Rabu, September 17, 2008

Mari Berimaginasi

Saya lahir di era 80an selari dengan evolusi video game. Ketika umur saya 4 tahun saya main Pong, dengan Atari VCS (antara pioneer video game dengan katrij). Kemudian NES, Gameboy, Genesis, N64, PSX, dan akhir sekali PS2.

Saya melalui era 8 bit, 16 bit, 32 bit, 64 bit, dan akhirnya 128 bit. Saya menghargai bit-bit ini kerana estetikanya, kebenaran yang dibawa. Bit resolusi rendah terutamanya.

Ini sama seperti kartun. Saya menghargai Persepolis, Kampung Boy, The Simpsons kerana kekartunan ia, kebenaran yang dibawa. Jika ia kartun, maka kartun lah ia.

Berbalik kepada permainan video zaman sekarang (melangkaui 128 bit), ianya super-realistik, kelihatan super benar tapi sebenarnya satu kepuraan. Samalah jika kita lukis Bart dengan super-realistiknya, hodoh bukan?

Melalui grafik berkotak-kotak, bagaimanana saya nak menghayati permainan tersebut? Mudah sahaja, gunakan imaginasi.

Saya cukup percaya generasi kini pasti benci main Pong, kenapa? Kerana mereka tidak mampu untuk berimaginasi. Kenapa? Kerana mereka telah dibanjiri grafik-grafik ultra-realistik yang pada saya adalah punca kekangan enjin minda untuk berimaginasi.

Apa kaitannya semua ini dengan filem? Ok, di sini saya ingin berbicara tentang teknik CGI. Anda semestinya pernah tonton Transformers (2007) bukan? Ia antara filem yang digembar-gemburkan sangat hebat teknik CGI nya, ultra-realistik.

Hampir semua orang yang saya kenal kata Transformers sangat best sehingga memaksa saya ke pawagam. Keluar pawagam saya hampa, ia begitu teruk bagi saya, malah ada rasa benci. Watak tidak dibina, dan robot-robot ini hanya menjadi alat bagi watak manusia.

Secara peribadi, Transformers the Movie (1986) lebih menarik bagi saya. Ia mengisahkan tentang siapa yang patut mengetuai Autobot selepas kematian Optimus Prime dan janji Galvatron yang perlu ditunaikan terhadap Unicron (suara oleh Orson Welles).

Watak kegemaran saya dalam Transformers adalah Sixshot, yang saya pasti tiada siapa tahu. Semasa kecil saya punya figura aksi Soundwave. Walau bagaimanapun saya tidak berapa minat sangat. Asyik bertukar antara robot dan radio, membosankan.

Saya lebih ketagih bermain Lego hingga terbawa-bawa dalam tidur apa nak dibuat keesokannya. Dengan Lego saya boleh cipta apa-apa yang saya mahu. Lego adalah ruang untuk saya berimaginasi, membawa saya lari keluar dari dunia ini.

Bagi saya permainan video telah mati, tiada lagi ruang untuk berimaginasi, yang ada sekarang ini adalah hiburan semata-mata. Percaya atau tidak, perkara yang sama sedang berlaku pada filem. Mujur evolusi perfileman tidak sepantas permainan video.

Apabila majoriti ingin tonton filem atas nama hiburan (efek dan kesan khas semata-mata), filem akan mati. Filem adalah kondisi minda. Ada dua orang yang akan mewujudkannya, seorang pembikinnya, seorang lagi penontonnya.

Saya tidaklah menentang CGI, tapi biar bertempat dan ada signifikasinya. Contoh yang baik adalah Dark City (1998) bagi saya.

Dalam Cicakman (2006), CGI-nya 'cantik' dan 'kemas'. Tapi masalahnya saya hairan kenapa salji turun di Metrofulus. Memang Metrofulus itu kota ciptaan, tapi adakah semata-mata produksi ini banyak duit maka mereka pun suka- suka buat dunia bersalji? Ini sudah pelik.

Walau apapun, babak-babak yang melekat di dalam kepala otak saya pasti bukan hasil teknik CGI. Yang terbaru, dari The Dark Night (2008) (anda pasti sudah tengok punya). Babak Joker diikat terbalik di penghujung cerita, berdepan dengan Batman. Mereka berdebat buat kali terakhir.

Perasan atau tidak, pada awal perdebatan Joker kelihatan terbalik dan diikat, tapi diakhirnya kamera berputar 180 darjah. Kenapa? Ia memberikan maksud bahawa Joker si anarkis berada di kedudukan yang betul dan Batman serta dunia pula yang terbalik.

Sama seperti kita mengatakan Joker gila, tapi sebaliknya Batman dan dunia ini yang berada di dalam kegilaan. Di sini Joker ditangkap tapi Batman kalah berdebat. Siapa yang menang? Terpulang kepada imaginasi anda.


Ridhwan Saidi