Dulu saya pernah kaitkan hubungan filem dan senibina. Kini saya mahu sentuh tentang pembikinnya pula, sang sutradara dan arkitek.
Bagi saya, kedua-duanya akan dipertanggungjawabkan ke atas hasil kerja masing-masing. Sebab itu, saya percaya pada auteurisme. Kerana jika sesebuah bangunan itu roboh, siapa yang harus dipersalahkan?
Arkitek!
Bukan client, bukan buruh-buruh yang membina dan bukan penduduk yang tidak berdosa.
Siapa client ini? Produser!
Siapa buruh-buruh ini? Krew-krew filem!
Siapa penduduk yang tidak berdosa ini? Penonton filem!
Sebab itu jika saya menonton filem remeh (sampah, jamban) ia boleh diibaratkan seperti saya duduk di dalam bangunan yang sedang roboh. Kepada yang cabut lari dari panggung awal-awal mungkin akan terselamat. Yang tak lari akan rasai keperitan jiwa, seksanya dihempap batu-batu konkrit ini.
Mungkin anda akan kata engineer yang bersalah, kerana engineer yang dipertanggungjawabkan menjaga struktur sesebuah bangunan itu. Ya, tapi hanya selepas diluluskan arkitek. Jadi jika seseorang arkitek itu tidak faham struktur, ia ibarat seorang chef yang tidak berlidah. Apa beza engineer dan arkitek ini?
Engineer hanya concern tentang struktur dan fungsi, manakala arkitek pula melibatkan struktur, fungsi dan ESTETIKA. Untuk memudahkan anda, saya berikan dua contoh jambatan. Satu oleh David B. Steinman seorang structural engineer (foto atas) dan satu lagi oleh Santiago Calatrava seorang arkitek (juga seorang engineer dan skulptor) (foto bawah.)
Dua contoh di atas dipilih secara rawak untuk menunjukkan kepada anda bahawa rekaan engineer lebih straight to the point yakni melintas dari titik A ke titik B, manakala dengan sentuhan seorang arkitek (dalam erti kata sebenar) ada sesuatu yang lain (statement mungkin?) Saya serahkan pada anda untuk menilai.
Mungkin anda akan kata rekaan jambatan Calatrava seperti monumen (skulptor gergasi,) mahu cari perhatian. Tapi sila perhatikan di bawah jambatan tersebut, ia bebas dari sebarang tiang, terapung. Struktur atas jambatan yang digunakan purely structural. Tanpa benda alah tiang senget dan kabel-kabel ini, jambatan ini pasti roboh. Ia bukan ornament okay!
Oh ya, melalui dua gambar yang saya pilih ini juga kita boleh lihat form tradisional yakni sistem post and beam (walaupun space truss digunakan). Manakala Calatrava telah mencipta sistem cantilever spar cable-stayed. Ini sesuatu yang baru dan menyegarkan.
Mungkin jambatan Calatrava ini mengingatkan anda pada jambatan Putrajaya. Kenapa? Kerana jambatan-jambatan pseudomoden Putrajaya ini memang berkiblatkan Calatrava. Malah jika anda perasan, jambatan James Joyce di Dublin (rekaan Calatrava) ada diterapkan pada salah satu jambatan Putrajaya. Disebabkan mentaliti kita suka dengan benda-benda yang berlebihan, secara tak langsung jambatan Putrajaya kita ini jadi kelakar. Saya rasa membazir huruf saja saya tulis pasal jambatan ini. Sudahlah jambatannya secara fizikal fake, ditambah pula di Putrajaya ini tiada tasik asalnya. Jadi tujuan pembinaan jambatan-jambatan ini satu kepuraan semata-mata.
Menulis pasal jambatan James Joyce ini, kini Calatrava sedang bikin jambatan Samuel Beckett juga di Dublin. Jadi kepada yang suka membaca, anda mungkin boleh perhatikan bagaimana arkitek sepanyol ini translate sastra kepada senibina.
Bila saya tulis ini, jangan pula anda sewenang-wenangnya tuduh Calatrava ini idola saya. Sebenarnya saya tidak begitu berkenan dengan gaya Calatrava. Ini sama kesnya dengan Uwei. Saya tidak pernah mengidolakan sesiapa. Di sini, saya hanya tulis apa yang benar bagi saya. Jika filem atau senibina itu mampu menggenggam jiwa dan menjentik akal, secara tabiinya saya kagum. Semudah itu. Dan rasa kagum pada filem atau senibina ini secara tak langsung akan patah balik kepada pembikinnya. Rasa kagum ya, bukan dijadikan idola.
