Memaparkan catatan dengan label Roger Ebert. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Roger Ebert. Papar semua catatan

Sabtu, Mac 21, 2009

Ulasan Oh Ulasan...

Tujuan mengarang itu yang sa-benar-nya ia-lah hendakkan supaya orang yang membacha faham dan tahu akan fikiran dalam hati pengarang. Jikalau orang tiada faham membacha-nya oleh sebab pengarang itu leka me-raga2kan yang ia tahu memakai beberapa yang payah2 sahaja, atau susunan ayat yang ber-belit2, atau jikalau karangan-nya mengikut resaman bahasa dagang, maka tiada-lah guna-nya mengarang kerana tentu tiada akan hasil tujuan yang di-kehendakkan itu. – Pendeta Za’ba (Ilmu Mengarang Melayu,1934)

Sebelum saya melereti tulisan ini dengan lebih lanjut, suka saya beritahu kamu, sidang pembaca, bahawa apa yang ditulis adalah pandangan peribadi, dan bukan berniat mahu menyerang sesiapa. Tak penting dan tak minat langsung. Keperibadian seseorang itu tak lebih penting jika dibandingkan dengan ilmu pengetahuan. Hehe..

Apabila membaca petikan tulisan Za’ba di atas, saya rasa seperti ingin mengulas sesuatu yang berkenaan tentang tulisan berbentuk ulasan, tak kira ulasan filem, musik, produk, buku dan sebagainya. Umumnya, terdapat dua gaya ulasan yang kerap dipraktikkan. Satu, ulasan secara terus mencari sasaran, dua, ulasan yang berpusing-pusing – juga mencari sasaran. Saya tahu, memang adanya gaya ulasan yang kedua ini, yang selalunya beralasan yang objek/subjek yang ingin diulas itu bersifat abstrak atau terlampau ‘berfalsafah’ atau ‘berseni.’ Makanya, ulasan itu dihidangkan juga secara ‘berfalsafah’ atau ‘berseni.’

Kalau ikutkan pengalaman, saya kurang berminat untuk membaca ulasan jenis yang kedua. Pada saya, ia hanya membuang masa emas saya saja. Kalau dibaca sekalipun, saya tak mungkin ambil serius, walau tak mustahil penulisnya berkerut-kerut dahi semasa menulis. Sebabnya sangat mudah, kebanyakan tulisan gaya kedua ini adalah ‘susah dibaca’ – macam kata orang putih, hard to read. Ia seperti menapak di atas jalan yang berlopak atau banyak lobang atau benjolan atau disepahi tahi anjing di kiri dan kanan, walhal sayangnya, jalan itu cukup lurus. Saya akan senang lagi suka membaca ulasan yang direct, tak banyak simpang-siur, yang mana ia juga tak bermakna pengulas gaya yang pertama ini bebal falsafah, buta seni atau tak kritikal.

Pengulas filem tersohor seperti Roger Ebert amat saya suka bukan disebabkan beliau itu pengulas terhebat atau apa, tapi jika membaca tulisannya, saya berasa cukup senang hati. Setiap point yang dikeluarkan satu persatu secara jelas, tanpa sebarang cubaan untuk meliuk-lintuk seperti gerakan tubuh penari di Pesta Citrawarna yang membazir. Sebagai tauladan, sila baca ulasannya tentang filem Ingmar Bergman, seorang pengarah yang boleh dikatakan kerap membikin filem-filem ‘berat’ seperti ‘the Silence’ yang saya gagal menemui lapisan makna yang lebih menarik untuk direnungi setelah ditonton. Sesudah membaca ulasan Ebert, saya seperti ditampar kerana ulasannya itu menjadikan filem ‘the Silence’ ringan seperti kapas. Jika saya belum menonton, hasil ulasannya itu pasti jadi sebab mengapa ‘the Silence’ mesti saya tonton. Jadi saya harap, jangan ada yang bersikap bangang menuduh yang Roger Ebert itu pengulas simplistik, tak kritikal, tak faham falsafah, hanya kerana cara ulasannya yang mudah.

