Selasa, Ogos 05, 2008

Atas Nama Seni

Apa itu seni? Begitu mudah orang kita melaungkannya. Saya anak seni. T-shirt ini seni. Pendidikan seni. Apa itu seni?

Saya begitu takut untuk menggunakan ayat seni. Saya rasa saya masih mentah untuk mentafsirkan apa itu seni. Ketika saya kerja di Brickfields, yang mana tingkat atasnya adalah sebuah galeri. Saya selalu melihat objek-objek dan lukisan-lukisan serta foto-foto yang dipanggil seni ini. Kadang-kadang ada tan sri-tan sri yang datang dan berbincang membeli objek bernama seni ini. Hampir sekali setiap minggu pasti diadakan parti pada malamnya kononnya untuk membincangkan hal-hal seni. Apa yang saya nampak hanyalah golongan elit bergembira dilatari tawa ngilai mereka yang aneh bunyinya.

Di suatu petang, ketika saya keseorangan, saya naik ke galeri yang pada waktu itu mempamerkan foto-foto Penjara Pudu. Penjaga-penjaga galeri selalu berpesan pada saya yang mereka selalu rasa seram sejuk bila berada di ruang galeri itu. Perkara ini tidak pula terjadi pada saya. Melihat foto-foto dinding penjara yang dilakari pelbagai coretan, ukiran, lukisan, puisi, dan bait-bait lagu membuatkan saya merasai perasaan sebagai seorang banduan. Yang paling membuat saya rasa kagum adalah ukiran seekor kuda bersayap pada dinding sel penjara, yang pastinya membawa maksud kebebasan. Rasa kagum ini bukan pada si jurufoto tetapi kepada si banduan yang mengukirnya. Terlihat di sudut bawah tertulis dengan pensel harga 4 angka. Saya menjadi hairan, entiti yang bernama seni ini dijual beli.

Aneh melihat karenah golongan elit ini saya pulang menaiki bas dan singgah ke Central Market mencuci mata. Kebetulan ada suatu acara, keadaan sesak seperti pasar basah. Menjual t-shirt atas nama seni sudah biasa bagi saya, tapi kali ini ada sesuatu yang baru. Ada sekumpulan gadis-2 peramah sedang menjual bahan-2 terpakai yang diinovasikan menjadi sesuatu objek seni katanya. Antara objek yang memikat diri saya adalah sebuah lampu meja menggunakan botol-botol plastik. Melihat botol-2 plastik itu, timbul rasa curiga dan syak wasangka. Ianya kelihatan sempurna dan bersih, saya tidak rasa botol-botol ini dikutip di jalanan. Saya menjadi keliru, benda yang bernama seni ini dijual beli.

Dari CM terus saya meneruskan perjalanan pulang ke bilik di hadapan Putrajaya eh Puduraya. Hari sudah gelap, tekak haus dan saya membeli air di tepi jalan. Di belakang restoran Biru, kelihatan suatu entiti membelek-belek longgokan sampah di atas jalan raya. Saya melihat dengan teliti dan mendapati entiti itu sedang mencari botol untuk dikitar semula. Pada fikiran saya, entiti ini lah seni yang saya cari-cari. Walau bagaimanapun saya meneruskan perjalanan kerana tiada logik untuk saya menegur entiti itu. Tiba-tiba saya terhenti. Baru saya sedari bahawa saya sedang memegang bekas plastik air yang kosong. Saya berhenti agak lama. Patutkah saya patah balik dan berikan bekas plastik ini kepada entiti itu, atau patutkah saya teruskan perjalanan pulang. Perasaan ini sama seperti ketika saya membeli roti Gardenia di kedai runcit. Patutkah saya membiarkan perkerja itu masukkan roti saya ke dalam plastik, atau patutkah saya menghalang perkerja itu dari memberikan saya plastik. Atas gerak hati, saya pun patah balik berjumpa entiti itu dan mengulurkan bekas air plastik saya. Entiti itu berupa seorang lelaki yang memakai topi dan pakaian yang diperbuat daripada plastik seakan-akan baju hujan tapi d.i.y.

Sampai di bilik saya cuba mempersoalkan seni. Adakah yang dijual beli itu seni, atau lelaki berbaju plastik itu seni?

Mengikut fikiran dan perasaan saya, lelaki berbaju plastik itu seni. Beliau mencari botol-botol plastik untuk dikitar semula dan mendapatkan sedikit wang untuk makan dan minum. Kais pagi makan pagi, kais petang minum petang. Beliau menggunakan plastik sebagai pakaian kerana plastik akan terurai dalam masa 400-500 tahun. Ini adalah suatu tindakan bijak melihatkan keadaan ekonomi beliau. Jika betul fikiran dan perasaan saya ini, maka saya adalah seorang pencinta seni.

Akan tetapi, realitinya objek-objek yang dijual beli itu dianggap seni dan lelaki berbaju plastik itu dianggap gila. Jika seni ini yang diterima masyarakat, maka oleh itu saya menentang seni. Saya adalah seorang anti-seni. Saya akan menyerang seni, dan di sini-lah datangnya peranan filem. Lukisan, fotografi, ukiran, skulptur, t-shirt dan lain-2 seni yang berjasad boleh disalahguna dan dijual beli oleh tan sri-tan sri dan golongan muda-mudi. Tetapi filem tidak, ia berlindung di sebalik idea dan konsep. Yang dijual itu adalah kos CD atau DVD bukan filem. Jika DVD itu mahal, tidak perlu beli, download dari internet. Jika DVD itu mahal dan tiada di internet, beli yang cetak rompak dan upload ke internet. Sekian.


Ridhwan Saidi