Memaparkan catatan dengan label Sani Sudin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sani Sudin. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 22, 2017

Reviu Teater di Sawah Padi: Muzika Uda dan Dara


Ia bermula dengan Utih (dan beberapa orang kampung) berlari dari hujung sawah yang gelap, menyalakan pelita-pelita yang terpacak di tengah sawah, satu demi satu persis filem Akira Kurosawa. Di pertengahan pementasan, pelita-pelita ini ada yang terpadam dan perlu dinyalakan semua. Analogi pelita ini menggambarkan perasaan saya terhadap keseluruhan pementasan ini. Api perlawanan yang mahu disimpulkan di hujung kisah, berbalam-balam dan tidak cergas. 

Pementasan ini berlangsung selama dua hari dan saya tonton di malam kedua, yang bertempat di Parit Dua Barat, Sungai Besar. Ia berlokasi di dalam petak sawah yang sudah dituai dengan batas sebagai raise platform natural.

Utih dan konco-konco Awang Bakhil
Saya senang menonton pementasan ini, dan perkara pertama yang kita sedar apabila duduk di situ ialah baunya. Ia ada bau yang nyaman. Dan watak Utih lakonan Ilham Sulaiman paling kuat di dalam pementasan ini. Melalui pementasan ini juga saya lebih memahami Utih (nama pena Krishen Jit sewaktu menulis reviu teater Talking Drama), seorang yang dianggap gila tetapi menjadi voice of reason buat audien. Watak ini paling bermain, baik dengan sawah, audien mahu pun sangkar ayam.

Ensembel pelakon-pelakon lain juga ada tarikannya. Sebagai contoh di dalam sekumpulan anak muda kaum tani yang teraniaya itu, ada seorang yang kelihatan persis hipster, atas faktor potongan kemeja, lipatan seluarnya, jambang dan air mukanya yang kelihatan bandar. Dalam masa sama, ada satu watak yang kelihatan sedikit tua (di dalam ensembel anak muda itu), di mana dengan raut wajahnya kita amat percaya dia benar-benar orang kampung. Juxtaposisi ini menarik, dan membuka pintu imaginasi saya: teks Uda dan Dara dengan komuniti petani hipster/rural hipster/hickster, yang cuba blend in dengan kehidupan non-bandar.

Pementasan ini ada semangat improvisasi, di mana pengarahannya tidak ketat dan santai. Sebagai contoh Sani Sudin ada masuk untuk tepung tawar/beri restu ketika Uda dan Dara sedang main kahwin-kahwin, begitu juga kameo dari Yassin Salleh yang turut memberi nasihat dan kata-kata semangat terhadap orang kampung, selain Dinsman sendiri yang menghentikan pementasan di awal kisah untuk membetulkan mikrofon Malim yang tidak berfungsi. Intrusion ini mengejutkan tapi menarik, sebab Dinsman sebagai pengarah sedang mendedahkan dirinya tanpa self-aware atau dengan alasan metafiksyen. Dinsman cuma nak betulkan mikrofon yang tak berbunyi.

Saidin Omar memetik gitar manakala Sani Sudin memetik ukelele secara improvisasi. Saya boleh nikmati tekstur yang diberi Sani Sudin, tetapi petikan gitar Saidin Omar pada saya terlalu mendominasi keseluruhan pementasan. Meski saya faham bunyi strumming ini nadi muzika ini, ia ada masa jadi monotonous. Ada seorang perempuan bermain gendang dan angklung yang saya rasakan menarik, kerana ia beri tekstur alternatif kepada bunyi gitar, tetapi tidak ada momen solo bagi instrumen tersebut kerana bunyi gitar sentiasa ada. Selain itu set cak lempong juga berpotensi untuk beri nuansa dan tekstur berbeza, tetapi ia hanya digunakan bila ada adegan yang melibatkannya.

