Jumaat, Jun 04, 2010

Namaku Ali Parodi

Namaku Ali Parodi. Aku terkenal di kalangan pencinta seni tempatan. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk aku dikenali ramai, hanya selama beberapa bulan saja. Ini kerana muka-muka yang serupa juga yang akan menghadiri sesuatu pesta keramaian seni itu, namakan saja – teater, lukisan, puisi, muzik, buku, filem, semua aku sokong. ‘Support your local art scene.’ Apa yang perlu aku lakukan hanyalah menempel dan menampakkan muka aku. Aku hanya perlu bersembang mengenai seni secara kritikal dan intelektual bersama mereka, kawan-kawanku. Oh ya, aku berambut panjang. Aku tak berkawan dengan mereka yang berambut pendek. Bagi aku mereka yang berambut pendek ini skema, tipikal, konvensional, klise, pejabatisme dan paling penting ‘tak seni.’ Apa barang rambut pendek!

Namaku Ali Parodi. Suatu malam di sebuah pesta keramaian seni tertutup, aku terlihat seseorang yang tak pernah aku nampak sebelum ini. Aku panggil Joe, “Siapa dia tu? Budak baru ke? Apa dia buat kat sini,” tanya aku.

Joe balas, “Entah, budak baru nak masuk dengan art scene kita ni kot.”

“Kau tengoklah gaya dia,” sindir aku.

Aku dan Joe yang memakai kemeja-t, jeans koyak dan selipar gelak. Tetapi jauh di dalam sudut hatiku, aku cemburu melihat keterampilannya yang dodgy itu. Dia mengenakan baju kebaya putih dengan mini-skirt yang menampakkan paha dan betisnya yang bersih dan langsing. Kaca mata hitam wayfarer di tengah malam buta ini menambahkan lagi kemisterian gadis tersebut. Gadis itu sedang membelek-belek buku-buku perjuangan kiri nusantara dilatari bacaan puisi, diiringi gesekan rebab. Sepanjang malam aku memerhatikan gadis itu, dia berseorangan. Aku menggunakan kamera d-slr dengan telephoto lens aku ini untuk mengambil wajah gadis tersebut. Aku berpura-pura seperti ingin ambil gambar suasana pada malam itu. Ah bukan orang tau pun aku zoom apa.

Namaku Ali Parodi. Aku berada di kedai mamak pasca-pesta keramaian seni untuk sesi puji-memuji di antara kami. Selalunya begitu, tetapi tidak bagi aku malam itu. Aku hanya senyap, sugul. Aku memandang ke bawah sambil menatap wajah gadis itu yang berada di dalam skrin kamera d-slr. Kulitnya putih, dalam foto ini bentuk wajahnya ada iras-iras Audrey Tautou, alah pelakon Amelie tu. Tetapi dari sudut sini pula dia ada iras-iras Juliana Evans, macam patung. Oh dari sini pula seperi Lisa Surihani—garang-garang comel. Walaupun muka Jawa aku ganas, tapi aku rebah bila berhadapan dengan gadis-gadis menarik sebegini. Mencilah…

Namaku Ali Parodi. Aku sedang duduk di atas katilku mengadap MacBook mahu cepat-cepat transfer gambar tadi agar boleh ditatap dengan skrin yang lebih besar. Kemudian, tidak semena-mena serta-merta aku mendapat ilham untuk menulis sebuah puisi. Akan aku tujukan puisi ini buat gadis itu. Ya, aku optimis aku akan bertemu dengan gadis itu sekali lagi nanti.

Bila               dan
malaikat        syaitan
teguk            catat
arak              dosa,

Ketika itulah, aku,
akan berhenti mencintaimu.

Namaku Ali Parodi. Ini adalah karya puisi pasca-modenku yang ke-356, walaupun aku baru menulis puisi 2 hari lepas. Tapi tolong, jangan tuduh aku penulis puisi seni. Walaupun groupies aku di kalangan arty-farty dan culture-vulture, aku tidak seni. Aku hanyalah insan biasa yang mahu meluahkan warna-warni perit jerih kehidupanku ke atas kanvas putih yang dipanggil puisi. Aku tak suka plagiat orang, aku gemar cipta karya aku sendiri, tanpa dibiarkan berhawa orang lain. *Senyum.

