Pada 2004, saya telah dimasukkan ke ICU selepas suatu pembedahan usus. Saya tidak sedarkan diri selama seminggu kerana darah yang dimasukkan ke dalam badan saya tidak diterima badan saya. Seminggu di ICU saya berada di dalam keadaan koma.
Ketika di dalam koma, tekak saya berasa sangat haus. Kemudian muncul seorang jururawat, agak tua, berada di satu sudut ruang bilik saya. Ia datang pada saya, lalu saya pun berkata hendak minum air. Jururawat itu pergi ke penjuru tadi, dan datang kembali dengan segelas air suam. Disebabkan saya ini agak cerewet, saya minta jururawat itu air sejuk. Tanpa bersuara, jururawat itu pergi ke penjuru tadi dan datang kembali kepada saya dengan air sejuk. Saya pun meneguk ia dengan rasa puas. Kemudian keadaan kembali gelap.
Setelah seminggu di ICU, saya dimasukkan pula ke dalam wad. Pabila saya sedar, saya terus memanggil jururawat dan meminta air sejuk kerana tekak saya masih haus. Kemudian jururawat itu beritahu pada saya bahawa saya tidak boleh makan atau minum, hanya air yang dicucuk masuk pada kedua belah tangan saya. 3 hari pertama selepas saya sedar adalah hari yang terpanjang dalam hidup saya. Saya mula nampak perkara yang bukan-bukan, saya mula mendengar perkara yang bukan-bukan.
Di wad, langsir di tutup pada sebelah kiri dan depan saya pada malamnya, siangnya hanya sebelah kiri saya ditutup kerana silau cahaya matahari dari tingkap. Di sebelah kanan saya ada pintu dan tingkap cermin mengadap koridor. Antara yang tidak dapat saya lupakan adalah bayang-bayang dicelah langsir merangkak keluar dan membentuk tulisan-tulisan aneh. Katil saya semakin tinggi dan siling semakin rendah. Pada malamnya saya tidak mendapat kegelapan tidur, visual-visual aneh seperti montaj yang bercelaru dan bunyi-bunyi bising kacau malam saya. Ada budak perempuan melihat saya dari cermin sebelah kiri. Kadang-kadang seorang lelaki. Saya mendengar bunyi permainan video dari katil sebelah yang mana dilindungi langsir. Malah saya percaya dikatil sebelah ada televisyen dan PS2 waktu itu. Saya dengar bisikan-bisikan mengata saya dari katil depan. Semua ini bikin kacau dan celaru. Mujurlah saya seorang anti-sosial dan pendiam, saya tidak memberitahu perkara ini kepada keluarga, jururawat dan doktor. Mereka pasti anggap saya gila.
Sebulan saya di wad. 3 hari pertama adalah yang terpanjang. Kini saya sudah sihat. Filem telah membuatkan saya mengimbau kembali peristiwa itu. Ya, Meshes of the Afternoon (1943) oleh Maya Deren, kesannya kepada saya begitu mendalam, nostalgik. Ketika sihat ini, saya menilai kembali apa yang terjadi pada saya. Situasi satu di mana saya mendapat air sejuk adalah mimpi. Saya yakin dengan Sigmund Freud yang mana pabila kita tidak sedarkan diri dengan suatu perasaan yang membuak-buak, di sini rasa haus, mimpi akan muncul dan merealisasikan impian itu. Walaupun saya lorat inginkan air sejuk setelah diberi air suam. Situasi dua, di mana selama 3 hari saya melihat dan mendengar perkara yang bukan-bukan adalah disebabkan oleh dadah. Ia berbentuk ubat-ubatan yang dicucuk masuk ke tangan saya. Tetapi saya juga tidak menolak wujudnya keadaan paranormal. Situasi satu, mengikut Sigmund Freud, rasa haus yang membuak-buak akan direalisasikan oleh mimpi dengan air yang banyak, seperti minum satu sungai. Saya hanya mendapat segelas air. Situasi dua, saya koma di ICU kerana badan saya tidak dapat menerima darah penderma. Mungkin ketika saya sedar, darah ini pula menentang fikiran dan mentaliti saya. Saya tidak tahu ini darah siapa. Ianya berlaku di bawah sedar dan separa sedar.
Akhir sekali, filem-filem dan video-video yang berkisarkan dadah yang dapat membuatkan saya mengimbau kembali saat ini adalah bagus bagi saya. Videoklip Stone Roses adalah bagus. Filem Requiem for a Dream (2000) adalah bagus. Filem Trainspotting (1996) adalah bagus. Anak Halal (2007) oleh Osman Ali? Maaf ya, intepretasi beliau tentang khayal dan dadah dalam filem teruk. Apa yang saya lihat adalah lakonan dan kepuraan. Klimaks khayalan akan terjadi apabila jasad duduk diam, bernafas dengan konsisten, dan fikiran bawah sedar merewang. Dalam Anak Halal, penagih-penagih ini terumbang-ambing jalan terhuyung-hayang, menunjukkan mereka ini sedang khayal di depan kamera. Ini tidak ubah seperti penagih-penagih dalam drama bersiri Gerak Khas.
Ridhwan Saidi