Jumaat, April 17, 2009

Koya Best

Syot pembukaan filem Budak Kelantan (2008) oleh Wan Azli Wan Jusoh adalah syot yang paling wow pernah saya tonton (dalam konteks filem tempatan) setakat ini. Bagaimana pada awalnya minda kita dibentuk dan diacu bahawa Jaha itu simbol kejahatan (main daun terup) manakala Buchek pula adalah simbol kebaikan (sembahyang). Kemudian semasa kredit mula dipaparkan, kita dibawa mengembara menaiki bas dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur diiringi alunan musik dikir barat. Perjalanan ini walaupun nampak biasa, tapi cukup bermakna dalam membuatkan audiens seolah juga dari Kelantan, heck saya rasa saya orang Kelantan masa tonton filem ini.

Seterusnya permainan baik/jahat ini akan dicelarukan sedikit demi sedikit dengan serbuk perasa cauvinis. Mula-mula kita digula-gulakan dengan kejahatan yang disaluti kebaikan Jaha. Menyakitkan hati, anehnya, selepas itu kita dipaksa untuk menjilat kejahatan yang disaluti kebaikan Buchek pula. Persamaan berulang, Jaha secara literal memperlakukan gadis-gadis sebagai barang dagangan. Diakhir kisah, tiba giliran Buchek pula (tanpa disedari) memperlakukan teman wanitanya Che Nor sebagai barang dagangan. 

Di saat si Jaha ingin berubah ke arah kebaikan (kononnya atas nama cinta,) lawaknya si Buchek ini dalam diam menampakkan siongnya. Buchek menggunakan Che Nor sebagai alat untuk berdakwah (kononnya untuk membawa Jaha ke jalan kebaikan,) dan dalam masa yang sama barangkali Buchek sendiri ingin berdakwah kepada Chen Chen (yang berlainan agama) yang diselamatkannya. Disebabkan Che Nor sudah molek zahir dan batinnya (dari kacamata Buchek,) dengan itu saya merasakan bahawa Buchek lebih selesa merapati manusia-manusia yang kononnya masih belum ‘sempurna’ untuk 'disempurnakan'. Pokoknya, bagi saya Buchek adalah hero poyo yang boleh kita dapati dengan mudah di luar sana.

Oposisi binari, mulanya kita dipaparkan ruang tangga rumah Jaha (malam) di mana gadis itu akan dibawa ke atas lalu diperkosa (secara fizikal.) Di syot terakhir, kita akan dipaparkan pula ruang tangga jejantas (siang) di mana Buchek sedang menunggu Chen Chen turun. Lawan bagi perkosa adalah belaian cinta (mungkin?) tapi saya punya intepretasi yang berbeza. Tekaan saya? Selepas itu amoi itu akan diperkosa secara mental oleh Buchek haha.

Sebagai filem, Budak Kelantan menghidangkan ketegangan (intensity) yang saya idam-idamkan selama ini walaupun ia seakan kendur bila tiba di penghujung. Baik jahat dikelirukan. Bila difikirkan kembali, sebenarnya audiens yang akan menentukan siapa jahat siapa baik. Cuma celakanya posternya hampeh. Jika posternya menarik, tanpa segan silu saya tampal ia di sebelah poster Sofia Jane Perempuan, Isteri dan Jalang (1993) dalam bilik tidur saya.


Ridhwan Saidi