Saya juga sering membaca ulasan-ulasan musik dari majalah-majalah seperti Terrorizer, Tales of Macabre (paling saya suka), Metal Maniacs, Maximum Rock and Roll serta beberapa lagi fanzine ‘underground’ dalam dan luar negara. Secara umumnya, ulasan-ulasan rekod musik yang dibuat adalah secara terus, jika bagus direkomen, jika tidak, dikatakan tidak, dan masih bersikap kritikal. Jika sesebuah rekod itu bernasib baik, hasil dari ulasan yang berkesan, pasti akan ada peminat yang terpancing untuk mendapatkan rekod tersebut. Dan saya fikir, inilah antara tujuan ulasan itu dibuat, iaitu memancing pembeli, bukan semata-mata mahu membuka pintu perdebatan ataupun ‘merayakan seni.’

Bercakap tentang ulasan ini, kita perlu menyoal kembali apakah motif atau purpose kepada sesebuah ulasan itu? Jika saya sendiri yang menanggung jawapannya, saya akan beri jawapan yang termudah, atau teremeh bagi pandangan orang ‘celik seni.’ Saya akan katakan bahawa tujuannya adalah untuk menjambatani teks, objek mahupun subjek dengan subjek sasarannya, yakni bakal audiens, pendengar, pembeli, pembaca dll. Atau kata lainnya: pengulas sebagai orang tengah.

Jika yang diulas itu filem, ia seharusnya dapat membuka ‘peti cadangan’ kepada bakal audiens supaya berkira-kira untuk menikmati atau tak mengendahkan langsung sesebuah filem itu. Sekiranya benar sangatlah filem itu banyak intinya, susah difahami sebab jalan cerita bersimpul-simpul, maka saya fikir seseorang pengulas yang bagus mesti pandai menguraikan simpulan-simpulan itu. Tujuannya, biar mereka-mereka yang masih kelam mendapat sedikit cahaya kefahaman. Paling tidak, sedikit pembayang. Apalah gunanya jika bermodalkan ulasan yang berseni, dengan gaya bahasa seperti diteran-teran, dengan lambakan simbolisme, metafora, analogi, atau apapun permainan semiotik dan semantik, jika akhirnya fikiran pembaca yang sudah atau bakal menonton menjadi kelabu asap? Itu pun belum cerita soal apresiasi lagi! Paling ditakuti, ulasan bersimpul-simpul itu lompong isinya. Teran punya teran, akhirnya tak seketul pun keluar. Oh, apa mungkin saya gelarkan ulasan semacam ini sebagai ulasan gaya ‘sembelit?’

Menyorot lagi sekali kata Za’ba, “bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat di-ketahui orang dengan mendengar atau membacha-nya. Maka jika bahasa yang di-pakai itu tidak menepati betul2 seperti maksud yang di-dalam hati, tentu-lah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan yang di-kehendakkan itu.”

Akhir sekali, biar saya habisi tulisan ini dengan petikan esei Pak Samad Said pula, ‘Menemukan Makna Hidup daripada Benda-benda Kecil’: Tanpa mengurangi erti dan harga gerakan simbolis atau absurdisme, saya kira keadaan masih membolehkan kita untuk tidak bertopeng-topeng.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Khamis, November 13, 2008

Kritikan dan Ulasan

Saya terdidik di dalam bidang arsitektur selama 4 tahun di Bota dan setahun di Seksyen Satu. Arsitektur ini saya percaya bukan sekadar kursus, ia lebih dari itu, ia adalah cara hidup itu sendiri. Banyak perkara-perkara luar tabii yang saya lakukan dahulu seperti duduk bersila selama 50 jam melukis tanpa makan dan tidur. Tapi kisah-kisah silam saya ini akan saya ceritakan lain kali. Anda boleh cuba google ‘architecture student lifestyle’ jika mahu tahu rintihan-rintihan pelajar-pelajar arsitektur seluruh dunia.

Untuk entri kali ini, tergerak hati saya untuk menyentuh soal pengkritik dan pengulas filem. Bukan apa, ini mengingatkan saya ketika belajar dahulu.

Di dalam senibina, sesi kritik adalah mandatori. Kami (mewakili pelajar arsitektur seluruh dunia) perlu pertahankan design kami dari para pensyarah terutamanya serta abang-abang dan kakak-kakak senior yang mahu mengorat. Di samping itu, kami juga lakukan sesi kritik sesama sendiri, bukan apa, mana tau jika ada kelemahan yang kami tak nampak. Ini secara tak langsung menguji pendirian kami. 

