Memaparkan catatan dengan label Zarina Abdullah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Zarina Abdullah. Papar semua catatan

Rabu, September 23, 2026

Filem Malaysia Bikinan Pengarah Wanita yang Baru Ditonton

“Immediately you do an interview, they say—oh, you're making a woman's film. No, I'm not making women's films, I'm making Chantal Akerman's films.” (London, 1979)

Dewasa ini ia mudah untuk tonton filem-filem antarabangsa tetapi pilihan untuk tonton filem lokal, biasanya ia perlu ada rekomendasi baru buat kita tergerak untuk tonton (selain ia perlu dicari). Sempena bulan kemerdekaan dan hari Malaysia, saya sengaja tonton banyak filem tempatan pasca era studio (selepas 1980an) dan pra digital (dalam 2010 ke belakang lebih kurang). Kebetulan saya juga tertonton banyak filem bikinan pengarah wanita yang ingin saya senaraikan di sini.

Di dalam senarai ini tiada dua filem Zalina Mohd Som yang sukar ditemui, tiada juga filem-filem yang sudah saya tonton dulu seperti filem-filem Yasmin Ahmad, juga filem-filem yang punya suara wanita yang kuat via gabungan produser serta penulisnya (Redfilms, Habsah Hassan...) seperti Gol dan Gincu (2005), Hati Bukan Kristal (1990), Qaisy & Laila (2005), Khadam (2026). Dan untuk buat senarai ini sedikit menarik saya susun ikut kegemaran menuju ke paling suka (meski ia agak relatif dan mudah untuk diubah susunannya tapi yang pasti tiga paling suka itu tetap).

 
12. Ceritaku Ceritamu (1979) arahan Saadiah

Filem ini turut punya pembantu pengarah I (Kenji Ouchi) dan sinematografer (Kunimasa Oshima) orang Jepun yang membuatkan gambarnya kemas dan konsisten. Filem pertama arahan wanita di Malaysia, ia penting dari segi kronologi sejarah tetapi melodramanya dan moralnya mudah diduga. Seperkara yang menarik, perubahan busana dan gaya hidup Hasnah (lakonan Fauziah Ahmad Daud) si tukang jahit di kampung beradaptasi menjadi Ana pereka fesyen di bandar berubah drastik dan daring (dari berzanji hingga jadi perempuan simpanan), sebelum akhirnya kembali berkelubung di sawah padi.

11. Kad Cinta (1995) arahan Julie Dahlan

Filem ini mengingatkan saya kepada komedi Hong Kong dan Stephen Chow, sebab ada satu adegan di mana Badrul Muhayat ingin tumbuk Hairie Othman, tapi dia tunduk lalu tumbukan itu kena Nasha Aziz hingga hidungnya berdarah. Ada bibit-bibit kelakar yang dapat saya rasa melalui skrip, tetapi direction-nya kurang fokus pada sentuhan humor, lebih serius dengan dilema cinta dan nuansa romantik Julia (lakonan Nasha Aziz). Bermula dan berakhir dengan montaj percutian di Turki, satu-satunya filem arahan Julie Dahlan.

10. Mimpi Moon (2000) arahan Shuhaimi Baba

Bercakap tentang komedi romantik jika Kad Cinta menangkap vibe 90an sepertimana Oh Fatimah (1989) menangkap dekad terakhir 80an, dengan Mimpi Moon kita masuk abad baru 2000 dengan minyak gamat aphrodisiac.

9. Perempuan Melayu Terakhir (1999) arahan Erma Fatima

“Albert Camus, Jean-Paul Sartre, atau Samuel Beckett tetap yang terbaik. Dan tak ada teater lain yang dapat menandingi teater Barat. Class dismissed.” – Haikal, dramatis

Agak langka untuk cari filem lokal dengan protagonis dramatis, dan dalam kes filem ini, watak Haikal (lakonan Eizlan Yusoff) seorang penyarah universiti yang mengagungkan teks Barat, cuba mencari diri dan asal usul di Terengganu (lalu bertemu dengan Mustika lakonan Vanida Imran), meski kampung si Haikal di Kedah, dah kenapa tak cari jati diri kat kampung sendiri di Kedah? Mentang-mentang pemandangan laut di Terengganu scenic dan berleluasa dalam filem tempatan era itu.

