Memaparkan catatan dengan label Orson Welles. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Orson Welles. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 24, 2010

120 Malay Movies & Geng


Seorang kenalan (yang juga murtad senibina) pernah menceritakan kepada saya bahawa ketika P. Ramlee mula berkarya di negara ini (sebelum ini di kota Singa), filem-filemnya tidak mendapat biayaan pentadbir tempatan. P. Ramlee sedih katanya. Katanya lagi badan-badan seperti stesen penyiaran televisyen tidak mahu membeli filem-filemnya – ini perlu dilihat dalam konteks semangat kenegaraan—selaku sebuah negara baru. Tambahnya lagi, ketika Studio Merdeka ditutup, kesemua seluloid-seluloid itu telah dibuang ke dalam Sungai Gombak. Kita tidak simpan apa-apa (bagi kenalan saya, yang dihumban itu aset negara). Filem-filem P.Ramlee era Studio Merdeka yang kita tonton di televisyen itu adalah salinan daripada simpanan peribadi Sultan Brunei katanya. Kesahihan kisah ini saya tidak pasti.

Saya punya seorang nenek saudara yang menetap dan berkeluarga di U.K. Semasa saya kecil, selang beberapa tahun pasti makcik dan pakcik serta sepupu sepapat kacuk mat salleh saya ini akan melawat ke negara ini. Saya sedari antara banyak-banyak benda yang akan dibawa pulang ke U.K adalah VHS dan VCD filem-filem Melayu klasik. Bukan sedikit tapi betul-betul banyak. Kenapa mereka berbuat demikian, saya tidak pasti.

Hussein Haniff tidak berkebolehan untuk membaca dan menulis. Saya tahu ini entah diberitahu, ataupun terbaca di mana-mana, ataupun saya bermimpi. Mengetahui ini, saya yakin filem-filemnya berjiwa besar (walaupun saya hanya pernah menonton filem pertamanya – sama halnya dengan Orson Welles). Bagaimana babak tarian kelolaan Siput Serawak digarap di dalam filem Hang Jebat amat menggiurkan. Saya syak Hussein Haniff ini bikin filem dengan intuisi sepenuhnya. Bak kata Henri Bergson, "Intuisi letaknya lebih dalam daripada intelektualiti." Andai kata seorang intelektual yang kaki buku menganggap lawak P.Ramlee dan geng sebagai lawak bodoh, itu tidak menghairankan, itu biasa.

Mat Sentol adalah wira Bin Filem, tak perlu cerita banyak. Dengar berita Mat Sentol akan datang melawat dalam masa terdekat ini.

Sebelum 120 Malay Movies, saya pernah terbaca sebuah buku tentang filem-filem Melayu dengan ulasan-ulasan ringkas di rumah Tukar Tiub. Tajuknya saya tidak ingat. Yang saya ingat ianya self-contained. Ianya buku lama lagipun. Satu lagi buku tentang filem yang saya ada bertajuk Sejarah Filem Melayu tahun 1980. Buku ini memuatkan beberapa esei (tentang sejarah bangsawan dan masa depan), senarai filem-filem dari Laila Majnun sehingga filem-filem yang sedang dibikin (mengikut huruf), tiga contoh skrip filem di dekad yang berbeza serta foto-foto lama. Bagi saya ianya sekadar satu himpunan data tanpa pentafsiran (ini berlawanan dengan 120 Malay Movies).

Selalunya buku-buku seperti 120 Malay Movies ini saya terus terjah ke muka surat tengah memilih ulasan-ulasan filem yang saya berkenan. Dan memang saya buat pun. Cuma apabila saya kembali ke pangkal buku, menyelak satu persatu dari mula, mengikut tertib, ianya sebenarnya lebih mengujakan. Sesebuah filem itu bertimbal balik. Pertaliannya ada, ia tidak putus dan bermain-main di antara satu sama lain. Yang membuatkan buku ini seronok, selain pentafsiran dengan diksi penuh humor Amir Muhammad, ia juga bertemankan suara-suara asal filem tersebut yang disampaikan melalui penceritaan semula, petikan dialog, pautan dengan filem lain dan lain-lain.