Namaku Ali Parodi. Puisiku terlipat rapi di dalam sampul surat berwarna pink. Aku berada di sebuah pesta tayangan filem pendek. Aku berharap agar terlihat gadis itu, aku cukup cam gadis itu jadi mustahil aku akan terlepas pandang. Tetapi si dia tidak muncul-muncul, mungkin ada hal bisikku. Aku lalu ke depan untuk bertanyakan soalan semasa sesi soal jawab. Aku perlu bersuara untuk sustain kepopularan aku. Aku kata, “Bagi aku sinematografinya, mise-en-scene-nya, ianya poetic, aku suka! Berikan tepukan kawan-kawan.” Aku tepuk tangan, Joe, Man dan Boy turut serta tepuk tangan. Filem pendek Boy ditayangkan pada malam itu.

Namaku Ali Parodi. Seminggu selepas itu aku menghadiri gig di sebuah kelab malam di ibukota. Tidak seperti tayangan filem yang agak pasif, gig ini lebih aktif dan ramai dirayakan oleh anak-anak muda. Aku yakin gadis itu akan muncul pada malam ini. Sampul surat pink berisi puisiku tersisip rapi di dalam kocek jeans Levi’s big E kepala kain aku. Aku pakai money-shirt Ian Brown dengan kasut takraw Warrior putih yang pernah dipakai oleh M.Nasir, Nasir Jani, Mansur Puteh, Pyan Habib, Ahmad Dhani, Ramli Sarip, dan Iwan Fals. Ini menampakkan unsur-unsur grunge nusantara di dalam keterampilan diriku, tidak seperti budak-budak zaman sekarang yang post-rock belaka.

Namaku Ali Parodi. Semasa sebuah kugiran pop-punk sedang mendendangkan lagu mereka, aku terlihat seorang gadis yang menyerupai susuk gadis itu memakai big nerdy glasses, dengan floral mini-skirt, black leather jacket dan ada imej serigala pada kemeja-t-nya. Rambutnya pendek dan wajahnya bersifat androgynous. Aku beranikan diri untuk mendekati gadis itu. Tiba-tiba seorang lagi gadis dengan penampilan yang serupa lalu di depan aku. Bila aku berpaling, semakin ramai gadis-gadis di dalam kelab malam itu yang memakai big nerdy glasses, floral mini skirt, black leather jacket, t-shirt serigala, berambut pendek dan berwajah androgynous. Aku tertanya di dalam hati, “Mana diorang dapat pakaian ni semua agaknya?”

Kesemua mereka tiba-tiba memandang ke arah aku dan berkata, “F.O.C!

Namaku Ali Parodi. Telah 30 tahun berlalu pergi. Aku telah menghasilkan 19 buah lagu, 356 puisi, 12 filem pendek, 73 naskah teater, 54 daripadanya dipentaskan, 103 painting (semua abstract expressionist), 7 pameran solo, 9 koleksi fesyen avant garde, 26 video tarian, ex-vocalist kepada band experimental ‘Adik Guard’ dan macam-macam performance art lain. Aku masih kekal dengan scene seni bersama kawan-kawan aku. Bagi aku, kawan aku Joe, Man dan Boy adalah kawan sehidup semati aku. Aku takkan lupakan jasa dan kenangan pahit manis bersama mereka. Kalau korang baca ni, I love you guys so much!!! XOXO *Speechless… Sepanjang 30 tahun itu juga aku tidak lagi bertemu dengan gadis tersebut. Sehinggalah pada suatu petang, ketika pameran solo fotografi aku di Balai Seni Lukis Negara. Aku mempamerkan foto-foto lamaku termasuk foto gadis misteri tersebut.

Namaku Ali Parodi. Aku telah berkahwin, tetapi perkahwinan kami tidak kekal. Mungkin jiwa seni aku terlalu rebellious untuk dineutralkan oleh bekas isteriku yang merupakan seorang pramugari. Atau mungkin aku sebenarnya masih gila angau kepada gadis misteri tersebut. Apapun semasa di pameran foto itu, kelihatan seorang pakcik tua berambut putih beruban panjang mencecah lantai, dibaluti kain kapan putih mengalirkan air mata menatap foto tersebut. Matanya merah. Aku hairan, aku datang dekat, aku tanya, “Pakcik kenal ke perempuan dalam gambar ni?”

“Ini anak perempuan pakcik,” jawab pakcik itu.

“Oh, anak pakcik, kenapa pakcik sedih? Pakcik tahu dia di mana sekarang?” tanya aku curiga.

Pakcik yang menyeramkan ini mengeluarkan sekeping kad merah lalu diberikan kepadaku. Aku tatap kad itu, tertera alamat tanpa nama dan nombor telefon. “Ini rumah…” sedar-sedar pakcik itu sudah ghaib. Aku tergamam.

