Memaparkan catatan dengan label Sigmund Freud. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sigmund Freud. Papar semua catatan

Isnin, Julai 19, 2010

Inception dan Sinema Teka-teki

Filem Inception (2010) oleh Christopher Nolan ini bagi saya serupa tahap film Inglourious Basterds (2009) oleh Quentin Tarantino. Selaku auteur, ini werk yang mereka tapai bertahun-tahun lamanya – skrip diolah berkali-kali sehingga sempurna yang sekaligus menjadikannya bersifat peribadi (yang membuatkan filem-filem sebelum ini sebagai sesi latihan semata-mata). Keperibadian ini yang selalunya sukar diakses oleh audiens massa, tetapi dewasa ini, ia turut diraikan oleh warga umum.

Leonardo DiCaprio yang menerajui filem ini anehnya turut menerajui sebuah filem lain dari auteur Amerika dalam tahun yang sama iaitu Shutter Island (2010) oleh Martin Scorsese. Scorsese cuba patah balik kepada Hitchcock dan boleh kita simpulkan bahawa filem Shutter Island ini konservatif sifatnya, manakala mamat London si Nolan ini pula begitu progresif dengan Inception-nya.

Seperkara yang saya perasan, walaupun filem ini berkenaan mimpi dalam mimpi dalam mimpi dan seterusnya (tanpa dasar), tetapi kaitannya dengan realiti/dunia empirikal pelakon-pelakon utama dalam filem ini terpancar jelas. Dan inilah yang membuatkan filem ini menarik. Konteksnya open-ended. Lagu Non, Je Ne Regrette Rien oleh Edith Piaf yang dimainkan dalam filem ini bertaut (secara bawah sedar) dengan Marion Cotillard yang menerajui La Vie en Rose (2007). Ketika Mal mahu bunuh diri terjun daripada bangunan tinggi, dia ajak Cobb (DiCaprio) untuk terjun bersama, serius ini bertaut dengan filem Titanic – babak ‘you jump I jump’. Cuma kali ini DiCaprio tak terjun, lol. Kissing scene dalam filem ini juga antara yang paling comel pernah saya tengok. Mamat dan minah indie-flick Joseph Gordon-Levitt dan Ellen Page tiba-tiba bercumbu tanpa alasan yang kukuh di dalam filem surreal heist thriller ini, karakter serius yang mereka bawa dari mula tiba-tiba secara bawah sedar mengingatkan kita kepada filem ‘budak-budak’ seperti (500) Days of Summer (2009), Juno (2007) dll. lakonan mereka berdua. Nolan bermain dengan collective unconscious audiens, no kidding.

Syot pertama di mana Cobb terdampar di tepi pantai dalam air yang berombak sudah menyimpulkan filem ini tentang apa. Lautan adalah metafora kepada collective unconscious bak kata Carl Jung dan dalam filem ini ia terletak di lapisan ke-empat yang dipanggil limbo (kalau tak silap). Lapisan keempat ini juga saya rasa tidak boleh diambil secara literal, saya suspek struktur naratif filem Chistopher Nolan ini berteka-teki ibarat soalan IQ Mensa. Tapi dalam masa yang sama saya juga syak ia bukanlah satu teka-teki sebab si Nolan ini mamat British – yang secara stereotaip, selalunya lebih straight to the point (walau kompleks mana sekalipun – kalau nak dibandingkan dengan orang Melayu dengan Hikayat Merong Mahawangsa misalnya). Rasionalnya Nolan (dan pemikiran British) ini terbukti dengan pemilihan jalan ‘psikoanalisis’ dan bukannya jalan ‘sufi’ (yang ada empat tahap juga: syariat, tarikat, hakikat, makrifat) atau lain-lain yang lebih free.

Selain pemahaman kita terhadap mimpi, matematik, senibina, Maya Deren, David Lynch, Carl Jung, Sigmund Freud dll., pemahaman kita terhadap werk-werk terdahulu Christopher Nolan seperti Doodlebug (1997) dan Memento (2000) juga memekarkan apresiasi kita terhadap filem Inception ini. Kedua-dua filem yang saya sebut ini ada pertalian terus dengan Inception, bermain dengan thought & sense sekaligus. Senang kata kena fikir dan rasa serentak, ini paling berkesan dalam Memento (yang saya tonton dua hari lepas dalam gelap pakai projektor). 

Seperkara yang saya cukup berminat dengan Nolan adalah nilai kesenibinaannya dalam filem. Yang membezakan senibina (architecture) dengan cabang seni lain adalah betapa ia berdiri di antara seni dan sains, di antara skulptor dan kejuruteraan. Ini serius terpancar pada struktur naratifnya, ianya digarap seolah-olah ia seperti sebuah bangunan (bagi saya-lah). Malah kalau dilihat citarasa senibina di dalam filemnya, not bad bagi seorang Inggeris.

