Memaparkan catatan dengan label Richard Meier. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Richard Meier. Papar semua catatan

Ahad, April 12, 2009

Bayang

“Senibina adalah permainan cahaya dan bayang” – Richard Meier

Ulasan ini lebih kepada tindakbalas serta respon terhadap sudut pandang ‘pengulas lain’ tentang Wayang (2008) oleh Hatta Azad Khan. Untuk filem ini, baru saya sedari bahawa ulasan adalah umpama satu bentuk kolektif sudut pandang. Dan dengan itu, saya cuba mengelak daripada menulis perkara yang serupa dengan orang lain. 

Di sini kononnya saya cuba terapkan konsep bayang dalam proses mengkritik. Umbra adalah realiti filem ini dalam filem, penumbra adalah paradigma subteks manakala antumbra adalah kaitan filem ini kepada realiti (dunia sebenar). Tahun lepas lama sebelum saya tonton ini filem, saya sudah keluarkan hipotesis awal. Kisah epik Sanskrit Hindu dalam wayang kulit itu akan bersentuhan dengan kehidupan realiti dalam filem. Seterusnya kisah kehidupan yang dipaparkan dalam filem akan bersentuhan dengan kehidupan realiti kita (audiens) di dunia sebenar. Ini apa yang saya jangkakan dan ya ia terbukti ada.

Namun satu perkara yang saya perasan, filem ini adalah sebuah melodrama dan bukannya paparan realisme sekolah André Bazin (sekurang-kurangnya bagi saya.) Jika Fadz merasakan bahawa runut bunyi filem ini menjelekkan, anehnya runut bunyi inilah yang berjaya membuatkan saya rasa bagai nak menangis (tapi hanya berlaku seketika diakhir-akhir waktu.) Selain itu, saya juga perasan beberapa situasi pelik. Bagi saya watak Awi adalah simbol modeniti serta pembaharuan yang cuba menggodam kekangan tradisi dengan memasukkan unsur gitar ke dalam persembahan wayang kulit. Awi punya visi, walau bagaimanapun ia dihalang keras oleh gurunya Awang Lah. 

“Cerita wayang kulit tu semua dari aku, kau menghafal je” – Awang Lah

“Kau nak lawan aku? Kau nak lawan tok gurumu?” – Awang Lah

Tapi anehnya semasa rombongan UiTM tiba di bengkel, Awang Lah tiba-tiba tunduk kepada kehendak modeniti. 

“Biasalah, anak murid memang lagi pandai dari tok guru” – Awang Lah

Bercakap soal ruang, dalam mempertahankan tradisi, sepatutnya ‘orang luar’ menyelinap masuk ke dalam dunia wayang kulit Awang Lah dan bukannya Awang Lah yang menyelinap masuk ke ‘dunia luar’. Oleh itu, ketika babak-babak ‘itu’ dipaparkan, ianya jadi kelakar. Tambah pelik, ‘orang luar’ ini berbahasa Inggeris dengan Awang Lah, di bengkel Awang Lah! Ini simbolik kepada jajahan imperialis bahasa bagi saya.

Sekali lagi, diakhir kisah, Awang Lah telah membeli sebuah kereta (simbol modeniti). Walaupun kereta ini bagi saya sensitif, sebagai simbol acuan atau ikut-ikutan, saya percaya dalam konteks filem ini ia tidak bersangkut-paut. Saya optimis Awang Lah redha dengan pembaharuan-pembaharuan yang bakal dilakukan oleh Awi. Tapi dalam masa yang sama, sebelum itu Awi telah dibelasah teruk kerana telah ‘ter’tidur bersama Melor di bengkel. Ini barangkali adalah satu amaran keras kepada pelajar-pelajar filem – di dunia sebenar – bahawa tidak salah untuk menuju ke arah modeniti selagi ia berlandaskan syariat Islam. Sungguh comel :-)


