Pertama sekali, kamu kena ada kamera yang cocok buat diri kamu, satu yang kamu suka, sebab ia mengenai rasa selesa dengan apa yang kamu pegang: peralatan adalah kunci dalam semua kerja, dan ia tak patut berlebih-lebihan. Keduanya, dapatkan sebuah enlarger, yang paling mudah dan berguna kamu boleh cari (paling kecil bikinan LEITZ adalah yang terbaik bagi format 35mm, ia akan tahan sepanjang hayat kamu).
Permainan ini mula jadi sebuah pengembaraan, seperti bot nelayan: turunkan layar. Pergi ke Valparaiso atau Chiloe, berada di jalanan sepanjang hari, merayau dan merayau di tempat asing, duduk di bawah pokok bila kamu penat, beli pisang atau roti dan naik tren pertama, pergi ke mana-mana yang kamu suka, dan lihat, lakar sikit-sikit, dan lihat lagi. Jauhi perkara yang kamu kenal, dekati perkara yang kamu tak kenal, pergi dari satu tempat ke tempat lain, tempat yang kamu suka. Kemudian, kamu akan mula temui sesuatu, imej akan terbentuk di dalam kepala kamu, anggap ia sebagai jelmaan hantu.
Bila kamu pulang, cuci, cetak dan lihat apa yang kamu tangkap, kesemua ikan-ikan kamu, cetak ia dalam saiz poskad dan tampal pada dinding, dan lihat lagi. Kemudian, mula main dengan L, bingkai dan crop, maka kamu akan belajar tentang komposisi dan geometri. Besarkan apa yang kamu bingkai dan lekat ia pada dinding. Dengan melihat, kamu akan belajar untuk nampak. Bila kamu pasti yang suatu gambar itu tak bagus, buang ia ke dalam tong sampah. Tampal yang lebih bagus tinggi pada dinding, dan hanya lihat itu saja (simpan gambar tak elok akan buat kamu biasa dengan benda tak elok). Hanya selamatkan yang bagus, buang yang lain-lain, sebab jiwa kita bawa apa yang kita simpan.
Kemudian lakukan senaman, guna masa kamu untuk buat hal lain, dan jangan risaukan tentangnya. Mula dengan menekuni werk orang lain dan cari sesuatu yang bagus yang sampai ke tangan kamu: buku, majalah, dll. dan simpan yang terbaik, dan gunting ia jika boleh, simpan barang baik dan tampal ia pada dinding di sebelah gambar kamu, dan jika kamu tak boleh gunting, buka buku atau majalah itu pada muka surat bagus dan biarkan ia terbuka. Tinggalkan ia selama berminggu-minggu, berbulan-bulan, hingga ia bercakap dengan kamu: ia ambil masa untuk nampak, tapi rahsianya akan perlahan-lahan menjelmakan diri, dan akhirnya kamu akan nampak apa yang bagus iaitu esensi segalanya.
Teruskan dengan hidup kamu, lakar sikit-sikit, jalan-jalan, tapi jangan paksa diri kamu untuk tangkap gambar: ini membunuh kepuisiannya, kehidupan di dalamnya jadi sakit. Ia seperti memaksa cinta atau persahabatan: kamu tak boleh lakukannya. Bila kamu dilahirkan semula, kamu boleh jalankan pengembaraan baru: ke Puerto Aguirre, kamu boleh tunggang motosikal menuruni Baker ke glasier dari Aysen. Valparaiso sentiasa cantik, hilangkan diri kamu di dalam magis, sesat selama berhari-hari di dalam lereng dan jalanan, tidur di dalam beg tidur, berendam di dalam realiti—seperti perenang di dalam air—tiada apa yang mengganggu kamu, tiada apa yang konvensional.
Biarkan kaki kamu membawa kamu, perlahan-lahan, seperti kamu disembuhi dengan nikmat melihat, bersiul, dan apa yang kamu lihat kamu akan tangkap secara lebih berhati-hati, dan kamu akan belajar mengenai komposisi dan pembingkaian, kamu akan lakukannya dengan kamera kamu, dan maka bakul kamu akan dipenuhi ikan-ikan, dan kamu akan pulang. Belajar tentang fokus, arpertur, close-up, saturasi, shutter speed, dll. Belajar bagaimana untuk bermain dengan kamera kamu dan kebarangkaliannya, dan kumpul puisi (milik kamu dan orang lain), simpan yang bagus-bagus yang boleh kamu cari, meski ia dibuat oleh orang lain. Buat koleksi barang baik: seperti muzium kecil di dalam fail.
Tangkap gambar seperti yang kamu mahu. Jangan percaya apa-apa kecuali citarasa kamu, kamu sebahagian daripada hidup dan hidup akan buatkan pilihan untuk kamu. Jangan lihat apa yang kamu tak suka, ia tak perlu. Kamu satu-satunya kriterion, tapi pertimbangkan juga semua yang lain. Terus belajar. Bila kamu ada beberapa gambar bagus, besarkan ia, buat pameran mini atau susun ia di dalam buku, jilidkan ia. Menunjukkan gambar kamu akan buat kamu sedar ia apa, kamu hanya faham selepas kamu lihat ia di hadapan orang lain. Buat pameran adalah untuk memberi, seperti beri makanan, ia baik untuk orang lain menatap sesuatu yang diusahakan dengan penuh kudrat dan nikmat. Ia bukan cakap besar, ia baik untuk kamu, ia baik untuk semua orang dan ia baik untuk kamu sebab ia beri kamu maklum balas.
Baik, itu sudah cukup untuk permulaan. Ia tentang banyak merayau, duduk di bawah pokok di mana-mana. Fotografi adalah merayau di dalam semesta bersama diri kamu: maka kamu akan mula melihat kembali. Dunia konvensional memakaikan kain penutup pada mata kamu, ia cuma perihal menanggalkannya semasa tangkap gambar.
Sergio Larrain
terjemahan Ridhwan Saidi