Saya juga perasan ada cubaan-cubaan untuk mendemokrasikan pembuatan filem. Tapi selagi ada title sutradara, selagi itu konsep diktator wujud. Krew-krew lain selain sutradara, hanya boleh tolong dari segi fizikal saja, tapi idea keseluruhan, isi spiritual, hanya sang sutradara saja yang faham baik secara sedar atau tidak. Ada juga yang bergerak secara berpasangan, lihat saja Herzog de Meuron, Coen brothers, Dolce & Gabbana.
Di awal-awal tadi, saya ada sentuh tentang client, yakni produser dalam kancah industri perfileman. Saya percaya orang-orang yang banyak duit di Malaysia ini guna duit untuk cari lebih banyak duit. Tidak terdetik sedikit pun di hati mereka untuk menggunakan wang mereka menghasilkan sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Contoh paling mudah filem. Tapi herannya mereka sanggup menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk bina rumah mereka.
Dulu saya pernah terlibat dengan satu projek banglo + galeri seorang tan sri yang kononnya minat seni. Kos keseluruhan 5 juta. Disebabkan dalam bidang senibina, ada termaktub fee minimum yang wajib dikenakan. Dalam kes ini, bos saya dapat RM 308,125 + 6.25% X. Di mana X = jumlah kos keseluruhan. Saya? Saya dapat RM 1,400 setiap bulan, cis!
Dalam industri perfileman negara kita, saya keliru. Adakah sutradara ini dibayar gaji tetap atau punya bayaran berdasarkan peratusan keuntungan hasil jualan tiket wayang atau DVD? Ini dalam konteks produser orang lain, pembikin orang lain, bukan macam six million dollar man yang mana dialah produser, dialah pengarah. Sah sah duit masuk poket.
Di sini juga ingin saya sentuh pasal rumah-rumah banglo orang-orang berada kita. Ada yang moden, dan ada yang kononnya tradisional, konsep rumah melayu kata mereka. Mahu tahu apa kata saya? Itu semua bullshit! Skala rumah melayu tidak besar; span rasuk rumah melayu tidak boleh pergi jauh. Dan yang paling penting, rumah tradisional melayu tidak pernah bertembok. Kenapa? Kerana orang-orang dulu punya semangat muhibah, bergotong-royong sesama jiran. Jika mereka kata konsep mereka istana raja-raja melayu baru saya percaya. Ada sense of security dan besar.
Tak guna, meleret-leret pula saya tulis. Tahukah anda apa yang buat rumah melayu istimewa? Secara amnya susunan ruangnya, tapi di sini saya ingin sentuh satu ruang saja yakni serambi atau beranda atau pelantar. Ini adalah ruang pertama yang akan anda lalu (naik tangga) sebelum masuk ke dalam rumah ibu. Apa signifikasi ruang serambi ini? Dari segi form, jika anda perasan, ia semi-solid (atau semi-void?). Di sini garisan antara ruang dalam dan luar disamarkan. Bila hujan, tak ke seronok makan cempedak goreng disertai kopi 434? Sejujurnya orang-orang kita zaman dulu sudah pandai bermain dengan ruang.
Ruang serambi ini, jika seseorang arkitek itu pandai bermain dengan skala, ia jadi menarik. Ini Dewa perasan dahulu, dan semasa saya duduk di K.L dulu saya juga perasan ini. Di kaki menara Maybank, ada escalator naik ke satu pelantar yang luas. Jika anda perhatikan, waktu pekerja-pekerja Maybank ini balik kerja, ada di antara mereka yang lepak-lepak di kawasan pelantar ini borak sembang sambil hisap rokok sebelum balik rumah. Situasi ini ibarat pak cik-pak cik yang bersantai di ruang serambi di kampung-kampung. (Boleh bikin montaj soviet.)
Sekali lagi, tolong jangan tuduh Hijjas Kasturi idola saya!
Mungkin satu masa nanti saya akan translate ruang-ruang rumah melayu ini kepada feel dalam filem, atau form senibina melayu ini kepada form sinematik, atau tekstur anyaman dinding kepada naratif filem. Tengoklah nanti, kalau saya dapat ilham dari langit.
Ridhwan Saidi