Ridhwan Saidi

Khamis, Ogos 14, 2008

Tekstur dalam Filem

Ketika saya kecil, saya percaya bahawa dunia ini hitam putih. Saya menonton Kala Malam Bulan Mengambang (2008) bersama teman wanita saya dan Jimmy di pawagam suatu ketika dulu. Saya tidak saja suka ke pawagam, saya pencinta filem, bukan kaki wayang, ada perbezaan di situ. Ada sesuatu yang telah Mamat Khalid lakukan berjaya menarik minat saya ke pawagam, ianya dibuat hitam putih. Sebelum ini saya hanya melihat kerja-kerja beliau di kaca televisyen waktu raya. Zombi Kampung Pisang (2007), Rock (2005) dan Man Laksa (2006) kecuali Lang Buana (2003) yang belum saya tontoni. Secara jujurnya, saya berasa janggal melihat ketiga-tiga filem ini. Ada benda yang bikin kacau, saya tidak dapat menikmati filem-filem ini secara menyeluruh. Saya dapat tangkap kritikan-kritikan sosial beliau, tapi ia kekurangan sesuatu, ataupun terlebih sesuatu. Saya mempunyai perasaan bahawa filem-filem ini jika dibuat hitam putih, ia lebih kena melihatkan reka set dan kerja cahaya beliau. Perkara ini paling menyerlah apabila saya menonton Zombi Kampung Pisang.

Saya pernah bereksperimen dengan video pornografi yang bagus dengan pencahayaan yang baik. Saya jadikannya hitam putih, kemudian level, brightness dan contrast dikawal. Dengan hanya membuang warna, ia menghasilkan aura filem yang begitu unporno. Alang-alang menyeluk pekasam, editing dilakukan dengan membuang mana-mana babak yang bosan, sedikit sentuhan slow motion diberikan, aksi-aksi disusun kembali. Maka dengan itu terhasillah sebuah karya erotika. Pornografi didekonstruk menjadi erotika.

Apabila filem dibuat hitam putih, ia menyerlahkan tekstur, yang biasanya dikaburi warna. Saya berani mengatakan ini kerana sebelum saya memasuki dunia perfileman secara serius (konon), saya berkecimpung dalam dunia fotografi (sekadar memahami konsep kamera SLR). Cuba bayangkan sekeping gambar bersama keluarga dan sanak saudara di hari raya. Dengan warna, mata menjadi penat dan keliru dengan hierarki warna baju-baju. Tidak tahu yang mana ingin difokus. Dengan hitam dan putih, warna baju-baju ini sudah tiada, tekstur mengambilalih. Mata akan fokus terhadap muka-muka tanpa campurtangan warna baju.

Jika garisan adalah titik yang sedang berjalan, maka filem adalah foto yang sedang berlari. Filem hitam putih yang bagus ibarat karya-karya aksitektur Richard Meier. Beliau seorang modenis, hanya menggunakan material putih pada bangunan. Kenapa? Kerana beliau membiarkan cahaya matahari mengecat ia dengan keredupan bayang. Ini memberikan kedalaman dan perspektif di dalam sesuatu ruang itu. Arkitek pasca-moden Santiago Calatrava juga banyak menggunakan warna putih. Saya tidak tahu mengapa.

Walau bagaimanapun filem berwarna juga dapat memberikan rasa tekstur, ini adalah di tahap yang lebih tinggi (dari segi teknikal) dan bukan calang-calang orang mampu melakukannya. Saya tidak pasti tentang kamu tapi, bagi saya Once Upon a Time in the West (1968) oleh Sergio Leone dan trilogi The Godfather oleh Francis Ford Coppola adalah contoh terbaik. Saya dapat rasai teksturnya (baik dari segi teknikal maupun emosi).

Francous Truffaut pernah rasa tidak puas hati dengan warna filem berwarna sulungnya, Fahrenheit 451 (1966). Ketika itu adalah peralihan zaman di mana dari filem hitam putih ke warna. Perasaannya mungkin sama seperti saya menonton Hang Tuah (1956), rasa janggal. Reka setnya terasa seperti mainan. Mereka yang leka dengan warna telah melupakan tekstur hitam putih. Kini kita berada di dalam era peralihan sekali lagi. Kali ini dari media filem ke digital. Steven Spielberg, M. Night Shyamalan, Oliver Stone, dan Paul Thomas Anderson telah bersumpah untuk menggunakan media filem hingga hujung nyawa. Apa pula akan terjadi bila generasi baru leka dengan teknologi digital? Apa jadi apabila keadaan menjadi terlalu mudah? Apa akan terjadi apabila seseorang merakam dengan kamera digitalnya perjalanan ke Pantai Timur mencari pelacur? Ini pelik, bikin kusut, Un Chien Andalou (1929) raja filem surreal pun tak sepelik ini.


Ridhwan Saidi