puas dengan tiada apa selain aku, kerana dia aku. Semasa dia ada aku, semasa dia adalah aku, dia tidak boleh lepaskan aku dengan lekas, aku tidak wujud, dia tidak boleh perolehinya, itu bukan kehidupan, semestinya aku tidak wujud, sepertimana dirinya, semestinya ia bukan sejenis kehidupan, kini dia perolehinya, jenis kehidupannya, biar dia kehilangannya, jika dia ingin tenteram, dengan sedikit tuah. Hidupnya, seorang aku, sebuah kehidupan, dia tidak boleh dapat, kau tidak boleh memperbodohinya, demikian bukan dia, ia bukan dirinya, satu pemikiran, layan dia seperti itu, seperti Molloy kotor, Malone biasa, manusia kebiasaan itu, manusia gembira, ada hati, turunkan dia di dalam tahi itu, tanpa dorongan, yang tiada sesiapa kecuali aku, segalanya difikirkan, dan benda-benda, dan bagaimana dia difikir, dia hanya perlu tidak tahu. Itu bagaimana dia bercakap, petang ini, bagaimana dia buat aku bercakap, bagaimana dia bercakap dengan dirinya, bagaimana aku bercakap, hanya ada aku seorang, petang ini, di sini, di bumi, dan suara tanpa bunyi kerana ia tidak pergi ke sesiapa, dan kepala berserakan dengan tangan ke bawah dan mayat melawan segar, dan sekujur tubuh, aku hampir lupa. Petang ini, aku kata petang ini, barangkali ia pagi. Dan semua ini, benda-benda, segala tentang aku, aku tidak lagi menafikan mereka, tiada lagi keperluan itu. Jika ia alam barangkali ia pohon dan burung, mereka kena bersama, air dan udara, agar ia terus berlalu, aku tidak perlu tahu rinci, barangkali aku sedang duduk di bawah pohon. Atau ia sebuah bilik, dengan perabot, semua yang diperlukan untuk buat hidup selesa, gelap, kerana dinding di luar tingkap. Apa aku buat, bercakap, buat khayalan aku bercakap, ia hanya boleh jadi aku. Mantera kesunyian juga, bila aku dengar, dan dengar bunyi setempat, bunyi dunia, lihat betapa aku berusaha, untuk jadi munasabah. Itu kehidupan aku, kenapa tidak, ia satu, jika kau mahu, jika kau mesti, aku tidak kata tidak, petang ini. Ia mesti satu, nampak gayanya, apabila ada percakapan, tidak perlu lagi cerita, cerita tidak wajib, cuma kehidupan, itu kesilapan yang aku buat, salah satu kesilapan, untuk ada cerita untuk diri sendiri, di mana kehidupan itu sendiri sudah cukup. Aku makin maju, sudah tiba masa, aku belajar untuk tutup mulut busuk aku sebelum aku mati, jika tiada apa-apa muncul. Tetapi dia yang entah bagaimana datang dan pergi, bebas dari ruang ke ruang, meski tiada apa berlaku kepadanya, benar, siapakah dia? Aku di sini, sedang duduk, jika aku sedang duduk, kerap aku rasa sedang duduk, kadang-kala berdiri, ia salah satu, atau berbaring, terdapat kebarangkalian lain, kerap aku rasa sedang berbaring, ia salah satu dari tiga, atau sedang melutut. Apa yang dikira adalah untuk berada di dunia, postur tidak penting, selagi kita di bumi. Untuk bernafas adalah apa yang diperlukan, tiada kewajipan untuk merayau, atau menerima teman, kau mungkin percaya diri kau mati dengan syarat kau menjelaskannya dengan terang, apa gaya hidup lebih liberal boleh dibayangkan, aku tidak tahu, aku tiada bayangan. Tiada sebab di dalam situasi tersebut mengatakan aku berada di tempat lain, seseorang yang lain, seperti aku adalah aku ada segalanya untuk beri, bagi berbuat apa-apa, aku tidak tahu, semua yang aku perlu buat, di situ aku sekali lagi bersendirian akhirnya, suatu kelegaan tentunya. Ya, ada momen-momen, seperti momen ini, apabila aku hampir kembali terlaksana. Kemudian ia pergi, segalanya pergi, dan aku menjauh kembali, dengan kisah yang menjauh, aku tunggu aku menjauh agar kisah aku bermula, untuk berakhir, dan kembali suara ini bukan kepunyaan aku. Itu di mana aku telah pergi, jika aku boleh pergi, itu siapa aku akan jadi, jika aku boleh jadi.