Namaku Ali Parodi. Ini bukan lagi parodi, ini serius. Apa yang berlaku kepada gadis tersebut 30 tahun dulu? Kenapa pakcik tua itu menakutkan? Ke manakah alamat yang tertera pada kad merah ini? Aku buntu tanpa sebarang jawapan. Satu-satunya kunci yang aku ada adalah kad merah tersebut. Ini semua takkan terjadi kalau aku di-reject terus oleh gadis itu pada malam tersebut. Aku seharusnya lebih berani menegur gadis yang aku suka. Seperti Man, dia acapkali dikecewakan oleh ribuan gadis. Perkara paling teruk boleh berlaku hanyalah kemurungan sementara, emo, kemudian dengar lagu Radiohead atau My Chemical Romance, habis cerita. Tetapi dalam kes aku ini, gadis yang aku jatuh cinta pada pandangan pertama terus ghaib begitu saja. Ini menyesakkan sekaligus menghancurkan ego aku selaku lelaki. Aku jadi gila bayang, ini memalukan.

Namaku Ali Parodi. “Inilah tempatnya,” aku periksa kembali alamat yang tertera pada kad merah itu. Di Jalan Telawi, Bangsar, ianya sebuah Irish pub and restaurant. Semasa aku masuk ianya kosong seperti belum dibuka, aku duduk di ruangan bar. Seorang waitress warga Filipina berpakaian tradisional Ireland dengan buah dada hampir terjojol keluar  menghampiri diriku ini lalu meletakkan segelas susu di depanku. Aku hairan, “Aku tak mahu minum susu, aku mahu minum beer,” bisik hatiku. Waitress itu kemudian meletakkan sehelai sampul surat berwarna merah di depanku, dia lalu berlalu pergi. Aku curiga—aku ambil dan buka sampul surat itu. Di dalamnya ada sepucuk nota, tertulis:
Jika Encik Ali Parodi ingin mengetahui apa yang terjadi kepada anak saya 30 tahun lepas, minum susu kambing segar tanpa gula ini.
Namaku Ali Parodi. Aku terasa seolah-olah seperti aku kena prank dengan kawan-kawan aku Joe, Man dan Boy. Tetapi aku tetap kekal cool. Aku tahu ini kerana aku ternampak seperti ada kerdipan lampu merah rekod di belakang sana. Nak kenakan aku konon, huh. Aku syak di dalam segelas susu ini ada seekor lipas plastik untuk mengejutkan aku. Ataupun mungkin mereka mahu aku bertengkar dengan waitress pasal susu ini. Mentang-mentang diorang tahu aku tak minum susu. Aku pandang gelas pint berisi susu kambing segar tanpa gula itu. Aku pegang—aku teguk kesemua susu itu. Sekarang apa? Tiba-tiba aku rasa mengantuk yang teramat sangat. Semuanya gelap.

Namaku Ali Parodi. Sedar-sedar aku sedang berada di salah sebuah pesta keramaian seni. Aku nampak Joe, Man dan Boy di satu sudut. Aku ingin panggil mereka tetapi ada seorang pakcik tua berambut putih beruban panjang mencecah lantai, dibaluti kain kapan putih betul-betul di hadapan aku. Pakcik itu datang semakin hampir dan kemudian merenung ke dalam kedua biji mataku. Lama merenung ke dalam mataku, dia kemudian beransur pergi ke kiri. Aku masih lagi memerhatikan pakcik itu. Dia sedang membelek-belek sebuah painting yang tergantung di dinding. Berpaling kembali ke depan, ada sepasang couple sedang berpegangan tangan. Mereka sedang memandang ke arah kemaluanku. Yang seorang itu memakai big nerdy glasses, floral mini skirt, black leather jacket, t-shirt serigala, berambut pendek dan berwajah androgynous manakala lagi seorang memakai baju kebaya putih, dengan mini-skirt serta kacamata hitam wayfarer. Mereka tersenyum. Aku marah. Tapi aku seolah tidak boleh bergerak, seperti lumpuh. Aku cuba menjerit, tetapi tiada suara yang kedengaran. Aku kalut dan mulai takut. Apa yang berlaku kepada diriku ini? Kenapa mereka perhatikan aku sebegitu rupa? Salah seorang pasangan itu kemudian bersuara, “Apa tajuk painting ni sayang?”

“Sekejap ye, I check,” balas yang seorang lagi.

Tajuk: Ali Parodi


Ridhwan Saidi