Pada selakan pertama akan kita nampak warna di-raja memenuhi halaman. Ia adalah pembayang kepada isi buku ini yang 'kadang-kadang' berbicara tentang feudalisme yang masih wujud hingga ke hari ini.


Ridhwan Saidi

Sabtu, Julai 04, 2009

Jenayah Filem

Pernahkah kamu terfikir, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘filem jenayah?’ Setahu saya, jenayah dalam filem belum lagi dapat dilihat sebagai satu genre filem yang khusus. Penafsirannya sebagai satu genre masih lagi terbuka kepada pelbagai kemungkinan dan terlalu umum. Apakah kriteria umum untuk sesebuah ‘filem jenayah?’ Bagaimana mahu menaksirkan sesebuah filem itu sebagai ‘filem jenayah?’ Apakah ada cinematic form yang khusus untuk menjatuhkan label terhadap sesebuah filem itu sebagai ‘filem jenayah?’

Adakah filem jenis ini wajib melibatkan adegan-adegan ganas, tembak-menembak, kejar-mengejar, kereta terbalik, letupan-letupan extravaganza, polis, samseng, wanita penggoda, cerut Cohiba, kepukan dollar atau apa? Adakah ia mesti membabitkan Mafia dengan susuk penjenayah cult seperti Al Capone? Kalau begitu, bagaimana pula dengan jenayah-jenayah lain seperti rogol, pembunuhan bersiri, atau rasuah politik? Adakah filem jenayah itu Scarface, the Untouchable, Goodfellas, the Usual Suspects, Heat, Blow atau semudah err, Gangster ala Rosyam Nor?

Jika diselak kembali susur galur ‘genre’ ini, ia telah bermula seawal era filem bisu (silent era) lagi, yakni awal abad ke-20. Pernah disebutkan bahawa filem The Musketeers of Pig Alley (1912) adalah antara ‘filem jenayah’ yang terawal. Manakala filem Scarface lakonan Al Pacino pula, yang kita sedia maklum, dihasilkan pada tahun 1983. Tapi, berapa ramai antara kita yang tahu sebenarnya filem arahan Brian De Palma ini merupakan sebuah filem yang dibikin semula sebagai tribute untuk filem Scarface: The Shame of a Nation, dihasilkan pada 1932?

Filem jenis ini (jenayah) juga pernah disabitkan sebahagian daripada filem pasca-perang sekitar awal 1940-an hingga lewat 1950-an yang turut terpalit dalam genre film noir. Noir ini adalah perkataan Perancis yang bermaksud ‘hitam.’ Istilah film noir yang dicipta oleh Nino Frank ini bukan sekadar merujuk kepada ciri filem hitam putih pada waktu itu sahaja, akan tetapi bagi saya, ia juga boleh dilihat sebagai filem yang mengungkap tema perilaku sisi gelap manusia, selain dari adunan pelbagai aspek lain yang meliputi struktur naratif, gaya visual, setting dan karekter. Pertentangan hitam-putih itu sendiri adalah simbolik dialetika antara unsur jahat-baik, negatif-positif. Secara teknikal pula, kontra hitam-putih yang dikuatkan lagi dengan permainan bayang-bayang merupakan mekanisme penyampaian teks dan subteks dalam bingkai filem-filem noir.

Sebagai bukti, jenayah adalah dianggap satu bentuk kesalahan dalam tatacara hidup manusia normal kerana membawa banyak keburukan dan kerugian. Kesalahan jenayah mudah dianggap satu penzahiran sebuah kejahatan. Contoh paling dekat rasa saya ialah filem garapan Orson Welles, Touch of Evil (1958). Sila beri perhatian pada perkataan ‘evil’ pada tajuknya yang bermaksud ‘kejahatan.’ Filem ini sampai ke hari ini berdiri teguh sebagai salah satu filem noir yang paling klasik dalam sejarah, yang menceritakan kisah pertingkahan moraliti sekumpulan pegawai polis. Justeru, saya tertanya-tanya, adakah Touch of Evil ini selayaknya digelar sebagai ‘filem jenayah?’

