Ke mana aku akan pergi, jika aku boleh pergi, siapa aku akan jadi, jika aku boleh jadi, apa aku akan kata, jika aku ada suara, siapa kata ini, mengatakan ia aku? Jawab dengan mudah, seseorang jawab dengan mudah. Ia orang asing yang sama selamanya, di mana aku sendirian wujud, di dalam lubang ketidakwujudan, dirinya, diri kita, ada jawapan mudah. Ia bukan dengan pemikiran dia akan temui aku, tetapi apa dia perlu buat, hidup dan keliru, ya, hidup, mengatakan apa yang dia mahu. Lupakan aku, jangan kenal aku, ya, itu tindakan bijaksana, tiada yang lebih berupaya daripada dia. Mengapa kebaikan hati ini ditinggalkan, ia mudah untuk difahami, itu apa dia kata, tetapi dia tidak faham. Aku bukan di dalam kepalanya, bukan di dalam tubuhnya, dan aku masih di situ, baginya aku di situ, bersamanya, maka berlaku segala kekeliruan ini. Itu sudah memadai buatnya, untuk mendapati aku tiada, tetapi ia bukan, dia mahu aku di situ, dengan bentuk dan dunia, sepertinya, disebabkannya, aku adalah segalanya, sepertimana dia yang tiada apa. Dan bila dia rasakan aku tidak wujud ia adalah deminya dia buat aku kosong, dan sebaliknya, gila, gila, dia gila. Sejujurnya dia cari aku agar aku bunuh aku, agar aku mati sepertinya, mati seperti mereka yang hidup. Dia tahu semua itu, tetapi ia tidak membantu dengan pengetahuannya, aku tidak tahu, aku tidak tahu apa-apa. Dia protes dia tidak beri sebab dan buat apa-apa selain bersebab, melencong, seakan ia akan memulihkan situasi. Dia fikir kata-kata menggagalkannya, semestinya kata-kata menggagalkannya. Dia beritahu kisahnya tiap lima minit, mengatakan ia bukan kisahnya, terdapat kebijaksanaan buat kau. Dia mahu ia jadi salah aku sebab dia tiada cerita, semestinya dia tiada cerita, itu tidak bermakna untuk memaksakan satu kepada aku. Begitu cara dia bersebab, lari jauh, tetapi berapa jauh, jawab kami itu. Dia buat aku kata sesuatu yang bukan aku, ada kedalaman buat kau, dia buat aku yang tidak kata apa-apa kata ia bukan aku. Semua itu benar-benar bodoh. Hanya jika dia beri aku maruah melalui ganti nama ketiga, sepertimana khayalan lainnya, tetapi tidak, dia sudah puas dengan tiada apa selain aku, kerana dia aku. Semasa dia ada aku, semasa dia adalah aku, dia tidak boleh lepaskan aku dengan lekas, aku tidak wujud, dia tidak boleh perolehinya, itu bukan kehidupan, semestinya aku tidak wujud, sepertimana dirinya, semestinya ia bukan sejenis kehidupan, kini dia perolehinya, jenis kehidupannya, biar dia kehilangannya, jika dia ingin tenteram, dengan sedikit tuah. Hidupnya, seorang aku, sebuah kehidupan, dia tidak boleh dapat, kau tidak boleh memperbodohinya, demikian bukan dia, ia bukan dirinya, satu pemikiran, layan dia seperti itu, seperti Molloy kotor, Malone biasa, manusia kebiasaan itu, manusia gembira, ada hati, turunkan dia di dalam tahi itu, tanpa dorongan, yang tiada sesiapa kecuali aku, segalanya difikirkan, dan benda-benda, dan bagaimana dia difikir, dia hanya perlu tidak tahu. Itu bagaimana dia bercakap, petang ini, bagaimana dia buat aku bercakap, bagaimana dia bercakap dengan dirinya, bagaimana aku bercakap, hanya ada aku seorang, petang ini, di sini, di bumi, dan suara tanpa bunyi kerana ia tidak pergi ke sesiapa, dan kepala berserakan dengan tangan ke bawah dan mayat melawan segar, dan sekujur tubuh, aku hampir lupa. Petang ini, aku kata petang ini, barangkali ia pagi. Dan semua ini, benda-benda, segala tentang aku, aku tidak lagi menafikan mereka, tiada lagi keperluan itu. Jika ia alam barangkali ia pohon dan burung, mereka kena bersama, air dan udara, agar ia terus berlalu, aku tidak perlu tahu rinci, barangkali aku sedang duduk di bawah pohon. Atau ia sebuah bilik, dengan perabot, semua yang diperlukan untuk buat hidup selesa, gelap, kerana dinding di luar tingkap. Apa aku buat, bercakap, buat khayalan aku bercakap, ia hanya boleh jadi aku. Mantera kesunyian juga, bila aku dengar, dan dengar bunyi setempat, bunyi dunia, lihat betapa aku berusaha, untuk jadi munasabah. Itu kehidupan aku, kenapa tidak, ia satu, jika kau mahu, jika kau mesti, aku tidak kata tidak, petang ini. Ia mesti satu, nampak gayanya, apabila ada percakapan, tidak perlu lagi cerita, cerita tidak wajib, cuma kehidupan, itu kesilapan yang aku buat, salah satu kesilapan, untuk ada cerita untuk diri sendiri, di mana kehidupan itu sendiri sudah cukup. Aku makin maju, sudah tiba masa, aku belajar untuk tutup mulut busuk aku sebelum aku mati, jika tiada apa-apa muncul. Tetapi dia yang entah bagaimana datang dan pergi, bebas dari ruang ke ruang, meski tiada apa berlaku kepadanya, benar, siapakah dia? Aku di sini, sedang duduk, jika aku sedang duduk, kerap aku rasa sedang duduk, kadang-kala berdiri, ia salah satu, atau berbaring, terdapat kebarangkalian lain, kerap aku rasa sedang berbaring, ia salah satu dari tiga, atau sedang melutut. Apa yang dikira adalah untuk berada di dunia, postur tidak penting, selagi kita di bumi. Untuk bernafas adalah apa yang diperlukan, tiada kewajipan untuk merayau, atau menerima teman, kau mungkin percaya diri kau mati dengan syarat kau menjelaskannya dengan terang, apa gaya hidup lebih liberal boleh dibayangkan, aku tidak tahu, aku tiada bayangan. Tiada sebab di dalam situasi tersebut mengatakan aku berada di tempat lain, seseorang yang lain, seperti aku adalah aku ada segalanya untuk beri, bagi berbuat apa-apa, aku tidak tahu, semua yang aku perlu buat, di situ aku sekali lagi bersendirian akhirnya, suatu kelegaan tentunya. Ya, ada momen-momen, seperti momen ini, apabila aku hampir kembali terlaksana. Kemudian ia pergi, segalanya pergi, dan aku menjauh kembali, dengan kisah yang menjauh, aku tunggu aku menjauh agar kisah aku bermula, untuk berakhir, dan kembali suara ini bukan kepunyaan aku. Itu di mana aku telah pergi, jika aku boleh pergi, itu siapa aku akan jadi, jika aku boleh jadi.
Samuel Beckett
Terjemahan Ridhwan Saidi