8. Chermin (2007) arahan Zarina Abdullah

Sewaktu tonton filem ini saya redhakan diri dengan casting pan-asian sebagai watak orang kampung, dalam filem ini Deanna Yusoff sebagai Mastura iaitu isteri pertama dari masa lalu, dan Natasha Hudson sebagai Nasrin sebagai anak isteri kedua di waktu sekarang. Menarik untuk lihat komposisi dan syot-syot yang melibatkan cermin, sebuah filem supernatural dan gothik Melayu kelas berada (sepertimana Pontianak Harum Sundal Malam). Dalam kategori ini, Sumpah Orang Minyak (1956) lebih kompleks dan rencam, tetapi melalui Chermin kita dapat terperap di dalam bilik untuk digosip mulut-mulut wanita kampung yang bikin darah mendidih. Efek CGI-nya sedikit mengingatkan saya kepada House (1977), cuma ia terkawal dan tidak gila-gila.

7. Waris Jari Hantu (2007) arahan Shuhaimi Baba

Filem ini, seperti Pontianak Harum Sundal Malam (2004) dirakam secara digital yang pada ketika itu beresolusi Full HD. Perasannya terasa seperti filem direct-to-video atau telemovie, maksud saya dari segi sinematografi. Apa yang buat saya tertarik dengan filem ini ceritanya. Ketika watak Ari lakonan Rusdi Ramli baru pulang ubah jantina dari Singapura bertemu Tina lakonan Maya Karin, ia mengingatkan saya kepada filem Pedro Almodovar, cuma di saat itu kita rasa intense atas kenaifan dua anak muda moden ini.

6. Antara Dua Hati (1988) arahan Rosnani Jamil

“Kenapa aku kahwin dengan kau dipersoalkan? Kenapa tidak gadis 15 tahun kahwin dengan lelaki 60 tahun tidak langsung disebut-sebut?”

Datin Sharifah (lakonan Rosnani Jamil sendiri) berlanggar keretanya dengan Jefri (lakonan Sabree Fadzil) yang jatuh motosikal dan jatuh hati serentak. Ia amat pop diseling muzik dan nyanyian, berkisar sekitar konflik cinta tiga segi melibatkan anaknya Ina (lakonan Raja Ema), mereka dianggap seperti adik-beradik yang bikin saya ‘tak sure’. Anak lelakinya pula Shah (lakonan Ridzuan Hashim) lebih memahami kerana beliau bercinta dengan gadis Cina yang punya sub-konfliknya yang tersendiri. Ia perasaan yang segar kerana kita biasa bertemu dengan watak lelaki berjaya pemilik syarikat pasca DEB dengan dilema-dilema keluarga mereka, tetapi dalam filem ini ia mengikuti dilema watak wanita berkerjaya dan permasalahan mak-mak. Konsekuensi untuk wanita lebih tua mencintai lelaki muda, kesedaran terhadap tanggapan masyarakat, dan untuk Jefri dituduh Ina sebagai ‘gigolo yang gila harta.’ Datin Sharifah kerjakan umrah sebelum buat apa-apa keputusan.

5. Selubung (1992) arahan Shuhaimi Baba

Filem pertama Shuhaimi Baba yang melibatkan kerja-kerja amal dan bom (motif yang akan berulang kemudian), watak lelaki yang lambat berterus-terang tentang statusnya (untuk lengahkan filem ini jadi kisah romantik), hubungan antara dua era (zaman universiti dan kerja), kehidupan sekumpulan pekerja firma dan badan kebajikan, serta muzik OST yang catchy memegang mood cerita (sepertimana kebanyakan resepi filem-filem bikinan Shuhaimi Baba). Semuanya bermula di sini.

