Isnin, Oktober 06, 2008

Usahlah Kau Bersedih

Musim raya datang lagi. Seperti kebiasaan telinga kita, yang berbangsa Melayu khususnya, pasti akan disogok dengan dendangan lagu-lagu raya. Lagu-lagu raya ini datang dalam pelbagai genre musik, ada irama asli, ada joget, ada pop, ada moden kontemporari, ada macam-macam. Tapi bukan perihal musik yang ingin saya surahkan di sini.

Begini ceritanya.

Beberapa minggu sebelum raya, saya sudah mula mendengar lagu-lagu raya, di tempat kerja. Kerana lagu-lagu ini disogok ke cuping saya berulang-ulang kali, maka sampai ke satu tahap saya mulai bosan. Lantas, mungkin kerana desakan kebosanan ini, maka saya telah menemui keganjilan dalam himpunan lagu-lagu raya orang kita. 

Saya mula menyedari, apabila datangnya Syawal, kita akan diperdengarkan dengan himpunan lagu-lagu raya, yang separuh daripadanya bernuansakan kesedihan. Mengapa perlu bersedih? Ini yang memelikkan saya.

Saya tak nafikan, walau besar mana ego saya, walau saya katakan bahawa saya bencikan perasaan sedih, tapi ada masanya saya tak mampu menolak perasaan saya daripada berduka, dan ini saya lalui dalam kes-kes tertentu. Tapi, inikan hari raya? Mengapa perlu bersedih?

Pada saya, hari raya ini adalah hari untuk kita bergembira serta melupakan sebarang bentuk kesedihan. Inilah peluang terbaik untuk kita bergembira bersama keluarga, sanak saudara mahupun sahabat handai. Walau saya baru kehilangan seorang sahabat sekalipun, ini tak bermakna saya perlu berasa sedih dan pilu ketika hari raya. 

Pada pagi raya lalu, saya cuba berasa happy, walau sebenarnya tak lah happy sangat pun. Biasa je. Yang sebenarnya, saya hanya berasa tenang. Kegembiraan jelas terpancar di raut wajah apabila menatap sebatang lemang di depan mata. Saya juga akan angkat topi kepada mereka-mereka yang menggubah dan menyanyikan lagu-lagu raya bernada happy macam lagu “mintak mak kuih sepotong, saya mahu makan kerna perut kosong!“

Tapi itu lagu macam untuk budak-budak. Adakah hanya budak-budak yang berhak untuk berasa happy dan yang tua bangka macam saya kena bersedih?

Sebab itu saya hairan mengapa ada sesetengah komposer atau pemusik kita punyai tabiat mencipta lagu-lagu bernada sedih dan pilu ini. Tak dinafikan lagu-lagu ini berjaya membangkitkan perasaan sedih dan nostalgia-nostalgia silam. 

Arwah P. Ramlee ada lagu sedih, arwah Sudirman ada lagu sedih, Ahmad Jais ada lagu sedih, Jamal Abdillah ada lagu sedih, Black Dog Bone pun ada lagu sedih. Dan ramai lagi.

Masyarakat Melayu tidak hanya ‘bersedih’ ketika musim perayaan, tapi dalam perkara-perkara tertentu juga, mereka ingin bersedih. 

Selain dari menghadapi kematian, yang saya kira normal jika kita bersedih, orang Melayu juga amat ‘menggemari’ unsur-unsur kesedihan ini ketika melalui musim ‘percintaan’. Lalu, para penyanyi lagu-lagu cinta ini akan ‘merayakan’ pula unsur kepiluan akibat krisis cinta tiga segi, cinta tak berbalas, putus cinta, putus tunang, jatuh talak, hilang kasih sayang dan dan dan. Sedih lagi pilu saya mendengarnya. 

Ali sedih, Minah sedih, Pak Mat sedih, Cik Kiah sedih, Datuk sedih, Mak Datin sedih, Mona sedih, Saiful sedih, semua sedih.

