Selasa, Ogos 22, 2017

Reviu Teater di Sawah Padi: Muzika Uda dan Dara


Ia bermula dengan Utih (dan beberapa orang kampung) berlari dari hujung sawah yang gelap, menyalakan pelita-pelita yang terpacak di tengah sawah, satu demi satu persis filem Akira Kurosawa. Di pertengahan pementasan, pelita-pelita ini ada yang terpadam dan perlu dinyalakan semua. Analogi pelita ini menggambarkan perasaan saya terhadap keseluruhan pementasan ini. Api perlawanan yang mahu disimpulkan di hujung kisah, berbalam-balam dan tidak cergas. 

Pementasan ini berlangsung selama dua hari dan saya tonton di malam kedua, yang bertempat di Parit Dua Barat, Sungai Besar. Ia berlokasi di dalam petak sawah yang sudah dituai dengan batas sebagai raise platform natural.

Utih dan konco-konco Awang Bakhil
Saya senang menonton pementasan ini, dan perkara pertama yang kita sedar apabila duduk di situ ialah baunya. Ia ada bau yang nyaman. Dan watak Utih lakonan Ilham Sulaiman paling kuat di dalam pementasan ini. Melalui pementasan ini juga saya lebih memahami Utih (nama pena Krishen Jit sewaktu menulis reviu teater Talking Drama), seorang yang dianggap gila tetapi menjadi voice of reason buat audien. Watak ini paling bermain, baik dengan sawah, audien mahu pun sangkar ayam.

Ensembel pelakon-pelakon lain juga ada tarikannya. Sebagai contoh di dalam sekumpulan anak muda kaum tani yang teraniaya itu, ada seorang yang kelihatan persis hipster, atas faktor potongan kemeja, lipatan seluarnya, jambang dan air mukanya yang kelihatan bandar. Dalam masa sama, ada satu watak yang kelihatan sedikit tua (di dalam ensembel anak muda itu), di mana dengan raut wajahnya kita amat percaya dia benar-benar orang kampung. Juxtaposisi ini menarik, dan membuka pintu imaginasi saya: teks Uda dan Dara dengan komuniti petani hipster/rural hipster/hickster, yang cuba blend in dengan kehidupan non-bandar.

Pementasan ini ada semangat improvisasi, di mana pengarahannya tidak ketat dan santai. Sebagai contoh Sani Sudin ada masuk untuk tepung tawar/beri restu ketika Uda dan Dara sedang main kahwin-kahwin, begitu juga kameo dari Yassin Salleh yang turut memberi nasihat dan kata-kata semangat terhadap orang kampung, selain Dinsman sendiri yang menghentikan pementasan di awal kisah untuk membetulkan mikrofon Malim yang tidak berfungsi. Intrusion ini mengejutkan tapi menarik, sebab Dinsman sebagai pengarah sedang mendedahkan dirinya tanpa self-aware atau dengan alasan metafiksyen. Dinsman cuma nak betulkan mikrofon yang tak berbunyi.

Saidin Omar memetik gitar manakala Sani Sudin memetik ukelele secara improvisasi. Saya boleh nikmati tekstur yang diberi Sani Sudin, tetapi petikan gitar Saidin Omar pada saya terlalu mendominasi keseluruhan pementasan. Meski saya faham bunyi strumming ini nadi muzika ini, ia ada masa jadi monotonous. Ada seorang perempuan bermain gendang dan angklung yang saya rasakan menarik, kerana ia beri tekstur alternatif kepada bunyi gitar, tetapi tidak ada momen solo bagi instrumen tersebut kerana bunyi gitar sentiasa ada. Selain itu set cak lempong juga berpotensi untuk beri nuansa dan tekstur berbeza, tetapi ia hanya digunakan bila ada adegan yang melibatkannya.

Uda, Mak Uda dan orang kampung
Mulanya saya keliru kenapa watak Malim (lakonan Fairul Pujangga) ini sakit kaki dari mula. Saya sangka watak itu memang sakit kaki. Hanya selepas pementasan saya ketahui pelakon itu benar-benar cedera dan sakit kaki. Dan ini menarik kerana watak Malim ini yang akan (dengan bantuan dan seruan Utih) menaikkan semangat orang kampung untuk melawan idea kapitalisme dari kota. Ia menjadi offbeat apabila watak yang berkobar-kobar untuk menaikkan semangat masyarakatnya secara visual cedera. Dan ia bukan sekadar cedera, dari riak wajah Malim ini juga terserlah kesakitan yang dialaminya.

Dan adegan akhir apabila semua orang kampung mengaksikan bunga silat, ia menjadi terlalu kosmetik dan bersahaja. Kita dapat rasa adegan ini ada, kerana mengikut tertib skrip. Kemenjadian api perlawanan di adegan akhir ini tiada intensiti. Ensembel orang kampung seolah tidak meyakini perjuangan yang sedang mereka lakonkan. Maka kerana itu saya nyatakan bahawa semangat penutup pementasan ini berbalam-balam. Lampu dipadam dan sawah padi itu gelap.


Ridhwan Saidi
p/s: Dalam filem Dia Ibuku (1981) arahan Yassin Salleh, ada satu babak di mana Sarimah sedang duduk di dalam gelap, memandang ke arah cahaya subuh terbit, sebelum disertai keluarganya, yang saya rasakan amat kuat dan bermakna.