4. Embun (2002) arahan Erma Fatima

Filem perang ketika pendudukan Jepun, menggambarkan Embun lakonan Umie Aida yang mengetuai gerakan secara gerila dalam gua setelah abangnya Bayu Harun lakonan Hani Mohsin ditangkap dan diseksa selain dirinya turut dinodai. Menariknya tentang filem ini, adalah bagaimana anggota-anggota tanpa ketua seperti orang kampung jadi hilang pedoman, malah ada yang belot. Ketika berperang, mereka tembak tanpa strategi. Ia terasa benar kerana mereka ini bukan askar yang sudah dilatih dan ada will untuk membunuh seperti askar musuh, tetapi orang-orang biasa yang tersepit di dalam perang dan cinta.

3. Mawar Merah (1987) arahan Rosnani Jamil

“Seperti air matamu mengalir, akan mengguris hati om yang dah luka.”

Satu-satunya filem lakonan Mustaffa Noor, lakonan skrin terdekat ada telemovie Maria (1984) arahan Shuhaimi Baba. Sebuah filem tentang hubungan taboo percintaan antara seorang pakcik arkitek bernama Sofyan dengan anak saudaranya Kartika (lakonan Raja Ema) yang membesar di Indonesia. Ia punya adegan-adegan yang diingati, dan malah intense sebab ia melibatkan perasaan yang dipendam. Metafora menguburkan cinta, dan membunuh cinta sudah disebut di tepi pantai, yang akan terzahir dengan imej mawar merah di atas pusara. Cinta seperti kemalangan kereta di awal dan akhir cerita, datang tanpa diundang.

2. Ringgit Kasorrga (1995) arahan Shuhaimi Baba

Filem berlandas jenayah ini satu-satunya filem Malaysia yang ada potensi beri feel erotic thriller, malah menontonnya kembali, ia mengingatkan saya kepada novel murder mystery saya sendiri iaitu Babyrina. Andai ia difilemkan, filem ini wajar dipertontonkan kepada bakal pelakon. Dah tentu kita mahu protagonis kita Nina lakonan Deanna Yusoff selamat, tetapi pada saya beliau terlalu sheltered dan dunia filem ini agak kecil hinggakan Nina ini boleh bertemu dengan Dato’ Shah (lakonan Zaidi Omar) di kampungnya pasang susuk. Malah apabila Nina merosakkan bukti pita VHS diakhir filem, ada hal yang belum selesai meski dia sudah selesa buka restoran. Tiara Jaquelina sebagai Meera menempuh jalan yang lebih tragik akibat terjebak. Rakaman pita VHS pada monitor CRT lakonan Dato’ Shah yang disunting bagai filem mengingatkan saya kepada filem-filem David Cronenberg.


1. Jimi Asmara (1995) arahan Erma Fatima

Meski Perempuan Melayu Terakhir lebih menampakkan falsafah Erma Fatima melalui penulisan dan garapannya, tetapi filem Jimi Asmara punya suatu sentuhan yang unik. Ia bersemangat filem-filem studio lama seperti Ibu Mertuaku dan Antara Dua Darjat tapi moden. Mengingatkan saya kepada Johnny Bikin Filem andai ia disunting dengan baik dengan rekaan bunyi yang baik. Ia ada ceritanya yang tersendiri, fasal artis yang tak nak berubah ikut zaman. Adegan pembukaan hitam dan putih menggambarkan dekad kegemilangan 1950an Jimi Asmara mengkagumkan, dengan imej fangirling seorang peminat yang mencampakkan selendang tudungnya ke pentas. Adegan berwarna di era 60an pula kita perlu bersabar dengan karenah penyanyi murbawan yang egois Jimi Asmara (lakonan Hani Mohsin) serta kesetiaan Engku Nuraini (lakonan Maizurah Hamzah) yang mana innocence Bangsawan-nya terasa in spirit of Zaiton.