Samuel Beckett
Terjemahan Ridhwan Saidi

Selasa, Januari 14, 2014

Cara bikin karya pendek Beckett

‘Cara bikin karya pendek Beckett:
ambil secubit kesepian,
gaul rata dengan kelam cahaya
dan sedikit kegelapan
kacau dalam sedikit kaos
(sembarangan daya boleh),
bubuh senafas kehidupan,
menyesal,
janji untuk lenyapkan ia,
kemudian jangan.’


Merrie London, 'To make a short Beckett piece'
terjemahan Ridhwan Saidi

Selasa, Disember 02, 2008

Sutradara dan Arkitek

Dulu saya pernah kaitkan hubungan filem dan senibina. Kini saya mahu sentuh tentang pembikinnya pula, sang sutradara dan arkitek. 

Bagi saya, kedua-duanya akan dipertanggungjawabkan ke atas hasil kerja masing-masing. Sebab itu, saya percaya pada auteurisme. Kerana jika sesebuah bangunan itu roboh, siapa yang harus dipersalahkan? 

           Arkitek! 

Bukan client, bukan buruh-buruh yang membina dan bukan penduduk yang tidak berdosa.

Siapa client ini? Produser!

Siapa buruh-buruh ini? Krew-krew filem!

Siapa penduduk yang tidak berdosa ini? Penonton filem!

Sebab itu jika saya menonton filem remeh (sampah, jamban) ia boleh diibaratkan seperti saya duduk di dalam bangunan yang sedang roboh. Kepada yang cabut lari dari panggung awal-awal mungkin akan terselamat. Yang tak lari akan rasai keperitan jiwa, seksanya dihempap batu-batu konkrit ini.

Mungkin anda akan kata engineer yang bersalah, kerana engineer yang dipertanggungjawabkan menjaga struktur sesebuah bangunan itu. Ya, tapi hanya selepas diluluskan arkitek. Jadi jika seseorang arkitek itu tidak faham struktur, ia ibarat seorang chef yang tidak berlidah. Apa beza engineer dan arkitek ini?

Engineer hanya concern tentang struktur dan fungsi, manakala arkitek pula melibatkan struktur, fungsi dan ESTETIKA. Untuk memudahkan anda, saya berikan dua contoh jambatan. Satu oleh David B. Steinman seorang structural engineer (foto atas) dan satu lagi oleh Santiago Calatrava seorang arkitek (juga seorang engineer dan skulptor) (foto bawah.)
Dua contoh di atas dipilih secara rawak untuk menunjukkan kepada anda bahawa rekaan engineer lebih straight to the point yakni melintas dari titik A ke titik B, manakala dengan sentuhan seorang arkitek (dalam erti kata sebenar) ada sesuatu yang lain (statement mungkin?) Saya serahkan pada anda untuk menilai.

Mungkin anda akan kata rekaan jambatan Calatrava seperti monumen (skulptor gergasi,) mahu cari perhatian. Tapi sila perhatikan di bawah jambatan tersebut, ia bebas dari sebarang tiang, terapung. Struktur atas jambatan yang digunakan purely structural. Tanpa benda alah tiang senget dan kabel-kabel ini, jambatan ini pasti roboh. Ia bukan ornament okay!

Oh ya, melalui dua gambar yang saya pilih ini juga kita boleh lihat form tradisional yakni sistem post and beam (walaupun space truss digunakan). Manakala Calatrava telah mencipta sistem cantilever spar cable-stayed. Ini sesuatu yang baru dan menyegarkan. 

Mungkin jambatan Calatrava ini mengingatkan anda pada jambatan Putrajaya. Kenapa? Kerana jambatan-jambatan pseudomoden Putrajaya ini memang berkiblatkan Calatrava. Malah jika anda perasan, jambatan James Joyce di Dublin (rekaan Calatrava) ada diterapkan pada salah satu jambatan Putrajaya. Disebabkan mentaliti kita suka dengan benda-benda yang berlebihan, secara tak langsung jambatan Putrajaya kita ini jadi kelakar. Saya rasa membazir huruf saja saya tulis pasal jambatan ini. Sudahlah jambatannya secara fizikal fake, ditambah pula di Putrajaya ini tiada tasik asalnya. Jadi tujuan pembinaan jambatan-jambatan ini satu kepuraan semata-mata.

Menulis pasal jambatan James Joyce ini, kini Calatrava sedang bikin jambatan Samuel Beckett juga di Dublin. Jadi kepada yang suka membaca, anda mungkin boleh perhatikan bagaimana arkitek sepanyol ini translate sastra kepada senibina.

