Saya tidak mampu menikmati benda-benda yang tidak bagus. Ianya seperti cuba menikmati keharuman setompok tahi ayam. Saya tidak mampu menikmati keharuman tahi ayam. Saya hanya mampu menghidu kebusukan tahi ayam itu sahaja atau keenakan daging ayam itu (tapi apapun nikmat itu adalah rasa yang subjektif). Sebenarnya yang saya ingin katakan ialah saya telah menikmati kebagusan filem Perempuan, Isteri & Jalang.
Saya telah beberapa kali menonton filem Perempuan, Isteri & Jalang, kerja tangan U-Weii Haji Shaari itu. Pengulangan terhadap tontonan itu telah memberikan saya pemahaman yang lebih dan sekaligus memberikan saya lebih nikmat menonton filem tersebut.
Semasa saya menonton filem itu untuk yang kali keempat mungkin, saya telah menyedari satu perkara yang mengagumkan saya. Babak-babak di mana waktu si Amir menukar tayar pancitnya di dalam hujan, Zaleha & si Tapa pula bercengkarama di kebun getah. Imej si Amir memutar pembuka tayarnya diselang-selikan dengan adengan Zaleha & si Tapa berputar-putar berpelukan di tanah basah. Semakin ketat tayar baru dipasang, semakin erat pula pelukan dan adengan intim mereka. Akhirnya tayar dipasang ketat dan imej susu getah cair ditunjukkan.
Saya bangga untuk menyatakan itu adalah interpretasi montaj intelektual terbaik pernah saya lihat di dalam mana-mana filem seingat saya (walaupun itu mungkin menunjukkan saya masih banyak filem untuk ditonton). Saya bangga saya melihatnya dalam filem berbahasa Melayu,yang menceritakan kisah kecil masyarakat kita, walaupun saya jauh lebih banyak menonton filem asing. Agak ironi di situ.
Hujan telah memberikan tona rasa kesusahan/kerumitan & nafsu ghairah dalam adegan ini. Kesejukan hujan membangkitkan keinginan Zaleha & si Tapa. Bagi si Amir pula, hujan adalah petanda buruk dan merumitkan usahanya menukar tayar. Tayar pancit itu pun bagi saya sebenarnya adalah pra-malang bagi berita buruk tentang kecurangan Zaleha yang bakal diketahuinya.
Gerakan putaran pembuka tayar juga elemen yang dimanfaatkan dengan begitu bijaksana. Ia memberitahu saya kenapa adegan sulit Zaleha & si Tapa diolah sebegitu rupa. Berguling-guling berpelukan itu bagi saya adalah bentuk romantik klasik.
Ruang masa antara adegan sangat baik. Dimulakan perlahan dengan si Amir mencari peralatan, Zaleha pula mencari-cari si Tapa di celah pepohon getah. Suntingan antara adegan menjadi sedikit laju, mewujudkan gesaan dan ketegangan. Malah, pelukan yang semakin erat antara Zaleha & si Tapa, daya tangan si Amir yang semakin kuat memusingkan pembuka tayar, serta skru yang semakin ketat melekat memberikan tona rasa ketegangan yang semakin memuncak. Tayar yang selesai diketatkan & susu getah cair yang tumpah mengalir adalah metafora klimaks.
Ya, saya sangat menyukainya, malah mengagumi. Ianya sangat halus. Setiap yang kecil pun memberi makna,memberi unsur semiotik. Hujan, putaran, tanah becak, susu getah, taking susu getah, tangan si Amir dan pemutar skru tayar semuanya memberi makna. Ianya bukan biasa. Ianya bukan seperti adegan si Bakri berkhalwat dengan buah hatinya yang dimetaforakan dengan adengan lembu yang disembelih untuk majlis keramaian. Ia seperti di liga lain (ironi, kerana keduanya dalam filem yang sama). Ianya sangat bagus.
Sekurang-kurangnya untuk saya.
Hazimin Hussein