Aku sedang duduk bersila di masjid. Hari ini hari Jumaat. Semua orang Sembahyang Jumaat, termasuk aku.
“Janganlah kamu wahai orang-orang yang beriman mendekati golongan Yahudi dan Nasrani,” teriak pengkhutbah dengan nada garang.
Aku jarang-jarang sekali ke masjid untuk Sembahyang Jumaat. Tetapi oleh kerana kedua ibubapaku baru pulang dari mengerjakan umrah semalam hari. Aku mengambil keputusan untuk ke masjid. Aku mahu jaga hati mereka. Saat mereka kembali dari tanah suci Mekah, aku salam dan kucup tangan dan pipi kedua mereka—ambil berkat kata orang tua-tua. Ibubapaku bawa pulang dua tong air zam-zam, berbelas-belas ketayap, sejadah serta beberapa kotak kurma untuk dibahagi-bahagikan sesama saudara dan jiran tetangga.
Aku berjalan kaki daripada rumahku yang terletak 500 meter dari situ. Walaupun tidak begitu jauh, aku perlu melintasi sebuah padang untuk ke masjid ini. Langit gelap seperti ribut mahu melanda, aku tidak mahu basah bila pulang nanti, lebih-lebih lagi apabila melalui padang yang tidak berbumbung itu. Aku menyesal kerana tidak membawa payung semasa keluar tadi.
“Nah ambil ni,” sambil menghulurkan sehelai not seringgit.
“Derma kat masjid,” tambah ibuku sambil tersenyum.
Aku ambil not seringgit itu dan masukkan ke dalam poket kiri baju Melayu Rayaku.
Langit gelap seperti ribut mahu melanda. Angin pula sedang menderu-deru bertiup kencang. Aku sedang memakai ketayap baruku ini yang kata ibuku dibeli semasa di kota Madinah. Kelihatan masih ramai lagi lelaki-lelaki sedang berpusu-pusu masuk ke perkarangan masjid mengikut pintu belakangnya yang sempit itu. Mereka berjalan sambil sebelah tangan memegang kain dan sebelah lagi memegang ketayap, takut ia lucut terbang ditiup angin. Dengan kedua tanganku di dalam poket, aku bingkas bangun mendapatkan capalku lalu beransur menuju ke arah pintu pagar sempit itu. Aku mengambil keputusan untuk tidak Sembahyang Jumaat hari ini, aku mahu pulang, aku tak mahu basah.
Di tepi pintu pagar itu, aku tunggu seorang demi seorang lelaki-lelaki masuk untuk mengerjakan Sembahyang Jumaat. Pintu pagar di belakang masjid itu hanya menyudikan seorang sahaja masuk pada satu-satu masa. Aku ikhlas sabar menunggu. Selesai, aku keluar lalu menuruni sebuah bukit. Beberapa orang yang sedang dalam perjalanan ke masjid yang melalui lereng bukit itu memandang tepat ke arah mata aku. Barangkali mereka hairan melihat aku berjalan keluar dari masjid sedangkan orang lain berpusu-pusu menuju ke arah masjid. Aku tidak endahkan mereka dan terus berjalan dengan harapan bahawa aku sempat sampai ke rumah sebelum hujan turun.
Tiba di sebuah persimpangan jalan di celah-celah kereta yang diletak berteraburan, aku singgah sebentar di sebuah gerai. Selepas melintas jalan ini, ada padang, selepas itu baru sampai ke kawasan perumahanku, bisikku. Kelihatan kakak peniaga gerai itu sedang menghalau lalat-lalat yang sedang mengerubungi kuih-muih di dalam dulang.
“Air kelapa satu,” pesan aku.
“Berapa?” tambah aku lagi.
Aku melihat tanda harga di hadapan balang air kelapa tersebut lalu menyeluk poket kiri baju Melayu Rayaku dan menyerahkan sehelai not seringgit kepada kakak itu.
Tiba-tiba hujan lebat mulai turun disertai kilauan kilat dan petir. Kresendo guruh mendayu-dayu kedengaran dari jauh. Aku terus cergas bergegas berlari sekuat hati melintas jalan, berlari di atas padang yang semakin becak dan semakin lama semakin terapung ke atas. Tubuhku terasa ringan. Serta-merta pergelangan kakiku mulai terasa pegal, dan kemudian betisku, dan kemudian pahaku, dan kemudian perutku, dan kemudian dadaku, dan kemudian baru aku sedari aku sedang terlentang mengiring di atas jalanraya.
Kelihatan sebuah lori sampah di hadapanku. Aku tahu ini dari baunya yang melantung. Aku tersedut masuk ke bahagian bawah lori sampah itu. Suasana gelap gelita, tetapi ada bukaan dan cahaya di penghujungnya, seolah seperti di dalam terowong. Aku… sedang ditarik ke arah cahaya itu, ataupun cahaya itu yang sedang menghampiri diriku.
Cahaya persih itu perlahan-lahan pudar. Kemudian kelihatan wajah seseorang, tetapi tidak jelas, samar-samar, kabur. Kedengaran suara halus bersuara, “mengucap dik, mengucap dik, mengucap dik,” berulang kali.
Wajah susuk tadi semakin meredam lalu pudar kembali menjadi cahaya putih metah di akhir terowong, tetapi kali ini ia terlalu cerah—mataku silau. Mendadak terasa kesakitan yang teramat sangat dari hujung ibujari kakiku, sedang menusuk dan meratah sendi-sendi, otot-otot dan tulang-temulangku naik menuju ke kepalaku. Aku tidak terdaya untuk bergerak, mengerang kesakitan apatah menangis. Aku kesal dan ingin bertaubat. Spontan—aku tarik nafas panjang-panjang lalu mengucapkan, “rock ‘n’ roll…”
Kelam.
Hitam.
Padam.
Ridhwan Saidi
Ridhwan Saidi