Bila saya tulis ini, jangan pula anda sewenang-wenangnya tuduh Calatrava ini idola saya. Sebenarnya saya tidak begitu berkenan dengan gaya Calatrava. Ini sama kesnya dengan Uwei. Saya tidak pernah mengidolakan sesiapa. Di sini, saya hanya tulis apa yang benar bagi saya. Jika filem atau senibina itu mampu menggenggam jiwa dan menjentik akal, secara tabiinya saya kagum. Semudah itu. Dan rasa kagum pada filem atau senibina ini secara tak langsung akan patah balik kepada pembikinnya. Rasa kagum ya, bukan dijadikan idola.

Saya juga perasan ada cubaan-cubaan untuk mendemokrasikan pembuatan filem. Tapi selagi ada title sutradara, selagi itu konsep diktator wujud. Krew-krew lain selain sutradara, hanya boleh tolong dari segi fizikal saja, tapi idea keseluruhan, isi spiritual, hanya sang sutradara saja yang faham baik secara sedar atau tidak. Ada juga yang bergerak secara berpasangan, lihat saja Herzog de Meuron, Coen brothers, Dolce & Gabbana.

Di awal-awal tadi, saya ada sentuh tentang client, yakni produser dalam kancah industri perfileman. Saya percaya orang-orang yang banyak duit di Malaysia ini guna duit untuk cari lebih banyak duit. Tidak terdetik sedikit pun di hati mereka untuk menggunakan wang mereka menghasilkan sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Contoh paling mudah filem. Tapi herannya mereka sanggup menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk bina rumah mereka.

Dulu saya pernah terlibat dengan satu projek banglo + galeri seorang tan sri yang kononnya minat seni. Kos keseluruhan 5 juta. Disebabkan dalam bidang senibina, ada termaktub fee minimum yang wajib dikenakan. Dalam kes ini, bos saya dapat RM 308,125 + 6.25% X. Di mana X = jumlah kos keseluruhan. Saya? Saya dapat RM 1,400 setiap bulan, cis!

Dalam industri perfileman negara kita, saya keliru. Adakah sutradara ini dibayar gaji tetap atau punya bayaran berdasarkan peratusan keuntungan hasil jualan tiket wayang atau DVD? Ini dalam konteks produser orang lain, pembikin orang lain, bukan macam six million dollar man yang mana dialah produser, dialah pengarah. Sah sah duit masuk poket.

Di sini juga ingin saya sentuh pasal rumah-rumah banglo orang-orang berada kita. Ada yang moden, dan ada yang kononnya tradisional, konsep rumah melayu kata mereka. Mahu tahu apa kata saya? Itu semua bullshit! Skala rumah melayu tidak besar; span rasuk rumah melayu tidak boleh pergi jauh. Dan yang paling penting, rumah tradisional melayu tidak pernah bertembok. Kenapa? Kerana orang-orang dulu punya semangat muhibah, bergotong-royong sesama jiran. Jika mereka kata konsep mereka istana raja-raja melayu baru saya percaya. Ada sense of security dan besar.

Tak guna, meleret-leret pula saya tulis. Tahukah anda apa yang buat rumah melayu istimewa? Secara amnya susunan ruangnya, tapi di sini saya ingin sentuh satu ruang saja yakni serambi atau beranda atau pelantar. Ini adalah ruang pertama yang akan anda lalu (naik tangga) sebelum masuk ke dalam rumah ibu. Apa signifikasi ruang serambi ini? Dari segi form, jika anda perasan, ia semi-solid (atau semi-void?). Di sini garisan antara ruang dalam dan luar disamarkan. Bila hujan, tak ke seronok makan cempedak goreng disertai kopi 434? Sejujurnya orang-orang kita zaman dulu sudah pandai bermain dengan ruang.

Ruang serambi ini, jika seseorang arkitek itu pandai bermain dengan skala, ia jadi menarik. Ini Dewa perasan dahulu, dan semasa saya duduk di K.L dulu saya juga perasan ini. Di kaki menara Maybank, ada escalator naik ke satu pelantar yang luas. Jika anda perhatikan, waktu pekerja-pekerja Maybank ini balik kerja, ada di antara mereka yang lepak-lepak di kawasan pelantar ini borak sembang sambil hisap rokok sebelum balik rumah. Situasi ini ibarat pak cik-pak cik yang bersantai di ruang serambi di kampung-kampung. (Boleh bikin montaj soviet.)

Sekali lagi, tolong jangan tuduh Hijjas Kasturi idola saya!

Mungkin satu masa nanti saya akan translate ruang-ruang rumah melayu ini kepada feel dalam filem, atau form senibina melayu ini kepada form sinematik, atau tekstur anyaman dinding kepada naratif filem. Tengoklah nanti, kalau saya dapat ilham dari langit.


Ridhwan Saidi