Saya tak menyukai permainan video berkomputer atas beberapa sebab. Salah satunya ialah kerana saya tak mahu ’membuang masa’. Saya bukan ’remaja’ moden tipikal yang mudah tergelam dengan imejan grafik komputer. Saya juga tak mahu terlalu ’berfantasi’. Hey, i’m realist, okay!
Selain itu, saya seorang yang anti perang. Perang terlalu busuk bagi saya. Imej-imej perang selalu membuatkan hati saya mengecut. Dan akhirnya saya akan mencarut.
Kali terakhir saya saksikan filem perang adalah menerusi filem ‘Born In The Fourth of July’, garapan sutradara Oliver Stone. Sebenarnya ini filem ANTI perang. Dan ia sebuah filem yang bagus dari segenap segi. Tapi saya tetap tak suka imej-imej kejam yang dipaparkan dalam filem tersebut. Terlalu mengerikan, bagi saya. Kecut perut saya dibuatnya. Saya tak tahu apa nikmatnya melihat seorang bayi yang ditinggalkan keseorangan di dalam rumah yang hampir musnah, sedang seluruh keluarganya mati terbunuh. Celaka punya Oliver Stone!
Dalam filem ini, dipaparkan kehidupan yang dilalui oleh seorang veteran perang Amerika, lakonan Tom Cruise, menghadapi derita dan trauma sekembalinya dari perang Vietnam. Beliau yang lumpuh separuh badan akibat kesan terkena tembakan tidak dapat menerima hakikat kehidupan yang dilaluinya, walau pada mulanya masyarakat sekeliling mengangkatnya sebagai wira. Dan ironi juga apabila beliau begitu berbangga menjadi anggota ‘US Marin’ seperti yang digambarkan pada awalan filem ini. Sampai ke satu tahap, bukan sahaja masyarakat, malah keluarga beliau turut ‘menghalaunya’ keluar dari Amerika kerana mereka tak mampu menerima kewujudannya lagi.
Lalu diceritakan pula bahawa veteran-vateran perang ini akhirnya dianggap oleh kerajaan dan masyarakat tak lebih sebagai sampah yang bakal menghancurkan delusi ‘American Dream’ mereka. Terutama sekali, bagi mereka yang telah cacat.
Ini dibuktikan dalam filem ini menerusi babak di mana para veteran perang yang telah cacat ini dilonggokkan di Mexico, lalu mereka dihidang dengan arak dan perempuan sebagai imbuhan. Mereka jelas sekali dibuang dan disisih dari masyarakat ‘ideal’ ala Amerika. Ini juga antara usaha terdesak kerajaan Amerika menafikan kegagalan kempen perang anjuran mereka.
Hakikatnya, kemanusiaan terus diinjak-injak, tanpa rasa peduli sesama manusia. Tiada harga diri di sini apabila kemanusiaan menjadi terlalu murah, ditukar ganti hanya dengan longgokan botol-botol todi dan seks.
Lantaran itu, seperti membaca Berita Harian, saya pun naik hairan bagaimana sesetengah dari kita, apabila tengok berita perang di suratkhabar, televisyen atau internet, terutama sekali yang melibatkan berita pendudukan Israel di Palestin, atau berita peperangan di Iraq, akan terus menyumpah seranah Israel atau Amerika, tetapi dalam masa yang sama agak obses dengan permainan video berkomputer ini. Bijak.
Maksud saya, kebanyakan permainan ini berlatarbelakang suasana peperangan. Sesetengahnya, memang misi permainan adalah untuk membunuh seberapa banyak mangsa. Ini semua adalah antara falsafah atau task bagi seseorang soldadu. Sesetengah permainan ini sememangnya menjadikan peperangan di Iraq sebagai tema atau konsep permainan. War on terrorism! Yeah!
Soalnya, bukankah ini menunjukkan bahawa kamu yang bermain permainan ini sebenarnya, bukan orang yang betul-betul bencikan peperangan, sebaliknya tanpa kamu sedari, kamu sebenarnya meng’glorify’ peperangan itu sendiri?
Mohd Ikhwan Abu Bakar
p/s: Kepada pembaca yang berpuasa Ramadhan lalu, Selamat Hari Raya!