Sabtu, Januari 24, 2009

Skala dalam Filem

Di dalam bidang senibina, skala adalah elemen yang wajib dikuasai oleh seseorang arkitek itu (tidak kira bertauliah atau tidak.) Sebuah rumah banglo dan bangunan tinggi punya skala yang berbeza. Sebuah bilik air punya skala yang berbeza dengan bilik tidur. Mudah kata, sesebuah ruang dan bentuk itu harus berdiri pada skala yang betul. 

(Sebab itu kebanyakan lagu hardcore punk berdurasi lebih kurang seminit manakala black metal lebih kurang 7 minit, skala!)

Untuk mendapatkan skala yang betul, kita perlu patah balik kepada fungsi sesebuah ruang dan bentuk itu. Ambil contoh bilik air rumah anda. Fungsi bilik air adalah tempat di mana anda mandi dan melakukan aktiviti-aktiviti tandas lain. Untuk melakukan aktiviti-aktiviti tandas ini ia perlu diasaskan dengan 3 objek sanitari iaitu kolah/shower/bathtub, sinki dan w.c (jamban.) Ambil ketiga-tiga objek ini dan sumbat ia ke dalam satu ruang. Bayangkan jika bilik tidur utama anda dijadikan tandas rumah, (pedulikan tentang susunatur ruang,) kita tahu skalanya tidak betul. Begitu juga jika anda jadikan stor bawah tangga rumah anda sebagai tandas. Tidak betul serta tidak berfungsi dari segi ergonomik ruang.

Bagi saya filem pendek dan filem (feature) sama macam rumah banglo dan bangunan tinggi, ia punya skala yang berbeza. Saya juga percaya bahawa filem pendek adalah medan eksperimen semata-mata dan selagi filem pendek ini berpaksikan nilai-nilai eksperimental, selagi itu skala-nya selamat. 

(Relevannya, adalah pelik jika seseorang sutradara itu cuba buat eksperimen ketika penggambaran filem feature.) 

Jika kita perhatikan 6Shorts (2006) oleh Amir Muhammad, akan kita dapati perbezaan ketara di antara kesemua filem-filem pendek itu. Kenapa? Kerana setiap satu daripadanya berbentuk eksperimen yakni ujikaji. Malah Mona Fandey pernah mengenyitkan matanya kepada saya di dalam Mona. Usah mengarut, di sini benarkan saya mengkritik (terutamanya dari segi skala) tiga buah filem pendek yang saya tonton tempoh hari.

Omah Cilikku Enek Kelambu (2009) oleh Zainorhisyam ‘ingin’ mengisahkan kepayahan dan kesusahan sebuah keluarga kecil bertopengkan bahasa Jawa. Bagi saya filem ini cukup bermasalah dari segi skalanya. Saya rasa filem-filem pendek sebegini (cukup banyak di luar sana) lebih molek dan cun jika dipersembahan dalam skala telemovie. Bukan apa, saya baru nak layan tiba-tiba dah habis, potong stim betul! Bila saya tulis telemovie, jangan pula pertahankannya dengan soal budget. Isu skala ini bermula daripada kertas kerja/lakon layar. Untuk filem pendek berdurasi 11 minit, ingin menceritakan tentang kepayahan sejujurnya tidak berkesan. Ia perlu durasi yang lebih panjang untuk meleret seksa audiens menonton.

Awan Mendung Menanti Pelangi (2009) oleh Azri Abu Hassan pula adalah satu bentuk cubaan dekonstruksi goyah. Dekonstruksi ini secara pendek dan mudahnya bermaksud, kita ambil apa yang pernah orang buat sebelum ini, lalu diadu-dumbakan untuk menghasilkan sesuatu yang baru dan segar. Goyahnya di sini apabila filem ini hanya sekadar berpura-pura meniru filem-filem melodrama akhir 70an hingga awal 80an. Ia kekurangan kuasa pasca-modennya (jika betul-lah jika ia satu bentuk dekonstruksi.) Saya berpendapat bahawa sedikit twist yang jelas diakhir cerita akan menjadikannya lebih maju. Ini sama kesnya dengan filem Kala Malam Bulan Mengambang (2008) oleh Mamat Khalid. Saya cukup bengang dengan penutup gembira klise-nya. Kalau ia dibiarkan tergantung (seperti di awal cerita,) secara automatis ia akan menjadi antara filem kegemaran saya sepanjang masa, (walau bagaimanapun pasti 1000 orang lain tak puas hati.) Apapun dari segi skala, filem pendek ini elok dan cukup.

Sinkronis (2009) oleh Jaja Kadir pula mengisahkan tentang seorang jurugambar yang kehilangan muse-nya (melarikan diri selepas tanpa tidak sengaja telah terjatuhkan lensa kamera.) Ayat bombastik sinkronis ini sendiri tidak ramai audiens yang faham. Di dalam kepala otak saya ketika menonton, saya hanya fikir selari, atau keselarian. Jika terjentik di kotak akal atau peti hati anda ingin menelefon seseorang, tiba-tiba telefon anda berdering, lalu bila diangkat adalah seseorang itu tadi. Ini adalah synchronity mengikut Carl Jung. Di dalam filem ini saya tidak nampak di mana keselariannya. Tambah bercanggah, filem pendek ini dirakamkan dengan seluloid, tapi anehnya watak jurugambar fanatik (lakonan Sofi Jikan) di dalam filem pendek ini menggunakan D-SLR, (kamera digital!) Bagi saya seniman fanatik sebenar hanya obses kepada teknologi-teknologi analog. Kegilaan watak jurugambar ini bercanggah dengan logik karakter yang cuba dibina. Ia jadi pura-pura, (bagi saya-lah.) Skalanya mungkin ok, tapi ia tidak seimbang, tidak proportion. Intro-nya yang berat dan beriya-iya akhirnya ditamatkan dengan konklusi yang ringan dan remeh. Ini boleh saya ibaratkan macam anda check-in di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Ruang lobinya mewah, berkilau-kilau chandelier-nya, perdana habis. Tapi bila masuk bilik hampeh, sekali dinding tampal surat khabar daa! (Rujuk Ibu Mertuaku 1962)

Bagi saya filem-filem pendek sebegini wajar dikritik (jika anda tahu kritik itu apa.) Bukan apa, ini adalah proses menguji pegangan dan knowledge pembikin-pembikin muda ini sebelum bikin filem feature. Acah sikit sini-sana (walaupun saya banyak temberang sebenarnya.) Apapun saya percaya pembikin-pembikin muda ini cukup matang untuk tidak mengendahkan tulisan naif saya ;-)


Ridhwan Saidi