Penyanyi lagu-lagu ini pula kadangkala sekali pandang macam ‘Mat Rock’, tapi dua kali toleh rupanya mereka ‘Mat Jiwang.’ Pernah satu ketika saya beranikan diri menonton klip video kumpulan ‘rock kapak’, yang penyanyinya itu Mat tuuutt…lalu saya ketawa berdekah-dekah, macam nak terpecah perut. Apa ketidaknya, si penyanyi yang suka hisap tuuutt… ini tampak rugged, siap berjaket kulit (ke getah?), jeansnya koyak rabak, tapi akibat lagu putus cintanya itu terlalu memilukan, beliau kelihatan bercucuran air mata sewaktu menyanyikan lagu tersebut. Feeling konon! Piiirahhh!!!

Kalau kamu berani tonton televisyen ketika musim raya pula, saya yakin mesti kamu akan menemui drama-drama swasta yang mengisahkan tentang cerita-cerita kesyahduan dan memilukan terutamanya, kalau drama itu dilakonkan oleh Rosyam Noor atau diarahkan si Rashid Sibir. Misalnya, cerita tentang kemalangan maut ketika pulang ke kampung memang akan berjaya mengundang kepiluan yang amat. Memang muak, sebab drama stail sedih sebegini dihidang di kaca TV saban tahun.

Mungkin juga, saya fikir, masyarakat kita sukakan unsur-unsur kesyahduan ini dan suka bernostalgia mengenangkan kisah silam. Sentimentaliti dalam mentaliti masyarakat kita, khususnya orang Melayu amat tebal. Saya khuatir jika mentaliti sebegini terus dilayan maka fikrah umat Melayu akan terus membebal. Orang kita suka melayan perasaan dan ini yang saya perasan. Tapi saya tak tahu mengapa. Sedangkan kalau difikirkan semula baik-baik, melayan perasaan ini tak akan membawa kita ke mana-mana. Sebab, rasanya, no point sesebuah perayaan itu kalau akhirnya kita sekadar bersyahdu-syahduan.

Lihat saja dengan perayaan-perayaan agama atau kaum lain. Amat payah untuk kita menemui unsur-unsur kesedihan dalam perayaan mereka. Sebagai contoh, kita lihat Pesta Kavadhi atau dikenali sebagai perayaan Thaipusam, mana ada mereka bersedih? Memikul Kavadhi itu tandanya mereka sedang berpesta, berpesta untuk membayar nazar atau menghapus dosa silam. Kalau kamu fikir mereka akan keperitan kerana kulit badan mereka tercucuk besi Kavadhi itu, kamu juga perlu sedar bahawa mereka merelakan keperitan itu atas kehendak sendiri, bukan atas arahan sesiapa. Dan saya pasti mereka yang mengalami kesakitan sementara itu akan menikmati kepuasan spiritual yang tersendiri. 

Mereka juga bersusah payah memanjat tangga Batu Cave yang berbatu-batu tingginya itu sebagai salah satu bentuk amalan yang membawa manifestasi kepada sebuah harapan. Harapan mampu memberi nafas dan memacu hidup ke hadapan. Bukan bersedih. Bersedih tak membawa kita ke mana-mana, sebaliknya membuat kehidupan kita terkandas. Begitu juga dengan acara memecah atau menghempas beribu-ribu biji kelapa ke atas jalan raya. Sekali pandang memang lawak. Mungkin ada yang beranggapan ada baiknya kelapa-kelapa itu diperah santannya, boleh dibuat lemang atau masak kari, tapi oleh kerana Thaipusam itu sebuah perayaan, ini seharusnya tak jadi soal. 

Tiada istilah ‘membazir’ dalam kamus sesebuah pesta atau perayaan. Ketika kamu berpesta atau berparti, berseronoklah sepuas-puasnya. 

Saya berasakan konsep asas sebarang bentuk perayaan adalah dengan bergembira. Perayaan dalam apa bentuk sekalipun, yang hadir saban tahun wajib dilihat sabagai antara asas untuk kita merayakan pesta kehidupan. Bezanya di sini ialah, bagaimana caranya kita bergembira, mengikut nahu atau tatacara hidup masing-masing. Kalau saya senang saja, hidangkan saya dengan ketupat dan rendang, tahulah saya bagaimana caranya untuk bergembira. 


Mohd Ikhwan Abu Bakar