Masihkah anda ingat di era 80an kita punya filem-filem yang punya watak mekanik. Sejujurnya saya tidak pasti bila ia bermula. Adakah Mekanik (1983) oleh Othman Hafsham pemula kepada fenomena ini? Saya pun tidak tahu.
Pekerjaan ini jugalah biasanya menjadi titik tembung antara si susah mekanik dan anak gadis sang senang. Kereta menjadi medium untuk mereka bersemuka dan kemudian bercinta. Mudah dan klise bukan? Tapi bukan ini yang ingin saya bebelkan.
Saya rasa mekanik ini adalah simbol kelelakian, kejantanan, dan kemaskulinan dalam filem. Tidak, jangan tuduh saya chauvinist pula. Saya hormat kepada kaum wanita akan tetapi bagi saya lelaki dan perempuan tidak akan sama. Sifat maskulin dan feminin adalah umpama yin yang, hubungan simbiosis di antara mereka yang penting bukan sifat ingin menjadi antara satu sama lain.
Sudah, usah berbicara pasal modeniti dengan saya. Apapun kita masih berpijak di tempat yang mengamalkan sistem feudal haha.
Semalam saya menggunakan komuter, ada dua perkara yang menarik perhatian saya. Satu, suara ketika hampir sampai ke stesen yang direkod (seperti LRT) dan bukannya suara pemandu komuter yang sedang tidur. Kedua, lelaki-lelaki yang berambut ponytail dan berkemeja kemas, saya fikir ini golongan metroseksual baru pulang kerja.
Di sini terlintas dalam fikiran nakal saya, apa jadi jika saya masukkan lelaki-lelaki (kononnya) moden ini ke dalam konteks filem-filem 80an sebagai mekanik. Boleh anda bayangkan? Saya boleh dan semua orang dalam komuter hairan melihat saya senyum keseorangan.
Watak mekanik yang paling saya gemari adalah Saiful lakonan Eman Manan dalam Matinya Seorang Patriot (1984). Si Saiful ini siap bersila atas enjin betulkan kereta dalam gelap. Habis bersungguh-sungguh. Ini saya kira sungguh maskulin dalam konteks tempat kita (bukan 300, Gladiator atau Troy ya).
Dari lelaki-lelaki rawak yang saya pilih dalam komuter, kemudian saya beralih pula kepada pelakon-pelakon zaman sekarang. Lihat, betapa imaginatifnya saya. Saya berbincang dengan kawan baik saya (yang juga teman wanita saya) tentang siapa yang boleh bawa watak mekanik lakonan Eman Manan ini, secara tak langsung punya sifat-sifat maskulin sejati saya kira (bukan definisi maskulin majalah Maskulin).
Ini adalah perbincangan dua hala dan melibatkan seorang lelaki dan seorang perempuan. Ibarat dua tiang yang tidak terlalu jauh dan tidak pula terlalu dekat. Tidak terlalu independent dan tidak pula terlalu dependent.
Jika kedua tiang bersandar antara satu sama lain, maka robohlah bumbung dan beban yang ditanggung bersama. Jika kedua tiang terlalu jauh pula, juga robohlah bumbung dan beban yang ditanggung bersama.
Tidak buta dalam terang, dan hairannya tidak pula celik dalam gelap.
Satu demi satu nama-nama pelakon dan selebriti masa kini yang kami lontarkan, tapi akhirnya hanya satu nama yang kami sepakat punya kualiti seorang mekanik maskulin iaitu S.J.
Borak punya borak punya borak pasal mekanik ini akhirnya kami terbawa kepada satu lawak aneh. Ada seorang mekanik yang tanpa disedari sangat terkenal dan berjaya masa kini (subjektif).
Jeng jeng jeng...
Masih ingat Spanar Jaya?;)
Ridhwan Saidi
p/s: Ketika menulis entri ini, keluarga saya pula yang hairan melihat saya senyum keseorangan.