Memaparkan catatan dengan label Tom Cruise. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tom Cruise. Papar semua catatan

Rabu, Mac 25, 2009

Tragedi Itu, Komedi

Semalam siang saya seakan mengalami mimpi ngeri di malam hari. Saya kehilangan dua helai kertas yang sangat penting kepada saya dalam waktu terdekat ini. Penting betul ni, jangan buat main-main, tau. Punyalah penting kertas dua helai ini sampaikan saya anggapnya: intan payung, kau-lah permata, engkau-lah nyawa. Goyang juga la saya dibuatnya bila tanpa disedari barang ini hilang macam tu saja.

Saya tak mahu cerita dari asal, bagaimana kejadian semalam berlaku. Panjang sangat, malah agak rumit. Dan hari ini pula saya memang tiada mood (atau malas?) untuk mengarang panjang-panjang, maka cerita panjang pun dipendekkan.

Jadi, yang wajib saya lakukan terlebih dahulu tak lain tak bukan, menjejak semula memori saya, selama hampir dua jam sebelum kehilangan terjadi. Ini pun saya ingat, misi mustahil memandangkan saya seorang pelupa sejati. Apa yang saya ingat ialah, saya sebelum itu hanya ke hulur-ke hilir dengan rakan saya, Kuchai. Di manakah letaknya barang alias ‘nyawa’ saya ini, sewaktu saya ber-ke hulur-ke hilir dengan Kuchai?

Tapi mujur Kuchai cuba menolong. Saya harapkan dia ingat di manakah kali terakhir letaknya kertas-kertas yang hilang ini. Rupa-rupanya, dia pun tak pasti.

Sedikit cerita pasal Kuchai.

Kuchai ni pada saya lebih kurang macam Hazimin Husein alias Jimmy, atau kalau nak kata lebih-lebih, jelmaan Jimmy. Susah nak cari orang macam ni. Maksud saya, manusia yang tak silap dikatakan 100 peratus boleh dipercayai, kalau pun tak 100 peratus boleh diharap. Haha! Alah, meletakkan harapan terlalu tinggi di pundek...eh, pundak orang lain – lagipun, bukanlah perkara yang terbaik. Sedangkan zaman ini lebih senang ketemu sama ‘zombie’ dari manusia-manusia sejati. Dan zombie itu: mayat hidup. Manusia sejati pula, sedikitnya itu macam boleh dibilang dengan jari-jemari sepasang tangan. Tak percaya, tanya Jhebat.

Berbalik kepada cerita asal – saya sudah mati akal. Setiap ceruk, setiap tempat yang dua jam terakhir itu dijejaki semula. Hinggakan berjalan pun saya curi-curi pandang pada setiap tong sampah. Mana-lah tahu, kan? Bertanya kepada orang lain pun sudah. Namun, cari punya cari, tak jumpa juga. Semuanya gagal. Saya jadi putus asa.

Akhirnya, saya memutuskan untuk pulang ke rumah dengan rasa bengang yang berbuku-buku di dada. Saya ingat, ‘nyawa’ saya tak panjang ‘dah.

Sesampai saja di rumah, saya seperti biasa menyeluk poket seluar mahu mengeluarkan segala khazanah tersimpan: kunci rumah, kunci kereta, kunci pejabat, wang syiling, dompet, sapu tangan, telefon tangan dan…eh, kertas apa yang berlipat-lipat ni?

Cis, baru saja nak percaya segala-galanya sudah tertulis di Loh Mahfuz.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Rabu, Oktober 01, 2008

Mengapa Saya Tak Suka ‘Main Game’

Saya tak menyukai permainan video berkomputer atas beberapa sebab. Salah satunya ialah kerana saya tak mahu ’membuang masa’. Saya bukan ’remaja’ moden tipikal yang mudah tergelam dengan imejan grafik komputer. Saya juga tak mahu terlalu ’berfantasi’. Hey, i’m realist, okay!

Selain itu, saya seorang yang anti perang. Perang terlalu busuk bagi saya. Imej-imej perang selalu membuatkan hati saya mengecut. Dan akhirnya saya akan mencarut.

Kali terakhir saya saksikan filem perang adalah menerusi filem ‘Born In The Fourth of July’, garapan sutradara Oliver Stone. Sebenarnya ini filem ANTI perang. Dan ia sebuah filem yang bagus dari segenap segi. Tapi saya tetap tak suka imej-imej kejam yang dipaparkan dalam filem tersebut. Terlalu mengerikan, bagi saya. Kecut perut saya dibuatnya. Saya tak tahu apa nikmatnya melihat seorang bayi yang ditinggalkan keseorangan di dalam rumah yang hampir musnah, sedang seluruh keluarganya mati terbunuh. Celaka punya Oliver Stone!

Dalam filem ini, dipaparkan kehidupan yang dilalui oleh seorang veteran perang Amerika, lakonan Tom Cruise, menghadapi derita dan trauma sekembalinya dari perang Vietnam. Beliau yang lumpuh separuh badan akibat kesan terkena tembakan tidak dapat menerima hakikat kehidupan yang dilaluinya, walau pada mulanya masyarakat sekeliling mengangkatnya sebagai wira. Dan ironi juga apabila beliau begitu berbangga menjadi anggota ‘US Marin’ seperti yang digambarkan pada awalan filem ini. Sampai ke satu tahap, bukan sahaja masyarakat, malah keluarga beliau turut ‘menghalaunya’ keluar dari Amerika kerana mereka tak mampu menerima kewujudannya lagi. 

Lalu diceritakan pula bahawa veteran-vateran perang ini akhirnya dianggap oleh kerajaan dan masyarakat tak lebih sebagai sampah yang bakal menghancurkan delusi ‘American Dream’ mereka. Terutama sekali, bagi mereka yang telah cacat. 

Ini dibuktikan dalam filem ini menerusi babak di mana para veteran perang yang telah cacat ini dilonggokkan di Mexico, lalu mereka dihidang dengan arak dan perempuan sebagai imbuhan. Mereka jelas sekali dibuang dan disisih dari masyarakat ‘ideal’ ala Amerika. Ini juga antara usaha terdesak kerajaan Amerika menafikan kegagalan kempen perang anjuran mereka.

Hakikatnya, kemanusiaan terus diinjak-injak, tanpa rasa peduli sesama manusia. Tiada harga diri di sini apabila kemanusiaan menjadi terlalu murah, ditukar ganti hanya dengan longgokan botol-botol todi dan seks.

Lantaran itu, seperti membaca Berita Harian, saya pun naik hairan bagaimana sesetengah dari kita, apabila tengok berita perang di suratkhabar, televisyen atau internet, terutama sekali yang melibatkan berita pendudukan Israel di Palestin, atau berita peperangan di Iraq, akan terus menyumpah seranah Israel atau Amerika, tetapi dalam masa yang sama agak obses dengan permainan video berkomputer ini. Bijak.

Maksud saya, kebanyakan permainan ini berlatarbelakang suasana peperangan. Sesetengahnya, memang misi permainan adalah untuk membunuh seberapa banyak mangsa. Ini semua adalah antara falsafah atau task bagi seseorang soldadu. Sesetengah permainan ini sememangnya menjadikan peperangan di Iraq sebagai tema atau konsep permainan. War on terrorism! Yeah!

Soalnya, bukankah ini menunjukkan bahawa kamu yang bermain permainan ini sebenarnya, bukan orang yang betul-betul bencikan peperangan, sebaliknya tanpa kamu sedari, kamu sebenarnya meng’glorify’ peperangan itu sendiri?


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Kepada pembaca yang berpuasa Ramadhan lalu, Selamat Hari Raya!