Jumaat, Ogos 25, 2017

Reviu Teater L5-7-44

(Reviu ini mengandungi spoiler kerana pementasan ini memerlukan rahsia sebagai kejutan di dalam naratifnya. Walau bagaimanapun oleh kerana pementasan ini sudah berakhir, apa barang spoiler?)

Audien perlu berselisih dengan satu sosok hitam untuk masuk ke dalam auditorium lalu disambut empat manusia robotik bernama 1, 2, 3 dan 4. Satu lagi karakter (Anrie Too) terpancar di skrin mengucapkan selamat datang, selain memberitahu info umum. Kita sedang berada di Kementerian Kehidupan.

Ia ada nuansa science fiction, persis masuk galeri interaktif muzium, tetapi teknologi canggih yang kita hadapi kali ini berupa manusia, dan kerana itu ia teater. Audien perlu menunggu buat beberapa ketika sebelum sosok hitam di luar pintu tadi masuk ke dalam.

Rendisi sosok hitam oleh Syaffiq Hambali ini lebih mendekati drama Elizabethan, di mana ia berlegar-legar di ruang auditorium dan hanya melakukan hal-hal movement-based. Sosok hitam ini Kematian (Pada mulanya saya sangkakan sosok hitam ini Kemurungan dan kita sedang berada di dalam kepala Christopher Ling, tetapi sangkaan ini meleset dan menjadi semakin literal). Situasi ini buat saya terfikir: jika Kematian ini diselarikan dengan nuansa saifai dan futuristik tadi, Kematian ini boleh jadi server, atau internet, atau superkomputer atau sesuatu, dan bukan Kematian sebagai sosok hitam dengan wajah bengis.

Tema kematian ini juga menjadikan ia site-specific, in a way ia cuba bertindakbalas dengan semangat bangunan itu. Saya pernah beberapa kali ke Wisma MCA dan saya yakin secara umum, kepercayaan terhadap nombor 8 sebagai kaya masih kuat, dan nombor 4 itu taboo kerana ia bermaksud mati. Dan kerana itu teater ini berjudul L5-7-44, dengan 44 sebagai nombor hujung yang bermaksud mati mati (dalam konteks ini). Christopher Ling bukan seorang yang superstitious, tidak macam saya.

Manusia robotik 1, 2, 3 dan 4 ini berkumpul setempat dan bercakap sesuatu. Ia persis Kraftwerk tetapi tidak sepenuhnya robotik. Masih ada emosi manusia di dalam olahan empat orang performer ini: Andy Poon, Mia Sabrina Mahadir, Ping Khoo dan Zulhusni Zamir. Ia bukan masalah besar bagi saya sebab bentuk muka dan struktur tubuh orang Asia tidak setajam dan selurus bentuk muka orang Jerman untuk bawa attitude robot ini. Gesture Ping Khoo paling menjadi, tetapi bukan ke arah Kraftwerk, tetapi lebih mendekati android buatan Jepun.

Selain robot, performer-performer ini turut melakukan gerakan, monolog dan sedikit dialog via watak yang menyerupai audien (bernombor unik) dan bukan lagi dalam bentuk robot. Teks pementasan ini ditulis oleh Yasmin Bathamanathan.

Sewaktu keempat-empat performer ini menyampaikan monolog, saya tidak pasti jika ia berskrip, sebab ia beri impresi seperti performer ini hanya diberi instruction, dan mereka cuma bertindakbalas dengan instruction itu. Instruction itu berbunyi lebih kurang: ceritakan pasal orang yang paling kamu sayang atau cinta pertama kamu, sesuatu seperti itu (untuk establish bahawa mereka ada merindukan seseorang di dimensi lain—mereka yang masih hidup?). Dan sewaktu monolog ini berlangsung secara serentak, tiga bahasa digunakan iaitu Inggeris, Melayu dan Mandarin, tetapi sewaktu sesi saya, ramai audien berlonggok di Zulhusni Zamir. Saya tidak pasti adakah ia kerana performance itu, atau kejelasan suara atau cerita atau atas faktor bahasa semata? Dari situasi ini—maafkan saya sebab superstitious—ia memberi gambaran seolah di luar sana teater Melayu tengah in.

Sesetengah audien dipanggil nombor mereka dan diberitahu cara mereka mati (sebelum perlu tandatangan kontrak). Tidak lama selepas itu dinyatakan bahawa kita semua yang berada di ruang itu telah mati di dalam sebuah kemalangan bas. Ini membuatkan saya boleh relate kembali dari mana gesture robot itu datang, iaitu dari mesin jual tiket bas di TBS atau Pudu Sentral yang canggih dan dalam masa sama serabut. Teater ini immersive dalam erti kata kita semua yang berada di pentas auditorium itu, hakikatnya sudah mati.

Walau bagaimanapun ruang kematian ini bukan limbo, kerana tiada dunia lain selepas itu. Tiada syurga atau neraka dijanjikan, dan ruang itu bukan ruang transit persis padang mahsyar. Ruang itu sendiri merupakan kematian/jalan mati, di mana ia gelap dan berasap (mendekati kepercayaan orang Mesir kuno) sementara ada sesetengah karakter cuba untuk berhubung kembali dengan mereka yang hidup.

Ada satu momen di mana keseluruhan auditorium itu gelap gelita, dan lampu ‘keluar’ di atas pintu auditorium satu-satunya yang bernyala: UBBL, 1984 klausa 172. Saya suka momen ini, meski saya tak rasa mahu keluar sebab saya sudah bayar tiket untuk berada di dalam.

Ada juga momen di mana kedua karakter Andy dan Zulhusni berebut ruang untuk mendapat talian telepati(?) terbaik. Ia persis mereka berebut signal wifi untuk berhubung dengan mereka yang masih hidup. Tetapi sekali lagi ia jadi non-saifai apabila Andy ini ingin mengirimkan surat fizikalnya (bukan emel etc.) dengan meminta tolong kepada audien. Andy malah ingin keluar dari auditorium itu tetapi dihalang sosok hitam Kematian. Dalam keadaan terdesak ini, Andy perlu mengorbankan teknologi apabila ia tidak lagi berkesan.

Sebelum pementasan tamat, signal tivi tanpa siaran terpancar pada projektor, diikuti kata-kata wajah di skrin. Sesuatu berlaku di mana audien disuruh keluar. Ia pada momen ini saya merasakan ia jadi janggal dan semberono. Ia terasa seperti waktu sudah cukup dan maka audien perlu keluar untuk tamatkan persembahan. Audien yang di-establish sebagai mati tiba-tiba perlu keluar untuk hidup kembali. Tiada logik yang buat kita faham kenapa audien perlu keluar.

Misalnya jika ia ruang transit, kita boleh terima alasan bahawa: neraka dan syurga sudah penuh. Atau jika mengikut kepercayaan orang Mesir kuno: kematian itu gangguan sementara, kerana roh akan kembali masuk ke dalam tubuh lain untuk hidup. Alasan-alasan ini mewajarkan audien untuk faham kenapa akhirnya mereka kena keluar dari ruang kematian tersebut. Dalam kes L5-7-44 ini, tiada sebab lain selain masa pementasan sudah cukup. Saya tak berkesempatan menunggu.


Ridhwan Saidi