Filem kegemaran arahan wanita setakat ini untuk saya Mukhsin (2006) atas ke-simple-annya. Jimi Asmara, Mawar Merah dan Ringgit Kasorrga antara yang turut digemari lepas ni kalau ada orang tanya.

Ridhwan Saidi

Isnin, Februari 28, 2011

Kesenian dan Konsumerasi

Kelmarin saya ke Buka Jalan International Art Festival di Balai Seni dan terlihat dua susuk pembikin filem berkacamata hitam: U-wei dan Mansor. U-wei akan datang dengan filem terbarunya Hanyut manakala Mansor pula mengingatkan saya kepada tulisan Abror baru-baru ini di JalanTelawi.com. Di dalam tulisan itu ada menyentuh mengenai filem Seman (1986) yang melawan dogma itu. Pabila melihat rambut kedua pembikin ini yang berwarna putih, hati saya sedikit gusar. Tanpa disedari filem Seman telah berlalu 25 tahun yang lalu. Umurnya seusia dengan tubuh saya. Ya, tidak salah kadang-kala kita bernostalgia, tetapi ke manakah perginya pembikin-pembikin yang masih belum berambut putih? Sampai bila kita mahu berpaut pada ‘satu-satunya’ filem eksperimental tempatan itu? Saya tanya, saya sendiri akan jawab.

Baru-baru ini saya ada menonton filem Chermin (2007) dan Bila Punggok Rindukan Bulan (2008) secara terus menerus. Kepada yang tidak tahu, kedua-dua filem ini dihasilkan oleh mereka yang masih belum berambut putih (dalam lingkungan bawah 30-an). Tak dinafikan saya lebih cenderung untuk meminati filem yang kedua. Chermin bermula dengan baik bagi sebuah filem yang berlokasikan resort… eh silap kampung. Dari segi jalan cerita ia kuat mengikuti acuan Hollywood. Saya tiada masalah dengan ini, cuma semakin lama – filem ini semakin gedik. Bagaimana mak cik sismance itu balik rumah melalui hutan rimba sangat menggelikan hati. Di kampung-kampung, laluan manusia dipanggil denai. Mengetahui ini saya sedari terdapatnya satu paten di mana seseorang pembikin itu, belajar di Barat kemudian ingin bermain kembali dengan semangat Nusantara. Ini tidak salah tetapi jika silap dilaksanakan, ianya akan jadi kelakar. Yang membuatkan saya melupakan filem ini adalah babak exorcist di mana seekor Smeagol merangkak keluar dari tubuh Natasha masuk ke dalam cermin. Entah mengapa saya fed up dengan filem yang baru saya tonton itu. Apa pun daripada 100 markah saya berikan 40/100, sama macam Khurafat. Ia tidaklah seteruk Haq (2011) atau Antoo Fighter (2009).

Filem Punggok Rindukan Bulan pula tanpa berlengah saya beri 70/100 markah. Ini adalah sebuah filem yang baik dan penting sekaligus. Tidak bermain dengan dunia kampung, filem ini mendekati jiwa-jiwa kota. Semangat perbandaran dan kemajuan; permainan ruang publik/privasi digerakkan dengan jayanya. Mereka yang mendalami ilmu senibina saya syorkan menonton filem ini. Seperkara yang saya perasan, filem ini berhijrah daripada fiksi kepada dokumentari secara halus dan puitis. Terdapat 3 segmen nyata yang saya perasan. Pertama kerinduan berlarutan seorang budak bernama Sidi terhadap ibunya. Ini jika ditekan lebih dalam boleh jadi berupa kerinduan feminisme kesemulajadian alam di dalam dunia maskulin konkrit dan keluli. Kedua proses rakaman dan dokumentasi Amani yang menemubual penduduk setempat. Seperti ruang tangga dan koridor sempit flat Bukit Chagar yang bersifat semi-publik (laluan penduduk) dan semi-privasi (couple bercanda), segmen ini adalah di antara semi-fiksi dan semi-dokumentari. Dan segmen terakhir, bersemadinya flat itu di duniawi ini.