Ah ya mimpi Eames itu serius mengingatkan saya kepada permainan video PSX Metal Gear Solid oleh Hideo Kojima. Yang ini, saya tak tahu macam mana nak relate.


Ridhwan Saidi

p/s: Kalau nak layan mimpi/psikoanalisis dalam erti kata sebenar saya syorkan Meshes of the Afternoon (1943).

Khamis, April 30, 2009

Asexuality Merdeka!

Kini gua adalah seorang asexual, atau dalam ayat yang lebih panjang, gua tidak lagi tertarik mahupun berminat dengan hubungan seksual – keluar masuk/keluar masuk – terhadap gadis-gadis dan sewajibnya laki-laki. Gua rasa sudah tiba masanya untuk gua berevolusi, menjadi apa tidak tahu. Warhol, Freud untuk namakan sedikit, pernah melalui fasa asexual ini. Binary opposition bak kata Lévi-Srauss, semua perkara yang terjadi sekarang ada hubungkait dengan apa yang telah gua lakukan dulu. Dan kontra bagi tidak bernafsu adalah? Nafsu agung! Ya, berbekalkan darah muda, dulu gua gila lagi berani. Hampir semua ceruk ruang masa dan waktu gua raikan alternatif posisi keindahan cinta. Namakan saja, bilik tidur, ruang tamu, dapur, bathtub, shower, hari minggu di pejabat, overtime di pejabat, dalam kereta, luar kereta, atas kereta, public places quickie, tandas awam GSC haha, dan kenangan terindah, atas kanvas dilumuri acrylic bertaut dengan dua orang gadis serentak. Well, kononnya atas nama seni, tapi cukup istimewa. Dan sekarang, segalanya sudah menjadi mundane & repetitive, tiada lagi nafsu. Ada itu ada, tapi perlu disulami kreativiti, if you know what I mean. Perlu cuba apa-apa yang baru lagi menyegarkan, mungkin. Tapi apa pun, gua macam sudah jumpa nikmat baru gua iaitu, menulis! Dengan itu mungkin gua boleh tulis kembali rekasaya pengalaman-pengalaman ejakulasi maksima gua tadi. Walaupun sepatutnya gua nak tulis pasal falsafah (rujuk falsampah) di sini, well ya, why not gua suntik unsur-unsur erotis ke dalam penulisan falsafah gua?


Ridhwan Saidi

Fucker Sucker Lucker la~

Selalu orang kata dalam satah blogosfera, apa yang tertulis adalah alter-ego blogger tersebut. Tapi bagi gua, gua rasa ajaran itu sesat. Sebab bagi gua di ruangan sendat inilah diri gua yang sebenar bebas berekspresi. Jasad gua yang sedang menaip entri ini-lah alter-ego gua. Fucker sucker lucker la~ Mata gua tepat kat mata lu. Now, yeah yeah Freud dengan Id, Ego & Super-ego, Jung dengan Anima & Animus, Lacan dengan Ideal-ego & Ego-ideal. The bloody thing is, dunia realiti membosankan – bukan gua – lagi-lagi di tanah tumpah tercinta ini di mana masyarakat kita berfungsi seperti mesin. Telah diprogramkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti cemerlang, gemilang, terbilang. Ya ya, gua sepatutnya tak peduli pasal ini, tapi masalahnya, manusia-manusia ini mengganggu kehidupan gua. Diorang mahu gua jadi sama macam diorang, jadi mesin. Oleh itu tidak salah jika gua perkenalkan diri ‘sebenar’ gua. Gua sebenarnya tak biasa pakai ayat gua, ini semua gara-gara tak peduli punya pasal. Gua gadis dewasa muda androgyny, (see, perempuan guna kata ganti diri ‘gua’ lain macamkan?) seorang aseksual dan minat fesyen. Fesyen datang dan pergi, tapi gaya kekal selamanya, but still, fesyen itu seni dan seni itu kerja Tuhan bak kata P.Ramlee. Oh ye, dan jangan sesekali kita lupa, jasad mamat yang sedang menaip entri ini adalah Animus gua. Fucker sucker lucker la~


Ridhwan Saidi

Rabu, Ogos 06, 2008

Delusi, Ilusi dan Halusinasi

Pada 2004, saya telah dimasukkan ke ICU selepas suatu pembedahan usus. Saya tidak sedarkan diri selama seminggu kerana darah yang dimasukkan ke dalam badan saya tidak diterima badan saya. Seminggu di ICU saya berada di dalam keadaan koma.