Sebenarnya, persoalan ini bukannya persoalan yang begitu membelenggu fikiran saya. Saya selalu percaya, terdapatnya hubungan erat antara filem dan penonton. Berlainan dengan cabang seni yang lain, betapa syok sendirinya seseorang pengarah itu, filem tetap memerlukan penonton. Ini yang menjadikan sesebuah filem itu ‘filem’, bukan puisi, lukisan, atau muzik. Misalnya, kamu boleh melukis, lalu, andai lukisan itu mahu kamu perukkan di dalam stor, apa ada hal? Malah, saya berani mengatakan bahawa, setiap filmmaker perlu membabitkan penonton sedari awal pembikinan sesebuah filem itu lagi, iaitu semasa proses merangka cerita. Pendek kata, perlu ada simbiosis antara filem dan penonton. Memikirkan respon audien hanya sesudah filem itu siap ditayangkan adalah tak tepat.

Mengapa saya tuduh begitu? Sebabnya, hubungan filem dengan penonton ibarat pertalian seni bina dengan manusia. Filem mempunyai form dan content. Sama juga halnya dengan seni bina, mengandungi bentuk dan ruang. Bagi saya, senibina tidak akan dikira ‘siap’ selagi ia tidak mula digunakan. Seni bina bermula dari lakaran idea ke peringkat pembinaan dan disudahi dengan kepenggunaan ruang apabila ia siap dibina. Filem pula, bermula dari karangan skrip, ke penggambaran, ke pasca produksi sehingga akhirnya bertemu dengan audien di panggung, barulah ia dikira telah ‘siap.’

Oleh itu, semasa peringkat lakaran idea lagi, arkitek seharusnya menebak setiap kemungkinan yang akan dihadapai oleh bakal pengguna ruang rekaannya, sama ada ia mampu berfungsi dengan baik sekaligus memberi keselesaan fizikal dan mental. Filem, pembikinnya pula perlu memikirkan apakah yang akan dipersembahkan kepada khalayak penonton itu akan, bukan saja ‘menghiburkan’, tapi juga mampu memberi kepuasan mental tanpa memperbodoh-bodohkan mereka (penonton). Ini tergantung kepada mutu content, bukan permukaannya saja. Jika filem itu teruk, ia sama juga dengan ruang bangunan yang menyusahkan pengguna, seperti tinggi siling rumah yang kurang dari tiga meter, yang menyebabkan ruang menjadi panas.

Mengapa ini mungkin terjadi? Puncanya, arkitek itu tidak memikirkan keselesaan manusia sebagai pengguna sewaktu rekaan dihasilkan, akibat hanya mengambil kira seni bina sebagai objek fizikal, kemudian ditampal pula dengan pelbagai elemen estetika picisan. Ini sama juga dengan filmmaker yang mengajak penonton supaya percaya bahawa filem sekadar hiburan semata-mata, tengok saja, tak payah fikir apa-apa dan enjoy. Hasilnya, filem sebegini hanya tinggal seputar soal untung-rugi bagi pembikinnya, manakala penonton cukup sekadar berani bertanya kepada diri sendiri sama ada wang yang mereka laburkan untuk menonton sesebuah filem itu ‘berbaloi atau tidak.’ Itu sebab, saya katakan ketika penulisan skrip lagi, pembuat filem harus mengambil kira apakah yang akan diberi kepada penonton itu bukan hanya ‘a well told story,’ tapi mampu ‘menjentik’ pemikiran penonton.

Tapi, bukankah kita sering terdengar, sesetengah pembikin filem tempatan selalu mengaku bahawa mereka membuat sekian-sekian filem menjadi begitu dan begini lantaran dari memikirkan kepuasan audien? Atau katanya, mengikut kehendak penonton? Adakah ini benar dan boleh dipercayai? Secara peribadi, saya meragui keikhlasan mereka. Kenapa?