Berbalik kepada hal asal, ya kesenian di negara ini sentiasa sempit dan terhimpit. Baru-baru ini industri perfileman tanah air telah menampakkan pemecahan rekod keuntungan yang memberangsangkan. Saya turut bergembira di atas kekayaan yang masuk ke dalam kocek para pengusaha sinepleks dan pemilik syarikat produksi ini. Cuma jika kita tolak lebih jauh, apakah makna semua ini? Bagi saya penonton di negara ini semakin banyak wang untuk dibelanjakan. Itu saja. Ini serupa dengan makanan yang berlambak di negara ini. Sehinggakan kadang-kadang saya terfikir terdapatkah mereka yang mati kebuluran di negara ini? Melalui alam kita dapat menikmati kesuburan aneka pilihan makanan. Kalau di kota pula lihat saja makanan yang tidak habis. Ianya berlambak. Kita terjerat di dalam kitaran konsumerasi yang statik. Dan kesenian adalah salah satu jalan untuk kita bergerak menjadi manusia yang sempurna.

Di Balai Seni Lukis Negara yang menganjurkan festival seni persembahan Buka Jalan, jika kamu perasan berlaku satu penyongsangan. Bukankah sepatutnya seni persembahan bertaut dengan Istana Budaya? Ya, saya faham. Saya juga jika diberi pilihan akan menjauhi Istana Budaya. Kesenian di negara ini tidak kiralah apa pun, mula korup apabila ia di-glam-kan. Dan Istana Budaya menggenggam falsafah glam ini sampai jadi bara. Mujur adanya kubu kesenian (boleh tahan) di Balai Seni Lukis Negara. Lebih kuat tempat itu mempunyai sejarah. Malah jika mahu dibuat panggung alternatif, mungkin boleh difikir-fikirkan. Saya pernah menonton filem Mexico di situ dan ianya not bad. 

Selain itu, Ayam ada menceritakan kepada saya mengenai kewujudan filem terbaru arahan Nam Ron: Jalan Pintas. Katanya filem ini seperti Gadoh (2009) akan menggunakan jalan songsang, di mana filem itu yang akan mencari penonton. Saya cukup faham dengan tindakan ini kerana di negara ini, sinepleks berkuasa. Kamu perlu tahu beza pawagam dan sinepleks. Sinepleks yang kalau tidak silap saya bawaan Amerika ini adalah gedung yang memiliki banyak panggung (wayang gambar). Pawagam pula lebih bersifat peribadi (atau kecil skalanya). Berbeza di antara menonton di pawagam dan sinepleks. Di sinepleks, kamu adalah seorang konsumer tidak kira apa latar kamu. Pilihan filem sentiasa teruk. Oleh kerana itu saya cukup bersetuju dengan Abror bahawa kita yang meraikan kesenian sejati ini memerlukan sebuah panggung alternatif. Konsumer jamak yang bebal perlu dipariahkan.

Apa pun tidaklah bermakna saya menolak sinepleks seratus peratus. Dua filem yang saya tunggu-tunggu untuk tonton ialah Bunga Lalang dan Hanyut. Di mana lagi dapat saya tonton filem ini jika tidak di sinepleks? Lol. Selalu juga saya perasan atas dasar apa kamu menonton sesebuah filem? Adakah ulasan di surat khabar dan blog atau status FB/Twitter akan mempengaruhi kamu? Ini saya tidak peduli, tetapi bagi saya yang paling penting adalah sesi temubual bersama pembikinnya. Tidak dinafikan Bissme antara yang paling pakar dalam hal ini. Setakat ini temubual bersama Dain dan U-wei paling berkesan buat saya. 


Ridhwan Saidi
P/s: Melalui temubual juga kita berpeluang untuk detect samada seseorang itu benar pembikin filem atau sekadar seorang tukang beri arahan.
P/s/s: Menurut Bissme, tajuk filem Bunga Lalang telah ditukar kepada Bunohan.