Ketika di dalam koma, tekak saya berasa sangat haus. Kemudian muncul seorang jururawat, agak tua, berada di satu sudut ruang bilik saya. Ia datang pada saya, lalu saya pun berkata hendak minum air. Jururawat itu pergi ke penjuru tadi, dan datang kembali dengan segelas air suam. Disebabkan saya ini agak cerewet, saya minta jururawat itu air sejuk. Tanpa bersuara, jururawat itu pergi ke penjuru tadi dan datang kembali kepada saya dengan air sejuk. Saya pun meneguk ia dengan rasa puas. Kemudian keadaan kembali gelap.

Setelah seminggu di ICU, saya dimasukkan pula ke dalam wad. Pabila saya sedar, saya terus memanggil jururawat dan meminta air sejuk kerana tekak saya masih haus. Kemudian jururawat itu beritahu pada saya bahawa saya tidak boleh makan atau minum, hanya air yang dicucuk masuk pada kedua belah tangan saya. 3 hari pertama selepas saya sedar adalah hari yang terpanjang dalam hidup saya. Saya mula nampak perkara yang bukan-bukan, saya mula mendengar perkara yang bukan-bukan.

Di wad, langsir di tutup pada sebelah kiri dan depan saya pada malamnya, siangnya hanya sebelah kiri saya ditutup kerana silau cahaya matahari dari tingkap. Di sebelah kanan saya ada pintu dan tingkap cermin mengadap koridor. Antara yang tidak dapat saya lupakan adalah bayang-bayang dicelah langsir merangkak keluar dan membentuk tulisan-tulisan aneh. Katil saya semakin tinggi dan siling semakin rendah. Pada malamnya saya tidak mendapat kegelapan tidur, visual-visual aneh seperti montaj yang bercelaru dan bunyi-bunyi bising kacau malam saya. Ada budak perempuan melihat saya dari cermin sebelah kiri. Kadang-kadang seorang lelaki. Saya mendengar bunyi permainan video dari katil sebelah yang mana dilindungi langsir. Malah saya percaya dikatil sebelah ada televisyen dan PS2 waktu itu. Saya dengar bisikan-bisikan mengata saya dari katil depan. Semua ini bikin kacau dan celaru. Mujurlah saya seorang anti-sosial dan pendiam, saya tidak memberitahu perkara ini kepada keluarga, jururawat dan doktor. Mereka pasti anggap saya gila.

Sebulan saya di wad. 3 hari pertama adalah yang terpanjang. Kini saya sudah sihat. Filem telah membuatkan saya mengimbau kembali peristiwa itu. Ya, Meshes of the Afternoon (1943) oleh Maya Deren, kesannya kepada saya begitu mendalam, nostalgik. Ketika sihat ini, saya menilai kembali apa yang terjadi pada saya. Situasi satu di mana saya mendapat air sejuk adalah mimpi. Saya yakin dengan Sigmund Freud yang mana pabila kita tidak sedarkan diri dengan suatu perasaan yang membuak-buak, di sini rasa haus, mimpi akan muncul dan merealisasikan impian itu. Walaupun saya lorat inginkan air sejuk setelah diberi air suam. Situasi dua, di mana selama 3 hari saya melihat dan mendengar perkara yang bukan-bukan adalah disebabkan oleh dadah. Ia berbentuk ubat-ubatan yang dicucuk masuk ke tangan saya. Tetapi saya juga tidak menolak wujudnya keadaan paranormal. Situasi satu, mengikut Sigmund Freud, rasa haus yang membuak-buak akan direalisasikan oleh mimpi dengan air yang banyak, seperti minum satu sungai. Saya hanya mendapat segelas air. Situasi dua, saya koma di ICU kerana badan saya tidak dapat menerima darah penderma. Mungkin ketika saya sedar, darah ini pula menentang fikiran dan mentaliti saya. Saya tidak tahu ini darah siapa. Ianya berlaku di bawah sedar dan separa sedar.

Akhir sekali, filem-filem dan video-video yang berkisarkan dadah yang dapat membuatkan saya mengimbau kembali saat ini adalah bagus bagi saya. Videoklip Stone Roses adalah bagus. Filem Requiem for a Dream (2000) adalah bagus. Filem Trainspotting (1996) adalah bagus. Anak Halal (2007) oleh Osman Ali? Maaf ya, intepretasi beliau tentang khayal dan dadah dalam filem teruk. Apa yang saya lihat adalah lakonan dan kepuraan. Klimaks khayalan akan terjadi apabila jasad duduk diam, bernafas dengan konsisten, dan fikiran bawah sedar merewang. Dalam Anak Halal, penagih-penagih ini terumbang-ambing jalan terhuyung-hayang, menunjukkan mereka ini sedang khayal di depan kamera. Ini tidak ubah seperti penagih-penagih dalam drama bersiri Gerak Khas.


Ridhwan Saidi