Uda, Mak Uda dan orang kampung
Mulanya saya keliru kenapa watak Malim (lakonan Fairul Pujangga) ini sakit kaki dari mula. Saya sangka watak itu memang sakit kaki. Hanya selepas pementasan saya ketahui pelakon itu benar-benar cedera dan sakit kaki. Dan ini menarik kerana watak Malim ini yang akan (dengan bantuan dan seruan Utih) menaikkan semangat orang kampung untuk melawan idea kapitalisme dari kota. Ia menjadi offbeat apabila watak yang berkobar-kobar untuk menaikkan semangat masyarakatnya secara visual cedera. Dan ia bukan sekadar cedera, dari riak wajah Malim ini juga terserlah kesakitan yang dialaminya.

Dan adegan akhir apabila semua orang kampung mengaksikan bunga silat, ia menjadi terlalu kosmetik dan bersahaja. Kita dapat rasa adegan ini ada, kerana mengikut tertib skrip. Kemenjadian api perlawanan di adegan akhir ini tiada intensiti. Ensembel orang kampung seolah tidak meyakini perjuangan yang sedang mereka lakonkan. Maka kerana itu saya nyatakan bahawa semangat penutup pementasan ini berbalam-balam. Lampu dipadam dan sawah padi itu gelap.


Ridhwan Saidi
p/s: Dalam filem Dia Ibuku (1981) arahan Yassin Salleh, ada satu babak di mana Sarimah sedang duduk di dalam gelap, memandang ke arah cahaya subuh terbit, sebelum disertai keluarganya, yang saya rasakan amat kuat dan bermakna.

Isnin, Mac 02, 2009

Sembang Secangkir Kopi

Hulurkan padaku secawan kopi / Manisnya bergula kan realiti / Hulurkan padaku sekeping roti / Tapi jangan bermentega kan mimpi... - Sani Sudin

Pagi itu, jam tiga, saya keseorangan di restoran mamak. Di depan meja saya, dua pemuda tekun menatap skrin yang sedang rancak menayangkan perlawanan bola sepak. Di atas meja berdiri segelas kopi susu, milik salah seorang dari mereka. Yang seorang lagi saya tak tahu, terlindung di sebalik tubuh badan. Aneh, saya bertanya kepada diri sendiri, kenapa saya memesan teh panas, bukan kopi? Bukan ke kopi minuman kegemaran saya? Hmm...

Sudah la. Lupakan soal itu.

Mari lompat ke topik remeh yang mahu saya sembangkan ini. Ianya darihal kopi. Ada sesetengah orang yang berasa pelik melihat orang muda yang suka minum kopi. Sebab, mereka berpandangan yang minuman kopi ini minuman orang tua.

Saya sendiri, beberapa kali pernah ditegur secara pelik kerana memesan kopi. Ini terjadi sewaktu keluar minum-minum bersama beberapa kenalan. Misalnya, “uih, kau ni macam orang lama la...”

Atau, “woo..minum kopi siot!”

Takpun, “Huu...otai.”

(Tapi sejak serangan wabak Starbucks dan kopitiam, kebanyakan pemuda-pemudi di sini saya perasan, sudah mula menerima kopi kerana meminum kopi mahal dilihat sebagai sesuatu yang ranggi dan bergaya. Bull...)

Saya pelik mereka pelik. Padahal tabiat minum kopi sudah menjadi kebiasaan saya sejak kecil. Tak payah tunggu Starbucks atau kopitiam pun. Emak saya petang-petang selalu bikin kopi, selain dari minuman lainnnya. Saya pula hanya tahu minum kerana kopi itu rasanya sedap. Tua ke, muda ke, tak mahu mengantuk ke atau apa saja alasan, saya langsung tak tahu dan tak mahu ambil tahu.

Kopi yang emak saya buat kopi hitam pekat melikat. Jarang sungguh kopi yang bersusu. Kalau di kedai makan, kopi warna hitam ini orang panggil kopi ‘O’. Saya dulu pelik juga, bila minta kopi di restoran, yang sampai ke meja ialah kopi bersusu. Bukan sekadar rasa, tapi warnanya juga sudah jadi lain. Saya, jika kembali ke bab makan minum, maaf, akan bersikap fuckin’ ortodoks.