Sesi kritik ini boleh saya katakan berlaku setiap masa tak kira siang atau malam dan di mana sahaja termasuk tandas. Tapi yang paling mendebarkan adalah sesi-sesi penting seperti interim. Bukan sekadar markah yang diambil kira, di sinilah kami akan berdiri berseorangan dilengkapi sketches, drawing, calculation, model atau mock-up mempertahankan pegangan diri dari serangan 3-6 orang panel sambil diperhatikan oleh budak-budak lain.

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, kami akan diserang dari 3 penjuru iaitu struktur, fungsi dan estetika. Kepada mereka yang lemah semangat dan tidak berpendirian, bagi saya mereka ini seperti ditadah kepada bedilan peluru-peluru musuh. Tidak menghairankan jika ada yang sedih, depress, menangis, atau tidak kurang juga yang tersenyum kambing selepas itu (jadi sewel).

Bagi saya sesi kritik ini satu bentuk demokrasi sihat, malah lebih sihat dari menyertai Rakan Muda. Tapi di sini saya sedikit keliru, kenapa perbincangan-perbincangan terbuka tidak dilakukan selepas previu filem-filem kita ditayangkan. Ada memang ada, tapi anehnya hanya selepas kontroversi timbul. Pelik. Saya sebenarnya tertanya-tanya jika pelajar-pelajar jurusan filem ini kritik mengkritik di antara satu sama lain. Jika ada, di mana hasil borak mereka ini? Tertinggal di dalam auditorium ke? Atau di kedai mamak?

Satu lagi tabiat luarbiasa pelajar filem (dan pengarah filem) yang saya perasan, mereka cepat melenting selepas diberikan kritikan pedas. Balas mereka mudah, 

“Kalau kau hebat, kau buat la filem (pendek) yang lagi bagus!”

Ini serius, buat saya tergelak. Setahu saya Roger Ebert tak pernah bikin filem pun.

Saya pernah tulis bahawa ‘filem’ hanya wujud bila ada dua golongan bersimbiosis antara satu sama lain. Satu pembikin dan satu lagi yang menonton. Penonton yang bagus akan mencerna filem tersebut lalu dimuntahkan kembali dalam bentuk PENDAPAT. Dan pendapat yang keluar ini boleh jadi ringan atau berat yang saya yakin disalahtafsir sebagai kritikan (berat) dan ulasan (ringan).

Dari manakah pendapat ini datang? Dari PENDIRIAN dan PEGANGAN. Dan sepanjang hidup saya bergelumang dengan pelajar-pelajar ‘universiti’, boleh saya simpulkan bahawa mereka ini tiada pendirian dan pegangan. Oleh itu, di sini saya punya ‘pendapat’ bahawa, 

“untuk menjadi pengkritik filem yang bagus, anda perlu kritik kerajaan terlebih dahulu.”

Berkecuali adalah satu pegangan, tapi awas! ‘Mahu selamat’ dengan berkecuali berbeza. Mereka yang mahu selamat ini tiada pendirian. Sekarang cuba bayangkan, bagaimana seseorang yang ‘mahu selamat’ ini kritik filem. Sebab itu keluarnya pendapat-pendapat ringan dan remeh seperti,

“tak faham la cerita ni”

atau

“kepada peminat filem aksi, boleh la tonton filem ni.”

Ini saya iktiraf sebagai kritikan, tapi kritikan remeh. Samalah seperti filem remeh (a.k.a filem sampah kata Ku Seman atau filem jamban kata Mansor Puteh), tapi ia tetap filem bukan?


Ridhwan Saidi

p/s: Jika anda beranggapan bahawa kritikan itu kutukan, sejujurnya pemahaman anda tentang bahasa sudah juling. Kritikan adalah lontaran pendapat atau idea, ia boleh jadi positif atau negatif. Malah pujian itu satu bentuk kritikan. Jadi saya harap anda tidak terkejut pabila terdengar perkataan KRITIK. Oleh itu, jom kita kritik mengkritik antara satu sama lain.