Lama dulu, sewaktu masih kecil, saya dan abang saya memiliki satu kegilaan terhadap sebuah rancangan televisyen. Oleh kerana kami menetap di selatan semenanjung tanahair, siaran televisyen Singapura dapat menembusi peti TV rumah kami. Dan siaran kegemaran tersebut datangnya dari pulau Temasek ini.
Jadi, waktu petang, jam enam setengah, kami mesti dah tercangak depan televisyen. Waktu itu, peti bongok ini kami ’sembah’ bagaikan Tuhan. Ya Tuhan...
Rancangan itu namanya, ’Aksi Mat Yoyo’.
Oh, sebelum itu, izinkan saya bernyanyi...
“Aksi Mat Yoyo,
Aksi Mat Yoyo,
Bergembira ayah dan juga ibu,
Kawan lama,
Kawan baik,
Tidak lupa pelajaran...
Teng teng teng teng…”
Cis, saya sudah lupa senikatanya!
Seronoknya kami masa itu bukan kepalang. Ingat, ini rancangan kanak-kanak. Rancangan kendalian budak-budak bawah umur kepada budak-budak bawah umur juga. Hidung pun masih berhingus.
Dalam rancangan ini ada drama, seloka, pantun, kuiz and of course, nyanyi-nyanyi. Kanak-kanak yang terlibat dalam rancangan ini semua terlatih, kalau tak silap, mereka ni terlibat dengan sebuah bengkel khas yang dipanggil sebagai 'Bengkel Kanak-Kanak' kendalian pihak TV SBC. Apa kejadahnya SBC ni pun saya dah lupa.
Lepas tu, rancangan ini dihos oleh dua ekor kucing. Err…maksud saya, para pengacara rancangan ini akan memakai kostum kucing. Memang la comel dol! Nama pasangan kucing ini ialah Yoyo dan Yaya.
Dua ekor 'kucing' ini 'dibela' pula oleh Mat Sentul. Ya, Mat Sentul beb! Mat Sentul kan orang Singapura…
Biasanya si Mat Sentul akan berperanan sebagai tukang karut, atau semacam sang panglipurlara selain dalam banyak masa berperanan sebagai tuan atau kawan kepada kucing-kucing ini. Pelbagai cerita rakyat disajikan kepada budak-budak di studio dan di rumah. Penceritaan Mat Sentul biasanya akan melibatkan lakonan semula oleh para pelakon kanak-kanak dalam rancangan ini.
Dan diakhiri dengan moral of the story. Macam biasa.
Saya percaya, rancangan ini, tak banyak sikit, berjaya mengkonstruk perspektif dunia kanak-kanak kami tentang ‘moral’. Apa yang bagus dan apa yang tidak.
Kita juga boleh lihat, terdapat sebilangan kanak-kanak di Singapura masa itu sudah didedahkan dengan seni lakonan, tarian dan nyanyian sedari kecil secara serius. Hasilnya, kebanyakan selebriti Singapura, yang berbangsa Melayu, datangnya dari mereka yang pernah terlibat dengan Aksi Mat Yoyo sewaktu kecil. Dan mereka ini telah diasah bakatnya.
Malangnya di Malaysia, kita tak punyai rancangan kanak-kanak sebaik ini, dengan program kanak-kanak yang cukup terorganisasi. Dari dulu sampai la ni, tiada. Kalau hari ini, yang ada hanya ‘AF’. Hasilnya, lahirlah golongan ‘selebriti’ bodoh-bodoh, yang tak pandai bernyanyi kemudian bertukar ‘bakat’ kepada berlakon, atau menjadi ‘DJ’ radio swasta. Mereka ini lahir secara tiba-tiba, tanpa asas apatah lagi keilmuan yang mencukupi tentang seni persembahan. Masuk TV ( ke keluar? ), meraka merapu-rapu. Mungkin betul, ada segelintir dari mereka yang, just okay.
Kini, Aksi Mat Yoyo sudah pun pupus. Saya tak tahu apa akan jadi dengan perkembangan kanak-kanak di pulau itu. Mungkin saja, kerana dek arus kemajuan yang menderas, mereka pantas saja selesa dengan permainan video berkomputer.
Sebab itu, saya masih beranggapan, sampai kiamat pun belum tentu ada rancangan kanak-kanak yang ‘secool’ Aksi Mat Yoyo.
Mohd Ikhwan Abu Bakar