Tapi jika diamat-amati, saya kira kopi ‘O’ ini lebih menarik, bukan sekadar rasanya. Warna hitam pekat secara visual berfungsi menambah nilai berahi minuman ini. Hitam mengembalikan memori saya yang minuman kopi asalnya dari bijian kopi yang bewarna hitam. Tambahan pula aroma sejati wangian kopi hanya kekal jika tidak diganggu-gugat oleh susu. Hanya perlu serbuk kopi dan sedikit gula. Ia sudah jadi nikmat sejati. Uhh!

Sama juga dengan ruang bilik misalnya, tak cukup jika hanya berpintu dan bertingkap. Tapi, ia juga perlu dilengkap-hias dengan warna dinding, lampu, bingkai gambar, poster, tikar, kerusi, meja, gerobok atau apa saja termasuk rak dengan susunan buku-buku yang tak pernah habis dibaca biar nampak lebih ‘hidup.’

Ini kerana bagi saya makanan atau minuman bukan sekadar cukup dijamu oleh mulut, lidah dan hidung, tetapi juga oleh mata.

Jadi apa-apa idea tentang minuman kopi selain dari rasa, bau dan warna memang di luar lingkaran kenikmatan saya. Cuma tanggapan streotaip sesetengah manusia tentang kopi seakan memerangkap kenikmatannya ke dalam bentuk stigma.

Hal ini sekali lalu nampak remeh. Namun jika diteliti baik-baik, hal remeh ini sebenarnya berupa pantulan sikap masyarakat, selain kerajaan, dalam membentuk tanggapan dan tafsiran kita terhadap sesuatu perkara dalam kehidupan secara amnya. Konotasi positif/negatif, baik/buruk, OK/tak OK semua ini secara halus ditanam ke dalam benak akal fikir kita oleh ‘orang lain.’

Andainya kita sendiri sebagai individu tak bangkit untuk menyoal segalanya, individualiti kita semakin terhakis oleh dua unsur jahanam ini, masyarakat dan pemerintah. Sebab itu betapa perlunya kita sentiasa berada dalam paras kesedaran sebenar untuk terus selesa dan bahagia dengan ruang peribadi kita sendiri sebagaimana bahagianya saya menyumbat telinga saya dengan alunan Black Metal ataupun Mozart, tanpa was-was. Biar kita sendiri yang bingkas membangun persona diri mengikut acuan hati dan fikiran sendiri. Diikuti dengan sikap saling hormat-menghormati sesama kita.

Dalam kes saya, saya sebagai individu berasa seperti terperangkap dengan stigma ‘kopi untuk orang dewasa’ atau ‘tua.’ Mereka, beberapa rakan saya ini seakan memberikan saya kata dua. Padahal sebelum kenal mereka saya begitu bahagia meneguk kopi dengan merdeka dan tanpa perlu dituduh sebagai ‘tua.’ Betapa malangnya nasib berjumpa mereka ini!

Untuk saya, minuman atau makanan tak seharusnya dimasukkan ke dalam perangkap jantina, usia, bangsa, kefahaman atau apa sekalipun. Begitu juga dengan semua elemen-elemen asas dalam kehidupan seperti pegangan kepercayaan, pilihan pasangan, cara berpakaian atau cara hidup peribadi seseorang.

Oh, bercakap tentang kopi juga mengingatkan saya kepada nenek saya. Beliau bagi saya adalah pembuat kopi terbaik di dunia yang pernah saya rasa. Memang pekat dan likat secukup rasa. Kopi buat sendiri pula tu. D.I.Y. Apa kata orang tu, kopi punk rock?

Tak main la kopi peket-peket ni. Kapitalis! Haha!

Caranya sikit lebih kurang; biji kopi yang sudah dijemur dengan cukup tempoh, akan dikisar halus lalu digoreng sekali dengan mentega. Hasilnya, keaslian kopi yang tiada tara. Rahsia sebenarnya hanya dia seorang saja yang tahu. Hehe..

Tapi orang tua ini sudah tak buat lagi dah. Sudah uzur. Baru-baru ini dia beritahu saya, “umur tok hari tu dah 100. Sekarang entah tak tahu pulak dah seratus berapa agaknya.” Diikuti dengan ketawa kecil.

Hmm..betul ke tak, layankan saja. Asalkan dia sihat dan bahagia.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: BTW, saya tak anti Starbucks & kopitiam :)