Isnin, Julai 19, 2010

Inception dan Sinema Teka-teki

Filem Inception (2010) oleh Christopher Nolan ini bagi saya serupa tahap film Inglourious Basterds (2009) oleh Quentin Tarantino. Selaku auteur, ini werk yang mereka tapai bertahun-tahun lamanya – skrip diolah berkali-kali sehingga sempurna yang sekaligus menjadikannya bersifat peribadi (yang membuatkan filem-filem sebelum ini sebagai sesi latihan semata-mata). Keperibadian ini yang selalunya sukar diakses oleh audiens massa, tetapi dewasa ini, ia turut diraikan oleh warga umum.

Leonardo DiCaprio yang menerajui filem ini anehnya turut menerajui sebuah filem lain dari auteur Amerika dalam tahun yang sama iaitu Shutter Island (2010) oleh Martin Scorsese. Scorsese cuba patah balik kepada Hitchcock dan boleh kita simpulkan bahawa filem Shutter Island ini konservatif sifatnya, manakala mamat London si Nolan ini pula begitu progresif dengan Inception-nya.

Seperkara yang saya perasan, walaupun filem ini berkenaan mimpi dalam mimpi dalam mimpi dan seterusnya (tanpa dasar), tetapi kaitannya dengan realiti/dunia empirikal pelakon-pelakon utama dalam filem ini terpancar jelas. Dan inilah yang membuatkan filem ini menarik. Konteksnya open-ended. Lagu Non, Je Ne Regrette Rien oleh Edith Piaf yang dimainkan dalam filem ini bertaut (secara bawah sedar) dengan Marion Cotillard yang menerajui La Vie en Rose (2007). Ketika Mal mahu bunuh diri terjun daripada bangunan tinggi, dia ajak Cobb (DiCaprio) untuk terjun bersama, serius ini bertaut dengan filem Titanic – babak ‘you jump I jump’. Cuma kali ini DiCaprio tak terjun, lol. Kissing scene dalam filem ini juga antara yang paling comel pernah saya tengok. Mamat dan minah indie-flick Joseph Gordon-Levitt dan Ellen Page tiba-tiba bercumbu tanpa alasan yang kukuh di dalam filem surreal heist thriller ini, karakter serius yang mereka bawa dari mula tiba-tiba secara bawah sedar mengingatkan kita kepada filem ‘budak-budak’ seperti (500) Days of Summer (2009), Juno (2007) dll. lakonan mereka berdua. Nolan bermain dengan collective unconscious audiens, no kidding.

Syot pertama di mana Cobb terdampar di tepi pantai dalam air yang berombak sudah menyimpulkan filem ini tentang apa. Lautan adalah metafora kepada collective unconscious bak kata Carl Jung dan dalam filem ini ia terletak di lapisan ke-empat yang dipanggil limbo (kalau tak silap). Lapisan keempat ini juga saya rasa tidak boleh diambil secara literal, saya suspek struktur naratif filem Chistopher Nolan ini berteka-teki ibarat soalan IQ Mensa. Tapi dalam masa yang sama saya juga syak ia bukanlah satu teka-teki sebab si Nolan ini mamat British – yang secara stereotaip, selalunya lebih straight to the point (walau kompleks mana sekalipun – kalau nak dibandingkan dengan orang Melayu dengan Hikayat Merong Mahawangsa misalnya). Rasionalnya Nolan (dan pemikiran British) ini terbukti dengan pemilihan jalan ‘psikoanalisis’ dan bukannya jalan ‘sufi’ (yang ada empat tahap juga: syariat, tarikat, hakikat, makrifat) atau lain-lain yang lebih free.

Selain pemahaman kita terhadap mimpi, matematik, senibina, Maya Deren, David Lynch, Carl Jung, Sigmund Freud dll., pemahaman kita terhadap werk-werk terdahulu Christopher Nolan seperti Doodlebug (1997) dan Memento (2000) juga memekarkan apresiasi kita terhadap filem Inception ini. Kedua-dua filem yang saya sebut ini ada pertalian terus dengan Inception, bermain dengan thought & sense sekaligus. Senang kata kena fikir dan rasa serentak, ini paling berkesan dalam Memento (yang saya tonton dua hari lepas dalam gelap pakai projektor). 

Seperkara yang saya cukup berminat dengan Nolan adalah nilai kesenibinaannya dalam filem. Yang membezakan senibina (architecture) dengan cabang seni lain adalah betapa ia berdiri di antara seni dan sains, di antara skulptor dan kejuruteraan. Ini serius terpancar pada struktur naratifnya, ianya digarap seolah-olah ia seperti sebuah bangunan (bagi saya-lah). Malah kalau dilihat citarasa senibina di dalam filemnya, not bad bagi seorang Inggeris.

Ah ya mimpi Eames itu serius mengingatkan saya kepada permainan video PSX Metal Gear Solid oleh Hideo Kojima. Yang ini, saya tak tahu macam mana nak relate.


Ridhwan Saidi

p/s: Kalau nak layan mimpi/psikoanalisis dalam erti kata sebenar saya syorkan Meshes of the Afternoon (1943).