Sabtu, Oktober 18, 2008

Mabok Kepayang

Entah mabuk apa saya hari ini, saya ingin berceloteh sikit tentang perkahwinan, yang mungkin merupakan institusi kemanusiaan paling kuno dalam sejarah peradaban umat manusia.

Saya mendapati, terdapat sedikit kejulingan di kalangan masyarakat kita hari ini, terutama yang masih muda, seawal 20-an barangkali, memiliki kecenderungan berebut-rebut untuk berkahwin. Saya tak tahu atas dasar apa sebenarnya, tabiat berebut-rebut ke jinjang pelamin ini semakin menjadi trend di kalangan pemuda-pemudi, terutamanya yang Melayu, walaupun ramai juga yang tua-tua biang keladi, kepala dah tak berbulu, tapi masih tak sedar diri.

Apa yang dapat saya lihat, mereka telah kerugian banyak peluang untuk mengutip seberapa banyak pengalaman di usia muda. Pengalaman yang saya maksudkan di sini ialah, membuat apa-apa saja yang dikira mencabar, adventure, penuh kegilaan, dan…er, romantik. Romantik pula, saya maksudkan dengan pengertian yang lebih besar, bukan hanya tercakup dengan klise ‘dua merpati terbang sejoli’, contohnya pergi menjelajah ke luar negara jika ada sikit wang, atau terlibat dengan sebarang bentuk gerakan massa seperti Soe Hok Gie. Ingat, itu hanya contoh.

Mereka, yang terhegeh-hegeh ini, tak mahu meneroka potensi hidup yang lari dari kongkongan tradisi, dan membuka gerbang kehidupan dalam skala yang lebih luas, sebaliknya lebih selesa mematikan segala kemungkinan itu lalu dengan pantas menjunam ke gerbang perkahwinan.

Berbeza pula dengan manusia yang ‘bukan Melayu’, of course tak semua, yang tampak lebih gagah, berani meneroka gerbang kehidupan dengan seluasnya, dan punya berahi mengais-ngais lapangan hidup. Misalannya, mereka ini yang mungkin dari kalangan Mat Saleh, orang Jepun, atau apa suku bangsa sekalipun, berani merantau jauh untuk melihat dunia luar. 

Tidak dengan yang namanya Melayu itu, mereka seakan puas dan cukup selesa berpusing-pusing dalam teritori selamat mereka. Melayu ini, sebenarnya merantau dekat-dekat sahaja dan selalunya mudah tumpas di tengah jalan.

Dari apa yang saya perhatikan, tak ramai yang bercita-cita besar. Cukup sekadar kahwin, dapat anak, lalu meneruskan hidup secara ‘normal’ – langsai hutang, kereta, rumah, bayar segala bil itu, bil ini, dan tanggung nafkah anak bini. Paling malang, mereka ini tiada niat langsung untuk mencabar potensi diri atau punyai jiwa besar walau dalam mimpi sekalipun! 

Mungkin ada di kalangan kamu yang beranggapan yang saya ini tidak adil dalam menyatakan sikap dan pendapat. Sebenarnya tidak, saya sebenarnya memilih untuk bercakap jujur – tentang apa yang saya rasa atau fikir. Saya tak kesah atau peduli jika kamu bertentang pendapat atau mata dengan saya.

Sebetulnya, saya kadangkala bingung melihat semudah itu mereka memilih jalan hidup. Tapi ada masanya saya juga agak cemburu ditambah sikit rasa kagum terhadap mereka ini. Haha!

Mereka yang menamatkan zaman bujang pada usia terlalu muda, saya rasa, adalah golongan yang kurang mencabar dan tak mahu mencabar potensi diri sendiri. Mereka memilih jalan selamat, duduk dalam zon selesa. Tapi sekiranya zon yang mereka diami itu pecah berderai, mereka ini, saya yakin, akan menggelabah, dan porak-peranda. 

Mereka ini kebiasaanya dari jenis tak tahu nak buat apa, tak kreatif dalam mencorak batik-batik kehidupan. Mereka hanya nampak apa yang betul-betul tercatuk di depan mata, tanpa mahu mengorek sebarang rahsia atau misteri disebalik apa yang betul-betul dilihat di depan mata itu. Realiti hidup yang dipilih hanya selapis, tipis, setipis kulit bawang.

Dan mereka lebih selesa melilit dan membelit leher mereka dengan rantai hutang – pada usia muda! Mereka lebih ghairah meneroka bank-bank, along-along, tuan-tuan ceti, tokey-tokey pajak gadai, rakan-rakan lama, atau sanak saudara.

Lalu sekonyong-konyong ditariknya Tuhan, untuk terlibat dalam kancah urusan peribadi mereka, sebagai alasan paling konkrit – seraya mengaku ‘sudah sampai jodoh, nak buat macam mana’ atau ‘ini ketentuan Ilahi.’ 

Semacam tiada keinginan langsung untuk cuba membuat pilihan sendiri yang jernih dari campur tangan Tuhan. Sayang, Tuhan yang dilibatkan itu tak mungkin akan membayar hutang-hutang mereka. 

Ketimbang soal ini, segalanya automatis halal, lepas masuk lalu disudahi dengan ‘alhamdulillah.’ Semudah itu, kan?


Mohd Ikhwan Abu Bakar