Sebagai jawapan, mereka ini lazimnya ‘gemar’ memperbodoh-bodohkan penonton. Apa yang saya maksudkan dengan memikirkan audien ketika mula merangka cerita bukan bererti mengikut kehendak audien atau selalunya dikatakan, ‘memenuhi selera penonton’ secara membuta tuli. Memikirkan audien saat mengarang skrip bermaksud memikirkan sama ada filem yang dihasilkan akan menyentuh minda dan hati penonton, bukan menggula-gulakan mereka. Bukankah filmmaker sepatutnya sentiasa treat audien sebagai orang yang bijak? Jika kita berfikir yang kita akan berurusan dengan orang bijak, maka kita juga wajib memastikan yang kita tak akan memperbodoh-bodohkan mereka. Sebaliknya, jika kita perlu memberi sesuatu kepada orang yang kita anggap bodoh sedari awal lagi, maka kita rasa cukup selamat untuk memberikan yang cincai-cincai sahaja.

Tak dinafikan, filmmaker yang suka beralasan ‘memenuhi selera penonton’ ini juga telah ‘memikirkan’ kepuasan penonton, tapi sekadar untuk memenuhi ruang eskapisme dan hiburan kosong. Tetapi saya percaya pengakuan ‘memenuhi selera penonton’ itu dibuat atas nama keuntungan. Mereka berpegang kepercayaan karut filem sebagai produk bagi memenuhi komoditi pasaran hiburan. Ia umpama melambakkan pasaran dengan barang mainan buatan China. Mereka kata memenuhi selera penonton, padahal hakikatnya mereka memikirkan keuntungan dengan cara mudah. Saya ragu-ragu apakah mereka menghiraukan fikrah penonton, kerana mereka seolah-olah sekadar meletakkan sampah dengan kepercayaan penonton akan tatap apa saja sampah yang disogok di depan mata. Yang lawaknya, mereka sering berkata ‘penonton hari ini sudah matang.’

Kemudian, mereka akan menggunakan beberapa formula tipikal bagi menghasilkan filem bermutu rendah ini. Antara formula basi yang kerap dikitar semula adalah seperti meletakkan ‘baby doll’ yang sedang popular, yang disolek tebal-tebal untuk dijadikan ‘pelakon,’ dengan kepercayaan penonton akan ke panggung kerana mahu melihat baby doll tadi mengilai di layar perak. Unsur kosmetik ini adalah satu penipuan dalam filem, dan penipuan ini juga adalah satu ‘jenayah.’ Dalam hal ini, mari kita berkongsi pandangan dengan arkitek modenis, *Adolf Loos, untuk melabelkan filem-filem sebegini sebagai ‘filem jenayah’ yang sebenar.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Adolf Loos merupakan arkitek modenis tersohor kelahiran Austria yang pernah menulis 36 rampaian esei di bawah tajuk; Ornament and Crime pada 1908.

Rabu, September 17, 2008

Mari Berimaginasi

Saya lahir di era 80an selari dengan evolusi video game. Ketika umur saya 4 tahun saya main Pong, dengan Atari VCS (antara pioneer video game dengan katrij). Kemudian NES, Gameboy, Genesis, N64, PSX, dan akhir sekali PS2.

Saya melalui era 8 bit, 16 bit, 32 bit, 64 bit, dan akhirnya 128 bit. Saya menghargai bit-bit ini kerana estetikanya, kebenaran yang dibawa. Bit resolusi rendah terutamanya.

Ini sama seperti kartun. Saya menghargai Persepolis, Kampung Boy, The Simpsons kerana kekartunan ia, kebenaran yang dibawa. Jika ia kartun, maka kartun lah ia.

