I
Filem biasa dibandingkan dengan teater dan saya boleh faham kenapa. Bila seseorang kata The Third Man (1949) bagus, saya boleh tonton filem itu sepertimana orang tadi tonton. Mungkin kualiti ruang dan medium sedikit berbeza, misalnya orang itu tonton dengan projeksi 35mm di panggung, dan saya tonton versi bluray dengan tivi di rumah. Bentuk, imej dan bunyinya tetap serupa dan perbincangan dua hala boleh berlaku. Kami masih boleh merujuk babak-babak tertentu, atau syot-syot tertentu sebagai asas hujah. Tetapi ini tidak boleh berlaku dengan teater. Teater tidak ada elemen rakaman, ia langsung dan semasa.
Misalnya saya pernah tanya Amir Muhammad teater lokal kegemarannya, dan yang disebut kalau teater Melayu ialah Tanah Bernanah oleh Aminah Rhapor (yang sewaktu itu teks ini turut dilakonkan Hamzah Tahir). Selepas mengetahui ini, saya tidak lagi boleh akses atau mengalami persembahan ini (selain membaca teksnya jika ada atau menonton rendisi pementasan terbaru). Andai kata pementasan ini ada dirakam dan boleh ditonton melalui vcd, ia membantu. Walau bagaimanapun ia masih bukan pengalaman yang sama kerana bentuknya sudah berubah—ia bukan lagi teater (meski ia membuka ruang sebagai bahan dokumentasi, untuk saya intip ke masa lalu). Selain video, reviu dan foto juga membantu sedikit sebanyak untuk saya merapati pementasan tersebut. Di sini, apabila saya berhadapan dengan pementasan yang saya tidak tengok, saya tidak boleh berbincang sangat, saya cuma boleh bertanya dengan sosok tersebut pengalamannya menonton pementasan tersebut. Saya perlu memposisikan diri saya sebagai seorang pendengar.
II
Selepas saya baca buku Towards a poor theatre (1968) oleh Grotowski, antara yang paling lekat dengan saya bukan kata-katanya tetapi foto-foto selingan yang terdapat di dalam buku tersebut. Saya nampak meja panjang, katil dua tingkat, proses dan tubuh. Elemen teatrikal dalam bidang fesyen juga menarik untuk diperhatikan kerana ia dirakam dengan penuh gaya. Pertunjukan fesyen Alexander McQueen misalnya, ada imej-imej yang kuat atas faktor ini. Ia dirakam seperti ia sebuah filem atau video muzik. Cat kereta menyembur gaun dan tubuh, akuarium di dalam akuarium yang pecah, wajah-wajah Bjork. Tidak lagi pada kadar paling fakir, ia menjurus ke arah kekayaan. Kali ini pertunjukan dan persembahan ini didesain untuk memenuhi kedua-dua medium, bahawa ia kuat dipersembahkan secara langsung persis teater, dan ia juga kuat dipersembahkan di dalam medium video seperti filem.
Poin saya di sini, bukan untuk melagakan atau beri kontras via kedua medium teater dan filem ini, sebaliknya ia boleh berkesan sebagai output yang kita sudah peka kekuatan mediumnya. Dan di sini sebagai produser (melalui buku Grotowski yang membahasakan dirinya sebagai produser, ia membuka keterbukaan saya untuk memakai istilah ini, bahawa seorang produser tak terhad sekadar memikirkan soal duit atau menterjemahkan soal jualan tiket—seorang produser menggerakkan Proses) saya percaya waktu legar di luar Pementasan juga penting. Proses dan dokumentasi sebelum dan selepas pementasan perlu disusun secara bergaya dengan teks, foto dan video. Dan ini secara fakirnya berkesan dengan zine, blog dan interviu (saya tidak gemarkan istilah ‘buku program’ sebab ia kedengaran mewah). Material-material ini akan membuka jendela kepada generasi atau kehidupan di masa hadapan.
III
Seperkara menarik tentang dinamik teater dan filem ini, kedua-duanya memerlukan audien menunggu di ruang lobi sebelum masuk ke ruang pementasan/tayangan. Ia biasanya ruang di mana tiket dibeli atau diambil (jika ia bertiket), dan audien perlu tunggu atau beratur sebelum masuk ke dalam (tidak secara literal ke dalam ruang tertutup, tetapi ke dalam karya itu sendiri). Ruang lobi ini limbo. Dalam momen ini ia terapung di antara domain arsitektural dan teatrikal. Ia bukan set pementasan tetapi ia sebahagian dari pengalaman audien tersebut dalam menikmati pementasan. Audien melalui ruang ini sebelum dan selepas show. Dan ruang ini tidak secara zahir spatial. Penantian dan persembahan ini boleh berlaku di atas spot yang sama, e.g.: LiteraTur, kerja-kerja happening, site-specific, wayang pacak dan seumpamanya.
“All the world’s a stage,” kata Shakespeare. Macam mana kalau stage itu sebenarnya afterlife? Dan dunia yang kita diami ini sebuah ruang lobi yang besar. Kita bukan lagi para pemain dan pelakon, tetapi sebagai Audien yang menunggu.