Berbalik kepada permainan video zaman sekarang (melangkaui 128 bit), ianya super-realistik, kelihatan super benar tapi sebenarnya satu kepuraan. Samalah jika kita lukis Bart dengan super-realistiknya, hodoh bukan?

Melalui grafik berkotak-kotak, bagaimanana saya nak menghayati permainan tersebut? Mudah sahaja, gunakan imaginasi.

Saya cukup percaya generasi kini pasti benci main Pong, kenapa? Kerana mereka tidak mampu untuk berimaginasi. Kenapa? Kerana mereka telah dibanjiri grafik-grafik ultra-realistik yang pada saya adalah punca kekangan enjin minda untuk berimaginasi.

Apa kaitannya semua ini dengan filem? Ok, di sini saya ingin berbicara tentang teknik CGI. Anda semestinya pernah tonton Transformers (2007) bukan? Ia antara filem yang digembar-gemburkan sangat hebat teknik CGI nya, ultra-realistik.

Hampir semua orang yang saya kenal kata Transformers sangat best sehingga memaksa saya ke pawagam. Keluar pawagam saya hampa, ia begitu teruk bagi saya, malah ada rasa benci. Watak tidak dibina, dan robot-robot ini hanya menjadi alat bagi watak manusia.

Secara peribadi, Transformers the Movie (1986) lebih menarik bagi saya. Ia mengisahkan tentang siapa yang patut mengetuai Autobot selepas kematian Optimus Prime dan janji Galvatron yang perlu ditunaikan terhadap Unicron (suara oleh Orson Welles).

Watak kegemaran saya dalam Transformers adalah Sixshot, yang saya pasti tiada siapa tahu. Semasa kecil saya punya figura aksi Soundwave. Walau bagaimanapun saya tidak berapa minat sangat. Asyik bertukar antara robot dan radio, membosankan.

Saya lebih ketagih bermain Lego hingga terbawa-bawa dalam tidur apa nak dibuat keesokannya. Dengan Lego saya boleh cipta apa-apa yang saya mahu. Lego adalah ruang untuk saya berimaginasi, membawa saya lari keluar dari dunia ini.

Bagi saya permainan video telah mati, tiada lagi ruang untuk berimaginasi, yang ada sekarang ini adalah hiburan semata-mata. Percaya atau tidak, perkara yang sama sedang berlaku pada filem. Mujur evolusi perfileman tidak sepantas permainan video.

Apabila majoriti ingin tonton filem atas nama hiburan (efek dan kesan khas semata-mata), filem akan mati. Filem adalah kondisi minda. Ada dua orang yang akan mewujudkannya, seorang pembikinnya, seorang lagi penontonnya.

Saya tidaklah menentang CGI, tapi biar bertempat dan ada signifikasinya. Contoh yang baik adalah Dark City (1998) bagi saya.

Dalam Cicakman (2006), CGI-nya 'cantik' dan 'kemas'. Tapi masalahnya saya hairan kenapa salji turun di Metrofulus. Memang Metrofulus itu kota ciptaan, tapi adakah semata-mata produksi ini banyak duit maka mereka pun suka- suka buat dunia bersalji? Ini sudah pelik.

Walau apapun, babak-babak yang melekat di dalam kepala otak saya pasti bukan hasil teknik CGI. Yang terbaru, dari The Dark Night (2008) (anda pasti sudah tengok punya). Babak Joker diikat terbalik di penghujung cerita, berdepan dengan Batman. Mereka berdebat buat kali terakhir.

Perasan atau tidak, pada awal perdebatan Joker kelihatan terbalik dan diikat, tapi diakhirnya kamera berputar 180 darjah. Kenapa? Ia memberikan maksud bahawa Joker si anarkis berada di kedudukan yang betul dan Batman serta dunia pula yang terbalik.

Sama seperti kita mengatakan Joker gila, tapi sebaliknya Batman dan dunia ini yang berada di dalam kegilaan. Di sini Joker ditangkap tapi Batman kalah berdebat. Siapa yang menang? Terpulang kepada imaginasi anda.


Ridhwan Saidi